Saturday, September 6, 2014

Usung 'mayat' tuntut mansuh Akta Hasutan

Sekumpulan mahasiswa dari Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis) menghantar memorandum kepada Kementerian Dalam Negeri bagi menuntut pemansuhan Akta Hasutan 1948.



Berlangsung selepas solat Jumaat tadi, mereka turut menghantar satu replika jenazah yang siap dikafan sebagai simbolik kepada demokrasi yang 'mati'.

Seorang pegawai dari KDN yang sepatutnya menerima memorandum itu bagaimana pun memulangkan kembali memorandum tersebut.

Pegawai khas KDN, Saufi Abdul Rahman berbuat demikian kerana kumpulan mahasiswa itu bertegas mahu naik ke dalam pejabat KDN.

Mereka bertegas mahu berjumpa dengan menteri untuk menyerahkan memorandum tersebut.

Akibatnya, berlaku tolak-menolak selama kira-kira 20 minit di antara petugas RELA dan polis yang mengawal pintu masuk bangunan itu dengan kumpulan pelajar terbabit.

Memorandum itu kemudian diterima Saufi yang memberikan komitmennya untuk menyampaikannya kepada menteri.

Kumpulan mahasiswa itu juga bersetuju mengambil semula replika mayat yang dibawa mereka ke KDN.

Presiden Gamis, Abdul Malik Abdul Razak yang mengetuai himpunan ini menuntut KDN "memulihkan semangat dan budaya demokrasi yang sihat dalam negara dan universiti serta menjulang semangat hak asasi manusia".

Beliau menuntut kerajaan agar memansuhkan Akta Hasutan 1948 serta menggugurkan semua dakwaan berkaitan dengannya.

Beliau juga menuntut agar akta itu tidak digantikan dengan akta lain yang sama.

"Melalui pendakwaan bawah Akta Hasutan 1948 terhadap pensyarah undang-undang Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Azmi Sharom, ia mengundang kebimbangan warga universiti terhadap kebebasan akademik di negara ini," memorandum itu dipetik.

Memorandum itu turut disokong Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan sayap mahaiswa PKR, Mahasiswa Keadilan Malaysia.

Himpunan hari ini bagaimana pun tidak disertai oleh Persatuan Undang-undang Universiti Malaya (UMLS) - sebuah persatuan mahasiswa di tempat Azmi bertugas.

UMLS menegaskan yang mereka percaya kepada perjuangan menegakkan keadilan namun, memilih untuk bersikap berkecuali dalam hal bersifat kepartian.

Bagaimanapun, mereka akan mengikuti perbicaraan Azmi pada 3 Oktober nanti dan pada masa yang sama lebih selesa mencari "saluran lain untuk bertindak secara demokratik".

Himpunan hari ini adalah yang pertama selepas siri dakwaan terhadap ahli politik, tokoh akademik serta aktivis di bawah Akta Hasutan 1948 mutakhir ini.

-mk
xxx2

Komen Anda

0 Responses to " Usung 'mayat' tuntut mansuh Akta Hasutan "

Note: Only a member of this blog may post a comment.

xxx