Saturday, February 14, 2015

Puluhan ribu iringi Tok Guru

Orang ramai mula membanjiri kediaman allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat di Pulau Melaka, Kelantan bagi menzahirkan penghormatan terakhir kepada tokoh politik dan agama itu.

Bukan hanya daripada Kelantan, sejak pemergian allahyarham kira-kira 9.45 malam tadi, orang ramai mula berpusu-pusu menuju ke Kelantan daripada pelbagai pelosok negara.

Seawal waktu Subuh, kenderaan memenuhi sekitar kawasan itu sehingga kereta terpaksa diletakkan sejauh kira-kira 2 kilometer.

Ramai lagi dijangka hadir awal pagi ini.

Solat jenazah dijadual dilangsungkan pada jam 10 nanti sebelum jenazah tokoh itu disemadikan.

LAPORAN LANGSUNG

11.45am: Orang ramai beransur-ansur meninggalkan tanah perkuburan Pulau Melaka yang sejak dari pagi telah dihadiri oleh puluhan ribu orang.

Seorang warga tempatan yang ditemui, Mohammad Ibrahim, 53, berkata beliau sedih dengan pemergian Nik Aziz.

Beliau berkata, kehilangan Nik Aziz tiada pengganti memandangkan Nik Aziz merupakan seorang yang sangat berpegang terhadap kata-katanya.

"Sedih. Sebab tiada pengganti dia. Dengan orang ramai yang hadir ini pun nampak yang beliau seorang ulama yang sangat disanjungi," katanya yang kelihatan sugul.

11.24am: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengetuai bacaan doa dan talkin, dalam keadaan sedih dan hiba.

11am: Jenazah Allahyarham Nik Aziz selamat disemadikan.

Selain orang ramai, tolak menolak antara orang ramai, media dan unit amal juga berlaku di bawah khemah di tempat pengkebumian.

Turut kelihatan berada di kawasan pengkebumian ialah Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir, Gobind Singh Deo dan Dr Xavier Jayakumar.

10.42am: Keadaan di tanah perkuburan Pulau Melaka sesak dengan orang ramai yang mahu melihat jenazah Nik Aziz dikebumikan.

Berlaku tolak menolak antara orang ramai berdekatan khemah tempat Nik Aziz akan dikebumikan.

Cuaca yang tadinya panas turut bertukar mendung.

10.40am: Keranda jenazah Nik Aziz kelihatan oleh ahli keluarganya melalui Jalan Long Sulaiman menuju ke tanah perkubuhan berhampiran.

Pemimpin PAS termasuk Dr Hatta Ramli dan Dzulkefly Ahmad kelihatan mendahulu kumpulan di hadapan.

Pada masa yang sama, orang ramai berasak-asak untuk menatap jenazah Nik Aziz. -mk
xxx2

Komen Anda

0 Responses to " Puluhan ribu iringi Tok Guru "

Note: Only a member of this blog may post a comment.

xxx