Wednesday, December 31, 2014

Cerita minyak lagi, RON95 naik atau turun?

Harga petrol RON95 dan diesel dijangka turun kepada RM1.90 hingga RM1.95 seliter mulai 1 Januari tahun depan.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata pengumuman berhubung perkara itu akan dibuat oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna.

“Harap peniaga-peniaga akan turunkan harga barang!” tambah Ahmad (kanan) di Twitter sebentar tadi.

RON95 kini dijual pada RM2.26 seliter manakala diesel pula RM2.23 seliter.

Ahmad pada 19 Disember lalu berkata harga runcit RON95 dan diesel dijangka turun bawah paras RM2 seliter mulai 1 Januari jika harga minyak dunia kekal mengalami penurunan.

Katanya, harga runcit itu boleh dicapai kerana bagi 18 hari pertama bulan ini, harga purata minyak RON95 dan diesel jatuh di bawah paras RM2 seliter.

Bakal tenteramkan pengkritik

Penurunan harga itu, jika menjadi kenyataan, dilihat bakal mendiamkan pembangkang dan kumpulan pengkritik yang menjalankan kempen intensif menuntut harga RON95 diturunkan kepada RM1.90 seliter.

Kumpulan itu, dikenali sebagai TURUN, pada mulanya bercadang mengadakan perhimpunan besar-besaran di ibu negara esok malam sempena ambang tahun baru bagi memberi tekanan kepada kerajaan.

Ia bagaimanapun ditangguhkan ekoran banjir besar yang melanda beberapa negeri, terutamanya di Kelantan.

Pembangkang, melalui Naib Presiden PKR Rafizi Ramli pada 20 Disember berkata, pengguna menanggung harga tinggi untuk RON95 sedangkan harga purata bagi 15 hari pertama (kiri) Disember tahun ini kurang daripada RM2 seliter.

Kerajaan kini mengguna pakai kaedah apungan terkawal bagi menentukan harga minyak.

-mk

Tuesday, December 30, 2014

QZ8501: Kawasan mencari diperluas hari ini

Misteri kehilangan pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 masih belum terungkai dengan tiada sebarang petunjuk diperoleh pasukan pencari yang akan memperluaskan kawasan pencarian
hari ini.

Pengurus Besar Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Trikora Harjo berkata operasi mencari diketuai Indonesia bersama-sama Singapura dan Malaysia di timur Lautan Jawa termasuk berhampiran Pulau Belitung, dihentikan pada lewat Isnin malam.

"Sehingga kini, saya dimaklumkan, 24 kapal laut dan beberapa pesawat udara tentera milik tiga negara ini telah menyertai misi mencari ini," katanya kepada pemberita pada lewat malam tadi.

Beliau berkata sehingga kini, tiada sebarang maklumat atau petunjuk ditemui selain turut menafikan ada minyak, objek mahu pun Alat Pemancar Lokasi Kecemasan (ELT) diperoleh dan ditemui pasukan pencari.

Sementara itu, Presiden Direktur PT AirAsia Indonesia, Sunu Widiatmoko yang turut menghadiri sidang akhbar itu berkata kemudahan bagi waris pesawat itu di lapangan terbang akan ditambah untuk keselesaan mereka ketika menunggu perkembangan terkini.

"Ini termasuk televisyen dan kemudahan istirehat supaya keluarga korban (mangsa) lebih selesa di sini.

"Mereka juga bersetuju sebulat suara untuk terus menetap di hotel-hotel berdekatan lapangan terbang untuk kemudahan mereka," katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama di Pusat Krisis Terminal 2 lapangan terbang mendapati pelbagai emosi dapat dilihat daripada riak wajah anggota keluarga dan waris pesawat malang itu.

Seorang daripada mereka yang hanya mahu dikenali sebagai Abang Solo berkata keluarganya tidak mahu berpindah atau berjauhan dari lapangan terbang ini kerana seolah-olah berasa dekat dengan anggota keluarganya yang hilang itu.

Menurutnya, inilah lokasi terakhir mereka meluangkan masa bersama-sama sebelum anggota terbabit menaiki pesawat tersebut.

Pesawat Airbus 320-200 bersama 162 orang di dalamnya terdiri daripada 149 penumpang Indonesia, Korea Selatan (3), Singapura (1), Malaysia (1), United Kingdom (1), dan kru Indonesia (6) serta Perancis (1), yang dijadual tiba pada jam 8.30 pagi waktu tempatan dari Surabaya, terputus hubungan dengan pusat kawalan trafik udara Jakarta pada 7.24 pagi waktu tempatan pada Ahad.

- Bernama

Monday, December 29, 2014

Nak Salahkan siapa semua musibah ini?

Dalam kesibukan rakyat Malaysia berhadapan pelbagai dugaan dalam menghadapi banjir besar dan kehilangan pesawat AirAsia, dalam pada para pemimpin negara dilemparkan dengan pelbagai tohmahan, catatan seorang yang mengakui sebagai Pegawai TLDM menjadi viral di media sosial.

Daripada tulisannya, menggambar beliau sebelum ini bukanlah penyokong Datuk Seri Najib Tun Razak, namun tidak diketahui parti mana yang disokong beliau. Sama ada benar atau tidak keterangan dirinya bukanlah persoalan, tetapi maksud yang ingin disampaikannya wajar diberi perhatian oleh khalayak.

Seperkara yang jelas, beliau mengakui bahawa penilaiannya terhadap Najib telah berubah apabila diberitahu oleh seorang sahabatnya di Bahagian Perisikan akan tujuan sebenar Perdana Menteri bermain golf dengan Presiden Amerika Barrack Obama di Hawaii.

Bahagian Perisikan? Sewajarnya apa yang diketahui menjadi rahsia, atau lebih tepat lagi, ianya dirahsiakan. Tapi bila difikirkan, mungkin juga ia “terbocor” memandangkan situasi ketika itu (Jumaat lalu) agak kecoh, saling meletakkan kesalahan pada Najib, maka ada kewajaran menceritakan yang benar.

Blog kulihatlangitbiru.com memetik nukilan individu berkenaan, Pegawai TLDM bernama Ariffin Embong yang menyatakan bahawa antara tujuan utama Najib bertemu Obama iadalah membincangkan kestabilan rantau ASEAN daripada menjadi pusat pengganas antarabangsa yang boleh menjejaskan pemulihan ekonomi Malaysia terutamanya ketika kejatuhan nilai ringgit sekarang.

Ujarnya, Najib sedang menjalinkan hubungan rapat dengan AS untuk mengimbangi kuasa besar China yang semakin mendominasi perdagangan dunia selain berunding mengurangkan penggunaan wang negara untuk mencari ke mana hilangnya MH370 dengan menggunakan kepakaran dan teknologi Pentagon.

“Cukuplah Malaysia diperalatkan oleh Melbourne dengan kepakaran dan peralatan dasar laut mereka yang menjadi bebanan perbelanjaan negara,” katanya.

Penulis yang menghargai kemampuan Najib yang disifatkannya sebagai “buat kejutan menyelesaikan isu MH17 secara bijaksana di Ukraine.”

Katanya lagi, adalah tidak indah jika asyik mengecam dan mencari silap Perdana Menteri kerana kerana tidak menunjukkan wajah ketika banjir tempoh hari memandangkan barisan pentadbiran negara telah diamanahkan oleh Najib sebelum meninggalkan negara perlu menunjukkan kepimpinan yang berwibawa menangani banjir besar ini.

Beliau juga berpendapat, tidak perlu menuding jari kepada Najib sedangkan banjir besar bukannya berpunca daripada penyelewangan pentadbiran UMNO, tetapi PAS yang mentadbir Kelantan di mana berlakunya pembuangan sistem tadahan semulajadi dan menerangkan hutan secara rakus untuk kepentingan negeri mahupun peribadi.

“Pendapat peribadi saya adalah tidak perlu PM dikecam kerana tiada dalam negara kerana bah besar di beberapa negeri. Negara kita belum darurat lagi,” tambahnya.

Hakikat nyata, menurut penulis, peralatan canggih Pentagon diperlukan untuk pertahanan negara, malah jika mahu menyelam di dasar laut membuat kalibrasi data perubahan arus bawah laut dan ukuran retakan gua laut pun menggunakan system tercanggih dari AS.

“Saya merasakan tidak wajar orang berserban, pak lebai mengecam Najib kerana berlainan parti kerana isu ini. DAP biarlah mereka tetap tidak senang dengan PM beragama Islam, hanya bermuka-muka memperbodohkan Melayu Islam.

“Mungkin saya akan mati besok tiba-tiba menyokong tindakan Najib ke Hawaii yang dirancang sebelum banjir lagi,” tambahnya.

Penulis juga mengingatkan, jika sesuatu itu benar hendaklah tetap diakui kebenarannya kerana itu adalah janji seorang yang beragama Islam dengan Allah SWT sebagai Muslim.

“Viralkan catatan ini untuk kefahaman mereka di luar sana. Saya bertanggungjawab sepenuhnya di atas catatan ini. Mungkin catatan terakhir dari anak laut jika kami mati besok sebagai wira laut,” ujarnya.

Beliau yang memohon kemafaan jika nukilannya melukakan hati pembaca mengingatkan supaya “Hidup kita biarlah memberi manfaat pada orang lain, mati kita juga untuk manfaat umat Muhammad SAW. Semoga kita bertemu di syurga.”

-FMT

Sesi persekolahan 2015 ditangguh seminggu

Sesi persekolahan 2015 yang sepatutnya bermula pada 4 Januari ini ditangguhkan selama seminggu di seluruh negeri ekoran banjir buruk, umum Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menteri pendidikan itu berkata, dengan penangguhan itu tarikh baharu sesi bermula persekolahan 2015 bagi Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor adalah pada 11 Januari, manakala negeri lain akan bermula pada 12 Januari.

"Sebagai menteri pendidikan, saya amat memahami dan mengambil berat kesukaran yang bakal dihadapi semua pihak termasuk pengurusan sekolah, guru, ibu bapa dan murid sekiranya persekolahan bagi 2015 dibuka seperti dijadualkan iaitu pada 4 Januari 2015 (bagi Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor) dan pada 5 Januari 2015 bagi negeri lain," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, sehingga semalam pihaknya mendapati 340 sekolah daripada tujuh negeri terlibat dengan banjir, sama ada dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau sekolah tersebut ditenggelami air akibat banjir.

Muhyiddin yang juga timbalan perdana menteri berkata, penangguhan dibuat selepas mengambil kira faktor sekolah yang terlibat sama ada sebagai PPS atau ditenggelami air akan mengambil masa untuk dipulihkan.

Katanya, faktor keadaan guru, ibu bapa dan murid yang menjadi mangsa banjir serta serba kekurangan juga perlu mengambil masa untuk pemulihan dan membuat persiapan persekolahan.

"Sekiranya keadaan banjir tersebut pulih, maka pihak pengurusan sekolah hendaklah menggunakan tempoh tersebut untuk mengadakan gotong-royong pembersihan kawasan sekolah masing-masing bagi memastikan anak-anak kita dapat belajar dalam keadaan selamat, selesa dan sempurna," katanya.

Di Kelantan, mangsa banjir meningkat pagi ini kepada 151,072 orang berbanding 134,139 malam tadi, menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat Kelantan.

Begitu juga di Pahang yang mencatatkan peningkatan 33,225 mangsa berbanding 31,95 malam tadi, serta Perak 7,813 orang berbanding 7,539 malam tadi.

Manakala jumlah mangsa banjir turun di Terengganu dan Johor, masing-masing mencatatkan jumlah 33,292 orang berbanding 36,210 malam tadi serta Johor 328 orang berbanding 332 malam tadi.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob mengumumkan Kelantan pada semalam sebagai cuti peristiwa berikutan banjir besar di negeri itu.

Jumlah mangsa banjir di 6 negeri terjejas, Kelantan, Pahang, Terengganu, Perak, Johor dan Selangor pagi ini adalah 225,731 orang. – TMI

Mangsa banjir cecah 225,731 orang

Jumlah mangsa banjir di enam negeri terjejas, Kelantan, Pahang, Terengganu, Perak, Johor dan Selangor pagi ini adalah 225,731 orang

Di Kelantan, mangsa banjir meningkat di Kelantan pagi ini kepada 151,072 orang berbanding 134,139 malam tadi.

Mangsa banjir di Pahang dan Perak turut meningkat pagi ini.

Pahang mencatatkan seramai 33,225 berbanding 31,095 malam tadi, Perak pula 7,813 orang berbanding 7,539 malam tadi, lapor Bernama.

Manakala jumlah mangsa banjir turun di Terengganu dan Johor pagi ini.

Terengganu catat 33,292 orang berbanding 36,210 malam tadi, Johor 328 orang berbanding 332 malam tadi.

Manakala Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Terengganu pagi ini untuk meninjau keadaan banjir di negeri itu. -mk

Ahli perniagaan S'wak naiki QZ8501

Penumpang tunggal dari Malaysia dalam penerbangan AirAsia QZ8501 telah dikenal pasti sebagai Sii Chung Huei.

Menurut New Straits Times, Sii adalah seorang ahli perniagaan yang berpusat di Jakarta yang berasal dari Kuching.

Akhbar itu memetik saudara maranya mengesahkan mereka telah dimaklumkan oleh AirAsia mengenai Sii berada dalam penerbangan yang hilang itu.

Operasi mencari dan menyelamat masih belum memberikan apa-apa kemas kini mengenai kemajuan usaha mereka atau kesimpulan mereka mengenai nasib pesawat itu.

Pesawat ke Langkawi patah balik

Dalam satu insiden yang tidak berkaitan, Berita Harian melaporkan satu lagi penerbangan AirAsia AK6242 dari Pulau Pinang ke Langkawi berpatah balik kerana masalah teknikal.

Pesawat itu dilapor berpatah balik selepas 10 minit memulakan perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pada jam 4.30 petang.

Penumpang, Subash Elangovan dipetik sebagai berkata, juruterbang memaklumkan kepada mereka bahawa pesawat itu mempunyai masalah teknikal dan harus berpatah balik.

Penerbangan berkenaan dijadualkan semula pada jam 6 petang dan sudah berlepas daripada LTAPP, namun sama ada pesawat yang sama digunakan untuk penerbangan berkenaan tidak dapat dipastikan. -mk

Wednesday, December 24, 2014

PAS Berpecah Pula Isu HUDUD?

Perpecahan PAS dan Pakatan Rakyat (PR) kini semakin melebar dengan isu hudud selepas perbezaan pendapat yang sangat ketara dalam isu pertukaran menteri besar Selangor sebelum ini.

Kenyataan Timbalan Mursyidul Am Datuk Dr Haron Din yang tahaluf siasi (kerjasama politik) antara PAS dengan DAP sudah 'koyak' apabila parti itu terus mempertikaikan hudud mendapat sokongan daripada menteri besar Kelantan yang juga pemangku ketua Dewan Ulama PAS.

Datuk Ahmad Yakub berkata, PAS bersedia menilai semula tahaluf siyasi yang dibuat antara parti komponen PR berikutan tindakan DAP yang berterusan mempertikaikan pelaksanaan hudud di Kelantan.

“Apa-apa perjanjian atau kerjasama boleh dinilai semula apabila menampakkan sesuatu tindakan yang mampu mencetuskan ketegangan.

“Penilaian semula ini supaya kita boleh melihat di mana titik tolak tahaluf siyasi itu dalam konteks yang sebenar,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Graduasi Tahfiz Yayasan Islam Kelantan (Yik), semalam, lapor Sinar Harian.

Sebelum ini, dalam Multaqa Ulama yang dianjurkan Dewan Ulama PAS di Alor Setar, cadangan mengkaji semula tahaluf siasi diluluskan dalam bentuk resolusi perhimpunan itu.

Namun ia mendapat tentangan sebahagian pimpinan PAS yang yakin kerjasama politik ini menguntungkan PAS.

Kini, perbezaan politik yang ketara sedang melanda PAS menyebabkan kepimpinannya dengan jelas berpecah kepada dua kumpulan, pro PR dan satu lagi mahu berpisah atau menjauhkan diri.

Pandangan Haron berkenaan tahaluf siasi yang koyak bukan datang begitu saja. Sebelum beliau, AJK PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Temerloh Nasrudin Hassan berkata, tahaluf siyasi sudah memasuki fasa 'haram'.

Kedua-dua kenyataan ini disiarkan di muka depan media yang memusuhi PAS dan mahukan parti Islam itu berpecah iaitu Utusan Malaysia.

Kini pandangan mereka berdua disambut positif menteri besar Kelantan, individu yang dikira agak sederhana sebelum ini.

Dalam masa yang sama, beberapa pemimpin PAS berkata PAS pusat tidak dibawa berbincang dalam isu pindaan kepada Kanun Jenayah Syariah yang akan dibuat melalui sidang khas Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 29 Disember ini.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Khalid Samad mengesahkan perkara tersebut tidak dibincangkan atau dibangkitkan dalam mesyuarat terakhir pada 15 Disember baru-baru ini.

"Isu itu tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat terakhir.

"Kami hanya debat tentang rang yang sepatutnya dibawa ke Parlimen atau tentang bagaimana ia sepatutnya dilakukan," katanya kepada The Malaysian Insider.

Mesyuarat terakhir PAS Pusat adalah pada 15 Disember sedangkan menteri besar Kelantan membuat pengumuman sidang khas itu pada 14 Disember iaitu sehari sebelum mesyuarat.

Seramai 23 daripada 38 ahli Jawatankuasa PAS Pusat jelas memihak kepada kerjasama dengan PR. Mereka ini dicop sebagai 'jebon' oleh pihak yang pro ulama dalam PAS.

Portal Malaysiakini melaporkan, seorang anggota Jawatankuasa PAS Pusat berkata mereka tidak pernah bersetuju membawa Rang Undang-undang Persendirian Kelantan berkaitan hudud ke Parlimen.

Sedangkan Ahmad berkata, persidangan itu diadakan bagi mengkemaskini enakmen sedia ada sebelum dibawa untuk mendapat kelulusan di persidangan Parlimen.

“Pindaan itu untuk melayakkan Kelantan membawa usul persendirian ke Parlimen bagi membolehkan ia dijalankan di negeri ini.

“Private bill itu akan meminda Perkara 76A Perlembagaan Persekutuan bagi mendapat kebenaran Parlimen untuk melaksanakan undang-undang tersebut di Kelantan," lapor laman web PAS.org.

Inilah suasana yang berlaku dalam PAS sekarang, kucar-kacir. Bukan sahaja antara PAS dengan PR tetapi juga dalam PAS sendiri.

Bagi seorang pemimpin kanan PAS yang selama ini selalu berusaha menjadi kuasa pendamai antara kumpulan yang berbeza ini, ia sudah membosankan.

"Biarlah, dah mereka nak pecah," kata beliau kepada The Malaysian Insider, jawapan yang membayangkan sudah hilangnya harapan untuk membentulkan apa yang tidak betul itu.

Apakah pemilihan pucuk kepimpinan PAS yang dijangka pada Jun tahun depan bakal memulihkan PAS atau masing-masing mengambil jalan sendiri selepas itu?

"Semua kini preparing for war," kata pemimpin PAS berkenaan yang bermaksud semua sedang bersedia untuk “berperang”, enam bulan dari sekarang.

Faktor penyatu sangat diperlukan oleh PAS dan perlu dicari segera sebelum nasi menjadi bubur dan tidak boleh diubat lagi. –TMI

Desak Najib berundur, Syed Rosli dakwa dapat sokongan?

Syed Rosli sebaliknya berkata, pengkhianat sebenar adalah pemimpin tertinggi parti yang menyalahgunakan kuasa dan menyeleweng tanggungjawab mereka.

"Pelbagai gelaran diberi kepada saya, ‘musang berbulu ayam’, ‘gunting dalam lipatan’, ‘musuh dalam selimut’ dan sehingga mengelarkan saya pengkhianat.

"Mereka berjawatan tinggi di dalam parti dan kerajaanlah sebenarnya pengkhianat jika mereka amalkan korupsi, tidak jujur dan amanah. Siapalah saya nak khianati parti dan negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau sebaliknya mempertahankan tegurannya itu dibuat kerana sayangkan parti dan nasib agama, bangsa dan negara khususnya.

Katanya, ramai akar umbi Umno yang menyokong tindakannya mendesak Najib meletakkan jawatan, cuma mereka belum berani tampil ke hadapan menyatakan perkara sama.

"Sebenarnya ramai lagi yang menyokong. Saya tidak berseorangan dan saya yakin ramai bersependapat dengan saya .

"Saya juga banyak menerima panggilan telefon dan pesanan daripada pelbagai lapisan ahli Umno dan rakyat yang menyokong tetapi mereka takut hendak ke depan untuk menyatakan perkara yang sama," katanya.

Beliau juga menyeru ahli Umno supaya berdoa setiap kali selepas sembahyang agar negara dapat dilindungi daripada pemimpin Umno yang korup dan tidak amanah.

"Ayuh kita selamatkan nasib bangsa, agama dan negara. Lakukanlah semampu boleh dengan pelbagai cara pun selagi tidak melanggar peruntukan undang-undang negara," katanya.

Syed Rosli minggu lalu dalam surat terbukanya kepada Najib mendesak presiden Umno itu berundur secara terhormat sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) demi memberi nafas baru kepada parti.

Katanya, Umno ketika ini semakin lemah daripada segi sokongan orang Melayu mahupun pengundi parti komponen Barisan Nasional (BN) terutama parti berteraskan kaum Cina dan India.

Surat itu dibuat selepas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Pulau Pinang Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan membuat laporan polis terhadap syarikat pelaburan negara 1MDB yang dikatakan mempunyai hutang sehingga RM40 bilion.

Syed Rosli semasa Pemilihan Umno 2013 bertanding merebut jawatan ketua Pemuda Umno menentang penyandang Khairy Jamaluddin, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, Irwan Ambak Khalid Izhar dan Abd Karim Ali. –tmi

ISMA macam Taliban, kata Pemuda MIC

MIC mendakwa NGO Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) sama seperti kumpulan pengganas Taliban ekoran kenyataan bahawa orang Islam tidak boleh mengucapkan Selamat Hari Natal kepada orang Kristian.

Ketua sayap pemudanya C Sivarraajh mengutuk ISMA sebagai mengamalkan "ketaksuban melampau" yang sama dengan cara Taliban yang prejudis.

"ISMA mengajar toleransi ala-Taliban dan ketaksuban. Mereka adalah racun kepada mana-mana masyarakat yang sederhana dan tidak boleh dibiarkan.

"Ketaksuban jenis ini tiada tempat di negara Malaysia yang mengamalkan kesederhanaan ini," kata Sivarrajh dalam satu kenyataan.

Tambahnya, ISMA telah "dibutakan oleh kebencian" terhadap orang bukan Islam dan berniat untuk mewujudkan permusuhan di kalangan orang Islam dan bukan Islam.

Bagaimanapun, Ketua Pemuda MIC itu yakin bahawa sikap ISMA itu bukan mewakili "sebahagian besar umat Islam di Malaysia".

Sebelum ini, Menteri Kesejahteraan Bandar Dan Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Rahman Dahlan turut menyelar pendirian ISMA berhubung ucapan Krismas itu.

Anggota parlimen Umno untuk Kota Belud itu juga menyifatkan ISMA "bukan pilihannya". -mk

Monday, December 22, 2014

Salam Al-Qaradawi buat rakyat Malaysia

Sarjana terkemuka Islam Dr Yusuf Al-Qaradawi menzahirkan perasaan terharu terhadap keprihatinan antarabangsa, termasuk Malaysia, yang menyatakan bantahan terhadap notis merah Polis Antarabangsa (Interpol) terhadapnya.

Perkara itu dinyatakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghubungi presiden Kesatuan Ulama Antarabangsa itu malam tadi.

“Alhamdulillah, Sheikh Yusuf tetap bersemangat dan sekelumit pun tidak tergugat dengan gangguan ini,” kata Anwar.

Dalam kenyataannya tengah malam tadi, Anwar (kiri) juga merakamkan dukacitanya terhadap kezaliman Jeneral Abdel Fattah al-Sisi di Mesir yang mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang ulama muktabar.

“Justeru saya menggesa Interpol menarik balik notis merah yang telah dikeluarkan ke atas Sheikh Yusuf kerana jelas sekali tindakan tersebut tidak berasas dan hanya memperlihatkan Interpol diperalat oleh diktator yang zalim,” kata Anwar.

Interpol mengeluarkan waran tangkap terhadap Yusuf selepas dikaitkan dengan kegiatan kumpulan Ikhwanul Muslimin yang diharamkan Mesir.

Malaysia patut gasak Interpol

Menurut laman webnya, notis merah terhadap Yusuf, 88, dikeluarkan selepas dikehendaki pihak berkuasa kehakiman Mesir untuk pendakwaan dan pensabitan hukuman.

Warganegara Mesir dan Qatar itu antaranya dituduh menghasut dan membantu pembunuhan antarabangsa, membantu banduan melepaskan diri daripada penjara, serta aktiviti vendalisme dan kecurian.

Langkah itu dilihat bakal mencetuskan perasaan tidak puas hati besar-besaran di hampir kesemua dunia Islam.

Sementara itu, mewakili Pakatan Rakyat, Anwar menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan Malaysia mengambil pendirian serta ketetapan tegas membantah tindakan itu.

Lebih-lebih lagi, katanya, Yusuf pernah dinobatkan sebagai tokoh Maal Hijrah peringkat antarabangsa pada 2009 serta dianugerahi ijazah kehormat Universiti Islam Antarabangsa (UIA) pada 1996.

“Sumbangan beliau dalam dunia Islam tiada taranya, maka sewajarnya Malaysia selaku model negara Islam mendepani inisiatif mengasak Interpol agar bersikap profesional ke atas Sheikh Yusuf Al-Qaradawi ketimbang menjadi alat sang penguasa desperado,” katanya.

Saturday, December 13, 2014

Pemimpin Umno lapor polis ke atas 1MDB

Seorang pemimpin bahagian Umno membuat laporan polis terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB), firma pelaburan yang dicetuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dari Umno bahagian Batu Kawan membuat laporan polis itu di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi petang ini.

Bercakap kepada pemberita, Khairuddin berkata beliau berasa curiga dan ragu-ragu dengan pengurusan kewangan 1MDB yang didakwanya tidak telus.

1MDB menerima kritikan pelbagai pihak, termasuk Pakatan Rakyat, yang menyifatkan 1MDB sebagai "ibu segala skandal" dan juga bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga mengkritik keras badan pengurusan dana tersebut.

Laporan itu dibuat ke atas 1MDB dan lembaga pengarahnya.

Khairuddin juga memberi amaran bahawa beliau akan membuat laporan ke atas Najib sebagai menteri kewangan sekiranya tiada tindakan susulan diambil ke atas laporannya.

Sementara itu, dalam emel kepada Malaysiakini kemudian, 1MDB berkata ia yakin laporan polis itu tidak mempunyai asas perundangan.

Menurut emel itu lagi, pihaknya mengalu-alukan sebarang penyiasatan terhadap urusannya dan sebagai peluang untuk menangkis dakwaan jahat. -mk

Utusan disaman oleh MB Pahang

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob memfailkan saman sivil RM15 juta ke atas akhbar Utusan Malaysia yang dimiliki partinya.

Saman itu difailkan atas satu tulisan lidah pengarang akhbar tersebut, Awang Selamat, bertajuk 'Hebat sangatkah Adnan?’

Adnan menamakan Utusan Melayu (M) Bhd sebagai defendan tunggal dan writ tersebut difailkan pada 5 Disember oleh firma Americk Sidhu di pejabat pendaftar sivil Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu ini dan dikemukakan kepada Utusan semalam.

Tulisan itu mendakwa Adnan sudah melebihi tempoh sebagai menteri besar.

Adnan yang merupakan anggota majlis tertinggi Umno menjadi MB Pahang selama 15 tahun, sejak 1999, yang menjadikannya seorang pemimpin Umno yang paling lama berkhidmat sebagai MB.

Utusan melancarkan serangan itu ke atas Adnan susulan kenyataan menteri besar tersebut berhubung tragedi banjir lumpur di Cameron Highlands pada bulan lalu.

MB Pahang itu berkata, tulisan Awang tersebut menyebabkan timbul tohmahan, cemuhan dan kebencian ke atasnya daripada orang awam.

Adnan mendakwa tulisan itu antara lainnya membawa maksud bahawa beliau tiada integriti, gagal melaksanakan tugas. -mk

Saturday, December 6, 2014

Tun Dr Mahathir kecewa dengan sikap Najib?

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kecewa kerana penggantinya Datuk Seri Najib Razak tidak menjawab kritikannya mengenai firma pelaburan negara, 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Katanya, Najib tidak menjawab persoalan mengenai pelaburan 1MDB di bank luar pesisir Cayman Islands, yang disifatkannya sebagai satu “perjudian”.

Mahathir yang mengetuai pentadbiran negara selama 22 tahun itu berkata kerajaan sebelum ini akan menolak tawaran pelaburan berisiko tinggi seperti itu, walau dengan jaminan pulangan tinggi.

“Dahulu pun kerajaan Malaysia biasa dilamar untuk melabur dalam dana lindung nilai (hedge fund) dengan jaminan pulangan 30%. Tetapi ia ditolak.

“Harus diingat satu dari hedge fund yang terbesar, LTCM (Long Term Credit Management) rugi besar dan mengheret bank dan pelabur ke arah muflis.

“Ia diselamat oleh pelabur yang terdiri dari Wall Street dan Kerajaan AS,” katanya lagi dalam tulisan di blog chedet.cc.

Tulisan itu menyimpulkan pemerhatiannya ke atas perjalanan perhimpunan agung Umno yang bersidang minggu lalu.

Mahathir turut membangkitkan bahawa Najib dalam ucapan di perhimpunan itu tidak menyentuh isu sistem pelajaran yang memisahkan golongan miskin dan kaya.

Beliau memberi nasihat bahawa kerajaan tidak boleh mengambil langkah popular dengan mempermudahkan kelulusan peperiksaan.

Selain itu, beliau turut menyatakan rasa kecewa kerana kerajaan masih tidak berganjak dengan pendirian mengenai Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA).

"Perjanjian 29 bab ini merbahaya walaupun pengecualian diberi kepada usaha memperbaiki kedudukan bumiputera.

"Perjanjian ini lebih tertumpu kepada sekatan terhadap negara Cina dan campurtangan dalam hal ehwal ekonomi dalaman negara," katanya.-mk



Isu IC palsu di Sabah terus jadi persoalan?

Kartel penghasilan kad pengenalan palsu secara tersusun atau berstruktur tidak lagi wujud di Sabah, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata kegiatan kartel yang mungkin wujud dahulu itu, dapat dibanteras hasil tindakan proaktif dan naziran ketat yang dilaksana kementerian dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Bagaimanapun, katanya, orang ramai diminta memaklumkan kepada kementerian sekiranya mempunyai maklumat kegiatan kartel sedemikian masih wujud serta individu yang menjalankan kegiatan tersebut.

"Jika masih ada individu yang terlibat, kami mahu orang ramai memaklumkan kepada kementerian atau JPN untuk tindakan pemantauan dan perundangan dapat segera dilakukan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Inovasi
peringkat kementeriannya di Putrajaya hari ini.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang asing tanpa izin (PATI) berhubung 'projek IC' yang dibentang Rabu lepas.

Laporan RCI itu mendapati pengeluaran kad pengenalan (IC) biru secara haram kepada pendatang asing di Sabah adalah didorong faktor kewangan.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa ketika membentangkan laporan RCI itu berkata tidak ada dalam hasil siasatan suruhanjaya itu menunjukkan pengeluaran IC kepada pendatang asing dibuat atas kepentingan politik, khususnya
atas nama 'Projek IC'.

Ahmad Zahid dalam pada itu berkata susulan laporan RCI itu, kementeriannya akan mengambil tindakan dengan melakukan naziran terhadap jabatan yang terlibat dengan RCI iaitu JPN dan Jabatan Imigresen khususnya di Sabah, supaya permasalahan dalaman yang dahulunya berlaku, tidak berulang.

Selain itu, katanya pemegang kad pengenalan hijau akan dinilai berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi menentukan kedudukan mereka berdasarkan kepada syor yang akan diteliti jawatankuasa tetap RCI yang dipengerusikan oleh beliau bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

RCI dalam laporannya turut mengesyorkan sebuah jawatankuasa tetap mengenai PATI ditubuhkan yang akan melaporkan kepada jemaah menteri Kabinet yang dipengerusikan perdana menteri.

Pada masa sama, sebuah jawatankuasa kerja dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan juga akan ditubuhkan.

RCI ditubuhkan pada 11 Ogos 2012 antara lain diberi kuasa menyiasat jumlah pendatang asing di Sabah yang telah diberi kad pengenalan atau kewarganegaraan.

Mengulas mengenai usaha penambahbaikan yang dilaksanakan JPN, Ahmad Zahid berkata JPN tidak lagi mengeluarkan sijil kelahiran kepada kanak-kanak yang tiada kerakyatan, khususnya di Sabah.

Sebaliknya, menurut beliau, JPN hanya memberi dokumen rekod kelahiran dengan menggunakan warna sijil yang berbeza.

"Ciri-ciri keselamatan MyKad juga ditingkatkan. JPN juga menjalankan pemantauan serta siasatan yang dibuat oleh pegawai penguatkuasaan berpakaian biasa bukan pakaian seragam," katanya.

-Bernama

Friday, December 5, 2014

RCI: Betulkah tiada motif politik

Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja mendapati pegawai polis yang ditugaskan untuk menyiasat pengeluaran kad pengenalan kepada warga asing di Sabah tidak menyiasat sekiranya wujud motif lain daripada kewangan.

Menurut laporan itu, pegawai polis berkenaan, Ibrahim Zakaria, Badaruddin Ismail dan Ahmad Fauzan Mohd berpuas hati selepas membongkar motif kewangan untuk operasi digelar 'Projek IC' itu.

"Mereka menganggap, memadai jika dianggap sebagai ancaman kepada keselamatan negara dan boleh tertakluk kepada penahanan mengikut ISA,” laporan itu dipetik.

Ia turut menggariskan bahawa pegawai polis terbabit tidak menyiasat sekiranya terdapat motif lain.

Suruhanjaya itu juga mendapat Projek IC “mungkin” wujud.

Ibrahim dilantik untuk menyiasat pengarah Jabatan Pendaftaran Negara pada masa itu, Datuk Abdul Rauf Sani, manakala Badaruddin menyoal siasatan pengganti Rauf, Ramli Kamarudin.

Ahmad Fauzan pula ditugaskan untuk menilai laporan risikan daripada soal siasat terbabit.

Menurut laporan RCI, ketiga-tiganya memberi keterangan kepada suruhanjaya itu bahawa kegiatan haram terbabit didapati hanya untuk tujuan kewangan.?

Polis bantuan, pemandu teksi bergasak

Satu rakaman video didakwa menunjukkan dua anggota polis bantuan bertumbuk dengan seorang pemandu teksi di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Johor Bahru mendapat perhatian meluas di Facebook.

Rakaman sepanjang lebih satu minit itu menunjukkan dua anggota tersebut memukul dan menendang pemandu teksi terbabit, yang bertindak melawan.

Video yang dimuatkan petang ini di beberapa laman Facebook popular seperti 'Sukan Star TV' dan 'What's Going On in Johor Baru' turut menunjukkan seorang anggota polis trafik muncul untuk meleraikan pergaduhan itu.

Seorang sumber yang dekat dengan individu dalam video berkenaan memberitahu Malaysiakini bahawa pemandu teksi tersebut pada awalnya meletakkan kenderaan di satu kawasan larangan.

“Polis bantuan itu beritahu pemandu teksi itu secara baik untuk memindahkannya ke kawasan lain, tapi pemandu teksi itu marah-marah.

“Dia kemudian mencabar anggota polis itu untuk membuka baju seragam dan memukul serta menendang (anggota polis bantuan),” kata sumber terbabit yang enggan dinamakan.

Katanya, kejadian tersebut berlaku pada hari Selasa lalu.

Sementara itu, ketua polis daerah Johor Bahru Selatan, Sulaiman Salleh berkata anggota terbabit sudah membuat laporan polis.

"Kejadian itu berlaku pada jam 8.45 pagi pada 2 Disember. Pemandu teksi 38 tahun itu ditahan pada hari sama dan direman selama dua hari," katanya.

Pemandu teksi itu ditahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan berhubung kesalahan menghalan tugas rasmi penjawat awam dan Seksyen 323 kerana menyebabkan kecederaan. -mk

Wednesday, December 3, 2014

Minta Habuan Seks Untuk Lulus Rumah PPRT

Seorang Pegawai Tadbir di Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan meminta dan cuba memperoleh layanan seks sebagai dorongan untuk membantu meluluskan permohonan rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin di negeri ini.

Bagi pertuduhan pertama, Heris Saad, 56, didakwa secara rasuah meminta suapan berbentuk layanan seks daripada seorang ibu tunggal sebagai dorongan untuk mempercepatkan proses permohonan rumah PPRT di Kentucky Fried Chicken, Jalan Limbong Kapal di sini pada 10 Nov lalu kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Heris juga dituduh cuba memperoleh suapan berbentuk layanan seks daripada seorang ibu tunggal sebagai dorongan untuk tujuan sama pada 13 Nov lalu di Hotel Royale Jalan Putra di sini kira-kira pukul 2.45 petang.

Bagi pertuduhan pertama dia didakwa mengikut Seksyen 16(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi.

Dia juga didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, bagi pertuduhan kedua.

Tertuduh, yang diwakili peguam Amir Faliq Mohd Jamil, mengangguk faham ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan.

Hakim Azhar Mokhtar menetapkan 30 Dis ini untuk sebutan semula kes dan penyediaan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Syahrul Khuzaimi Amiruddin.

ADUN PAS, Umno tolak tuntutan timb speaker 2

ADUN PAS dan Umno menolak tuntutan yang dikemukakan oleh DAP untuk mewujudkan jawatan timbalan speaker kedua bagi DUN Selangor.

ADUN Sabak Sallehen Mukhyi berkata tiada keperluan melantik seorang lagi timbalan speaker kerana jawatan speaker daripada DAP dan timbalannya daripada PAS, sudah memadai.

"Keperluan timbalan speaker ini hanya untuk waktu bersidang sahaja. Yang sedia ada cukup efektif dah. Jadi, untuk seorang lagi timbalan speaker tak perlu.

"Daripada guna duit itu untuk bayar (gaji) timbalan speaker, lebih baik disalurkan kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas sesi sidang DUN bagi sesi pagi tamat.

Sementara itu, Ketua Pembangkang Datuk Shamsudin Lias pula berkata, tindakan DAP menuntut jawatan timbalan speaker menunjukkan parti itu tamak kuasa.

Beliau yang juga ADUN Sungai Burong turut mempersoalkan keperluan mewujudkan jawatan itu memandangkan terdapat ahli DAP - Hannah Yeoh - yang telah menjadi speaker sekaligus membazir wang rakyat.

"Saya nak nyatakan bahawa DAP ini tamak kuasa. Dah ada speaker daripada DAP, nak pula timbalan speaker. Apa lagi dia nak?

"Saya rasa tak perlu (jawatan timbalan speaker kedua). Sebab jika tidak, kuranglah tugas mereka (speaker dan timbalan speaker) sebab nanti akan dibahagi tiga, malah membazirkan wang rakyat," katanya.

Isu ini timbul selepas Pengerusi DAP Selangor Tony Pua menyuarakan hasrat untuk melobi jawatan timbalan speaker kedua selepas PAS memenangi jawatan itu melalui undi rahsia yang dijalankan di DUN minggu lalu.

Tony berkata, pihaknya menuntut jawatan itu berdasarkan kesetiaan DAP kepada Pakatan Rakyat semasa krisis menteri besar berlaku.

Sementara itu Exco Pendidikan Nik Nazmi Nik Ahmad pula berkata perkara berhubung pertambahan jawatan timbalan speaker tidak pernah dibincangkan sebelum ini.

ADUN Seri Setia itu juga berkata buat masa ini, beliau menyokong jika mengekalkan kuota jawatan yang sedia ada tanpa perlu menambah seorang lagi timbalan speaker.

"Isu itu tidak timbul sebab setakat ini kita tidak ada berbincang untuk perkara itu (jawatan timbalan speaker kedua) diadakan. Buat masa ini kita kekalkan apa yang ada pada hari ini iaitu satu timbalan speaker sahaja.

"Sistem sekarang sudah terbaik. Jadi, pada saya untuk masa sekarang tidak ada keperluan untuk tambah," kata ketua AMK PKR.

-mk

Tuesday, December 2, 2014

Laporan RCI 'Projek IC' pada Rabu

Laporan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) berhubung pendatang haram Sabah yang dinanti-nantikan akhirnya dilapor akan dikeluarkan di Kota Kinabalu pada Rabu.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa (kiri) berkata laporan itu akan diumumkan dalam sebuah acara bersama media di Kompleks Tabung Haji di negeri itu, lapor The Star.

Perdana menteri sebelum ini mengumumkan bahawa laporan itu akan diumumkan pada awal Disember, walaupun terdapat desakan supaya ia dikeluarkan semasa sidang parlimen baru-baru ini.

Maklumat berhubung pengeluaran laporan itu didedahkan oleh pemberitahuan Kementerian Penerangan pada Isnin, menurut laporan itu.

Cadangan oleh laporan itu akan dikaji oleh panel diketuai oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah Joseph Tan Sri Pairin Kitingan. -mk

Monday, December 1, 2014

Blogger Umno bangang, serang kita balik, kata Najib

Datuk Seri Najib Razak menyelar sikap blogger pro Umno yang menyerang kembali pemimpin parti Melayu itu dan kononnya bersifat “friendly fire”.

Presiden Umno itu berkata, blogger pro Umno perlu melakukan tindakan sebaliknya dengan menyerang pemimpin pembangkang kerana mereka perlu tahu pihak mana yang membiayai mereka.

“Saya setuju kata Datuk Zahid yang kata bloggers kita ni kadang-kadang tembak kita. Dalam istilah perang, friendly fire. Friendly fire is not friendly," kata Najib merujuk kepada Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Bloggers kita ni cari makan dengan siapa? Pergilah tembak pembangkang. Itu cara kita nak menang dalam peperangan. Jangan perang sesama sendiri. Tak masuk akal. Bangang,” katanya semasa berucap di Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam perkembangan lain, Najib mengumumkan Indeks Syariah Malaysia yang digerakkan Universiti Islam Antarabangsa dan Jakim akan dibentangkan pada Februari selepas mendapat pandangan pakar Islam.

Katanya, apabila Indeks Syariah itu diperkenalkan kelak, ia boleh dipanjangkan ke negara Islam lain supaya tidak ada sesiapa yang boleh menyangkal negara di bawah Umno benar-benar menegakkan Islam.

“Bagaimana kita nak cari satu penilaian yang boleh menggambarkan hala tuju yang dibawa Umno dari dulu hingga sekarang berpandukan kepada tuntutan Islam sebenar?

“Maka lahirlah cadangan kita buat Indeks Syariah yang akan buat penilaian negara di bawah Umno ini menjaga agama, akal, keturunan, nyawa dan harta (iaitu) lima tuntutan maqasid syariah,” katanya. –TMI

Kenapa komponen BN masih setia pada Umno?'

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menyelar parti komponen BN kerana masih setia dengan Umno, yang menurutnya hanya menunjukkan “penghinaan” ke atas kaum minoriti dalam perhimpunan agung parti itu.

Lim yang juga setiausaha agung DAP turut membangkitkan mengenai kenyataan ketua bahagian Umno Permatang Pauh, Mohd Zaidi Mohd Said yang mendakwa kejayaan masyarakat Cina di negeri itu berpunca daripada kegiatan haram.

"Jelas bahawa Umno tidak mahu lagi mendapatkan undi masyarakat Cina dan kini mahu melayan mereka dengan cemuhan, penipuan dan penghinaan.

"MCA, Gerakan dan MIC menunjukkan bahawa mereka tiada kehormatan dan harga diri kerana masih mahu menyokong parti yang rasis dan melampau yang membuli dan mengancam rakyat kebanyakan.

"Semua orang di Pulau Pinang boleh berjaya, sama ada Cina, Melayu atau India, jika mereka jujur dan bekerja keras.

"(Perbuatan) tuduh orang Cina yang berjaya sebagai individu yang terlibat dengan kegiatan haram adalah penghinaan dan cemuhan kepada mereka yang bersih, jujur dan rajin,” kata Lim dalam kenyataannya.

Tambahnya, Zaidi perlu tahu bahawa masalah jenayah berada bawah bidang kuasa polis dan bukannya kerajaan negeri.

Beliau juga menyeru agar laporan polis dibnuat ke atas pemimpin Umno itu kerana membuat “fitnah jenayah dan penipuan bersifat menghasut dengan niat jahat untuk membangkitkan kebencian kaum”. -mk