Tuesday, July 12, 2016

IS terbit majalah bahasa Melayu

Penerbitan majalah berbahasa Melayu seperti Al Fatihin bukan perkara baru untuk kumpulan bersenjata IS menyebarkan fahaman mereka.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Keganasan, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay percaya selepas ini akan ada lebih banyak risalah diterbitkan dengan menggunakan bahasa lain pula.

Katanya ia dibuat bagi menarik lebih ramai orang menyertai kumpulan berkenaan.

“Isu ini bukan perkara atau isu baru. Bukan majalah Al Fatihin saja (diterbitkan IS), sebelum ini pun banyak majalah atas talian diwujudkan bagi usaha menyebarkan fahaman IS ini.

“Saya percaya selepas ini mereka akan terbitkan (risalah) dalam pelbagai bahasa lagi," kata Ayub kepada Malaysiakini.

Utusan Online hari ini melaporkan kumpulan IS terus cuba menyebarkan fahaman mereka di kalangan rakyat negara ini melalui penerbitan majalah berbahasa Melayu, Al Fatihin.

Menurut laporan tersebut penerbitan majalah itu dibuat selepas mereka berdepan penolakan rakyat Malaysia.

Menurut laporan itu lagi, edisi pertama Al Fatihin memuatkan pelbagai propaganda dan berita berkaitan kegiatan militan mereka dalam bahasa Melayu dan Indonesia.

Ditangani penulis Malaysia

Bagaimanapun, tidak diketahui bagaimana edaran makalah itu dibuat.

Ayub berkata IS sentiasa berusaha untuk mengeluarkan bahan atau propaganda baru untuk memastikan mereka dapat melatih lebih ramai pengikut.

Mengulas lanjut, Ayub berkata beliau percaya penerbitan majalah ini didalangi oleh rakyat Malaysia.

“Kalau kita baca betul-betul majalah Al Fatihin ini ia adalah campuran bahasa Malaysia dan Indonesia dan saya yakin penulis atau pengarangnya adalah orang Malaysia atau rakyat Malaysia yang berada di Syria,” jelas Ayub.

Bagaimanapun, Ayub mengakui polis sentiasa berhati-hati mendepani segala taktik terbaru IS menyebarkan fahaman kumpulan berkenaan.

“Memanglah (ada kebimbangan). Kita sendiri tidak tahu selepas ini apa yang mereka akan lakukan. Mereka mungkin akan terbitkan majalah dalam bahasa lain pula.

“Bila sentuh soal (propaganda melalui) media sosial kita agak sukar mengawalnya. Kita mungkin boleh sekat (sesuatu penerbitan) tapi mereka akan guna medium lain pula,” katanya.


Muktahir ini negara digemparkan oleh beberapa kejadian keganasan dikaitkan dengan IS.

Kumplan itu juga baru-baru ini menyampaikan propaganda mereka melalui video bahasa Melayu yang dimuat naik di YouTube.

Antara lain mereka memberi amaran bahawa ibu pejabat polis di Bukit Aman "tidak lagi akan aman" dan kumpulan itu akan "memenggal leher musuh-musuh mereka".

-MK
xxx2

Komen Anda

0 Responses to " IS terbit majalah bahasa Melayu "

Note: Only a member of this blog may post a comment.

xxx