Friday, August 29, 2014

Pgkl Kubor: Penamaan 13 Sept, pengundian 25 Sept

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor ialah pada 25 September.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata hari penamaan calon untuk PRK itu ditetapkan pada 13 Sept sementara pengundian awal pada 21 Sept.



Daftar pemilih untuk PRK itu ialah Daftar Pemilih Induk (DPI) 2013 yang digabungkan dengan daftar pemilih tambahan suku pertama tahun 2014 dan dikemas kini sehingga 20 Ogos 2014.

"Sebanyak 11 buah sekolah digunakan untuk pusat pengundian dengan 46 saluran mengundi. Sebanyak 422 petugas akan dilantik untuk PRK kali ini," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas berhubung pilihan raya kecil DUN itu di Putrajaya hari ini.

PRK untuk DUN Pengkalan Kubor diadakan ekoran kematian penyandangnya Datuk Noor Zahadi Omar pada 20 Ogos lepas, akibat kanser hati.

Pada pilihan raya umum tahun lepas, Noor Zahidi yang mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan undi sebanyak 10,174 mengalahkan calon PKR, Saharun Ibrahim (8,438 undi) dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary (65 undi).

Abdul Aziz berkata daftar pemilih di kawasan berkenaan mengandungi 24,039 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 23,929 pemilih biasa, 109 pemilih awal dan seorang pengundi tidak hadir luar negara (PTH) dan daftar pemilih itu akan mula dijual pada 8 September ini.

"Kawasan itu mempunyai 12,462 (51.84 peratus) pengundi lelaki, wanita 11,577 (48.16 peratus), pengundi berdaftar paling ramai ialah kategori umur 30 hingga 39 tahun iaitu 5,744 (23.89 peratus)," katanya.

Dakwat kekal

Sementara itu SPR katanya menetapkan tarikh tutup permohonan undi pos dalam negara ialah pada 15 September dan untuk luar negara pada 13 September.

Beliau berkata pusat penamaan calon pula akan diadakan di Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat, penjumlahan rasmi undi di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Biji Wangsa Tumpat, Kelantan sementara pusat pengundian awal di Dewan Delima Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat.

"Kos perbelanjaan pilihan raya kali ini sebanyak RM696,750 dan tiga pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya akan diwujudkan," katanya.

Semakan daftar pemilih boleh dibuat dengan melayari laman web www.spr.gov.my dan melalui SMS dengan menaip SPRSEMAKNO KAD PENGENALAN dan hantar kepada 15888 mulai 8 Sept atau menghubungi talian 03-88856565 atau 09-7482510.

Pada sesi soal jawab kemudian Abdul Aziz berkata seperti PRK sebelum ini, dakwat kekal akan digunakan.

Mengenai jangkaan jumlah pengundi yang akan keluar mengundi, beliau berkata mungkin jumlahnya tidak kurang daripada 70 peratus memandangkan pada pilihan raya umum ke-13 jumlah keluar mengundi ialah 79 peratus.

Ditanya kemungkinan berlakunya banjir semasa proses pilihan raya pula SPR bersedia menghadapinya kerana sebelum ini pernah ada pengalaman berdepan situasi berkenaan semasa pilihan raya kecil Tenang di Johor, katanya.

-Bernama / mk
xxx2

Komen Anda

0 Responses to " Pgkl Kubor: Penamaan 13 Sept, pengundian 25 Sept "

Note: Only a member of this blog may post a comment.

xxx