Friday, February 4, 2011

WARGA TRONGLIT BANTAH BATERI PLUMBUM

LEBIH 230 penduduk Kampung Tronglit di Pulau Timbang, Sandakan membantah penggunaan bateri asid plumbum di Sekolah Kebangsaan Pulau Timbang dan tiga buah sekolah yang terletak di pulau sekitarnya kerana bimbang keracunan plumbum.

Bantahan berkenaan disuarakan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Tronglit, Arbi Alim ketika Krew Sabahkini.net menjalankan tinjauan ke kampung berkenaan atas permintaan mereka yang hanya dapat ditunaikan baru-baru ini.

“Kita dapat maklumat tentang bahaya bateri asid plumbum ini daripada Sabahkini.net dan kerana itu kita minta krew Sabahkini datang melawat ke kampung ini agar kami boleh menyuarakan bantahan dan sekaligus membantu kami menyuarakan masalah kami yang enggan disiarkan oleh media arus perdana,” ujar Arbi yang telah menyampaikan keluhan yang sama kepada Adun Sekong, Datuk Samsuddin Yahya.

Arbi menekankan, pihaknya selama ini tidak menyedari kenapa kebanyakan anak mereka lembap dalam pelajaran dan agak terencat pembesaran sehinggalah membaca Sabahkini.net di bandar Sandakan atas syor anak saudaranya yang bekerja di Kota Kinabalu.

“Setelah menonton video yang dipaparkan Sabahkini.net (Sedutan CNN), saya terkejut dan terus menghantar email kepada Sabahkini.net agar melawat kampung kami,” ujar Arbi yang mendesak agar kerajaan tidak tunggu lama untuk menyelesaikan masalah ini.

Pesan Arbi, jangan sampai nanti, ada kanak-kanak mati atau menderita akibat keracunan plumbum barulah mahu bertindak.

“Kami harap agar Kementerian Kesihatan bertindak segera dan menjalankan ujian terhadap seluruh kanak-kanak di pulau ini dan juga orang dewasa. Kami kini tidak dapat tidur lena kerana bimbang kalau-kalau bateri berkenaan meletup seperti yang disiarkan dalam Sabahkini.net iaitu yang berlaku di SK Sumambu, Tenom,” kata Arbi yang tidak akan bertolak ansur demi keselamatan penduduk kampungnya.

Tegas Arbi, Adun Sekong, Samsuddin turut memaklumkan tentang bahaya bateri asid plumbum, tetapi kata Arbi beliau tidak tahu membezakannya sehingga melawat bilik bateri SK Pulau Timbang dan membandingkannya dengan bateri solar yang digunakan di balai raya, masjid dan dewan serbaguna.

“Jangan jadikan penduduk Tronglit dan 14 kampung sekitar pulau ini sebagai makmal ujikaji pihak tertentu. Kami bukan tikus. Jadi, kami merayu agar gantikan segera bateri asid plumbum yang dipasang di sekolah kami dengan bateri mesra alam,” ujar Arbi yang memberi amaran agar kontraktor pemasangan tidak melupuskan bateri berkenaan dengan menanam di dalam tanah atau membuang ke laut kerana akan tetap membahayakan kehidupan mereka.



MESRA....Rudy melihat bateri lithium polymer yang digunapakai di Balai Raya Kampung Tronglit.

Dalam pada itu, seorang bapa, Rudy Paraji, 27, turut menyokong bantahan yang disampaikan Arbi kerana bimbangkan nyawa anak perempuannya, Nurul Izwani, 6, yang bersekolah di SK Pulau Timbang dan anak lelakinya, Mohd Ardie, 4, yang belajar di Tabika Kemas yang berdekatan.

"Kenapa kerajaan benarkan bateri ini digunakan di sekolah? Bukankah ini seperti membunuh anak-anak kami? Sekarang kami tahu membezakan antara bateri mesra alam dan bateri bertoksik," ujar Rudy yang turut menggesa agar masalah ini diselesaikan segera kerana beliau tidak teragak-agak melarang anaknya ke sekolah sehingga masalah ini diselesaikan secara tuntas.

Kata Rudy lagi, beliau terkejut kerana bilik bateri dibina terlalu dekat dengan bilik darjah sehingga membahayakan kesihatan anaknya.

Sementara itu, Guru Besar SK Pulau Timbang, Cikgu Kahar ketika dihubungi berkata pihaknya tidak sedar tentang bahaya bateri plumbum yang dipasang di sekolahnya pada 2009.

"Maka kita tidak membantah kerana pihak berwajib tidak memaklumkan kita sehingga isu ini diketengahkan Sabahkini.net," akui Cikgu Kahar secara jujur.

Mengikut siasatan Sabahkini.net, bateri lithium polymer lebih tahan lama, boleh dikitar semula dan boleh menyimpan tenaga antara 85 hingga 95 peratus berbanding bateri asid plumbum yang amat berbahaya sehingga diharamkan di negara maju dan hanya mampu menyimpan 25 peratus tenaga.

Oleh: MUTALIB M.D (sabahkini)

Thursday, February 3, 2011

Tujuh Pelajar Malaysia Ditahan Di Mesir

Seorang pelajar Malaysia yang menuntut di Universiti Iskandariah, Mesir semalam, Nur Akma Zainol Shahrom, 20, mendakwa seramai tujuh pelajar Malaysia ditahan tentera Mesir di daerah Iskandariah kerana melanggar arahan perintah berkurung yang dikatakan semakin singkat setiap hari.

Nur Akma berkata sedemikian ketika dihubungi ibunya, Maizatul Aziah Jamaluddin, 45, dan Sinar Harian di sini kira-kira jam 4 petang semalam (jam 10 pagi waktu Mesir) di rumahnya di Taman Mangga, Alor Mengkudu di sini semalam.

Menurutnya, perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh seorang pelajar senior universiti sama sewaktu mengarahkan mereka untuk segera mengemas barang dan berpindah ke wilayah berdekatan iaitu Rakoda.

“Beberapa pelajar senior turut memaklumkan keadaan keselamatan di Iskandariah kini tidak lagi selamat berikutan kehadiran puak penunjuk perasaan yang dikatakan sudah memasuki daerah itu dan kami mengambil langkah segera untuk angkat kaki,” katanya.

Nur Akma turut dimaklumkan semua pelajar Malaysia bakal bergerak secara berkumpulan untuk berpindah bagi memastikan tiada pelajar yang tercicir.

Mengenai bekalan makanan yang semakin meruncing, Nur Akma mendedahkan kebanyakan pelajar Malaysia yang berada di Iskandariah semakin kekurangan bekalan makanan dan terpaksa bergantung kepada biskut kering untuk mengisi perut.

“Pada masa sama, saya turut mengalami masalah mendapatkan dokumen perjalanan berikutan dipegang oleh Pegawai Bahagian Hal Ehwal Pelajar Malaysia di Universiti Iskandariah.

“Bagaimanapun, kebimbangan saya lenyap setelah dimaklumkan dokumen perjalanan tidak diperlukan untuk keluar dari Mesir pada waktu kecemasan dan saya berharap tidak berlaku masalah di kemudian hari,” katanya.

Nur Akma turut dimaklumkan pelajar Malaysia yang menetap di daerah Iskandariah akan dipindahkan ke Jeddah, Arab Saudi dalam masa terdekat.

“Bagaimanapun, tempoh sebenar kami akan dibawa pulang masih tidak diketahui memandangkan kami tidak menerima sebarang maklumat lanjut daripada pihak kedutaan sendiri,” katanya.

Sementara itu, Maizatul Aizah difahamkan oleh anak­nya terdapat dua pelajar Malaysia yang lebih senior yang menuntut di universiti sama dilaporkan hilang setelah mengambil keputusan untuk pergi ke Kaherah bersendirian beberapa hari lalu.

Menurutnya, beberapa rakan pelajar senior terbabit gagal menghubungi mereka sejak dilaporkan hilang sehingga menimbulkan kebimbangan sesuatu yang buruk berlaku berikutan jarak perjalanan dari Iskandariah ke Kaherah mengambil masa empat setengah jam.

“Berikutan peristiwa itu, saya menasihati anak saya tidak membuat keputusan sendiri untuk keluar dari daerah Iskandariah di samping memintanya sentiasa bergerak dalam keadaan berkumpulan.

“Saya menangis mendengar pengumuman kerajaan semalam bahawa kapal laut yang dihantar membawa pulang pelajar Malaysia di Mesir hanya akan sampai pada 5 Februari. Saya harap usaha menyelamat itu dipercepatkan,” katanya. -GB

LAPORAN POLIS TERHADAP D.O SEMPORNA

SATU laporan polis telah dibuat terhadap Pegawai Daerah Semporna kerana bertindak secara tidak professional dan menyalahguna kuasa beliau dalam menangani kes Tanah PT 95120160 di Daerah itu yang menyebabkan kerugian besar dan penafian hak terhadap seorang rakyat tempatan.

Dalam laporan polis setebal 11 muka surat yang dibuat oleh mangsa, Abdullah Sani Hj Abdul Salleh, mendakwa bahawa Pegawai Daerah Semporna telah bertindak lalai dan menyalahguna kuasa untuk mengugut ‘pemilik tanah’ terhadap pencerobohan tanah yang dibuat pada 11 Jun 2010.

Di samping itu, tindakan Pegawai Daerah itu melengah-lengahkan surat arahan daripada Jabatan Hasil Bumi dan Ketua Menteri Sabah selama 10 bulan itu hanya menunjukkan kepada rakyat dan pemilik tanah bahawa beliau memang berniat buruk dan jahat terhadap pemilik tanah yang sedang dalam proses menunggu kelulusan di kawasan itu.

Ibnu AK Baba dillihat seorang Pegawai Daerah yang cuai dalam laporan polis berkenaan dan dikehendaki untuk disiasat oleh Pihak berkuasa Polis bagi mendapatkan keterangan daripada beliau.

Namun dalam perjumpaan yang dibuat oleh pendakwa Abdullah Sani Hj Abdul Salleh pada 23 Disember 2010 di Ibupejabat Polis Siasatan Jenayah, Balai Polis Kapayan, Kota Kinabalu, polis telah menasihati pendakwa supaya merujuk kes tersebut ke Mahkamah bagi mendapatkan keadilan.

Kes ini masih belum disiasat oleh pihak polis sehingga hari ini walaupun laporan telah dibuat sejak sebulan lalu.

Selain itu pihak pendakwa juga bersedia untuk melaporkan kes ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada bila-bila masa bagi mendapatkan keadilan terhadap tindakan tidak beretika Pegawai Daerah berkenaan.



PPHT SEMPORNA DIHERET KE MAHKAMAH

PEGAWAI Daerah Semporna selaku Penolong Pemungut Hasil Tanah (PPHT) Semporna dikehendaki hadir ke Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bagi menjawab pertuduhan yang didakwa terhadap beliau dalam semakan undang-undang (Judicial Review) yang difailkan oleh seorang pemilik tanah.

Dalam Afidavit yang dibuat oleh Tetuan Lee & Kong bagi pihak pemilik tanah di Mahkamah tinggi Kota Kinabalu bagi semakan Undang-Undang mendapati bahawa ada asas bagi pendakwa untuk membicarakan kes ini.

Pendengaran yang dibuat di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 18 Januari 2011 telah memutuskan bahawa pihak PPHT Semporna disapena agar hadir bagi menjawab pertuduhan kes semakan undang-undang yang bermula sejak 7 Feb 2011.

Satu Surat dari Tetuan Lee & Kong Advocates & Solicitors telah dihantar ke PPHT Semporna pada 20 Januari 2011yang dikeluarkan atas arahan Mahkamah Tinggi pada 19 Januari 2011 bagi memaklumkan perkara ini, menghendaki PPHT menghadiri satu Notis pendengaran semakan Undang-undang di bawah:

Order 53 & Order Rule 4 of the Rule of High Court, 1980. Notice of Hearing of Application for Judicial Review.

Berikut adalah dakwaan yang dibuat oleh Plantif;

“Tindakan PPHT Semporna adalah menyalahi peraturan dan undang-undang terhadap Hak rakyat memiliki tanah dan hendaklah bertanggungjawab terhadap semua kos pembicaraan serta ganti rugi yang akan dinilai kemudian terhadap pemilik yang mengalami kerugian di atas tindakan ini.“



Kronologi Kes :

Pemilik adalah orang yang telah mendapat kelulusan tanah pada 1994 dan seterusnya mendapat kebenaran untuk membangunkan tanah berkenaan pada 1996 sebagai pusat Pelancongan.

Pada 2001 Pemilik telah mendapat T.O.L untuk menduduki tanah ini secara sementara dan membangunkan tanah berkenaan dari pihak berkuasa dan seterusnya mula membangunkannya sementara menunggu geran C.L 99 dari kerajaan secara rasmi.

Kebenaran Right Of Way diperolehi pada 2005 dan seterusnya kebenaran satu surat persetujuan telah diperolehi daripada Ketua Menteri Sabah pada 2007 bagi pengeluaran Geran C.L ke atas pemilik yang ditujukan kepada SUHB.

2010 PPHT Semporna telah menceroboh tanah berkenaan bagi pembenaan CIQS dan seterusnya membatalkan hak pemilik keatas tanah ini secara ‘Mala Fide’.

Walaubagaimanapun satu arahan kepada PPHT dikeluarkan oleh Pihak Hasil Bumi pada 16 Disember 2010 supaya tidak membatalkan tanah ini sebelum prosedur dan surat dari Hasil Bumi dan Ketua Menteri Sabah dijawab terlebih dahulu.

Oleh kerana PPHT Semporna tidak mengambil tindakan wajar, maka pemilik telah membuat keputusan membawa perkara ini ke Mahkamah untuk diadili dengan seadil-adilnya bagi mengelakkan proses pentadbiran, Undang-Undang, Hak Rakyat tidak diperlekehkan oleh pihak PPHT Semporna.

Kes Pembicaraan ini akan didengar pada 7 Feb 2011 di Mahkamah Tinggi Sabah & Sarawak di Kota Kinabalu pada jam 9.30 pagi.

Tapak Tanah di atas diceroboh oleh PPHT Semporna untuk Pembenaan CIQS dan seterusnya membatalkan PT 95120160 yang telah diukur oleh Pihak jurukur 2005.

Sumber : Sabahkini

Tuesday, February 1, 2011

Janji-janji PRU-12 yang gagal ditunaikan..?

NAIB Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Jimmy Jawatah mempertikaikan ketelusan serta tanggung jawab kerajaan Barisan Nasional (BN) terutama semua wakil rakyat BN di Tenom kerana sanggup menyisihkan penduduk Kg Loboh dan Kg Ulu Mosopoh daripada arus perdana pembangunan negara; sekaligus bertentangan dengan slogan BN ‘Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’.

Katanya, beliau sedih melihat keadaan pembangunan di kawasan akar umbi terutamanya di Kg Ulu Mosopoh yang berpopulasi seramai kira-kira 200 orang terpaksa mengharungi arus deras sungai setiap kali mengeluarkan hasil pertanian mereka ke bandar kerana ketiadaan jambatan untuk menyeberangi sungai tersebut.

Manakala di Kg Loboh pula, penduduknya mengeluh kerana satu-satunya jalan di situ tidak pernah diselenggara menyebabkan keadaan jalanraya berlumpur dan berlubang- lubang sehingga menyukarkan kenderaan melalui jalanraya tersebut.

“Selain itu, mereka (penduduk) terpaksa memikul tong gas, getah, kopi dan padi setiap kali ke bandar kerana perhubungan jalanraya mereka terputus. Keadaan ini amat menyedihkan,” kata beliau selepas melakukan lawatan mengejut ke perkampungan tersebut baru-baru ini.


BECAK…Jimmy bersama jentera SAPP melalui jalan Kg. Loboh yang tidak pernah diselenggara dan hanya layak digunakan kerbau.

Dalam lawatan tersebut, Jimmy telah diiringi pemimpin-pemimpin bahagian SAPP Nabawan terdiri daripada Naib Pengerusi CLC Pilin Marusin, Malik Usau; Ketua Pergerakan Pemuda Turayo Samponon,; Ketua Wanita Julie Raphael dan beberapa Ahli Jawatankuasa lain.

Jimmy seterusnya berkata, “ Masalah di situ menghantui fikiran saya, lalu tertanya- tanya dalam hati kecil, apakah yang telah dilakukan oleh wakil rakyat di sini selama ini sedangkan mereka (Wakil Rakyat) telah berkhidmat selama lebih dua penggal. Kenapa masih ada perkampungan yang tercicir dari segi pembangunan?”

Menurut seorang penduduk di Kg Mosopoh dan seorang lagi di Kg Ulu Mosopoh yang enggan indentiti mereka didedahkan, bahawa masalah yang dialami perkampungan mereka telah pun dilawati wakil rakyat mereka beberapa kali, namun sehingga kini tiada tindakan diambil.

Malahan katanya, harapan mereka untuk mendapat pembelaan daripada kerajaan dari segi pembangunan infrastruktur amat dinanti-nantikan kerana kepada siapa lagi mereka menyandarkan harapan selain kerajaan yang diangkat oleh rakyat jelata.

Oleh: MAIL MATHEW (sabahkini)

PARIT TERSUMBAT PUNCA BANJIR SANDAKAN

TERDAPAT beberapa faktor kenapa setiap kali hujan lebat beberapa kawasan begitu mudah dilanda banjir lumpur berana berpunca daripada sistem perparitan yang tidak sempurna; apatah lagi jika saluran parit tersumbat.

Akibatnya, jika hujan berpanjangan, arus air yang bercampur lumpur yang datang dari arah bukit, sudah tentu tidak dapat ditampung parit sedalam 10 kaki dan lebar 15 kaki disebabkan limpahan air yang banyak sehingga terjadi banjir kilat.

Menurut pandangan beberapa orang penduduk di persekitaran yang sempat ditemui semasa tinjauan Wartawan Kanan Sabahkini.Net, majoriti mereka menuding jari kepada Jabatan Kerjaraya dan Majlis Perbandaran Sandakan.

“Ini semua berpunca daripada kerakusan pembangunan yang ingin pesat di beberapa sudut sehingga berlakunya pencemaran alam sekitar semula jadi. Contohnya bukit-bukau ditarah sehingga rata dan pokok-pokok ditebang sehingga menyebabkan struktur tanah di bukit tidak kukuh. Apabila hujan lebat berpanjangan, maka tanah begitu mudah runtuh dibawa oleh arus air yang begitu deras dan mengalir ke kawasan rendah” jelas Maryati @ Waty Antony (gambar sisipan) seorang penduduk Taman Raja Wali Sandakan yang turut menjadi mangsa banjir di mana rumahnya telah dinaiki air sedalam tiga kaki.

Menurut Maryati, pihak berkuasa tempatan harus mengambil kira bantahan rakyat dan mengkaji beberapa sudut bagi melestarikan pembangunan agar mengutamakan faktor keselamatan dan kesejahteraan orang ramai.

“Pencabulan alam semula jadi seperti menerokai bukit-bukau dan pokok-pokok yang jadi mangsa keadaan. Inilah salah satu faktor utama berlakunya banjir kilat di sana sini,” ujar Maryati lagi.

Kata Maryati, senario berbeza bagi kawasan tebingan sungai seperti Kinabatangan kerana banjir sebesar mana pun, tidak begitu menggugat kerana sistem saliran belum terganggu.

“Sejak lahir 26 tahun lalu, inilah kali pertama bandar Sandakan dilanda banjir lumpur sehingga melibatkan beberapa deret bangunan kedai telah dinaiki air sedalam tiga kaki,” ujar Maryati yang menyifatkan fenomena ini merupakan satu detik hitam kepada warga asal Sandakan yang ‘bebas banjir’.

Maryati yang bertugas sebagai Pegawai Pentadbir Pejabat UMNO Bahagian Beluran merayu kepada pihak yang berkenaan khususnya pihak berkuasa tempatan semoga dapat mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah ini agar tidak berulang lagi kerana banjir kilat ini benar-benar menyusahkan rakyat.

Oleh: SHAIMON S JUMADI (sabahkini)

BILIK DARJAH YANG SEMAKIN SEMPIT

PENDIDIKAN di negara kita sering membawa perubahan. Sejak kebelakangan ini dan sebahagian besarnya melibatkan perubahan ketara dari segi sistem pendidikan nasional. Ramai yang merungut dan kecewa dengan perubahan drastik yang sedikit sebanyak membawa kesan untuk jangka masa panjang kepada negara.

Sekolah merupakan satu tempat untuk setiap insan membina diri mereka dengan pengisian dari pelbagai sumber ilmu agar dapat memudahkan individu menghadapi arus kehidupan di masa akan datang. Inilah harapan yang menjadi impian setiap ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

Bilik darjah merupakan tempat paling sesuai untuk penyampaian pengajaran dan pembelajaran teus daripada tenaga pengajar secara terus. Namun yang demikian, sejauh manakah keselesaan tersedia ada dan suasana itu dapat merangsang tumpuan dan penerimaan pelajar terhadap pengajaran guru?

Isu kesesakan pelajar dan pelajar yang terlalu ramai di dalam sesebuah bilik darjah telahpun mencapai ke tahap yang serius dan membimbangkan kepada para ibu bapa serta guru itu sendiri.

Melalui aduan daripada pihak ibu bapa yang mengajukan persoalan tersebut, Chang Shak Hung telah mengambil inisiatif untuk memahami masalah ini secara lebih mendalam.

Sebuah sekolah menengah yang terletak di Jalan Utara memang hampir setengah daripada bilik darjah menempatkan 45 hingga 50 orang pelajar, itupun untuk dua sesi pembelajaran.

Cuba bayangkan bagaimana seorang guru dapat memberikan tumpuan mengajar dalam masa 30 minit dan pada masa yang sama hendak menjawab soalan yang tidak faham oleh para pelajar?

Guru tidak mempunyai masa yang panjang untuk menghabiskan sukatan mata pelajaran mengikut masa yang ditetapkan menerusi ‘Lesson Plan’. Tambahan pula, kekesalan ibu bapa memang ada asasnya apabila pelajar yang ramai akan menyebabkan para pelajar membentuk kumpulan kecil dan asyik bercakap semasa guru mengajar sehingga menyebabkan gangguan tumpuan pelajar yang khusyuk menerima pengajaran daripada guru.

Bukan itu sahaja, pelajar yang lemah akan berasa malu untuk bertanya memandangkan ramai rakan sekelas dan ini akan menyebabkan pelajar yang lemah tidak memahami apa yang guru sedang mengajar.

Guru terpaksa untuk mengawal tingkah laku pelajar yang pelbagai latar belakang dari segi keluarga dan keadaan kesediaan untuk belajar. Ada pelajar yang datang dari latar belakang keluarga yang susah dari segi ekonomi, kurang berminat terhadap pelajaran, pelajar hiperaktif dan sebagainya.

Ini mengakibatkan guru tidak dapat untuk menumpukan sepenuhnya terhadap kawalan kelas. Perlu diingat bahawa seorang guru akan mengajar 3-4 subjek dan ia melibatkan untuk beberapa tingkatan.

Contohnya, seorang guru matematik perlu mengajar Tingkatan 1, 2 dan 3 yang mempunyai bab matapelajaran yang berbeza dan ini akan membebankan para guru itu sendiri.

Oleh yang demikian, negeri Sabah sepatutnya mempunyai seorang Menteri Pelajarannya sendiri daripada bergantung daripada persekutuan yang tidak dapat menumpukan sepenuhnya perhatian ke atas negeri Sabah.

Pada masa sekarang, ia terbukti tidak berkesan lagi terutamanya memantau pegawai atasan daripada pejabat pendidikan di sesebuah daerah di Sabah. Untuk yang demikian, perlunya sekolah berfungsi sepenuhnya untuk membantu para pelajar menggunakan fungsi keintelektualan dalam bilik darjah agar dapat menarik minat pelajar dalam proses pembelajaran.

Apa yang penting tujuan dan hasrat kerajaan untuk mewujudkan masyarakat yang berilmu harus dimulakan melalui sesi pembelajaran di bilik darjah yang lebih efisien.

Oleh: CHANG SHAK HUNG (sabahkini)

Bedah siasat gagal & menang di DUN Tenang

Alhamdulillah PRK DUN Tenang telah selesai. Pelbagai isu positif, negatif, tohmahan, dusta dan pembohongan berlaku sebelum dan selepas PRK Tenang. Pembangkang meletakkan calun wanitanya dari parti PAS dan BN pula meletakkan calun bekas ADO nya yang terpalit dgn isu jualan tanah. Pas sendiri tentu merintis jalan bagaimana nak menang.

Kita sendiri MP dari kalangan wanita Melayu dari parti pembangkang bersifat lembu kenyang selepas menang kerusi PRU 12 dulu. Kita nilaikan sehebat mana Sharizat Jalil dalam gelanggang. Kita lihat sendiri bagaimana anak Nuar Berahim Ezzah selaku MP Lembah Pantai beraksi. Apa kemajuan , apa kecemerlangan MP ini atau selalukah MP ini turun padang naik padang melihat sendiri kemajuan yang dia sendiri yang laksanakan. Bukan projek dari kesinambungan MP terdahulu tetapi projek atau rancangan Ezzah sendiri berhempas pulas minta budget, minta peruntukan minta itu minta minta ini semasa sidang Parlimen.

Begitu juga senario yang berlaku sekarang menjadi alat tentuukur pada pengundi di DUN Tenang. Sepatutnyha pihak pembangkang meletak calun dari kalangan lelaki supaya baru setanding dengan lawannya calun BN bekas ADO itu. Tup tup penduduk daerah Tenang diketengahkan calun wanita yang juga baru meletak jawatan guru untuk bertanding. Disekolah mak bapa mungkin kenal Cikgu Normala ini tetapi bagi apek apek, warga emas memang tidak kenal siapa calun sebenarnya wanita ini. dan apa ketokohannya. Jadi malang bagi nasib Cikgu Normala bak kata tidak hairan sebusuk mana perangai dan tingkah laku calun asalkan bernaung dibawah paksi dacing. Kita nilai bekas menteri besar NS Isa Samad memang telah dilabel dengan pelbagai bentuk kesalahan.

Tapi tetap jadi pengurusi Felda yang baru.. Begitu juga dengan bekas ADO ini walau didedahkan pelbagai isu negatif tapi BN tetap mencalunkannya. Sebab BN sudah ada pengelaman letak apa saja jenis dan perangai calunnya tetapi apabila digula-gulakan pelbagai pulangan seperti tanah maka jenerasi ini tetap patuh pada calun BN. Maka rakyat marhaen yang ditipu tetap memangkah calun BN. Rata rata kedengaran komen apek apek ini cikgu apa bolih bikin sama kita. Pompuan lemah dan tidak aktif macam itu anak Anuar... Mungkin saudara tidak terdengar bisikan dan ngomelan apek apek tua ni tentang calun wanita dari pembangkang ini.

Tup tup letak jawatan guru lalu bertanding PRK DUN Tenang. Tapi inilah hakikat kekalahan itu. Memang peratus kaum Cina cenderong pada pembangkang melonjak tetapi pembangkang telah membuat kesilapan besar dengan mencalunkan dari kalangan wanita. Tawar dan hambar balik selera apek ini nak kan perubahan. Kita pangkah sajalah ini ADO. kita kenal dia,. hapar betul

Kita tinggalkan kisah PRK DSUN Tenang dan kita tumpukan persediaan untuk PRU 13 mungkin pada tahun 2012 Mac/April.

1. Kita tahu Najib walau dengan apa cara sekali pun mencari jalan supaya kerusinya di Pekan dalam genggamannya. Apa yang perlu kita pastikan daerah Kuantan akan menjadi jajahan taklok Pekan pula. Najib mungkin melebarkan sayap jajahan takluknya sebagai defendanya bila terasak dengan kekurangan undi.

2. Di kawasan Pekan sendiri tidak ramai anak mudanya menjadi askar, polis dan apa macam bentuk kerja beruniform. Pekan hanyalah daerah dan perkampungan nelayan. Mana mungkin nanti udi pos untuk kawasan Pekan mencecah 20 ribu sebagai persediaan mempertahankan bentengnya. Undi pos bagi rakyat Pahang nombor kp mereka ditengahnya 06 bukan 07 bukan 08 . Tetapi ada juga dari lain lain 0x 0x kita tidak nidakkan.

3.Kalau bolih dilaksanakan HAPUSKAN UNDI POS INI SECARA TOTAL. Skrg ini undi pos sudah tidak relevan lagi bagi penduduk ditanah air melainkan bekera atau menuntut diluar negara.. Askar bukan masuk hutang. Perjalanan guna kereta sendiri. Hari mengundi pun hari Ahad. Bolih balik Hari. Apa perlu lagikah undi pos dizaman ini? Fikir fikrkanlah .

4.Dimana kubu lawan itu dari calun lelaki yang tak makan saman pembangkang juga patut mencari calun yang benar berpotensi.

Sekian untuk kita renungkan dan membuat sinanbungan pada bedah siasat ini. Wabillahitaufikwalhidahyah assalamualikum. sama sama kita renongkan untuk menombangkan kerajaan yg terlalu menindas.. -TKo

Seks Dengan Anak Dipenjara 3 Tahun

Singapura - Seorang bapa yang melakukan seks secara rela dengan anak perempuannya ketika anak itu berusia 20 tahun dijatuhi hukuman penjara tiga tahun semalam.

Bapa tersebut, 47 tahun, seorang tukang paip mengaku melakukan perbuatan sumbang mahram itu dalam bilik di flatnya pada April 2008.

Nama bapa dan anaknya itu tidak didedahkan bagi melindungi identiti anak perempuanya itu.

Anak perempuannya itu yang kini berusia 23 tahun didakwa di mahkamah pada Mac lalu tetapi dibebaskan.

Bapanya pula tidak hadir ke mahkamah dan waran tangkap dikeluarkan terhadapnya.

Mahkamah diberitahu bahawa lelaki itu sering membawa anaknya keluar minum arak dengan rakannya di sebuah kedai kopi sejak 2006. Oleh kerana mereka sering meluangkan masa bersama, mereka mula akrab sehingga melahirkan bibit-bibit hubungan seks.

Timbalan Pendakwa Raya, Encik Leong Wing Tuck, memberitahu kejadian sumbang mahram itu berlaku pada satu malam April 2008. Kedua-duanya pulang setelah minum arak. Isteri tertuduh tiada di rumah ketika itu.

Semasa si bapa berbaring atas katil, mereka bertengkar kerana anaknya enggan melayannya berbual kerana sibuk melungsuri e-mel di hujung katil.

Dia meminta maaf dan bapanya meminta dia memeluknya. Mereka saling membelai dan mengusap - dan melakukan seks.

Seminggu kemudian, mereka bertengkar berhubung anaknya ingin melanjutkan pelajaran.

Anaknya menghantar khidmat pesanan ringkas kepada rakannya agar menghubungi polis. Bapanya kemudian ditangkap.

Kes Ariel: Peminat & Aktivis Bertempur

Bandung: Peminat vokalis kumpulan Peter Pan, Nazril Ariel Irham bertempur dengan penyokong kumpulan Islam di luar mahkamah di sini semalam selepas selesainya hakim menjatuhkan hukuman ke atas selebriti itu di atas kesalahan membabitkan pengedaran bahan lucah.

Berdasarkan pemantauan wartawan tempatan, beberapa penyokong kumpulan aktivis agama itu dilihat memukul penyokong Ariel yang memakai jaket celoreng hitam dan jingga di Jalan LRE Martadinata.

Bagaimanapun pertempuran itu tidak berlangsung lama kerana anggota polis berjaya meleraikan dua kumpulan yang kurang puas hati dengan keputusan yang diumumkan hakim.

1,000 anggota polis ditempatkan bagi mengawal keadaan sesak di mahkamah.

Indonesia sebuah negara sekular dengan 234 juta penduduk, mempunyai penduduk Islam paling ramai di dunia. Walaupun bersifat sederhana, kumpulan aktivis semakin bersuara lantang.

Kumpulan itu berjaya mendesak undang-undang kontroversi seperti undang-undang antipornografi direalisasikan, menyerang mana-mana pihak yang dianggap mempersendakan agama, aktiviti pondan dan menyekat mazhab yang bertentangan dengan agama.

Sesetengah penunjuk perasaan membaling kenderaan polis yang membawa Ariel ke mahkamah dengan telur busuk dan tomato. Yang lain memegang sepanduk mengutuk penyanyi itu. – Agensi/AP/Reuters








Sejuta Rakyat Mesir Akan Sertai Protes Di Mesir

Kaherah: Satu pakatan pembangkang menggesa sejuta penduduk Mesir meningkatkan tekanan terhadap Presiden Hosni Mubarak melepaskan kuasa selewat-lewatnya Jumaat depan dengan keluar beramai-ramai memprotes di tengah ibu kota Kaherah mulai semalam.

Gambar: Pemenang Hadiah Nobel Keamanan dan penyokong demokrasi, Mohamed ElBaradei, sedang berucap kepada para pembantah yang berhimpun di Dataran Tahrir, di Kahirah, lewat kelmarin. -- Foto AP

Seramai 30 hingga 40 wakil pergerakan terbabit juga mendesak supaya mogok umum dilancarkan di seluruh negara itu bagi memaksa Mubarak berundur selepas 30 tahun berkuasa.

Pakatan itu yang kebanyakannya pergerakan belia selain Ikhwanul Muslimin yang diharamkan, merancang untuk berarak dari Dataran Tahrir (Kemerdekaan) bagi memaksa Mubarak menyerah kuasa.

Jurucakap beberapa kumpulan terbabit berkata, wakil mereka berunding sejak petang semalam bagi membentuk strategi bersama menggulingkan Mubarak.

Mereka juga akan memutuskan sama ada pemenang anugerah Nobel, Mohamed ElBaradei akan dinamakan sebagai jurucakap penunjuk perasaan.

Ikhawanul Muslimin pula menyatakan bahawa ia tidak akan menerajui penentangan terhadap Mubarak.

“Kami tidak mahu mengancam revolusi ini,” kata Mohamed Mahdi Alef, bekas pemimpin kanannya.

Mengulas tindakan mogok, salah seorang penaja bantahan, Israa Abdel-Fattah, berkata: “Kami tidak mahu keadaan pulih semula sehingga Mubarak tidak lagi memerintah. Kami mahu penduduk tidak bekerja hingga beliau berundur.”

Israa adalah pengasas kumpulan 6 April, pergerakan belia yang mendesak pembaharuan demokratik dilakukan sejak 2008.

Bank, sekolah dan pasaran saham ditutup buat hari kedua manakala ramai terpaksa berbaris di luar kedai roti untuk menambah bekalan.

Kawat berduri menutup laluan ke Dataran Tahrir dari jalan utama, kawasan plaza yang diduduki penunjuk perasaan sejak Jumaat lalu, menjadikannya pusat kempen menjatuhkan Mubarak yang dipersalahkan atas kemiskinan berleluasa, inflasi, sikap tak peduli pihak berkuasa dan penindasan ke atas penduduk.

Beribu-ribu orang berhimpun di dataran itu sejak awal pagi, ramai yang tidur di kawasan padang atau dalam khemah. Ramai yang mula tiba sejak awal lagi.

Anggota polis dan pengutip sampah juga muncul semula di jalan raya Kaherah manakala stesen kereta api bawah tanah dibuka semula selepas askar dan sukarelawan bersenjatakan cotar dan parang menjaga keamanan semalaman.

Sementara itu, stesen televisyen Al-Jazeera pula menyatakan, enam wartawannya sudah dibebaskan selepas ditahan sehari selepas televisyen itu diarah memberhentikan operasinya. – Agensi