Thursday, September 25, 2014

PKR dan Pakatan Retak menanti belah?

PETALING JAYA: Pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Azmin Ali sebagai Menteri Besar (MB) Selangor yang baharu tidak mampu menyelamatkan hubungan PKR dan Pakatan Rakyat yang sedang retak menanti belah.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee yang mengatakan Azmin Ali tidak lebih dari ‘budak suruhan’ Anwar serta tidak akan mampu menyelesaikan kemelut perpecahan PKR dan Pakatan Rakyat (PR) yang sudah sampai ke tahap kronik.

“Pelantikan Azmin Ali sebagai MB Selangor bukan sahaja mencetuskan konflik perpecahan PR yang baru, malah menimbulkan kemarahan penyokong Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan juga puak ulama dalam PAS yang mahu pemimpin parti itu mengganti tempat Khalid.

“Saya yakin kata-mengata antara pemimpin PKR, DAP dan PAS tidak akan reda dengan pelantikan Azmin. Mereka akan terus menyerang satu sama lain bagi menegakkan benang basah. Inilah contoh parti yang tamak kuasa dan tidak fikir soal kepentingan rakyat,’ tulisnya.

Syed Ali juga percaya puak-puak yang menyokong Wan Azizah dalam PKR tidak akan senang dengan Azmin dan akan melakukan sabotaj dalam parti itu.
“Saya mahu tanya di sini mana Rafizi Ramli, Saifuddin Nasution dan Badrul Hisham Shaharin akan letak muka bila Azmin dilantik MB?

“Begitu juga puak ulama dalam PAS yang rata-rata mahukan anggota parti itu menjadi MB Selangor tidak akan duduk diam. Ini senario yang selalu berlaku dalam parti itu,” katanya.

Syed Ali tidak menolak kemungkinan Azmin Ali atas nasihat Anwar Ibrahim akan ‘mempermainkan’ PAS pula dalam pelantikan Exco Kerajaan Negeri Selangor.
“Ini dilakukan kerana PAS pernah menunjukkan bantahan secara terbuka Wan Azizah sebagai calon MB sebelum ini.

“Kalau PKR boleh membelakangkan PAS dalam membuat keputusan besar antaranya isu Langkah Kajang dan calon MB Selangor tidak mustahil parti itu akan melantik mana-mana wakil rakyat PAS yang senada dengan parti itu sebagai Exco Kerajaan Negeri selepas ini,” jelasnya.

Menurut Syed Ali, PR bukannya sebuah pertubuhan yang berdaftar tetapi sekadar persefahaman politik untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum.

“Dalam PR tidak mempunyai dasar yang jelas untuk membangun rakyat dan negara selain bercita-cita besar mahu menobatkan Anwar sebagai Perdana Menteri,” ujarnya.

-Fmt
xxx2

Komen Anda

0 Responses to " PKR dan Pakatan Retak menanti belah? "

Note: Only a member of this blog may post a comment.

xxx