Friday, February 13, 2015

Nik Aziz meninggal dunia

PAS dan Kelantan kehilangan pemimpin mereka yang paling berpengaruh, apabila Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menghembuskan nafasnya yang terakhir pada umur 84 pada jam 9.45 malam tadi di rumahnya di Pulau Melaka, Kota Baru, Kelantan selepas sekian lama mengidap barah prostat.

Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa yang berada di rumahnya mengesahkan perkara ini kepada The Malaysian Insider.

Berada di sampingnya ialah isteri serta anaknya serta pemimpin PAS yang datang ke rumahnya di selepas mengetahui beliau sakit tenat sejak beberapa hari lalu.

Pemimpin DAP seperti Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang merakamkan takziah atas pemergian Nik Aziz dalam media sosial masing-masing.

Perdana Menteri Datuk Najib Razak berkata dalam laman Twitternya, “Saya sedih mendengar Tok Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat telah pulang ke rahmatullah. Al-Fatihah.”

Beliau juga menghentikan sebentar majlis yang dihadirinya malam ini di Kuala Lumpur untuk bersama para hadirin mensedekahkan Al-Fatihah untuk allahyarham Nik Aziz, lapor Bernama.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengucapkan takziah kepada keluarga allahyarham Nik Aziz melalui laman Twitternya.

Nik Aziz, Mursyidul Am PAS dan bekas menteri besar Kelantan selama 23 tahun itu meninggalkan seorang balu Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak dan 10 anak termasuk Ahli Parlimen Pasir Mas Nik Mohd Abduh.

Nik Aziz dibawa pulang ke rumahnya dari Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian, Kelantan jam 8.30 malam tadi selepas bantuan pernafasannya dikeluarkan.

Petang tadi anaknya Nik Mohd Abduh mengesahkan bapanya dalam keadaan tidak stabil selepas doktor ‎cuba merawat ulsernya semalam.

"Tahap kesihatan ayahanda menurun selepas doktor merawat ulsernya semalam," kata Nik Abduh dalam satu kenyataannya.

Beliau melepaskan jawatan sebagai menteri besar Kelantan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 6 Mei 2013 selepas menjadi menteri besar sejak 1990 apabila PAS dan Angkatan Perpaduan Ummah menyapu bersih 43 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya berkenaan.

Selepas melepaskan jawatannya sebagai menteri besar kepada Datuk Ahmad Yakub walaupun menang di kerusi DUN Chempaka, kesihatan Nik Aziz semakin merosot hingga HUSM seolah-olah menjadi rumahnya yang kedua.

Ketika hayatnya Nik Aziz adalah orang yang paling tegas mempertahankan kerjasama PAS dengan parti dalam Pakatan Rakyat (PR) dan menolak sebarang idea bekerjasama dengan Umno.

Beliau pernah memberi amaran akan meludah muka mana-mana pemimpin PAS yang mahu membawa parti Islam itu bersama Umno ekoran pengalaman pahitnya memimpin parti selepas ditendang daripada Barisan Nasional.

Beliau menjadi pemimpin yang paling dihormati pemimpin PR daripada PKR dan DAP termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam banyak keadaan, Anwar akan ke Pulau Melaka, untuk berjumpa allahyarham Nik Aziz di rumahnya ketika PR mahu membuat keputusan besar atau menghadapi masalah hubungan antara parti dalam pakatan itu.

Beliau juga menjadi pemimpin PAS yang berjaya mendapat kepercayaan golongan bukan Islam di negara ini walaupun mempunyai masalah di peringkat awal pentadbiran sebagai menteri besar Kelantan.

Antaranya allahyarham menyokong idea orang bukan Islam boleh menggunakan kalimah Allah kerana ia bukan hak orang Islam sahaja dengan syarat ia bukan bertujuan tidak baik.

Nik Aziz, lahir pada 10 Januari 1931, mendapat pendidikan daripada ayahnya yang merupakan seorang guru agama.

Beliau kemudiannya menyambung pelajarannya ke Darul Uloom Deoband, Uttar Pradesh, India dalam Pengajian Bahasa Arab.

Selepas mendapat ijazah pertama, beliau menyambung pelajaran ke Universiti Al-Azhar di Mesir dan mendapat sarjana dalam Siasah Syariah.

Selepas pulang ke tanah air beliau menjadi guru agama dan mula menyertai pilihan raya pertama pada 1967 di kerusi Parlimen Kelantan Hilir selepas menyertai PAS pada tahun sama. Beliau kekal di kerusi itu (yang kemudian ditukar namanya kepada Pengkalan Chepa) sehingga 1986.

Allahyarham dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan pada 1978 selepas PAS kalah di Kelantan. Selepas itu beliau mula mempunyai masalah dengan Presiden PAS Tan Sri Asri Muda yang kemudiannya meletakkan jawatan pada tahun sama.

Beliau mula bertanding kerusi DUN pada 1986. Selepas PAS menang di Kelantan pada 1990, beliau dilantik sebagai menteri besar.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai mursyidul am, pemimpin tertinggi PAS pada 1991 bagi menggantikan Yusof Rawa sehinggalah ke akhir hayatnya.

Hari ini, negara amnya dan Kelantan khasnya, kehilangan seorang tokoh yang sukar dicari ganti, terutama dalam PAS selepas kematian presidennya allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor. – TMI
xxx2

Komen Anda

0 Responses to " Nik Aziz meninggal dunia "

Note: Only a member of this blog may post a comment.

xxx