Tuesday, October 7, 2014

Oktoberfest dipopularkan ‘cyber-trooper’, ISMA?

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad menyifatkan temubual yang dibuat oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) berhubung isu Oktoberfest menimbulkan kontroversi kerana mereka yang membaca, hanya membaca tajuk.

Menurutnya, mengikut syariat Islam, sememangnya telah direka oleh Allah untuk masyarakat manusia yang bersifat majmuk dan orang bukan Islam boleh hidup dengan aman di bawah pemerintahan Islam.

“Hak mereka tidak akan dicerobohi termasuk agama mereka. Mereka tidak akan dipaksa memeluk agama Islam dan mereka dibenarkan mengikut ajaran agama mereka dengan aman damai,” tulisnya di dalam blog www.khalidsamad.com

Jelasnya lagi, ada yang membantah kenyataan beliau atas alasan ‘ketuanan Islam’, ‘Islam berkuasa’, ‘Islam agama persekutuan’ dan sebagainya.

“Saya cadangkan sekiranya ingin ikut kehendak Islam maka tangani persoalan ini mengikut ajaran Islam. Ikut syariat, bukan ikut emosi.

“Kebebasan sebegini yang dijamin syariat Islam terhadap orang bukan Islam di bawah pemerintahannya adalah di antara bukti kebenaran dan keagungan Islam. Ianya juga merupakan bukti bahawa Islam mampu memerintah Negara yang bersifat majmuk,” kata beliau lagi.

Jelas beliau, hujah sensitiviti dan sebagainya adalah persoalan yang boleh ditangani dalam keadaan hak bukan Islam terus dijamin.

“Ianya ditangani dengan dikenakan syarat tertentu ke atas penganjurnya seperti tidak dibenarkan orang Islam bersama, tidak diiklankan di kawasan dan akhbar kebiasaan orang Islam, dianjurkan di kawasan majoriti orang bukan Islam dan sebagainya,” ujarnya.

Dalam pada masa yang sama, Khalid turut menegaskan kenyataannya bahawa program Oktoberfest yang dianjurkan untuk orang bukan Islam tidak boleh dihalang.

“Hal ini kerana, syariat Islam menjamin kebebasan beragama bagi mereka. Namun ianya tidak boleh dihadiri orang Islam dan dari sudut perlaksanaannya dan cara ia diurus, pihak PBT perlu memantau dan mengawal,” katanya.

Khalid turut menyatakan papan iklan yang didakwa yang ada di Shah Alam merupakan hasil kerja ‘cyber-trooper’ ISMA atau Umno.

“Kita tidak tahu kerana ianya tidak diiklankan di akhbar atau kawasan orang Islam. Ianya mungkin diiklankan di akhbar Cina, mungkin juga di akhbar Inggeris dan di tempat-tempat tertentu melalui media tertentu.

“Di papan tanda Masjid sudah pasti tiada. Utusan dan Berita Harian saya tidak tahulah sebab saya tidak baca, tapi rasanya tiada juga. Begitu juga di Sinar Harian. Maka, ummat Islam tidak tahu,” ujarnya.

Katanya lagi, masyarakat Islam hanya mula tahu apabila ISMA yang mengiklankan dan mempopularkannya.

“Sekiranya ISMA yang mengiklan dan mempopularkannya, maka adakah patut mempersalahkan orang bukan Islam? Yang ISMA sibuk sangat iklankan siapa suruh?” soalnya.

-fmt

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.