Friday, October 3, 2014

Rakam aksi bogel wanita dengan CCTV

IPOH - Seorang ahli perniagaan dikenakan wang jaminan RM28,000 di Mahkamah Majistret Ipoh, semalam, selepas mengaku tidak bersalah atas lapan pertuduhan merakam gambar bogel lima wanita dan tiga lelaki di sebuah inap desa di Taman Canning, di sini, Julai lalu.

Lim Lai Heng, 42, yang juga pemilik inap desa tersebut didakwa melakukan perbuatan tersebut menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) mini yang dipasang di bilik air tingkat atas rumah berkenaan.

Dia didakwa mengaibkan lapan sekeluarga berusia antara 17 hingga 53 tahun dengan sengaja merakam gambar mangsa sedang mandi dalam keadaan bogel antara jam 2.30 petang hingga 11.30 malam 27 Julai 2014 di Ipoh Garden Homestay.

Berikutan itu, Lai Heng didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Naidatul Athirah Azman mencadangkan supaya ahli perniagaan terbabit dikenakan denda sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam bela tertuduh, Stephen Su memohon supaya jaminan dikurangkan kepada RM2,000 bagi setiap pertuduhan memandangkan anak guamnya memberi kerjasama baik dengan polis sepanjang siasatan dijalankan.

Majistret Haslinda A Raof kemudiannya menetapkan wang jaminan RM3,500 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan memberi syarat tambahan supaya Lai Heng tidak mendekati mangsa.

Menurutnya, jika tertuduh mendekati mangsa, secara tidak langsung, jaminan akan terbatal secara automatik. Beliau turut menetapkan 10 November ini sebagai sebutan semula kes.

Terdahulu, Lai Heng yang memakai kemeja biru dan berseluar panjang hanya menundukkan wajahnya di dalam mahkamah ketika peguam bela memohon jaminan ke atasnya dikurangkan.

Dia turut membalut kepalanya dengan kain dan menutup mukanya menggunakan beg ketika tiba di mahkamah semalam. -SH
xxx2

Komen Anda

0 Responses to " Rakam aksi bogel wanita dengan CCTV "

Note: Only a member of this blog may post a comment.

xxx