Tuesday, August 26, 2014

Sultan tangguh perletakkan jawatan Khalid

Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini memohon meletakkan jawatan sebagai menteri besar Selangor.

Menurut kenyataan istana, sultan bagaimanapun menangguh menerima peletakan jawatan itu sehingga penggantinya ditentukan.



Munir berkata, sultan Selangor juga menitahkan agar pemimpin PAS, PKR dan DAP mencadangkan lebih daripada dua nama sebagai calon layak menggantikan Khalid.

Ia, menurut Munir lagi, bagi memudahkan sultan menentukan dan memberi perkenannya.

"Ini sejajar dengan konvensi yang telah diamalkan secara berterusan dalam pelantikan menteri besar Selangor sebelum ini,” katanya.

Khalid (atas) turut mengumumkan perkara itu di Facebook beliau.

"Saya telah kemukakan kepada DYMM Tuanku Sultan hasrat untuk meletak jawatan sebagai Datuk Menteri Besar Selangor dan baginda telah memutuskan untuk menangguh penerimaan peletakan jawatan saya sehingga proses pelantikan menteri besar baharu selesai," tulisnya.

Mohon maaf pada istana

Dalam kenyataannya, Khalid juga berkata, beliau menyatakan hasrat meletakkan jawatan memandangkan “dinamik politik di negeri Selangor kian meningkat dan telah menimbulkan keresahan rakyat jelata”

“Saya juga telah memohon maaf kepada DYMM Tuanku atas suasana politik masa kini yang telah menyebabkan pihak istana terheret sama dalam kemelut pentadbiran di negeri ini,” katanya.

Beliau justeru menyerahkan kepada kebijaksanaan sultan untuk mencari penyelesaian terbaik sekaligus mengembalikan kepercayaan rakyat kepada pemerintah, institusi beraja dan pentadbiran awam.

Khalid juga berharap semua pihak terutama ahli politik, media dan pengguna media sosial mengelak membuat kritikan yang menjurus untuk memperkecilkan peranan mana-mana pihak terlibat terutama institusi beraja dan raja-raja Melayu.

“Biarpun kita menghormati prinsip demokrasi yang memberi kebebasan bersuara namun adab, tatatertib dan hak-hak DYMM sultan Selangor bawah Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor perlu dihormati demi kesejahteraan negeri,” katanya.

Khalid sebelum itu tiba di istana Bukit Kayangan di Shah Alam untuk menghadap Sultan Selangor.

Khalid memasuki kawasan istana pada jam 2.20 petang, lima minit selepas kenderaan Sultan Sharafuddin Idris Shah tiba di istana.

Menteri besar kelihatan tersenyum melalui tingkap keretanya.-mk
xxx2

Komen Anda

0 Responses to " Sultan tangguh perletakkan jawatan Khalid "

Note: Only a member of this blog may post a comment.

xxx