Wednesday, October 19, 2016

UM keluar surat pada 3 siswa #TangkapMO1

Tiga lagi penuntut Universiti Malaya (UM) menerima surat tunjuk sebab daripada pentadbiran pusat pengajian tinggi itu selepas jurucakap perhimpunan #TangkapMO1 Anis Syafiqah Md Yusof menerimanya semalam.

Perkara itu Ini disahkan Gabungan Gerakan Mahasiswa Malaysia (GGMM) dalam satu kenyataan hari ini.

Ketiga-tiga pelajar terbabit ialah Suhail Wan Azahar, Luqman Hakim dan Luqman Nul Haqim.

Menurut GGMM, surat tunjuk sebab tersebut meminta mereka memberikan asalan menyertai perhimpunan #TangkapMO1 pada 27 Ogos lalu.

GGMM berpendapat tindakan diambil UM terhadap empat penuntut terbabit berniat jahat kerana pindaan pada Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) kini jelas membenarkan mereka terlibat dalam aktiviti politik di luar kampus.

"Tindakan oleh universiti seolah-olah mereka tidak mengetahui atau menafikan kewujudan pindaan Auku," kata kenyataan berkenaan.

GGMM percaya tindakan disiplin terhadap empat penuntut itu adalah usaha pihak universiti menakut-nakutkan organisasi pelajar secara keseluruhannya.

Melalui kenyataan itu juga, gerakan dan kumpulan mahasiswa seluruh negara bersepakat untuk menyatakan solidariti buat empat orang sahabat mereka.

"Ingatlah sebanyak manapun tindakan dikenakan kepada para pejuang di kalangan mahasiswa dan mahasiswi, kami sekali-kali tidak gentar dan tidak akan berhenti. Kami akan terus bersuara demi masa depan anak bangsa," kata kumpulan itu.

-mk

Saturday, October 15, 2016

Skandal 1MDB, Leo digesa letak jawatan utusan PBB

Aktivis masyarakat sivil telah menggesa superstar Hollywood Leonardo DiCaprio meletak jawatan sebagai utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk perubahan iklim sekiranya dia tidak menjauhkan diri daripada skandal 1MDB.

Gesaan itu dibuat oleh aktivis dari Malaysia, United Kingdom dan Switzerland dalam satu sidang akhbar di London semalam.

Mereka menggesa DiCaprio untuk menafikan secara terbuka hubungannya dengan Riza Shahriz Abdul Aziz, anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan jutawan Malaysia Jho Low.

Kedua-duanya memainkan peranan penting dalam membiayai penerbitan filem 'The Wolf of Wall Street' yang didakwa menggunakan AS$61 juta yang diseleweng dari firma pelaburan tersebut.

"Leonardo DiCaprio secara berterusan enggan menjelaskan hubungan peribadi dan kewangan dengan individu-individu utama dalam skandal 1MDB itu.

"Ini tidak boleh diterima. Jika DiCaprio gagal untuk menjauhkan dirinya daripada rasuah Malaysia, dia perlu meletak jawatan sebagai utusan PBB untuk perubahan iklim.

"Kita tidak boleh menyelamatkan alam sekitar jika kita gagal untuk menghentikan rasuah," kata pengarah Bruno Manser Fund yang berpangkalan di Switzerland Lukas Straumann.

Sementara itu, wakil Pusat untuk Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Sudhagaran Stanley menggesa supaya dana yang didakwa diseleweng di luar negara dari 1MDB, dikembalikan kepada Malaysia.

"Leonardo DiCaprio dalam kedudukan yang terbaik untuk berbuat demikian dan membayar balik berjuta-juta yang diterimanya daripada Jho Low dan Riza Aziz.

"Pembayar cukai Malaysia tidak boleh ditipu," katanya.

Beliau juga menggesa masyarakat antarabangsa untuk memulakan prosiding jenayah terhadap mereka yang terlibat dan memberi tekanan kepada kerajaan Malaysia supaya memberi bantuan perundangan kepada pihak berkuasa siasatan asing.

Turut hadir di sidang akhbar itu ialah editor Sarawak Report,Clare Rewcastle Brown yang telah memainkan peranan penting dalam mendedahkan skandal 1MDB.

Beliau menggesa penguatkuasaan peraturan perbankan yang lebih ketat, sambil menegaskan bahawa banyak bank secara rela terlibat dalam pengubahan dana 1MDB.

Siasatan The Hollywood Reporter mendedahkan DiCaprio Yayasan Leonardo mendapat manfaat daripada sumbangan Jho Low lebih AS$ 2 juta dalam bentuk tunai dan barangan sejak 2013. -MK