Tuesday, December 3, 2013

Mahathir Lupa Korupsi Dizamannya Belum Selesai

Dr Mahathir Mohamad berkata amalan korupsi di negara ini kian bertambah dan undang-undang berkaitan dengannya kurang licin tidak seperti zamannya. Aduh, enak dan sedap sekali bicara Pak Mahathir. Sayang beliau tidak mengemukakan bukti atau fakta 'kegiatan' korupsi serta tangkapan dan hukuman di sepanjang tempoh beliau menjadi perdana menteri, 1982 hingga 2002.

Logiknya kerana Mahathir lama berkhidmat sebagai perdana menteri berbanding dengan Abdullah Ahmad Badawi lebih kurang empat atau lima tahun dan Najib baru empat tahun tentu era beliau lebih banyak kejadian korupsi berbanding dengan zaman Abdullah dan Najib.

Di zaman Abdullah juga berlaku pindaan akta BPR menjadi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dimana suruhjaya itu diwujudkan untuk memberi kesan pencegahan lebih efektif lagi.

Najib baru menjadi perdana menteri empat tahun, logiknya tentulah kes-kes rasuah di zaman Najib berkurangan berbanding dengan Mahathir. Apakah Mahathir membuat perbandingan itu dari jumlah nilai korupsi seperti mana didedahkan pembangkang mengenai pembelian peralatan senjata (kapal selam, kereta kebal dan sebagainya) untuk negara dan sebagainya?

Dakwaan Mahathir itu harus dikemukakan bukti dan juga data-data yang jelas bagi menyakinkan orang ramai dan bukan berilusi semata-mata. Mengenai kelicinan undang-undang berkenaan dizamannya ia boleh dipertikaikan, begitu juga dengan hukuman. Ada beberapa kes yang sudah menjadi lagenda seperti kes membabitkan Rafidah Aziz, mendiang Eric Chia Perwaja atau pun kes membabitkan Rahim Noor dan peguam negara Ghani Petail yang masih diperkatakan sampai sekarang ini.

Apakah Mahathir lupa kejadian atau kegiatan mega itu semuanya berlaku pada zamannya?

Mahathir membuat dakwaan demikian sebagai mengulas mengenai laporan indeks persepsi korupsi dunia yang akan dikeluarkan esok. Mahathir tentulah dituntut bukan bercakap sesedap mulut sahaja tetapi hendaklah memberi bukti dan dalil-dalilnya.

-msomelayu

Tiong Lai lancar manifesto bertanding jawatan presiden

Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai (gambar) yang mahu bertanding jawatan presiden pada pemilihan parti 21 Disember ini berjanji untuk melaksanakan sembilan misi utama bagi melakukan transformasi terhadap parti sekiranya terpilih.

Manifesto beliau yang bertemakan “Untuk generasi kita akan datang, Lakar laluan baru” mahu mengukuh kedudukan dan kuasa parti selain meningkat program kepimpinan parti.

Perubahan dalam parti perlu telus dan bertanggungjawab kepada umum, katanya semasa melancarkan manifestonya di ibu pejabat MCA di Kuala Lumpur hari ini.

Liow turut menyeru bakal perwakilan agar bersatu dan melakukan perubahan.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, beliau yakin para perwakilan dapat membuat keputusan bijak dengan memilih pemimpin yang sesuai untuk menerajui parti.

Pemilihan bagi jawatan presiden dijangka bakal turut disertai bekas presiden Datuk Seri Ong Tee Keat serta Naib Presiden Gan Ping Sieu. – Bernama / TMI

Dr M: Rasuah Bertambah Tak Seperti Masa Saya

Tun Dr Mahathir Mohammad berkata, amalan korupsi di Malaysia semakin bertambah dan pelaksanaan undang-undang berkaitan kurang licin dan mengambil masa lama, tidak seperti pada zaman pemerintahannya.

Justeru, mantan perdana menteri berkata, penting supaya persepsi masyarakat melihat tindakan segera kerajaan dalam membanteras amalan tersebut.

"Ia (rasuah) banyak bergantung pada undang-undang dan hukuman.

"Salah satu perkara yang paling penting untuk membanteras korupsi ialah untuk mempercepatkan proses siasatan," kata beliau pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Mahathir berkata demikian dalam komen mengenai laporan indeks persepsi korupsi dunia yang bakal dikeluarkan esok.

Idea bendung korupsi dalam Umno

Bekas pengerusi Umno itu juga menyatakan politik wang dalam pemilihan parti itu baru-baru ini makin berkembang.

Bagaimanapun beliau tidak mahu mengulas lanjut tetapi menawarkan diri untuk bersama memberi penyelesaian masalah itu.

Beliau berpendapat walaupun corak pemilihan Umno telah bertukar, namun masalah masih wujud dan berkembang.

"Saya ada idea dan akan cari platform untuk jelaskan idea tersebut, idea untuk bendung korupsi dalam Umno dan negara," kata beliau. -MK

Laut Ke-4 Terbesar Dunia Yang Telah Hilang Pada Tahun 2008

Laut Aral terletak di antara Kazakhstan dan Uzbekistan, dan ia pernah memegang gelaran laut ke-4 terbesar di dunia. Kebanyakan orang hari ini tidak pernah mendengarnya.

Lautan berkeluasan 68,000 kilometer persegi ini pernah menjadi lokasi industri perikanan yang berkembang maju, kini merupakan laut yang hanya 10% daripada saiz asal, terlalu masin dan tercemar untuk menyokong kehidupan ikan dan haiwan-haiwan air yang lain.

Kini 90% airnya telah kering dan menjadikan kawasan itu seperti gurun padang pasir yang tandus.


Kematian Laut Aral disebabkan terutamanya oleh peralihan daripada pemasukan sungai Amu Dar’ya dan Syr Dar’ya pada tahun 1960 untuk menyediakan air pengairan untuk tanah pertanian tempatan.

Aliran air secara mendadak ini mengurangkan aliran sungai, menyebabkan Laut Aral mengecut sebanyak lebih daripada 50%, kehilangan dua pertiga daripada jumlah itu, dan sangat meningkatkan tahap kemasinannya. Pada kadar semasa penurunan, Laut Aral mempunyai potensi untuk hilang sepenuhnya menjelang 2020!

Kini yang tinggal adalah padang pasir yang tandus, dengan kapal-kapal besar terdampar di atasnya…

sumber : carigold/fuh.my

PELAKON Fast & Furious, Paul Walker yang meninggal

PELAKON Fast & Furious, Paul Walker yang meninggal dalam nahas kereta semalam disahkan bukan pemandu Porsche Carrera GT yang terlibat dalam kemalangan tersebut.

Perkara itu disahkan wakil Paul dalam satu kenyataan, lapor TMZ.

“Dia (Paul) adalah penumpang di dalam kereta milik kawannya itu di mana kedua-duanya meninggal dunia.


“Saksi di tempat kejadian menyangka kenderaan itu milik Paul namun telah disahkan ia bukan milik Paul,” katanya.

Tambahnya, “Paul menghadiri majlis amal untuk organisasinya, Reach Out Worldwide”.

Tengah hari semalam, kemalangan melibatkan satu kenderaan itu berlaku di Selatan California.

Pemandu hilang kawalan dan melanggar pokok kemudiannya kereta itu terbakar.

Punca utama kemalangan masih belum jelas namun pihak polis tidak menolak kelajuan menjadi punca utama.

Menurut rakaman video yang disiarkan TMZ, rakan-rakan dan pekerja-pekerja Paul cuba menyelamatkannya daripada terperangkap dalam kebakaran kereta tersebut namun gagal.

Paul turut disahkan berada di tempat duduk penumpang dan ketika mereka tiba di tempat kejadian, Paul berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Paul berusia 40 tahun dan meninggalkan anak perempuan berusia 15 tahun, Meadow.



Sinar Harian

Pakatan, pakar perangkap diri sendiri?

Dua tahun lalu, cadangan Perdana Menteri mengesyorkan kenaikan elaun untuk ahli Parlimen mendapat tentangan hebat daripada Pakatan Rakyat (PR).

Tidak jelas apakah ketika itu PR membantah kenaikan gaji atau kerana masa kurang sesuai untuk kenaikan gaji atau kerana semata-mata BN yang mengumumkan kenaikan gaji atau kerana kerajaan tidak mampu atau kadar gaji dinaikkan atau sekadar untuk keuntungan politik kerana PRU13 bakal menjelang.

Yang pasti, bantahan itu lebih berbentuk politik daripada persoalan yang sebenar iaitu – apakah perlu elaun itu dinaikkan? Apakah beban kewangan yang ditanggung ahli Parlimen sejajar dengan tugas yang dipikul mereka?

Dua perkara pokok ini tidak dibincangkan.

Perkara menaikkan elaun dipesongkan untuk mengambil keuntungan politik pada BN. Keborosan BN dibangkitkan. Maka akhirnya sama-sama merana kerana ahli parlimen PR juga tidak mendapat apa-apa walaupun ramai antara mereka yang merasakan gaji dan elaun yang diterima sebagai satu kezaliman kerana tidak setimpal dengan tugas dan bebanan kewangan yang terpaksa dipikul mereka.

Ahli Parlimen yang mempunyai pekerjaan dan bisnes sendiri seperti peguam sebenarnya tidak berapa mengambil kisah gaji sebagai ahli Parlimen. Tapi ada ahli Parlimen yang betul-betul hanya berkhidmat sebagai ahli Parlimen sepenuh masa sangat memerlukan kewangan tambahan untuk menampung perbelanjaan mereka.

Apabila kerajaan Sarawak menaikkan gaji ketua menteri, para menteri dan Adunnya, PR juga membuat bantahan dan mengambil keuntungan politik daripada episod tersebut.

Betul, kenaikan gaji yang disyorkan Sarawak mungkin mengejutkan ditambah lagi dengan kontroversi kekayaan Taib Mahmud, tapi yang perlu dibahas ialah soalan pokok iaitu apakah gaji lama yang diterima ketua menteri, para exco dan Adunnya setimpal dengan tugas yang dipikul?

Tidak. Perkara itu tidak dibahas. Yang penting ialah keuntungan politik. Dalam mencari keuntungan politik, melihat sesuatu isu secara rasional hilang daripada minda.

Kini kerajaan Selangor pula menaikkan gaji menteri besar, exco dan para Adunnya. Tahniah diucapkan kerana membuat perkara yang betul untuk menyelaraskan gaji supaya setimpal dengan tugas diamanahkan.

Kerana Selangor melakukannya, negeri lain seperti Pulau Pinang, Johor dan Perak turut mengikut jejak yang sama tapi pada kadar berlainan.

Itu menunjukkan penyelarasan gaji ini sebenarnya satu keperluan, ia bukan satu isu politik. Isu ini sama seperti menganiaya seseorang pekerja dengan gaji yang rendah. Adalah satu kezaliman untuk membayar kurang daripada sepatutnya kepada tugas yang dilakukan.

Oleh itu, menaikkan gaji Adun dan ahli Parlimen ialah satu keadilan dan tidak menyelaraskan gaji lama itu satu kezaliman kerana gaji yang diterima selama ini sememangnya terlalu rendah.

Namun, kenapa perkara semudah ini menyebabkan PR kelihatan terumbang-ambing? Ini semua kerana pendirian yang diambil mereka sebelum ini – PR mengambil keuntungan politik tanpa rasional dan tidak memikirkan akibat di masa depan.

Sekarang PR ingin membantah GST. Malah ada yang mencadang untuk membuat perhimpunan untuk membantah GST. Ini satu lagi kerja yang bakal menjerat diri.

PR membantah GST kerana sistemnya atau kadar GST yang digunakan atau kerana GST diperkenalkan tatkala BN masih kekal boros atau GST akan menghimpit rakyat atau GST sememangnya haram untuk dilaksanakan?

Yang mana satu sebenarnya? Apa sebenarnya yang dibantah oleh PR mengenai GST?

Sebenarnya, PR bukan membantah sistem GST, tetapi kesan GST terhadap bebanan rakyat, terutamanya golongan berpendapatan sederhana dan rendah kerana pendapatan rakyat masih tidak berjaya dipertingkat untuk menampung kesan kenaikan harga barangan akibat GST.

Namun perkara ini sudah ‘lost in translation’ kerana signal yang diberikan PR kepada rakyat ialah seolah-olah GST ini haram dan apabila mereka berkuasa nanti, GST ini bakal dimansuhkan.

Persepsi ini akan menyebabkan rakyat tertanya-tanya apakah di 2018, PR akan berjanji di manifestonya untuk mencabut GST daripada sistem kewangan negara?

Saya yakin tidak. Saya yakin manifesto PR akan kekalkan GST yang sudah terlaksana untuk tiga tahun ketika PRU14 berlangsung. Yang dimainkan hanya kadar GST yang akan dikenakan. Jika BN kata 6 peratus, PR mungkin kata 3 peratus beserta hujah daripada pakar mereka.

Oleh itu, PR kena berfikir sebelum bertindak. Usah masuk jerat diri sendiri lagi seperti isu kenaikan gaji di Selangor sebab dalam perang persepsi, tiada yang lebih berat daripada persepsi menampar muka sendiri.

BN Menang, Tarif Elektrik Pun Naik 15%

Tarif elektrik di Semenanjung Malaysia naik sebanyak 15 peratus atau 4.99sen setiap kilowatt, menjadikan harga baru untuk sekilowatt 38.53sen.

Harga sebelum ini 33.54 sen sekilowatt.

Di Sabah dan Labuan pula, kadar baru naik sebanyak 5sen.

Sebelum ini, Tenaga Nasional Bhd meminta dagangan sekuritinya di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd digantung mulai 2.30 petang hingga 5 petang hari ini.

Penggantungan dua jam setengah itu ialah sementara menunggu pengumuman utama syarikat tersebut hari ini, kata gergasi utiliti itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, lapor Bernama. -mk


Menteri: Peningkatan tarif elektrik munasabah

Malaysia mungkin menaikkan tarif bekalan elektrik antara enam dan tujuh sen bagi satu kilowatt tahun depan, kata Menteri Tenaga. Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Ongkili.

Bagaimanapun, Ongkili berkata kerajaan akan memastikan kenaikan tarif tidak menjejaskan kumpulan berpendapatan rendah.

"Kerajaan masih mengkaji kadarnya. Ia mungkin antara 10 peratus dan 20 peratus," katanya dan menambah angka di bawah 20 peratus adalah munasabah.

"Kadarnya adalah munasabah. Ia merupakan semakan minimum bagi Tenaga Nasional Bhd yang memastikan ia mencerminkan kos modal, pengurusan dan gaji," katanya kepada pemberita, semalam.

Ongkili membayangkan kerajaan akan mengekalkan struktur semasa dengan pengguna yang menggunakan 300 kWh sebulan atau kurang, tidak dikenakan tarif baharu itu.

Oleh itu, tiada kenaikan tarif dijangkakan untuk 75 peratus pengguna isi rumah (4.4 juta pengguna), pengguna 'lifeline' (3.3 juta pengguna) dan pengguna 201-300 kWh (1.1 juta pengguna).

Ongkili menambah, kadar itu juga bergantung kepada sejauh mana kerajaan mahu mengurangkan subsidi dan menyalurkannya kepada pembangunan sosioekonomi.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa memberi isyarat bahawa subsidi akan dikurangkan dan ia akan dilakukan secara berperingkat-peringkat.

Tambahnya lagi, kerajaan membelanjakan kira-kira RM130 juta untuk subsidi setiap tahun untuk tarif manakala selebihnya ditanggung oleh Petronas kira-kira RM8 bilion hingga RM10 bilion setahun untuk sektor tenaga.

Berbanding tarif semasa negara anggota Asean, Ongkili berkata Malaysia lebih rendah berbanding Thailand dan Filipina, namun tinggi berbanding Indonesia memandangkan republik itu merupakan negara yang paling banyak memberi subsidi kepada sektor tenaga.

"Kami (menteri kabinet) akan bermesyuarat minggu ini. Kami akan mengkajinya," katanya.

Kali terakhir tarif elektrik dinafikan pada Jun 2011 apabila harga gas subsidi dinaikkan kepada RM13.70 (mmbtu) daripada RM10.70 mmbtu sebelumnya. - Bernama

Empat Malaikat Yang Mendatangi Orang Sakit

Sakit adalah sunatullah, ketentuan dari Allah swt yang ditimpakan pada manusia.

Memang betul, tidak ada yang menginginkan jadi sakit. Tapi dalam Islam, seperti kita tahu, ada banyak hal yang tersembunyi di sebalik keadaan itu.

Kalau kita tahu sebenarnya tak ada alasan untuk sedih dan mengeluh ketika kita sedang sakit, kerana sebenarnya itu adalah kasih sayang Allah swt pada kita. Kita mengeluh saat sakit kerana kita tak tahu rahsianya.

Sakit, dalam bentuknya yang lain, itu harus disyukuri karena itu adalah bukti kasih sayang Allah pada kita. Allah mengutus 4 malaikat untuk selalu menjaga kita sewaktu sakit.

Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seorang hamba yang beriman menderita sakit, maka Allah memerintahkan kepada para malaikat agar menulis perbuatan yang terbaik yang dikerjakan hamba mukmin itu pada saat sihat dan pada saat waktu senangnya.”

Sabda Rasulullah SAW tsb diriwayatkan oleh Abu Imamah al Bahili. Dalam hadith yang lain Rasulullah bersabda :

“Apabila seorang hamba mukmin sakit, maka Allah mengutus 4 malaikat untuk datang padanya.”

Allah memerintahkan :

1. Malaikat pertama untuk mengambil kekuatannya sehingga menjadi lemah.

2. Malaikat kedua untuk mengambil rasa lazatnya makanan dari mulutnya

3. Malaikat ketiga untuk mengambil cahaya terang di wajahnya sehingga berubahlah wajah si sakit menjadi pucat lesi.

4. Malaikat keempat untuk mengambil semua dosanya, maka berubahlah si sakit menjadi suci dari dosa.

Tatkala Allah akan menyembuhkan hamba mukmin itu, Allah memerintahkan kepada malaikat 1, 2 dan 3 untuk mengembalikan kekuatannya, rasa lazat, dan cahaya di wajah sang hamba.

Namun untuk malaikat ke 4, Allah tidak memerintahkan untuk mengembalikan dosa-dosanya kepada hamba mukmin. Maka bersujudlah para malaikat itu kepada Allah seraya berkata : “Ya Allah mengapa dosa-dosa ini tidak Engkau kembalikan?”

Allah menjawab: “Tidak baik bagi kemuliaanKu jika Aku mengembalikan dosa-dosanya setelah Aku menyulitkan keadaan dirinya ketika sakit. Pergilah dan buanglah dosa-dosa tersebut ke dalam laut.”

Dengan ini, maka kelak si sakit itu berangkat ke alam akhirat dan keluar dari dunia dalam keadaan suci dari dosa sebagaimana sabda Rasulullah SAW : “Sakit panas dalam sehari semalam, dapat menghilangkan dosa selama setahun.”

“Tiada seorang mu’min yang ditimpa oleh lelah atau pe­nyakit, atau risau fikiran atau sedih hati, sampaipun jika terkena duri, melainkan semua penderitaan itu akan di­jadikan penebus dosanya oleh Allah,” (HR Bukhari-Muslim).

“Jika sakit seorang hamba hingga tiga hari, maka keluar dari dosa-dosanya sebagaimana keadaannya ketika baru lahir dari kandungan ibunya,” (HR Ath-Thabarani).

“Penyakit panas itu menjaga tiap mu’min dari neraka, dan panas semalam cukup dapat menebus dosa setahun,” (HR Al-Qadha’i). -islampos

Tiga Beradik Ditemui Mati, Teman Lelaki Dicari

Polis Kedah sedang mencari teman lelaki kepada salah seorang daripada tiga kanak-kanak perempuan yang ditemui mati di sini, untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim, berkata teman lelaki mangsa, Norsyafika Nadia Rosdi, 14, dipercayai berada di Perlis dan polis akan menjejaki lelaki berkenaan bagi membantu siasatan menyelesaikan kes berkenaan.

"Setakat ini kita sedang mendapatkan maklumat mengenai teman lelaki mangsa," katanya pada sidang media, di sini.

Beliau berkata, sehingga kini polis belum membuat sebarang tangkapan, namun sudah berjaya mengumpul saksi bagi membantu siasatan.

Katanya, polis juga sedang mencari dan mengumpul beberapa bukti lain bagi mengaitkannya dengan kes pembunuhan itu.

Pada masa sama, katanya proses bedah siasat terhadap dua lagi mangsa Nurul Izati Rusdi, 12, dan Puteri Nurul Akma Rusdi, 3, sudah dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada jam 9 pagi tadi.

"Kita akan mendapat tahu keadaan sebenar mayat selepas bedah siasat selesai dan kita akan maklumkan kelak," katanya.

Beliau berkata, orang awam yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil untuk membantu siasatan.




Perlantikan Ustaz Kazim Dalam MT Umno Kurang Dipersetujui Abangnya

“Secara peribadi saya kurang bersetuju beliau terlibat secara keseluruhan dalam parti,” luah Kapten (B) Datuk Mohd Najmuddin Elias berhubung pelantikan adiknya, Mohammad Kazim sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno.

Mohd Najmuddin berkata, sebagai ahli keluarga, beliau melihat situasi pelantikan itu hanya akan menguntungkan sebelah pihak berbanding tugas pendakwah bebas yang boleh menyebar ilmu kepada kerajaan mahupun pembangkang.

Menurutnya, sekiranya benar perdana menteri mahu menempatkan Ustaz Kazim dalam kerajaan, satu jawatan yang lebih sesuai boleh diberikan agar tugas sebagai pendakwah masih boleh dijalankan tanpa perlu ada ‘double standard’.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan, penerimaan jawatan itu kelak akan mengganggu perjalanan Pusat Pendidikan Al-Barakah yang selama ini di bawah tanggungjawab Ustaz Kazim.

“Buat masa ini, saya tidak mendapat penjelasan dari mana-mana pihak mengenai perkara ini. Saya juga tidak tahu di sebalik perlantikan tersebut.

“Sebagai abang saya tidak bersetuju, kecuali perdana menteri menyediakan satu jawatan yang lebih sesuai agar dia boleh terus berdakwah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Beliau yang juga Pegawai Penerangan Agama Pejabat Menteri Besar Perak memaklumkan akan mengadakan satu sidang media khas bersama seorang lagi adiknya yang juga Adun Kubu Gajah, Ahmad Hasbullah setelah mendapat penjelasan daripada Ibu Pejabat Umno mengenai pelantikan itu.

Mengulas mengenai keahlian Pas, Mohd Najmuddin tidak menafikan Ustaz Kazim pernah menjadi ahli parti itu 15 tahun lepas, bagaimanapun sudah mengisytiharkan diri keluar parti.

“Setahu saya memang (Ustaz) Kazim pernah jadi ahli Pas, tapi dah lama keluar dan sejak itu dia jadi pendakwah bebas,” katanya. -SH