Wednesday, October 29, 2014

Isu masalah sijil kelahiran di Sabah

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan akan memberikan sijil kelahiran bagi tujuan persekolahan kepada kanak-kanak yang tidak ada kewarganegaraan di Sabah atas dasar kemanusiaan.

Menurut Zahid, di Sabah memang terdapat banyak masalah anak-anak yang tidak ada sijil kelahiran atau sebarang dokumen kerana ibu bapa datang daripada negara luar.

“Selain itu ada juga disebabkan anak-anak itu memang tidak didaftarkan kerana ibu bapanya mungkin salah seorang warganegara Malaysia tetapi perkahwinan tidak didaftarkan.

“Saya memberi jaminan bahawa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) kana menyelesaikan masalah ini dan perkara ini telah terdapat di dalam laporan RCI.

“Insyaallah perkara ini akan diselesaikan sekiranya perkara ini tidak dipolitikkan,” katanya di Parlimen hari ini.

Tambah beliau, di Sarawak juga ramai tidak mempunyai sijil kelahiran atau MyKad.

“Kerajaan amat prihatin terhadap anak-anak yang tidak ada sijil kelahiran apatah lagi MyKad. Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mempunyai unit bergerak untuk turun ke bawah menangani masalah yang demikian.

“Terdapat masalah anak yang tidak ada sijil kelahiran kerana ibu bapanya berkahwin tetapi tidak disahkan kewarganegaraannya,” jelasnya.

Katanya, kad pengenalan biru atau MyKad hanya dikeluarkan kepada warganegara Malaysia berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Sub Peraturan 5 (3) (A) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990.

“Justeru bagi kanak-kanak di bawah umur 21 tahun telah dibuat pengangkatan termasuk mereka yang telah memperolehi status permastautin tetap dan didapati tidak memiliki apa-apa kewarganegaraan maka permohonan kewarganegaraan Malaysia boleh dibuat di bawah Perkara Writ Perlembagaan Persekutuan.

“Perlu diperjelaskan di dalam dewan ini penganugerahan kewarganegaraan Malaysia merupakan anugerah tertinggi kerajaan Malaysia terhadap seseorang individu. Ia tidak ditawarkan dan tidak dianugerahkan dengan sewenang-wenangnya justeru kerajaan akan buat pertimbangan dan penelitian dengan terperinci dan penganugerahan kewarganegaraan hanya akan diberi kepada indivvidu yang benar-benar layak.

“Hal ini perlu diambil maklum kerana bukti yang menunjukkan bahawa pemohon benar-benar layak untuk dianugerahkan kewarganegaraan Malaysia adalah di bawah tanggungjawab pemohon itu sendiri,” ujarnya.

-fmt
xxx2

Komen Anda

0 Responses to " Isu masalah sijil kelahiran di Sabah "

Note: Only a member of this blog may post a comment.

xxx