Tuesday, January 3, 2012

Pakatan hadapi kemungkinan Anwar dipenjara


Pakatan Rakyat tidak gentar sekalipun Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dihumban ke penjara apabila penghakiman kes perbicaraan liwat II disampaikanpada 9 Januari ini.

"Kepimpinan Pakatan Rakyat, bukan sahaja saya atau Azizah sahaja tetapi juga Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang dan supremo DAP Lim Kit Siang. Kami telah bincangkan segala kemungkinan.

“Jika saya dipenjarakan, terlibat dalam kemalangan atau ditembak, kami telah bincangkan situasi satu, dua dan tiga itu secara kolektif sebagai satu kumpulan," kata Anwar pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kepimpinan Pakatan di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

Katanya, kepimpinan Pakatan juga mempunyai pelan kontingensi dan sedar mengenai apa yang mungkin terjadi pada 9 Januari, apabila keputusan perbicaraan kes liwat keduanya akan disampaikan.

"Jika ada orang dalam Umno yang berpendapat bahawa dengan memusnahkan Anwar, perjuangan Pakatan Rakyat akan terbantut, perkara yang sebaliknya akan berlaku.

“Kami akan teruskan perjuangan dan dipimpin oleh dasar-dasar Pakatan Rakyat," jamin Anwar. -MK

Monday, January 2, 2012

Hari-hari Terakhir Si Raja Katak?

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhnOgY3MwYYm7NZdUMSzTMr7-m_Ja2TTjlEbRekKTWoASHITf-4HoPVCV16sDPiDY0p91hrL1ZLSmmABzdLyTK36Qgs1e5aK3dHfADYui-Ni2U2i9l7gLR9595VJdMcyZLVRf4Albb95UJX/s320/panglima+dlo.jpgDATUK Seri Panglima Lajim Haji Okin, tokoh kontroversi di persada politik Sabah mula terkenal apabila menjadi ‘Katak Terawal’ yang melompat ke Kolam Barisan Nasional sebelum diikuti Datuk Rubin Balang dan beberapa lagi ‘Berudu’ sehingga Parti Bersatu Sabah (PBS) yang memenangi Pilihanraya Umum 1994 dengan majoriti mudah; tumbang setelah Lajim, Rubin, Zaini dan beberapa ADUN PBS berpaling tadah.

Kini setelah 17 tahun menikmati pelbagai kemewahan sebagai ADUN dan Ahli Parlimen UMNO, khidmat Lajim tidak diperlukan lagi dan lazimnya ‘katak’ secara rasmi akan menjadi makanan ular; menyebabkan Lajim bertindak cuba melompat tinggi untuk menunjukkan bahawa beliau masih mempunyai pengaruh politik; terutama setelah memimpin PERKIM Sabah dan Persatuan Bisaya Sabah.

Namun ketokohannya dalam PERKIM tidak begitu menyerlah berbanding kedudukannya sebagai Timbalan Yang Di Pertua USIA suatu ketika dahulu kerana beliau pernah mengadakan Majlis PERKIM dan mengganggarkan 2,500 orang yang hadir; tetapi hakikatnya hanya 250 sahaja yang muncul di majlis besar-besaran berkenaan.

Sebagai seorang seniman politik yang boleh membawa pelbagai watak, Lajim yang pernah dinobatkan memenangi award ‘Raja Katak Politik Sabah’ pada 1994, kini cuba melakonkan drama komedi terbaru ‘Gua Lompat, BN Mati’; dengan muncul secara mengejut dan berucap di pentas yang salah, terutama di majlis anjuran Pembangkang.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Silam, ‘dr’ Salleh Kalbi menghadiri dan berucap di majlis SAPP setelah SAPP keluar daripada BN; tetapi tidak ada sebarang tindakan diambil melainkan tidak diperkenan sebagai Pengerusi BN Silam, walaupun majoriti parti komponen mencadangkan beliau bagi meneruskan tradisi BN melantik Ahli Parlimen sebagai Pengerusi BN.

Walaupun Lajim membuat kenyataan bahawa beliau hadir dan berucap di Majlis Pembangkang atas kapasitinya sebagai Ahli Parlimen dan Timbalan Menteri, tetapi Lajim terlupa Kod Etika BN yang mengharamkan sebarang bentuk sokongan terhadap pembangkang, apatah lagi turut berucap dan mendedahkan rahsia kegagalan kerajaan BN di pentas terbuka.

Memang ucapan Lajim ada benarnya kerana berjaya menjolok jantung Najib yang terkedu dengan kegagalan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) yang dipimpin oleh ‘Golden Eye Boy’ Najib, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal kerana semua pembangunan yang dilaksanakan di Beaufort tidak dapat berfungsi sepenuhnya disebabkan karenah birokrasi dan kesilapan perancangan dan kecuaian pelaksanaan.

Bekalan Air Luar Bandar (BALB) dan Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) yang dilaksanakan KKLW dengan kos ratusan juta ringgit hanya seperti ‘hiasan musim Krismas’ kerana dibina separuh jalan dan tidak sampai kepada pengguna disebabkan lebih mengutamakan keuntungan berlipat ganda (Projek Top-Up) kontraktor daripada kepentingan awam.

Lompatan tinggi ‘Raja Katak’ kali ini tidak berjaya melepasi pagar kawat yang direntang BN dan Parti Pembangkang sehingga semua melihat Lajim tersangkut pada kawat berduri; apatah lagi pemimpin pembangkang menyifatkan kehadiran Lajim di majlis mereka sebagai ‘Bom Jangka’ yang dihantar BN untuk memusnahkan Pakatan Rakyat daripada dalam.

“Dia bukan bersama kita, tetapi senjata BN untuk merapuhkan pertahanan Pakatan Rakyat. Kita tahu siapa Lajim dan dia sanggup melakonkan apa juga watak asalkan dapat wang dan pangkat,” ujar seorang pemimpin DAP Sabah yang meminta agar namanya dirahsiakan bagi mengelak kekeliruan.

Bagaimanapun, ramai pemimpin BN Sabah berpendapat Lajim tidak akan berani meninggalkan BN, sekalipun mendapat tawaran lumayan kerana terikat dengan beberapa Skandal Rasuah dan Penipuan bagi membiayai kegiatan songsangnya di Kasino.

Pada saya, Lajim melakukan ‘Watak Antagonis’ semata-mata untuk meraih simpati dan menunggu Perdana Menteri, Ketua Menteri Sabah dan Ketua Special Branch Sabah memujuk beliau dan memperkenankan permintaan beliau untuk terus mewakili Beaufort, sekurang-kurangnya bagi satu penggal lagi.

Dalam hal ini, Perdana Menteri, Ketua Menteri dan Ketua SB Sabah sewajarnya berterus terang bahawa watak Lajim telah ditamatkan pada Sayembara Pilihanraya Umum Ke 13, kerana tidak lagi relevan dan bukannya ‘Winnable Candidate’.

Kasihan Lajim menunggu jawapan dan pinangan yang tidak pasti!

Oleh : MUTALIB M.D (sabahkini)

CAPS Ganti CASH Di Sabah

KETIADAAN Persatuan Pengguna Sabah-Labuan (CASH) yang diketuai Oleh Datuk Patrick Sindu tetapi telah diharamkan oleh Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dua tahun lalu, nampaknya memangkinkan banyak penyelewengan berlaku oleh segelintir peniaga yang tidak bertanggungjawab yang sesuka hati meletakkan harga barangan.

Mantan Pengerusi CASH Sandakan, Ali Awang Ahmad ketika diwawancara oleh Sabahkini.Net antara lain menjelaskan semenjak ketiadaan CASH, bukan sahaja di Sandakan, bahkan seluruh daerah di negeri ini ramai di kalangan pengguna menjadi mangsa keadaan oleh para peniaga yang mahu mengaut keuntungan berlipat ganda; kerana perniagaan yang dijalankan tidak mengikut kriteria yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.

Ali berkata demikian semasa memberitahu bahawa satu pertubuhan bagi menggatikan CASH telah ditubuhkan baru-baru ini dan pendaftarannya telahpun diluluskan oleh pihak Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Persatuan ini ditubuhkan sebagai kesenambungan perjuangan CASH dahulu untuk menyalurkan masalah berkaitan kepenggunaan menerusi Pertubuhan Hal Ehwal dan Perlindungan Pengguna Sabah atau (CAPS) yang diketuai James Bagah selaku Presidennya.

Katanya, di Sandakan akan membentuk jawatankuasa CAPS pada masa terdekat ini dan orang yang bakal menerajui kepimpinan CAPS antaranya Noraini Sulong, Shaimon S Jumadi, Bonny Juanico, Mustafah Mohd Hassan, Fairul Zaman AB Hj Fajeer dan beberapa orang lagi.

Borang-borang keahlian CAPS akan diedarkan tidak lama lagi ini untuk membolehkan orang ramai di sekitar daerah ini yang berminat untuk menjadi anggot CAPS dan boleh berhubung terus kepada Ali Awang Ahmad 013-8911119.

Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto ; NANA LIZA (sabahkini)

Orang Kanan Najib Sertai DAP?

DAP telah menarik beberapa pemimpin Melayu termasuk sekurang-kurangnya dua veteran Umno sebagai satu langkah untuk menghakis sokongan dari komuniti dominan selepas dituduh anti Melayu dari parti pemerintah.

The Malaysian Insider difahamkan penulis blog terkenal Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz (kanan), yang juga bekas wakil rakyat Pulau Manis dan Aspan Alias (kiri), veteran Umno Negeri Sembilan, telah dijemput untuk menyertai DAP, yang berkemungkinan besar akan bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Ketua Pemuda DAP Anthony Loke , yang ditugaskan untuk menambah sokongan Melayu bersama anggota strategi Liew Chin Tong dan Zairil Khir Johari, mengesahkan penyertaan dua individu itu.

“Kami mendekati mereka tetapi tiada keputusan dibuat. Tetapi bukan penentu mereka akan bertanding dalam pilihan raya. Ia kebimbangan kedua kami,” kata Ahli Parlimen Rasah ini.

Loke menambah bahawa buat masa ini, parti gembira apabila kedua-dua veteran Umno itu membuat kritikan secara terbuka terhadap parti Melayu terbesar dan Barisan Nasional (BN) dalam blog mereka.

Kedua-dua veteran itu menghadiri Konvensyen Media Sosial yang dipanggil “Rakan Pulau Pinang” yang dianjurkan Zairil dua minggu lalu.

“Kami mahu mendekati orang yang berpengaruh di media sosial. Tetapi kami bukan mewujudkan tentera siber. Tidak seperti Umno, kami tidak membayar dan rakan tidak boleh dibeli,” katanya namun enggan mengulas sama ada kedua-dua veteran itu akan menyertai DAP.

Zairil, anak kepada bekas menteri pendidikan dan bekas pemimpin Umno , Tan Sri Khir Johari, telah dilantik sebagai setiausaha politik Lim Guan Eng awal tahun ini dilihat sebagai satu langkah untuk untuk mewujudkan parti berbilang bangsa.

Tetapi pemimpin DAP dan Pakatan Rakyat mengakui dalam laporan The Malaysian Insider sebelum ini bahawa Umno melemparkan pelbagai tuduhan kepada pembangkang semata-mata mahu mendapatkan kembali sokongan orang Melayu.

The Malaysian Insider juga telah mengeluarkan keputusan kaji selidik yang dijalankan DAP di mana menunjukkan sokongan orang Melayu di Pulau Pinang telah menurun kepada 30 peratus, jatuh hampir 50 peratus selepas beberapa bulan Lim memegang jawatan ketua menteri pada 2008.

Umno berulangkali menuduh Pakatan Rakyat terutamanya DAP, sebagai anti Melayu, terbaru perkara itu dibangkitkan dalam perhimpunan agungnya di mana beberapa wakil dan pemimpin termasuk timbalan presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin mengatakan pembangkang anti Melayu, anti Islam, ejen Kristian dan biadap terhadap raja Melayu.

Akhbar rasmi Umno, Utusan Malaysia pada awal tahun ini mendakwa DAP telah berkomplot dengan pihak Kristian untuk menjadikan Malaysia sebagai negara Kristian.

DAP telah mendekati orang Melayu dengan melantik pemimpin Melayu dan pengasas Transparency International Malaysia Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang kini memegang jawatan naib pengerusi.

Difahamkan pemimpin DAP telah bertemu dengan pemimpin Melayu dalam satu mesyuarat tertutup untuk membincangkan isu-isu yang berkaitan negara Islam, hudud dan Bumiputera.

Dengan penyertaan Mohd Ariff Sabri, yang menggunakan nama samaran Sakmongkol AK47 akan menjadi perubahan yang besar dalam parti memandangkan beliau merupakan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pada 2008 dan juga ketua penerangan bahagian Pekan yang merupakan kawasan Datuk Seri Najinb Tun Razak.

Aspan Alias pula lantang mengkritik pentadbiran pemerintah sejak beberapa tahun lalu dan khabar angin mengatakan beliau akan menyertai DAP selepas dilaporkan telah memberikan ucapan pada satu majlis makan malam DAP di Tampin, Perak awal tahun ini. -TMI

Mahasiswa Ikrar Tumbangkan Bn Dalam PRU 13

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj4Kk-6o7kR1E2wDP12QylDXcSu2GvIhD2rxaxoKXuzOH_TLTOLHnri2VNnRws5GZNzvBeivZnkMPKiDui7Sby3kNK54OwgcjCSOFgaAV7SMpBqKOEaxp604RJtm3MvSUaIHOrjeEB9A1w4/s400/Demo.jpgMahasiswa akan memilih kerajaan baru dalam pilihan raya umu ke-13 nanti, justeru Umno BN mesti berundur.

Demikian ditegaskan Pengerusi Majlis Politik Nasional (MPN) Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Muhammad Hafizuddin Muhamed Noor.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada tindakan polis terhadap para mahasiswa yang berhimpun di Universiti Perguruan Sultan Idris, awal pagi semalam.

“Mahasiswa mahukan perubahan, kali ini mahasiswa dan anak muda akan membuat pilihan yang tepat.

“Kami akan memilih kerajaan baru dalam pilihan raya akan datang. Umno BN mesti berundur, mereka sudah tidak layak lagi mentadbir Malaysia dengan prestasi yang sangat buruk,” ujarnya

Mengenai insiden yang berlaku itu, beliau berkata, Ketua Polis Perak, Datuk Shukri Dahlan mesti bertanggungjawab dengan insiden yang berlaku itu.

Justeru, katanya mahasiswa desak agar Ketua Polis Perak itu membuat siasatan dan mengambil tindakan terhadap anggota beliau yang memukul dan menerajang peserta demonstrasi.

Katanya, Shukri tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan nafi berhubung dengan kejadian yang berlaku, yang menjelaskan lagi sifat tidak profesional pihak PDRM bekerja.

Menurutnya, mahasiswa bukan golongan penjenayah, mahasiswa hadir hanya berbekalkan suara dan kain rentang, pihak polis tidak wajar membuat kekerasan sedemikian

Selain itu juga, ujarnya mahasiswa mendesak agar Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Timbalan Presiden Gamis merangkap Pengerusi Bebas khususnya dan juga seluruh mahasiswa Malaysia umumnya atas kekasaran anggota polis itu.

“ Amaran keras kepada pentadbiran Malaysia, bahawa kecaman dan kekerasan yang dibuat oleh pihak polis tidak lagi menjadi halangan bagi seluruh mahasiswa bahkan ia menambahkan lagi semangat kami untuk terus bersatu dalam membebaskan mahasiswa daripada belenggu kezaliman,” tegasnya.

Beliau menambah, perjuangan mahasiswa menuntut kebebasan akademik juga akan terus membara di seluruh pelosok negara dan tidak sekali-kali akan terhenti.

80,000 di Countdown 2012 kerajaan Selangor

Gandingan dua selebriti hebat dari latar belakang berbeza, penceramah bebas Ustaz Azhar Idrus bersama pelakon, pelawak dan pengacara, Zizan Raja Lawak berjaya menarik kehadiran kira-kira 80, 000 orang ke Program Countdown 2012 di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam, malam tadi.

Difahamkan, jumlah ini jauh lebih memberangsangkan berbanding jumlah kehadiran ke program "Karnival Sayangi Selangor" dan sambutan malam tahun baru anjuran kerajaan BN di I-City yang dianggarkan sekitar 5,000 sahaja, meskipun dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri sendiri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tinjauan rawak ke laman-laman blog bukan politik hari ini juga mendapati rata-rata penulis mengulas mengenai kemeriahan program malam tadi serta memuat naik gambar-gambar dan video sekitar program.

Antara yang diulas adalah mengenai keserasian Ustaz Azhar dan Zizan sewaktu forum soal jawab agama berlangsung dan petikan gitar oleh Ustaz Azhar sendiri.

Kemeriahan program turut diserikan dengan kehadiran bekas gitaris kumpulan Kamikaze, Shamril Salleh atau Sham Kamikaze yang sudah melakukan penghijrahan, pendakwah bebas, Ustaz Syed Nor Hisham Tuan Padang, juara program realiti tv pencarian imam muda, Imam Muda Ashraff serta selebriti Astro Oasis, Akhil Haiyy.

Rata-rata mereka juga mengharapkan program seperti ini yang menampilkan hiburan mendidik jiwa diteruskan oleh Kerajaan Negeri Selangor dan juga negeri-negeri lain.

Ini membuktikan rakyat malaysia khususnya anak muda mula meminati program-program mendidik apatah lagi jika ianya ditampilkan "kena dengan caranya".

Antara pimpinan Pakatan Rakyat Selangor yang hadir malam tadi ialah Exco Kerajaan Negeri, Dr. Halimah Ali, Haniza Talha dan Yaakob Safari serta Pesuruhjaya PAS Shah Alam, Khalid Samad. -HD












Bersediakah PR Untuk Memerintah?

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEh2JBFFETjnHefF-4cgu-LmFw86VfGd_ab33bBrippZcXa8xwvEYFs_QDZB9x0WE8Vn_SjMxQ99d4zVIC2xpoPmKGYt56n3JfNgZURfDZO69ws_A9L_GPgAzqdeBYURPe8iTfKsSRpFUm8/s1600/Pakatan.jpgApakah semua pihak bersedia untuk perubahan apabila Pakatan Rakyat(PR) memenangi tampuk pemerintahan negara nanti? Apakah pemimpin parti komponen PR telah bersedia untuk memerintah dan menangani isu-isu semasa dengan kaedah dan cara yang berbeda dari budaya yang diamalkan oleh UMNO-BN?

Dan apakah penyokong yang memilih PR dan sekali gus menolak UMNO-BN sudah bersedia untuk menghadapi kaedah dan cara pemerintahan baru yang dibawa oleh PR.?

Begitu juga apakah seluruh rakyat dan seluruh sistem pentadbiran pusat termasuk kehakiman, keselamatan dan seluruh jentera pentadbiran negara telah bersedia menerima dan mengamalkan budaya baru yang cuba dibawa oleh PR yang jelas digariskan di dalam Buku Jingga?

Setelah 52 tahun dibelenggu oleh pemikiran, kaedah, cara dan budaya pemerintahan UMNO-BN sudah pasti semua pihak mengharapkan satu perubahan. Namun pada hakikatnya semua pihak telah mangli dan sebati dengan model demokrasi dan pendekatan pemerintahan UMNO-BN sehingga rata-rata menganggap itulah cara dan kaedah yang betul walaupun mereka bercakap tentang perubahan. Dan paling malang ramai yang menganggap itulah sistem dan cara yang terbaik bagi Negara majmuk seperti Malaysia.

Dalam apa sistem pemerintahanpun ada tiga pihak yang mempunyai kepentingan: Pemerintah atau pemimpin parti yang memerintah; penyokong dan aktivis parti pemerintah; rakyat biasa.

Kumpulan seminat ini (interest group) mempunyai matlamat yang hampir serupa tetapi tidak sama. Adalah satu kesilapan besar bagi mana-mana pihak pemerintah yang menganggap bahawa kemenangan mereka mendapat majoriti kerana mereka mempunyai matlamat yang sama. Dalam sistem pemilihan pemerintah berdasarkan peti-undi percaturan kemenangan sesuatu pihak yang menawarkan diri atau parti bergantung kepada pelbagai faktor. Bagi negara-negara maju sekurang-kurangnya isu ideologi sudah menjadi perkara silam.

Namun bagi negara mundur atau membangun atau separa-maju seperti Malaysia landasan dan alur pemerintahan masih kabur. Isu idelogi masih lagi belum selesai. Pendekatan pemerintahan tentang kebajikan rakyat, pendidikan, jalur ekonomi, hubungan sosial, hubungan etnik, hubungan luar negara, dan pelbagai isu tentang kerakyatan dan kenegaraan masih belum jelas.

Bagi negara maju misalnya AS dan Britain mereka sudah pasti dan kekal dengan sistem dua partinya(walau kini ada parti ketiga di Britain yang mula memecah tradisi ini), ideologi demokrasi leberalisma sekularnya, ekonomi kapitalis dan pelbagai dasar seperti dasar hubungan luar, kerakyatan, keselamatan dan lain-lain telah diterima sebagai mekanisma dan pendekatan pemerintahan yang tetap dan konsisten. Semua ini telah difahami oleh rakyat/pengundi mereka. Yang tinggal untuk dikempen dan dijadikan isu dalam pilihanraya adalah isu-isu semasa seperti pendekatan baru dalam bidang pendidikan, keselamatan sosial, dasar percukaian dan keselamatan semasa tanpa menyentuh perkara asas dalam sistem demokrasi ala mereka. Misalnya Perdana Menteri Tony Blair, walau begitu popular sehingga menjadi Perdana Menteri Britain termuda dan paling lama memerintah kecundang dalam mempertahankan kerajaan Parti Buruhnya kerana dasar luar berkaitan Iraq.

Barrack Obama menang dalam pilihanraya bukan kerana dia berjanji untuk mengubah dasar AS berkaitan negara Palestin dan meminggir Israel (mana-mana bakal calon Presiden Amerika yang dilihat meminggir Negara Yahudi dalam dasarnya dari awal lagi pasti tidak terpilih oleh parti Demokrat atau Rebublican untuk bertanding oleh partinya). Sebab itu Obama dengan keras mahu memveto cita-cita Palestin untuk menjadi anggota penuh PBB kerana dasar Amerika berkaitan Israel sudah terlalu jelas.

Rakyat mereka faham bahawa dasar teras kenegaraan mereka masih sama. Yang menjadi percaturan sekadar isu-isu sekunder yang tidak membawa implikasi besar kepada sistem pemerintahan dan rakyat. Oleh itu walau parti mana yang memerintah ia tidak banyak memberi implikasi drastik kepada rakyat.

Sebaliknya bagi negara seperti kita dan lain-lain negara membangun risiko pertukaran kerajaan amat besar. Rata-rata rakyat/pengundi yang telah diasuh dan membesar dalam sistem demokrasi ala UMNO/BN kelihatan masih enggan mengambil risiko walau sudah wujud perubahan agak drastik pada PRU 12. Namun bukan satu perkara mustahil jika rakyat sekadar mahu berubah angin dan merisik-risik apa yang pihak lain boleh memberi jika diberi peluang. Dan inilah yang menjadi persoalan: apakah semua pihak bersedia setelah ada petanda jelas bagi pihak PR untuk memerintah.

Semua pihak menyadari hakikat bahawa kerajaan BN?UMNO telah memerintah lebih setengah abad dengan kuasa yang cukup kukuh dan bagi sesetengah pihak menganggap ianya merupakan kuasa yang hampir mutlak dan berlebihan sehingga menggugat falsafah dan prinsip demokrasi. Dengan kuasa majoriti lebih dari dua pertiga pemerintah boleh sahaja meminda dan menggubal segala macam undang-undang dan peraturan bagi mengukuhkan kedudukan mereka. Di samping itu mereka juga menguasai semua media perdana hingga khalayak hampir buta dan pekak terhadap suara yang mahu membawa perubahan atau melihat dari sudut yang laian.

Dalam demokrasi ala UMNO/BN pusat kuasa berpaksikan kuasa mutlak PM dalam semua hal. Bukan sahaja perkara besar seperti menentukan tarikh pilihanraya, menentukan siapa Ketua Hakim Negara, mengubah bahasa dari Melayu ke Inggeris dalam pendidikan, malah siapa patut mendapat projek apa pun ditentukannya. Sungguh hebat kuasa PM Malaysia sehingga nama pusat hentian bas Puduraya yang begitu sebati ditukar ke Pudu Sentral kerana sekadar mahu respon kepada permintaan seorang rakan fbnya(Tak hairanlah dahulu ada Menteri Besar yang tidak berapa cerdik dengan tidak sekonyong-konyong menukar nama Alor Setar kepada Alor Star tanpa merujuk kepada pakar dan rakyat terlebih dahulu)

Namun apabila dunia secara mendadak menghadapi ledakan maklumat dan keruntuhan sempadan serta rempuhan globalisasi dunia terbuka telah mengubah segala-galanya. Menyadari hakikat inilah maka pemerintah negara-negara dunia ketiga mulai gusar dan terpaksa melonggarkan cengkaman terhadap rakyat. Tiba-tiba kerajaan yang dahulunya begitu bebal dan kebal dengan kuasanya menjadi lunak terhadap permintaan rakyat. Status rakyat kononnya sebagai penentu yang memilih kerajaan mulai diiktiraf secara lebih serius berbanding dahulu di mana rakyat boleh sahaja dianggap sebagai peminta sedekah dan kerajaan sebagai pemberi dan penentu nasib masa hadapan rakyat.

Testimoni akibat perubahan ini terbukti dengan pertukaran kerajaan di negara dunia ketiga dan akhir-akhir ini hampir semua negara-negara kuku-besi di Asia Barat sudah runtuh atau hampir runtuh dan bahangnya terasa di mana-mana. Sebahagian besar negara-negara tersebut berselindung di sebalik sistem demokrasi dan kebanyakannya pula mendapat perlindungan(patronage) Uncle Sam@US.

Bagi Negara Malaysia yang tercinta ini rakyat masih berhati-hati dan sebahagian yang masih mangli dan tegar mulai menggunakan daya berfikir dan sedang memikir. Namun apakah mereka sudah bersedia.

Pihak pertama: Pemerintah/pemimpin parti. PR telah menerbitkan buku JIngganya sebagai janji yang komprehensif untuk mentransformasikan Negara dan sistem pentadbiran Negara. Walaupun ianya mungkin jika semua pemimpin PR benar-benar faham dan sanggup membuat pengorbanan besar dari segi ideologi parti masing-masing sehingga secara ijmak mereka menggunakan upaya politik (political will) bagi menginstitusikan perubahan berkaitan. Yang menjadi persoalan adakah mereka bersedia untuk memisahkan diri dari gaya dan cara UMNO/BN tanpa mengira risiko politik kendiri. Sebagai contohnya sanggupkah pemimpin PR meletak jawatan apabila berlaku sebarang musibah atau kemalangan akibat kecuaian kementerian yang dipimpinnya. Biasanya apabila perkara seperti ini berlaku maka pemimpin pembangkang selalu mendesak Menteri BN meletak jawatan.

Pihak Kedua: Penyokong dan aktivis parti PR. Penyokong dan aktivis parti pemerintah di bawah BN biasanya mendapat pelbagai `gula-gula` dan `madu` dalam bentuk projek, jawatan dalam GLC atau kenaikan pangkat atau macam-macam lagi ganjaran hanya kerana menjadi aktivis parti komponen BN. Apakah PR pun akan membuat demikian? Jika diamati di negeri-negeri yang diperintah PR unsur atau gejala ini memang sudah diikuti walaupun tidak sesembrono UMNO/BN. Namun inilah yang akan menimbulkan kekecewaan rakyat nanti dan menjadi senjata yang boleh menikam diri. Rakyat dan pembangkang akan berkata `apa bezanya dengan perangai BN/UMNO semasa mereka memerintah dahulu?`

Pihak Ketiga: Rakyat biasa. Selama 52 tahun mereka ini rata-rata tidak kisah selagi perut kenyang, ada wang secukup makan-pakai dan dapat hidup aman(tak semestinya makmur). Selama 52 tahun rakyat biasa menerima sahaja segala alasan yang disogok oleh kerajaan kerana itulah sahaja maklumat yang mereka ada yang disumbat ke telinga mereka oleh media cengkaman pemerintah. Tetapi rakyat di bawah pemerintahan baru nanti tidak semudah itu. Mereka sedikit sebanyak sudah belajar mendesak daripada pembangkang yang kini pula menjadi pemerintah. Namun persoalan besar adakah mereka sudah bersedia untuk menjadi rakyat yang bermaklumat dan mempunyai kebebasan yang akan diberi oleh kerajaan PR dan bersedia pula untuk menerima demokrasi model baru yang lebih terbuka.

Walau apapun tanggapan dan harapan semua pihak, yang pasti apabila PR memerintah di peringkat pusat nanti masanya sudah tiba bagi rakyat Malaysia `bermain` politik dalam gelanggang dan padang baru yang lebih luas, lebih rata dan tidak licin seperti sekarang. Pengalaman PR memerintah beberapa buah negeri dan kewibawaan kepimpinan PR tidak boleh diperlekehkan. Apa yang perlu hanyalah peluang dan kematangan.

-DD

Video Detik Cemas Perhimpunan Mahasiswa UPSI

Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah (DPPNK) amat kesal, dukacita dan amat marah terhadap pihak kerajaan Barisan Nasional dengan tindakan yang cukup tidak bertamadun, zalim dan kotor terhadap mahasiswa yang memperjuangkan hak kebebasan akademik.

Ketua Penerangannya Mohd Nasir Zakaria berkata penahanan 17 orang mahasiswa yang berhimpun secara aman di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta kecederaan yang dialami oleh dua orang mahasiswa adalah lambang kemunduran demokrasi Malaysia.

Justeru, DPPNK katanya menuntut Kerajaan Barisan Nasional dengan serta merta bertindak:

- Bebaskan semua mahasiswa yang ditahan tanpa syarat.
- Menghapuskan serta-merta akta zalim Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
- Hapuskan serta-merta Akta Perhimpunan Aman.
- Membayar semua kos rawatan perubatan bagi mahasiswa yang cedera.
- Memohon maaf kepada semua mahasiswa dan rakyat Malaysia

"Sekali lagi DPPNK mengutuk sekeras-kerasnya tindakan zalim pihak kerajaan. Kami juga menyeru seluruh mahasiswa dan rakyat bangkit menghentikan segala kezaliman Barisan Nasional," katanya yang juga ahli parlimen Padang Terap.

Katanya, PRU-13 adalah peluang bagi rakyat menamatkan segala kezaliman yang berlaku sejak sekian lama.

Sehubungan itu juga beliau menasihatkan mahasiswa tidak patah semangat dan terus berjuang demi negara.

"Bergeraklah ke seluruh pelusuk negara; kampung, desa, tanah rancangan, bandar dan bandaraya.

"Harunglah sungai, denai, bukit dan lembah. Berilah peringatan kepada yang alpa. Sedarkanlah mereka yang lena," katanya.


Jangan layan mahasiswa cara 'kebinatangan'

Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah hari ini mengutuk sekerasnya tindakan keganasan terhadap sekumpulan mahasiswa yang menyertai himpunan aman di hadapan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Ketuanya, Lahirul Latigu berkata, tindakan memukul dan membelasah mahasiswa tersebut untuk menyeleraikan mereka sebagai satu tindakan yang bersifat ‘kebinatangan’ dan terkeluar dari norma manusia beragama.

“Tindakan tidak berperikemanusiaan dan lebih kepada kaedah ‘kebinatangan’ dalam menyuraikan kemaraan mahasiswa dan anak muda ini,” katanya.

Menurutnya, polis perlu menghormati peruntukkan yang sedia ada dan tidak sepatutnya dalam keadaan jahil dengan menuruti apa sahaja kehendak parti politik tertentu.

“Jangan jadi budak hingusan kepada Umno BN. Tugas anda menyelamatkan hak rakyat… bukan melindungi pemimpin zalim.

“Berlaku adillah kepada semua pihak,” tegas beliau.

Beliau turut menyifatkan agenda transformasi politik yang dilaungkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hanya politik murahan yang sebenarnya langsung tidak membawa apa-apa pengertian.

“Jangan termasuk dikalangan petanda dan ciri-ciri golongan munafik. Apabila bercakap, tidak menepati apa yang diucapkan.

"Sudah-sudahlah berjanji menggula-gulakan kehidupan rakyat,” ujarnya.

Tambah beliau, insiden yang berlaku terhadap mahasiswa bukan sahaja dirasai golongan itu, malah turut dirasai golongan anak muda seluruh negara.

Dalam insiden malam tadi, kira-kira 17 mahasiswa ditahan dan dua orang cedera parah dalam perhimpunan aman Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, malam tadi. -HD

Rasuah : Selangor tuntut bukti dari RPK

http://hornbillunleashed.files.wordpress.com/2010/09/rpk-hardtalk.jpgKerajaan Selangor menuntut penulis blog terkenal Raja Petra Kamarudin mengemukakan butiran terperinci berhubung dakwaan berlakunya amalan rasuah di negeri itu melibatkan "usahawan Cina".

Setiausaha politik kepada Menteri Besar Selangor Faekah Husin berkata, ini kerana dakwaan berlakunya pemberian "duit kopi" untuk mendapatkan projek merupakan tuduhan yang serius.

"Kami menuntut RPK (Raja Petra) untuk tampil memberikan butiran lanjut kepada kerajaan negeri dan pihak berwajib agar penyiasatan terperinci dapat dilakukan," katanya.

Dalam wawancara eksklusif di Utusan Malaysia semalam, Raja Petra dilaporkan mendakwa terdapat ahli perniagaan Cina di Selangor bertemunya dan memberitahu mereka masih perlu membayar bawah meja RM2 juta, seperti amalan bawah pentadbiran lalu.

"Semua kata mereka ini benar dan mereka ingin beri saya buktinya. Saya tanya mereka, apa yang mereka hendak saya lakukan? Mereka beri saya bukti itu dan saya siarkan di dalam Malaysia Today. Orang akan kata saya Trojan Horse. Orang akan kata saya sudah kena beli," beliau dipetik sebagai berkata.

Raja Petra juga dilaporkan menafikan terdapat perubahahan drastik di negeri itu dan amalan rasuah masih berada di tahap sama dan rakyat masih perlu bayar di bawah meja untuk selesaikan sesuatu hal.

Sedia bayar kos pulang

Dakwanya lagi, orang Cina di Selangor sudah tidak gembira dan tidak puas hati kerana perniagaan mereka didakwa jammed.

Dalam kenyataannya hari ini, Faekah berkata, kerajaan selangor juga bersedia membayar kos perjalanan Raja Petra pulang ke tanah air untuk mendapatkan maklumat itu.

Katanya, ia sebahagian daripada peruntukkan RM15 juta yang diluluskan dalam belanjawan negeri lalu bagi tujuan membasmi rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

"Sesungguhnya inilah sekecil-kecil jasa yang beliau boleh lakukan untuk membantu kerajaan yang benar-benar mahu membenteras rasuah; apatah lagi beliau sendiri dari darah bangsawan negeri Selangor.

"RPK (Raja Petra) tidak seharusnya melemparkan dakwaan liar hanya semata-mata mahu memperlekeh usaha kerajaan negeri untuk mewujudkan sebuah pentadbiran yang baik, bersih dan penuh pertanggungjawaban," katanya.

Faekah berkata, meskipun menghormati hak Raja Petra melakukan analisa politik, namun beliau musykil dan hanya peulis blog itu seorang sahaja mengetahui logik sebenar kenyataan tersebut.

'Kekecewaan dalam buangan'

Pada masa yang sama saya, pegawai kanan Tan Sri Khalid Ibrahim Ibrahim itu berkata, rakyat boleh menilai sendiri kenyataan dan dakwaan tersebut yang disiarkan di beberapa lagi akhbar arus perdana yang dulunya "mengkritik dan mengutuk RPK secara keras".

"Walau apa pun sebab yang membawa kepada tindakan akhbar-akhbar tersebut bertukar selera serta ghairah memberi keistimewaan kepada RPK, yang pasti RPK harus bertanggungjawab ke atas apa yang beliau telah katakan," kata Faekah.

Dengan nada sini, Faekah berkata beliau "simpati" dan "amat memahami" kekecewaan Raja Petra yang hidup "terpaksa hidup dalam buangan di tengah-tengah permasalahan peribadi".

Bagaimanapun, tambahnya, tindakan melemparkan "dakwaan liar" tidak akan membantu membawanya pulang, sebaliknya hanya mencemarkan lagi imejnya.

"Rata-rata teman reformasi yang sempat dihubungi serta rakyat biasa, telah pun membuat kesimpulan bahawa RPK begitu terdesak serta mengharapkan kebebasan dan dibenarkan pulang ke negara ini.

"Insuransnya mudah; tohmahan dan fitnah terhadap kerajaan negeri Selangor dan Penasihat Ekonomi Negeri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai serangan awal menghadapi pilihan raya umum," katanya. -MK

Bawa Anak Ke Hotel Bajet Buat Maksiat

KLUANG: Seorang ibu muda yang masih dalam proses perceraian tergamak membawa anaknya yang baru berusia setahun ketika memadu asmara semasa menyambut tahun baru di sebuah bilik hotel bajet di sini bersama seorang duda beranak satu yang juga turut membawa anaknya yang berusia lima tahun, pagi semalam.

Namun, helah pasangan itu yang pada mulanya mengaku sebagai pasangan suami isteri gagal mengaburi pasukan penguat kuasa Majlis Agama Islam Daerah Kluang apabila mereka akhirnya ditahan kerana disyaki berkhalwat selepas gagal menunjukkan sebarang bukti ikatan perkahwinan mereka.

Ketika serbuan dijalankan sekitar hotel bajet itu, pasangan terbabit mengambil masa hampir 20 minit sebelum membuka pintu selepas pegawai bertugas mengetuk bilik mereka.

Sebaik pintu dibuka duda berusia 29 tahun itu dilihat hanya memakai seluar pendek dan kemeja yang tidak berbutang dan ibu muda 24 tahun itu memakai seluar ketat dan kemeja, manakala kedua-dua anak itu sedang tidur di atas katil.

Pegawai Penguat Kuasa Majlis Agama Islam Daerah Kluang, Ustaz Anuar Kosnin yang mengetuai operasi cegah maksiat ambang tahun baru itu berkata, pasangan terbabit yang mengaku dalam perjalanan dari Pahang ke Batu Pahat itu memberi alasan keletihan dan hanya singgah berehat di hotel berkenaan.

“Bagaimanapun mereka ditahan kerana disyaki berkhalwat apabila hasil soal siasat akhirnya mereka mengaku tidak mempunyai sebarang ikatan sah suami isteri, selain mengaku akan berkahwin tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui pada operasi cegah maksiat selama enam jam di sekitar daerah ini.

Dalam operasi cegah maksiat bersepadu sempena sambutan tahun baru yang dijalankan bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Cawangan Penyiasatan Khas Kem Mahkota bermula jam 12 tengah malam sehingga 6 pagi, tiga pasangan lain termasuk dua pasangan warga Indonesia ditahan.

Sementara itu, dalam tangkapan berasingan yang dilakukan di Simpang Renggam, sepasang kekasih berusia 35 dan 24 tahun, masih tidak serik apabila ditangkap berkhalwat untuk kali ketiga.

Pasangan itu yang juga pekerja di sebuah kilang papan dikenali di kalangan penguat kuasa agama daerah ini kerana pernah diberi kaunseling dan nasihat di hadapan keluarga masing-masing sebelum ini.

Ketika ditahan pihak berkuasa, pasangan itu langsung tidak menunjukkan reaksi cemas, sebaliknya sanggup memberi alasan mahu melepaskan rindu.

Malah, turut memanggil nama timangan masing-masing iaitu 'papa dan mama' di hadapan semua pegawai operasi yang bertugas tanpa rasa bersalah dan janggal ketika soal siasat dijalankan.

Semua pasangan itu akan didakwa mengikut Seksyen 27 (1) (a) & (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997, yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan. -BH