Sunday, October 5, 2014

Penduduk Rungus : Rumah roboh, pampasan tiada?

PITAS: Projek sudah siap beberapa tahun yang lalu. Jalan raya sudah diguna, namun ramai penduduk kaum Rungus di sini mendakwa pampasan yang dijanjikan kerajaan kerana merobohkan rumah mereka, masih belum diterima sehingga sekarang.

Penduduk Kampung Eloi, Manggis dan Datong di sini mendakwa tanah, rumah dan tanaman terjejas akibat kerja-kerja memperbesarkan Jalan Pitas-Bongkol-Telaga dan mereka masih menunggu pampasan yang dijanjikan kerajaan.
Wakil penduduk yang terjejas berkata, walaupun surat dan panggilan telefon ditujukan kepada agensi kerajaan, termasuk Jabatan Tanah dan Ukur dan Jabatan Kerja Raya (JKR), namun prospek untuk menerima pampasan seolah-olah tiada.

“Saya sudah lupa berapa kali saya menghubungi pegawai-pegawai mereka mengenai perkara ini. Setiap kali menghubungi, saya diminta untuk menunggu,” kata jurucakap itu yang mana kayu rumah miliknya telah dikenal pasti untuk dirobohkan untuk membuka jalan fasa kedua projek menaik taraf jalan raya.

Beliau mendakwa bahawa beberapa rumah, yang terletak bersebelahan dengan jalan utama, sudah dirobohkan semasa projek jalan raya yang lebih awal yang siap empat tahun lalu.

Katanya, wang hasil titik peluh untuk membina rumah hilang begitu sahaja. “Tanaman kami seperti pisang dan pokok buah-buahan lain juga ditebang sebelum majlis rasmi pecah tanah bagi fasa kedua projek itu, yang diadakan pada Februari 2010,” dakwanya.

Sebanyak 31 rumah dikenalpasti untuk dirobohkan, tetapi beberapa rumah masih dihuni kerana kekangan kewangan mereka untuk mencari tempat tinggal lain.

“Kami bukan pendatang tanpa izin hingga dilayan dengan cara ini. Kami tergolong dalam kumpulan etnik Rungus yang layak mengundi di Sabah,” katanya menambah penduduk kampung terpaksa berjalan jauh untuk ke jabatan kerajaan di bandar untuk bertanyakan status tuntutan pampasan, tetapi diberitahu untuk menunggu.

Ditanya sama ada rumah-rumah yang terjejas dibina atas geran Tanah Adat (NT), beliau berkata banyak didaftarkan di bawah geran itu.

“Walaupun ada rumah dibina atas tanah yang didaftarkan di bawah Permohonan Tanah (LA), itu tidak bermakna kami tidak berhak untuk dibayar ex-gratia daripada kerajaan. Kami sebelum ini diberitahu akan diberi pampasan sewajarnya berdasarkan kerugian yang dialami,” katanya.

Beliau berharap kerajaan melalui agensi-agensi yang berkaitan akan mempercepatkan proses untuk membayar ganti rugi penduduk kampung yang sebelum ini diserahkan kepada JKR.

-fmt
xxx2

Komen Anda

0 Responses to " Penduduk Rungus : Rumah roboh, pampasan tiada? "

Note: Only a member of this blog may post a comment.

xxx