Saturday, November 22, 2014

Kerajaan mansuh subsidi RON95, diesel mulai 1 Dis

Putrajaya akan memansuhkan subsidi untuk petrol RON95 dan diesel mulai 1 Disember.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek mengumumkan, mulai tarikh itu, penetapan harga runcit RON95 dan diesel mengikut kaedah pengapungan terkawal.

Katanya, berikutan itu tiada lagi subsidi untuk RON95 dan diesel kerana harga pasaran lebih rendah berbanding harga di pam.

Hasan berkata, penetapan harga RON95 dan diesel pada 1 Disember bergantung pada harga pasaran minyak dunia.

Berikut adalah kenyataan penuh Datuk Hasan Malek.

Dimaklumkan bahawa Kerajaan melalui Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini telah memutuskan bermula dari 1 Disember 2014, penetapan harga runcit bagi petrol RON95 dan diesel adalah mengikut kaedah pengapungan terkawal (managed float). Kaedah ini adalah sebagaimana pelaksanaan penetapan harga runcit RON97 sedia ada sejak Julai 2010.

Harga runcit produk petroleum di Malaysia ditentukan melalui kaedah Automatic Price Mechanism (APM) sejak tahun 1983. Melalui APM, Kerajaan akan menetapkan harga runcit pada satu paras tertentu dimana perubahan kos produk tidak akan mengubah harga runcit. Walau bagaimanapun, melalui pengapungan terkawal (managed float) ini, purata perubahan kos produk akan menentukan penetapan harga bagi bulan berikutnya. Ini bermakna jika harga pasaran minyak mentah dunia meningkat, harga runcit RON95 dan diesel juga akan meningkat. Begitu juga sebaliknya.

Sebagai contoh daripada 1 hingga 19 November 2014, purata harga RON95 di bawah APM menurun kepada RM2.27 seliter yang mana lebih rendah daripada harga runcit RM2.30 seliter. Dalam hal ini, Kerajaan akan memantau harga pasaran pada 20 hingga 31 November 2014 dan jumlah sebenar akan menentukan purata harga runcit pada bulan Disember. Jika trend ini berlarutan, adalah dijangkakan harga runcit RON95 bagi bulan Disember akan dikurangkan sewajarnya berdasarkan formula APM.

Pada masa ini harga runcit RON95 di stesen minyak adalah pada harga RM2.30 seliter dan diesel pada harga RM2.20 seliter. Mulai pada 1 Disember 2014, penetapan harga di stesen minyak akan bergantung kepada kaedah yang disebut di atas. Kerajaan akan mengikuti perkembangan pasaran harga produk kos setiap masa dan kadar pertukaran matawang untuk menetapkan harga runcit petrol dan diesel.

Keputusan pengapungan terkawal harga petrol RON95 dan diesel dibuat berikutan kejayaan pelaksanaan pengapungan terkawal harga petrol RON97. Langkah ini membuktikan hasrat Kerajaan untuk memastikan rakyat menikmati manfaat sepenuhnya berikutan penurunan harga minyak mentah dunia.

Kajian bagi pelaksanaan pengapungan terkawal harga petrol RON95 dan diesel ini telah dilaksanakan oleh Kerajaan sebelum memutuskan pelaksanaan kaedah ini.

-mk
xxx2

Komen Anda

0 Responses to " Kerajaan mansuh subsidi RON95, diesel mulai 1 Dis "

Note: Only a member of this blog may post a comment.

xxx