Wednesday, September 17, 2014

MH17: Tiga lagi jenazah rakyat Malaysia tiba Jumaat ini

Tiga lagi jenazah rakyat Malaysia yang terkorban dalam tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 akan tiba di Malaysia pada Jumaat ini, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata jenazah Allahyarham Muhammad Afzal Tambi dan anak perempuannya Allahyarham Marsha Azmeena serta jenazah anak kapal MAS Allahyarham Shaikh Mohd Noor Mahmood dijadual tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang pada 8.30 pagi.

"Seperti ketibaan jenazah lain sebelum ini, jenazah mereka juga akan diberikan penghormatan ketenteraan sepenuhnya," kata Liow dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata pasukan forensik di Netherlands juga sudah mengenal pasti lima lagi mayat rakyat Malaysia iaitu Liew Yau Chee, Tan Siew Poh, Meling anak Mula, Metthew Ezekial Sivagnanam dan Lee Kiah Yeen, namun pihak berkuasa Belanda belum mengumumkan bila mayat mereka boleh dibenarkan pulang ke tanah air.

Dalam pada itu, Liow meminta rakyat Malaysia supaya menghormati privasi waris dan keluarga mangsa penerbangan MH17 ketika mereka berdepan waktu sukar.

"Semasa mereka menyemadikan jenazah insan tersayang, kita berdoa agar meraka diberikan ketabahan dan kekuatan untuk menghadapi kehilangan yang penuh tragik ini," katanya.

Sehingga kini, sebanyak 224 mangsa MH17 sudah dikenal pasti manakala 74 lagi dalam proses dikenal pasti.

Daripada 43 rakyat Malaysia yang terkorban dalam nahas itu, mayat 41 orang daripada mereka yang terdiri daripada 26 penumpang dan 15 anak kapal sudah pun dikenal pasti setakat ini, katanya.

Liow berkata Malaysia juga terus menjalinkan kerjasama erat dengan rakan antarabangsa terutamanya kerajaan Netherlands bagi memastikan jenazah mangsa lain dapat dikembalikan kepada keluarga mereka.

Pesawat MH17, yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal, ditembak jatuh di timur Ukraine ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai lepas.

Selain rakyat Malaysia, penumpang lain terdiri daripada rakyat Netherlands, Australia, Indonesia, United Kingdom, Jerman, Belgium, Filipina, Kanada dan New Zealand. – Bernama
xxx2

Komen Anda

0 Responses to " MH17: Tiga lagi jenazah rakyat Malaysia tiba Jumaat ini "

Note: Only a member of this blog may post a comment.

xxx