
Walau berdepan kesulitan dan amaran keras pihak berkuasa, Pakatan Rakyat meneruskan acara kemuncak perhimpunan 'Black 505' di Padang Merbok, Kuala Lumpur hari ini.
5.45pm: Penganjur mengumumkan himpunan aman Black 505 secara rasminya tamat. Bagaimanapun mereka turut memaklumkan terdapat anak muda yang akan berkhemah di Padang Merbok sehingga tuntutan agar SPR meletak jawatan ditunaikan.
5.25pm: Anwar Ibrahim mula berucap. Memulakan ucapan dengan laungan "undur SPR".
Anwar turut menafikan pemergian beliau ke Indonesia untuk berjumpa Najib seperti didakwa pihak tertentu, namun katanya tujuan beliau ke sana adalah atas undangan presiden negara republik itu.
"Saya pergi atas undangan presiden Indonesia, bukan pergi berjumpa Datuk Najib. Presiden Indonesia undang saya tanya mengapa bantahan kuat pada pru13 lalu.
"Saya beri penjelasan bahawa penipuan paling besar berlaku pada PRU13 lalu (dengan) kecurangan SPR mempertahankan penguasa Umno BN," katanya sambil menambah pertemuan tersebut berlangsung hampir sejam setengah. Mengulas himpunan hari ini, beliau turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakyat yang hadir pada hari ini.
Katanya tuntutan rakyat jelas iaitu mahu pemimpin SPR berundur.
Walau bagaimanapun katanya, tuntutan kepada SPR itu akan dibuat secara aman seperti himpunan hari ini.
"Apapun tindakan boleh kita buat, tapi kita pastikan ikut jalur yang aman, lakukan perubahan cara aman," katanya.
Beliau juga menegaskan ahli parlimen Pakatan Rakyat tidak akan memboikot angkat sumpah di Dewan Rakyat seperti dilaporkan pihak tertentu.
Katanya, kesemua ahli parlimen Pakatan Rakyat akan hadir malah keberadaan mereka di Dewan Rakyat adalah medan untuk terus menuntut pilihan raya agar dibersihkan.
Katanya, Pakatan Rakyat akan terus melawan penipuan pilihan raya sama ada di dalam ataupun di luar dewan.
5.20pm: Penasihat DAP Kit Siang pula dalam ucapannya berkata, himpunan hari ini bukan himpunan mana-mana bangsa, tetapi ini himpunan rakyat Malaysia.
"Inilah the real picture rakyat Malaysia," katanya.
Ini kerana semua kaum dan berbeza agama boleh duduk bersama kerana memperjuangkan perkara sama iaitu menuntut keadilan pilihan raya.
5.05pm: Naib Presiden PAS Salahudin Ayub pula mengambil giliran. Beliau menyatakan komitmen, sekalipun tewas pada pilihan raya lalu, namun beliau tetap akan bersama rakyat untuk berjuang menegakkan keadilan dalam negara.
"Ada orang Tionghua kata, saya dah kalah boleh pergi main filem di Homg Kong sebab muka kacak macam Jackie Chan. Tapi itu bukan pilihan saya.
"Saya tetap bersama anda semua. Saya berjanji dengan rakyat kita akan teruskan perjuangan ini. Ini perjuangan kita bersama saya tak kan berundur selagi BN tidak berundur, kita akan lawan mereka," katanya.
4.55pm:Penganjur mengumumkan beberapa khemah yang didirikan oleh sekumpulan pemuda di kawasan luar himpunan di rampas dan beberapa orang dari mereka ditahan.
Menurut jurucakap SMM, Ehsan Bukharee berkata, lebih banyak lagi khemah akan didirikan selepas ini.
4.50pm: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berucap. Beliau berkata beliau telah selesai membuat post mortem PRU14 dimana Pakatan 'kalah lagi' pada PRU14.
"Saya dah selesai PRU14 di mana Pakatan kalah pada PRU14," katanya membuatkan hadirin terkedu seketika.
"Jikalau himpunan hari ini, sidang parlimen tak lama lagi, tidak merubah peranan SPR, maka setiap kali pilihan raya, kita hanya buat post mortem kenapa PR kalah," katnya memberi penjelasan.
Menurutnya, himpunan hari ini kerana rakyat mahukan pilihan raya yang adil.
Beliau turut mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memecat pengerusi dan kakitangan SPR yang sudah diragui integriti mereka.
4.45pm: Aktivis Mahasiswa Safwan Anang turut berucap. Beliau menamakan SPR sebagai Suruhanjaya Penipu Rakyat.
Katanya, kehadiran hari ini penuh dengan kecintaan kepada negara. Mendesak SPR sedia ada meletakkan jawatan demi masa Malaysia yang lebih baik.
4.30pm: Padang Merbok - Pengerusi majlis Badrul Hisham Shaharin mengumumkan bahawa perhimpunan hari ini berjaya mengumpul kehadiran lebih 55,000 orang.
Beliau juga meminta para peserta agar tidak bersurai sehingga polis membebaskan naib presiden PAS Datuk Husam Musa.
4.30pm: Penganjur melalui pengerusi majlis, Johari Abdul sekali lagi mengumumkan kehadiran terkini yang sudah mencecah 55,000 orang.
4.25pm: Datuk Mujahid Yusof sekali lagi mengulangi tuntutan 3P iaitu petisyen, persempadan semula tidak dilakukan selagi SPR tidak ditukar, dan perhimpunan aman oleh rakyat.
Katanya dengan tindakan BN yang turut mengemukakan petisyen, ianya menjelaskan bahawa BN juga tak percaya kepada SPR.
4.22pm: Nurul Izah turut mengeluarkan desakan sama agar semua kepimpinan SPR meletak jawatan.
Katanya, perhimpunan hari ini bukan sekadar politik semata-mata tetapi memperjuangkan masa depan lebih baik.
"Keberanian anda mengubah masa depan kita. Kita adalah patriot sebenar, berjuang membina masa depan lebih baik," katanya
4.20pm: Penganjur mengumumkan ketibaan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hadir bersama isteri Datuk Seri Wan Azizah.
Pengumuman itu disambut sorakan oleh puluhan ribu peserta yang hadir. 4.18pm: Ahli Parlimen Kuala Kerai Dr Hatta Ramli berkata, rakyat tidak boleh memafkan segala penipuan yang dibuat oleh SPR.
"Tiada maaf bagimu. Tan Sri Aziz mesti letak jawatan.
"Sudah ada bayang-bayang bahawa himpunan Black 505 sebelum ini mendatangkan kesan.
"Bunyi-bunyinya pengerusi SPR akan ditukar. Namun hari ini memuktamadkan bahawa pengerusi SPR memang perlu ditukar," katanya.
Suasana di Masjid Negarakredit: omakkau
Suasana di depan Sogo kredit: omakkau
Dr Rani dan Azmin Ali tiba di Masjid Negara.
Dr Mujahid berucap di hadapan Sogo.