Saturday, November 1, 2014

Penduduk kampung diserang histeria

Penduduk dua kampung, dekat sini, berada dalam keresahan apabila kejadian histeria yang bermula di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Puteri minggu lalu dikatakan berlaku pula di kampung mereka.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Bukit Puteri, Ghazali Omar berkata, dua minggu lalu, 10 murid sekolah berkenaan tiba-tiba meracau dan keadaan itu berlarutan selama tiga hari.

Menurutnya, kejadian mula berlaku pada 16 Oktober lalu dan berterusan dua hari berikutnya pada 19 dan 20 Oktober.

"Pada hari pertama kira-kira 10 murid kebanyakan perempuan tahun 4 dan 5 histeria.

"Pada hari kedua, kira-kira enam murid daripada 10 murid yang sama diserang histeria lagi, manakala pada hari ketiga pula melibatkan murid lain,” katanya ketika ditemui pada Majlis Solat Hajat di SK Bukit Puteri anjuran bersama PIBG dan pihak sekolah, malam kelmarin.

Solat hajat berkenaan yang turut dihadiri guru besar, Hassan Mat Arshad bertujuan agar kejadian histeria tidak berulang di sekolah tersebut.

Ghazali berkata, sejak pihak sekolah dan PIBG mendapatkan khidmat tokoh agama dan pengamal tradisional, kejadian histeria tidak berlaku lagi.

Bagaimanapun keresahan mula timbul dalam kalangan penduduk kampung sekitar sekolah itu iaitu Kampung Tok Has dan Lay Out Tok Has apabila ada antara penduduk pula yang diserang histeria.

Katanya, difahamkan masing-masing satu keluarga di Kampung Tok Has dan Lay Out Tok Has.

“Saya tak berani nak sahkan sama ada apa yang berlaku di kampung tersebut ada kaitan dengan di sekolah kerana kejadian di kampung turut membabitkan orang dewasa,” katanya.

Sementara itu, ada dakwaan mengatakan sebelum meracau, murid terbabit melihat kelibat lembaga hitam di sesuatu lokasi di sekolah tersebut.

Difahamkan, masalah histeria dilaporkan sudah lama tidak berlaku di sekolah berkenaan, sehinggakan ada pihak mendakwa dan mengaitkan kononnya kejadian histeria yang berlaku baru-baru ini ada kaitan dengan kerja merobohkan sebuah rumah berhampiran sekolah
tersebut.

Dalam pada itu Ghazali berkata, pihaknya akan terus berusaha mendapatkan bantuan pakar perubatan tradisional untuk menangani masalah itu.

-sinar harian

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.