Monday, September 22, 2014

Pengumuman MB Selangor baharu ditunda esok?

Calon menteri besar Selangor yang baharu hanya akan diumumkan esok ‎sebelum majlis angkat sumpah di Istana Alam Shah, Klang, kata sumber.

The Malaysian Insider difahamkan, pengumuman yang sepatutnya dibuat hari ini ditunda esok‎ ekoran arahan daripada Istana Selangor.

Sumber memaklumkan, pra raptai angkat sumpah yang diadakan pagi tadi hanya melibatkan pegawai istana tanpa kehadiran menteri besar baharu atau pun mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) lain.

Difahamkan juga, raptai penuh akan diadakan pada malam ini dengan kehadiran calon menteri besar baharu.

Sementara itu, sumber istana ketika ditemui berkata, surat makluman mengenai pelantikan menteri besar masih belum diambil individu terbabit‎.

Wartawan juga difahamkan, liputan majlis angkat sumpah esok hanya dihadkan ‎kepada media rasmi arus perdana sahaja.

Spekulasi bertiup kencang mengatakan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali akan mengangkat sumpah menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim esok.

Wartawan mengerumuni kediaman ‎Azmin di Taman Tun Abdul Razak (TAR), Ampang dan Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya sejak pagi tadi bagi mendapatkan pengesahan.

Manakala Khalid yang akan menamatkan tugasnya hari ini akan mengadakan sidang media dan jamuan ringan di Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) di Shah Alam petang ini. –TMI
xxx2

Komen Anda

0 Responses to " Pengumuman MB Selangor baharu ditunda esok? "

Note: Only a member of this blog may post a comment.

xxx