Thursday, January 2, 2014

Tergulingnya Kerajaan BN Oleh Himpunan TURUN?

Heboh di dalam media arus perdana kita mengorkestrakan Perhimpunan TURUN 31 Disember 2013 adalah Perhimpunan GULING kerajaan. Pada saya perhimpunan yang digerakkan oleh beberapa NGO ini berjaya dari segi menghimpunkan puluhan ribu orang yang datang atas kesedaran untuk menyatakan kepada kerajaan betapa rimas dan resahnya rakyat akar umbi dengan kenaikan harga barang, kenaikan kadar TOL, kenaikan tarif elektrik, kenaikan harga petrol, pengurangan subsidi gula dan bermacam-macam lagi yang membabitkan kesengsaraan rakyat menjelang tahun 2014

Di sebalik kejayaan itu, kegagalan yang ketara pula dilihat ialah pihak penganjur gagal mencetuskan huru hara, tiada letupan bom selain percikan bunga api oleh penganjur Ambang Tahun Baru 2014@DBKL. Kegagalan menghuru harakan Dataran Merdeka mungkin mengecewakan juga Utusan Malaysia, Berita Harian, TV3 dan pihak media yang sekutu dengannya, kerana begitu lama mereka cuba memutar belitkan matlamat perhimpunan ini diadakan kononnya di situ akan berlaku insiden kerajaan akan DIGULINGKAN oleh pencetus demonstran termasuk mendakyahkan kononnya akan ada letupan bom.
Semuanya AUTA belaka. Datuk Bandar Kuala Lumpur yang mengetuai pekikan Tahun Baru di atas pentas Dataran Merdeka tidak pun terasa dirinya terancam. Begitu juga rakyat seluruh negara pula dihidangkan dengan siaran secara langsung oleh pihak TV tanpa ada rasa was-was akan mara bahaya yang akan menimpa sambutan Tahun Baru kali ini. Jika benar perhimpunan TURUN ini dianggap bahaya, kenapa Bukit Aman tidak menasihatkan Datuk Bandar dan lain-lain VIP supaya jangan hadir; ataupun nasihatkan sahaja agar 'Konsert Ambang Tahun Baru 2014' itu dibatalkan sahaja?

Jika dilihat propaganda yang diputarkan, Dataran Merdeka bagaikan akan bermandi darah, mungkin juga bangunan DBKL akan dirampas, bangunan warisan Sultan Abdul Samad dan Kelab Selangor yang berdekatan dengan Dataran Merdeka mungkin juga turut menjadi sasaran untuk mencetuskan rampasan kuasa. Di situ juga terlalu dekat dengan Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman, Bank Negara, Bank Rakyat, Bangunan CIMB, Kompleks Kerajaan Jalan Dato' Onn serta pusat-pusat membeli belah di Sogo, Pertama Complex, Stesen LRT di Masjid Jamek juga berdekatan, Pasar Seni, Daya Bumi, Maju Junction, Medan Mara kesemuanya memang boleh dimangsakan jika benar peserta himpunan ini hendak menggulingkan kerajaan. Semuanya mengarut saje.
Siaran berita TV1, TV2 dan TV3 yang dimainkan setiap hari mungkin juga membuatkan denyut nadi emak bapak yang berada di kampung turut menjadi risau. Termiang-miang di benak hati mereka, apakah anak-anak mereka juga terlibat untuk menggulingkan kerajaan? Saya cuma terfikir, apakah kerajaan akan mengisytiharkan darurat, jika benar perhimpunan membela rakyat itu mampu menggulingkan kerajaan?

Jadi, apabila semuanya itu tidak berlaku, bukankah itu hanya suatu gertakan yang hendak menakut-nakutkan orang ramai sehingga warga kota menjadi gelisah tentang keselamatan diri mereka menjelang ambang tahun baru 2014. Jika ia merupakan suatu gertakan untuk menakut-nakutkan rakyat, jelas terbukti strategi dan taktik bodoh itu tidak menjadi, sebaliknya berbondong-bondong rakyat yang menyertainya tanpa rasa takut pun. Mereka memaparkan sepanduk-sepanduk yang bercirikan kekecewaan di atas kenaikan harga barang yang akan berkuatkuasa 1 Januari 2014.

Syukur Alhamdulillah, akhirnya pihak polis bertindak bijak kerana mereka tidak melakukan apa-apa kekasaran yang boleh menyebabkan tercetusnya kekacauan. Tidak ada semburan 'water canon' yang dihalakan kepada para demonstran, tidak ada yang pecah kepala akibat pukulan cota FRU, tidak berlaku keganasan seperti yang disangka, letupan bom juga tidak kedengaran.

Tidak pula kedengaran kereta ambulan untuk membawa demonstran yang tercedera atau yang terbunuh ke hospital. Para demonstran wajarlah berterima kasih kepada pihak polis, kerana keselamatan semua demonstran dan orang awam sentiasa dikawal rapi oleh mereka. Saya tidak bersetuju jika para demonstran tidak dapat menerima hakikat ini!
Walaupun perhimpunan aman ini telah bersurai tanpa insiden berat yang  berlaku, namun saya yakin pihak media terutamanya Utusan Malaysi sentiasa tidak berpuas hati dengan kejayaan Perhimpunan TURUN ini. Tentu ada manipulasi dan putar belit lain yang akan digembar gemburkan dalam melaporkan berita untuk memburukkan keadaan. Media ini tidak pernah positif terhadap mereka, maka sebab itu Utusan sering kalah dalam beberapa kes samannya terutama berkaitan dengan gelombang seumpama ini. Kebencian dan sakit hati terhadap akhbar seperti ini menyebabkan ia menjadi liabliti kepada UMNO dan kerajaan.
Saya juga yakin pihak penganjur tentunya berpuas hati di atas kejayaan mereka itu. Namun yang pasti belum tentu pihak kerajaan boleh akur dengan bantahan dan tuntutan TURUN kerana tuntutan itu dianggap didalangi oleh musuh politik UMNO/BN, walaupun tidak semua tuntutan itu berniat jahat. Apa pun, kita mengharapkan pihak kerajaan dapat mendengar rintihan rakyat dan jangan berlengah untuk melakukan muhasabah agar rakyat tidak merasa kecewa lagi. Jangan biarkan derita rakyat berlarutan, kerana ia boleh membahayakan masa depan UMNO/BN. Wallahu'alam.
Suasana di Sogo
Suasana di Sogo

TURUN : Najwa Latif Jadi Mangsa Fitnah

‘ITU tidak benar. Saya tidak ‘tweet’ sebegitu’. Demikian reaksi penyanyi yang terkenal dengan lagu ‘Cinta Muka Buku’, Najwa Latif berhubung penyebaran mesej bergambar yang menyerupai akaun Twitter miliknya, semalam.

Mesej bergambar itu seolah-olah mendakwa peserta himpunan Turun di Dataran Merdeka semalam melakukan keganasan dan gangguan seksual.

Mesej bergambar itu dikatakan menjadi “viral” di laman sosial dan mendapat kritikan hebat daripada peminat dan peserta himpunan terbabit yang kesal dengan tuduhan liar tersebut malah ia turut mengaitkan seorang isteri pemimpin tertinggi negara.



Najwa atau nama sebenarnya, Imratul Najwa Abdul Latif mendakwa kenyataan yang dimuat naik dengan menggunakan laman mikro, Twitter menyerupai akaunnya itu dipercayai direka oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan tujuan menjatuhkan reputasinya sebagai seorang artis yang berhijab.

Menurutnya, perkara itu disedari pada lewat malam semalam selepas membuat persembahan sempena sambutan ambang tahun baharu 2014 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

“Itu tidak benar, saya tidak ada ‘tweet’ sebegitu, dan saya boleh katakan ia palsu. Setakat ini benda itu tiada dalam Twitter saya sendiri, jadi, saya rasa itu adalah palsu, ada orang lain edit, mungkin menggunakan perisian grafik komputer.

“Semalam, selepas saya buat persembahan di Dataran Merdeka anjuran DBKL dalam pukul 1 pagi saya perasan perkara itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.

Najwa turut menafikan terlibat dengan sebarang aktiviti selepas selesai membuat persembahan di Konsert KL New Year Countdown 2014’ anjuran Dewan Bandar raya Kuala Lumpur (DBKL).

“Saya memang berada di Dataran Merdeka kerana ada persembahan tahun baru. Cuma, saya tidak terlibat dengan apa-apa aktiviti selepas itu.

“Saya menyanyi pada jam 11.15 malam, ketika itu keadaan masih tenang lagi. Tiada apa-apa yang berlaku dan semua orang masih OK. Sekitar jam 11.40 malam saya sudah berada dalam kereta untuk balik,” katanya.

Biarpun perkara tersebut telah menjejaskan reputasinya, namun Najwa tidak berhasrat untuk membuat laporan polis dan sudah memaafkan pelaku tersebut.

“Setakat ini tiada (laporan polis) kerana saya sebelum ini pernah kena, apa pun berlaku saya maafkan.

“Apa pun Tuhan tahu, dan apa yang berlaku semalam, pengurus saya, kakak saya tahu. Tak perlu nak buat fitnah kerana ia boleh menjatuhkan imej orang lain juga. Jadi, berhentilah daripada buat perkara sebegitu,” katanya. -SH

Gambar Palsu Himpunan TURUN Disebar

Gambar kononnya seorang anggota PGA atau DBKL yang disebarkan oleh macai UMNO semalam bukanlah gambar dari dataran, dari maklumat yang diterima dari abang mangsa: gambar tersebut adalah gambar adiknya yang ditetak oleh Lelaki India di Damansara Damai!

Laman sosial facebook macai UMNO tersebut, ANTI Semua Salah UMNO, menyatakan kononnya seorang anggota DBKL cedera teruk di bahagian kepala hingga bercucuran darah seluruh badan terkena batu yang dikatakan dilempar oleh peserta perhimpunan guling kerajaan di Dataran Merdeka malam tadi.

Kemudian pihak polis telah menggunakan gambar tersebut untuk dimuatnaik di dalam facebook Polis Diraja Malaysia dengan mendakwa lelaki yang berdarah itu sebagai salah seorang anggotanya.

Namun kemudian pihak polis telah meminta maaf di atas kesilapan (yang disengajakan?) memuatnaik gambar tersebut.


klik untuk lebih jelas

Sementara itu, tuan empunya badan Zoul Hellme Mustafar di dalam facebooknya bahawa beliau akan membuat laporan polis kerana gambarnya telah disalah-gunakan.

Saya tuan punya badan..yang mana sesuka hati membabit kan sy dlm hal2 perhimpunan haram, saya akan buat report polis.


sila klik untuk lebih jelas

Demikian hukum kebenaran dan keadilan berjalan... bagaimana fitnah menjadi budaya macai UMNO yang kemudiannya pihak polis juga terlibat sama. Kebenaran tetap terdedah dan mengalahkan fitnah dan kebatilan. Si Pemfitnah akan tetap menerima hukumannya di dunia dan di akhirat.-GB

Barang naik harga, rakyat tanggung bahana

Isu berkaitan kenaikan harga barang-barang keperluan adalah isu sejagat yang berkaitan langsung dengan kepentingan rakyat kebanyakkan dan menyentuh tentang survival kehidupan seharian mereka.

Sebagai pengguna yang berhadapan dengan arus kenaikan harga barangan yang tak dapat dibendung, rakyat umum tanpa mengira siapa mereka umpama mentimun dengan durian, digilis luka, menggilis pun luka.

Lebih tragis apabila bebannya bukan setakat kerana harga barangan keperluan melambung tinggi, malah lebih memburukkan keadaan apabila bekalannya juga sukar didapati di pasaran.

Tanpa bermaksud untuk mengagungkan negara jiran itu tetapi sekadar menjawab hujah pemimpin Umno/BN yang gemar menjadikan perbandingan kos hidup negara di seberang Tambak Johor itu sebagai antara jawapan untuk menutup mulut rakyat setiap kali kenaikan harga barang berlaku di samping alasan lapuk, rasionalisasi subsidi.

Memanglah secara bandingannya, harga barangan di Malaysia masih murah dibandingkan dengan Singapura, tetapi perlu dibandingkan juga jurang perbezaan pendapatan bulanan rakyat negara kita berbanding dengan rakyat negara jiran di selatan kita dengan contoh, gaji seorang guru secara puratanya mencecah SG$6,000 (RM24,000) sebulan!

Gaji pokok seorang kerani biasa di Singapura mencecah SG$1,000 (RM2,400) sebulan belum lagi dicampur elaunnya, berbanding gaji pokok seorang kerani biasa di Malaysia sekitar RM900 sebulan. Dicampur pelbagai elaun, dapatlah sekitar RM1,400 sebulan.

Apatah lagi kalau dikemukakan hujah bahawa negara kita adalah negara pengeluar yang kaya dengan pelbagai hasil bumi dan sumber asli. Ironinya, keperluan yang sering tiada di pasaran atau harganya sentiasa dalam trend meningkat adalah produk keluaran bumi ibu pertiwi. Bagaikan ibarat…datuk, nenek kita… pohon durian dan rambutan keliling rumah, tetapi anak cucu nak makan pun susah, kalau nak, terpaksalah kena bayar dengan harga mahal. Pelik bukan?

Keterlaluankah perumpamaan ini? Tentu sekali tidak! Perhatikan pohon-pohon kelapa sawit yang menghijau subur bukan hanya setakat di ladang-ladang besar, malah sekarang ini telah memenuhi segenap ceruk kampung tetapi minyak masak sawit sukar didapati di pasaran, yang ada hanyalah minyak jagung dan minyak bunga matahari dengan harga yang berlipat ganda. Aneh sekali.

Impak kenaikan harga barangan dan kos hidup Purata kenaikan gaji rakyat Malaysia 2.5% setahun tetapi kenaikan harga barang-barang keperluan adalah sebanyak 8.5% setahun. Kenaikan harga barangan keperluan yang sangat tidak seimbang dengan peningkatan pendapatan rakyat tentunya membawa kesan negatif yang berpanjangan kepada sosio-ekonomi rakyat. Natijahnya, bila barang naik harga, jatuhlah air mata rakyat…

Perhatikan senario seorang ketua keluarga yang berpendapatan rendah atau sederhana, mereka perlu mengambil kira paling minima setiap bulan keperluan wajib antaranya, bayaran sewa atau ansuran bulanan rumah kediaman, peruntukan ansuran kenderaan, duit minyak dan servis kenderaan, belanja keperluan dapur serta makan minum, duit perbelanjaan sekolah anak-anak, bil elektrik dan air juga gas memasak, pakaian, kos perubatan dan kesihatan, bayaran tol untuk mereka yang berkenaan, saman trafik dan pelbagai lagi yang tentunya memberikan tekanan emosi yang mampu menggugat keharmonian kehidupan.

Apatah lagi kalau hidup di bandar dengan setiap keperluan perlu dibeli.

Situasi yang sangat biasa berlaku sekarang lantaran disebabkan desakan hidup, bagaimana seorang bapa terpaksa keluar meninggalkan rumah diawal pagi untuk mencari rezeki ketika anak-anak belum lagi terjaga dari tidur dan pulangnya pula menjelang lewat malam apabila anak-anak telah lena dibuai mimpi.

Ketiadaan masa berkualiti bersama keluarga akan melahirkan anak-anak yang terabai, ketandusan kasih sayang, rapuhnya institusi keluarga sehingga akhirnya mewujudkan generasi anak-anak yang sarat dengan gejala sosial. Apatah lagi untuk meluangkan masa dengan masyarakat dan persekitaran.

Tekanan hidup yang dibantu oleh faktor nipisnya iman di dada juga boleh mengundang pecah amanah, penyelewengan, rasuah dan pelbagai lagi perlakuan yang menyalahi syariat dan undang-undang.

Bermakna, peningkatan kos sara hidup disebabkan kenaikan harga barangan, jangan sesekali hanya dipandang dari sudut berapa sen kenaikan harga gula, petrol, gas memasak, minyak masak, tarif lektrik dan sebagainya, tetapi impaknya perlu diteliti secara menyeluruh dan saksama kepada kehidupan seorang insan sebagai individu, keluarga, masyarakat dan negara.

Di negara maju yang lain, bila ekonomi negara bermasalah, kerajaan akan potong perbelanjaan yang tak diperlukan, bukannya menjadikan rakyat sebagai mangsa. Kita yang belum maju tetapi bercita-cita untuk maju pula sebaliknya, bila negara tak ada duit, rakyat yang ditekan dengan pelbagai alasan lapuk sedangkan pemimpin bermewahan.

Rakyat pula dikelirukan dengan tiada lagi istilah kenaikan harga barangan itu dan ini, yang ada hanyalah pelarasan subsidi!

Bagaimana kenaikan harga barangan boleh berlaku? Pengeluaran yang banyak tetapi tidak dapat menampung permintaan pengguna.

Negara kita kaya dengan kesuburan tanah dan sumber asli, tetapi kerajaan gagal memanfaatkannya secara optimun, baik dalam sektor pertanian mahu pun pengeluaran sehingga keperluan rakyat gagal dipenuhi.

Antaranya, krisis ketiadaan bekalan minyak masak telah menjadi fenomena rutin yang telahberulang entah untuk kali yang ke berapa walaupun Malaysia memegang status sebagai negara pengeluar minyak sawit terbesar dunia, tentunya ketiadaan bekalan

minyak masak ini menimbulkan pelbagai persoalan. Apakah pihak pengeluar, pengilang, pemborong atau pengedar yang menjadi puncanya atau siapakah yang menjadi dalang dengan bertindak sewenangnya demi keuntungan mereka tanpa sebarang tindakan berkesan dari agensi penguatkuasaan berkenaan sehingga rakyat terpaksa menanggung kesukaran?

Bekalan gula juga pernah mengalami nasib sama sehingga Idris Jusoh pernah menjual gula dihadapan Wisma Darul Iman ketika menduduki kerusi MB Terengganu dulu.

Dalam tempoh kurang setahun, kerajaan telah menikkan harga gula sebanyak 3 kali. Tanggal 16 Julai 2010, Kerajaan UMNO-BN mengumumkan kenaikan harga gula sebanyak 25 sen/kilo. Pada 4 Disember 2010, Kerajaan mengumumkan lagi kenaikan harga gula sebanyak 20 sen/kilo. Kira- kira enam bulan kemudian pada 9 Mei 2011, diumumkan sekali lagi kenaikan harga gula sebanyak 20 sen/kilo. Semuanya atas alasan rasionalisasi subsidi.

Umum mengetahui bahawa Malaysia antara pengeluar gula utama dunia. Pengeluaran gula di Malaysia dikuasai empat kilang iaitu; Malayan Sugar Manufacturing Co. Bhd atau dikenali sebagai Gula Prai, Central Sugar Refinery Sdn. Bhd, Gula Padang Terap Berhad dan Kilang Gula Felda Perlis Sdn. Bhd.

Kalau bukan pengeluar utama gula, manakan mungkin Raja Gula Malaysia, Robert Kuok Hock Nien boleh menyandang gelaran manusia terkaya di atas muka bumi Malaysia dan di Asia Tenggara untuk beberapa tahun berturut-turut. Pemimpin negara jangan berlagak seperti Pak Pandir dengan mengeluarkan kenyataan, bila gula naik harga, ianya bagus untuk gaya hidup sihat rakyat Malaysia dan menurunkan kadar diabetes.

Kenaikan harga minyak dan kesannya terhadap kenaikan harga barangan

Kenaikan harga minyak memberi impak kepada keseluruhan rantaian pengeluaran bermula dari ladang atau kilang hinggalah sampai ke tangan pengguna. Tindakan peniaga untuk menaikkan harga barangan dan perkhidmatan sehingga membebankan pengguna akan berlaku, sekalipun berulang kali kerajaan memberikan jaminan bahawa, walaupun harga minyak dinaikkan, tidak akan berlaku kenaikan harga barangan keperluan.

Minyak dan gas asli adalah sandaran pergantungan kos semasa dunia. Apa sahaja yang berlaku kepada pasaran dan pengeluaran sumber asli ini akan memberi kesan kepada seluruh negara dan masyarakat dunia. Inilah yang disebut ‘magnet tarikan ekonomi berasaskan petroleum’. Kenaikannya akan menyumbang kepada kenaikan kos pengeluaran, pengangkutan serta pemasaran baik di pihak pengilang, pertanian, pemborong, peniaga-peniaga dan begitulah seterusnya apabila barangan sampai ke tangan pengguna.

Lantaran itulah, penafian pihak kerajaan terhadap kenaikan harga barangan pada setiap kali berlakunya kenaikan harga minyak adalah suatu penafian yang tidak bersandarkan kepada teori dan kaedah ekonomi.

Pergantungan kepada sumber import

Pergantungan keterlaluan negara kita kepada sumber bahan-bahan makanan yang diimport. Lantas, sebarang bencana alam yang berlaku kepada negara lain akan turut memberi kesan kepada negara kita. Banjir di Thailand tetapi orang kita juga tumpang susah. Bukan setakat menyebabkan harga beras meningkat, malah berlaku juga kenaikan harga sayur-sayuran, ayam dan ikan. Semua ini disebabkan kita masih bergantung kepada sumber makanan dari luar khususya negara jiran.

Bayangkan jika negara-negara yang menjadi tempat kita bergantung import makanan selama ini menghadapi bencana serentak- banjir, ribut, kemarau panjang, gempa bumi atau terlibat dalam kancah peperangan. Krisis makanan tentulah akan memuncak dan mampukah bekalan yang dihasilkan di dalam negara untuk menyuap mulut rakyat kita seramai 28.6 juta dan pendatang asing seramai 2.3 juta?

Ahli hikmat ada berkata, ketika saat ketiadaan bekalan makanan, mereka yang mempunyai stok makanan adalah orang yang paling kaya. Lebih kaya dari mereka yang mempunyai emas berbongkah-bongkah. Lihatlah dalam sejarah, bagaimana pengeluaran sumber makanan Negara Mesir yang dirancang dan dilaksanakan dengan begitu bijak oleh Nabi Yusof AS sehingga kemarau panjang selama 7 tahun tidak menyebabkan rakyatnya kebuluran malah mampu untuk membantu menyuap mulut rakyat negara-negara berdekatan. Beginilah Islam mengambil berat dengan keperluan asasi rakyat.

Di manakah silapnya sistem pertanian kita. Dengan keluasan dan kesuburan muka bumi anugerah Allah, berbilion ringgit peruntukan tahunan, sungai-sungai yang membelah daratan membentuk dataran yang subur, rakyat yang sedia membanting tulang, tetapi pertanian kita belum lagi mencapai tahap sara diri apatah lagi untuk diimport.

Dengan kata lain, kerajaan telah gagal! Hujahnya, Malaysia telah membelanjakan sejumlah RM13 bilion setiap tahun untuk mengimport keperluan makanan seperti sayur, ikan, daging, kentang, bawang serta buah-buahan. Jumlah import beras dari Thailand sahaja mencecah 307,000 tan metrik setahun.

Ada isu besar yang perlu diteliti. Di Terengganu contohnya, masih banyak tanah sawah terbiar lantaran masalah infrastruktur serta pengairan. Projek-projek yang dikira boleh menghasilkan sumber makanan negeri seperti projek ternakan kambing kaprima Telaga Papan Setiu, projek ternakan ikan dalam sangkar Zon Industri Akuakultur Tasik Kenyir, Projek tanaman kelapa pandan di Rhu Tapai semuanya gagal walaupun ratusan juta telah dibelanjakan. Wang peruntukan lesap tapi di mana kambing, ikan dan kelapa pandan?

Gahnya bunyi projek dengan sasaran hasilnya akan dieksport, akhirnya melopong! Belum disebut lagi projek tanaman strawberry yang namanya pun dah dilupakan orang. Terkini projek udang Setiu. Sasarannya juga untuk dieksport sebagaimana Mat Said pernah bercita-cita untuk mengeksport kelapa pandan dari Rhu Tapai ke Jepun!

Kelemahan penguatkuasaan dan urus tadbir

Kelemahan penguatkuasaan masih belum berjaya diperbaiki sepenuhnya sehingga berlakunya monopoli dan memberi ruang kepada peniaga menaikkan harga sewenangnya.

Tindakan menyorokkan barangan keperluan bagi tujuan menaikkan harga oleh para peniaga memburukkan lagi keadaan.

Persoalan kuota bekalan juga sering dibangkitkan. Sering terdengar rungutan yang menyatakan punca kekurangan bekalan barangan di pasaran seperti minyak masak adalah disebabkan pembekal menggunakan alasan pengurangan bekalan, disebabkan kuota baru yang ditetapkan kerajaan. Kuota yang digunakan dalam kes minyak masak pula telah berusia hampir empat tahun. Sekiranya itulah antara sebabnya, maka tentu sekali, sudah terang lagi bersuluh bahawa kuota tersebut adalah tidak relevan lagi, ia perlu ditambah.

Mana mungkin kuota yang diberikan sejak empat tahun lepas boleh sama dengan sekarang dengan pertambahan bilangan pasar raya besar dan kedai runcit serta bilangan pengguna.

Kerajaan juga perlu mengetatkan penguatkuasaan terhadap pembelian bahan kawalan itu bagi mengelakkan penyelewengan selain memastikan hanya rakyat tempatan membeli dan menikmati subsidi yang diberi kerajaan.

Kita juga sukar untuk mempercayai bahawa alasan penggunaan dan pembelian oleh rakyat negara jiran menjadi punca kekurangan malah ketiadaan bekalan untuk rakyat tempatan. Kalau sungguh bagai dikata, di mana agensi penguatkuasaan kita?

Antaranya, alasan pembelian minyak masak keluaran Malaysia oleh rakyat Selatan Thai didakwa menjadi punca kekurangan bekalan di negara ini. Sebenarnya masyarakat muslim Selatan Thai kebanyakkan mereka telah menggunakan minyak masak keluaran Malaysia sejak zaman berzaman lagi lantaran mereka sebenarnya meragui status kesucian minyak masak keluaran negara mereka sendiri. Apatah lagi bila kekurangan bekalan dilaporkan turut berlaku di seluruh negara dan bukan hanya melibatkan negeri-negeri yang bersempadan dengan negara jiran.

Apa peranan kita?

Menghadapi arus kenaikan harga barangan, sebolehnya elakkan pembelian tidak terancang. Belilah hanya barang-barang yang benar-benar diperlukan, mengurangkan pembelian menggunakan kad kredit dan yang paling utama, Tolak BN (Barang Naik).

Oleh Dr Azman Ibrahim
* Penulis adalah seorang doktor pergigian dan menjadi calon PAS di Terengganu dalam beberapa pilihan raya lalu.

Himpunan "TUTUN 2" Mungkin Akan Berlaku Jika..?

Dewan Pemuda PAS Malaysia mengancam untuk mengadakan satu perhimpunan lebih besar sekiranya kerajaan masih tidak melakukan sebarang tindakan menurunkan kenaikan kos sara hidup.

Ketuanya Suhaizan Kaiat berkata kehadiran 10,000 golongan anak muda ke perhimpunan di Dataran Merdeka pada malam tadi menunjukkan bahawa masyarakat yang mengalami kesempitan hidup kini tidak boleh lagi berdiam diri.



"Saya juga ingin menyatakan rasa yang sama, bahawa himpunan malam tadi adalah permulaannya.

"Jika kerajaan tidak berganjak dengan sikap degil dan tidak bertoleransi dengan rakyat, himpunan yang jauh lebih besar dari ini akan digerakkan," kata Suhaizan dalam kenyataannya.

Katanya, sikap yang ditunjukkan oleh para peserta perhimpunan di Dataran Merdeka itu juga menunjukkan golongan itu menghormati prinsip demokrasi dan tidak bertindak ganas untuk menggulingkan kerajaan seperti didakwa.

Tambahnya, ancaman yang timbul berhubung ancaman bom serta ribuan laporan polis oleh NGO pro-kerajaan juga tidak menghalang kemaraan kumpulan berkenaan untuk menyatakan bantahan mereka.

"Ancaman sebegitu tidak mampu melemahkan kebangkitan peserta terutama anak muda semakin bersemangat dan berani menyatakan sikap tanpa menghiraukan risiko yang bakal ditempuh mereka," katanya.

Menurutnya, ancaman seperti itu hanyala ketakutan golongan tersebut pada "bayang-bayang sendiri".

Sedangkan, kenaikan kos sara hidup itu berpunca dari kegagalan kerajaan mengurus tadbir negara dengan baik, dakwanya.

Perhimpunan tersebut masih tetap diteruskan semalam walau perdana menteri pada hari sebelumnya mengumumkan 11 langkah bagi mengurangkan perbelanjaan sektor awam, termasuk mengurangkan elaun keraian menteri dan timbalan menteri sebanyak 10 peratus. -MK

Wednesday, January 1, 2014

V.K.Liew tersingkir dari LDP?

Siapa presiden LDP Sabah yang sah akhirnya terjawap minggu depan. ROS telah membuat keputusan untuk mengiktiraf KongresTahunan LDP yang diadakan di Kota Kinabalu pada 19 dan 20hb Oktober oleh kumpulan Datuk Teo Chee Kang sebagai kongres parti LDP yang sah.

Menurut sumber dalaman ROS memberitahu FMT, surat pengesahan telah dikeluarkan pengarah dan akan diserahkan kepada kedua-dua kumpulan yang bertelagah iaitu kumpulan VK Liew dan kumpulan Teo Chee Kang pada minggu hadapan.

Krisis LDP bermula apabila muncul beberapa cadangan daripada bahagian-bahagian LDP di seluruh Sabah, termasuk bahagian yang diwakili Timbalan Presiden LDP, Datuk Chin Su Pin yang menyokong Setiausaha Agung parti itu, Datuk Teo Chee Kang sebagai presiden.

Berikutannya, Presiden LDP, Datuk VK Liew memecat 23 anggota Majlis Tertinggi LDP termasuk setiausaha agungnya kerana dikatakan telah melanggar resolusi yang diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi LDP, iaitu tidak ada pertandingan jawatan presiden dan timbalan presiden.

VK Liew yang tewas kerusi parlimen Sandakan pada PRU 2013 kepada DAP juga memecat timbalannya, Chin Su Pin yang secara terbuka menyokong pencalonan Datuk Teo Chee Kang. Kedua-dua kumpulan saling mendakwa sebagai mewakili parti LDP.

Kumpulan VK Liew juga turut mengadakan kongres LDP di Sandakan pada 20 Oktober tetapi kurang mendapat sambutan kerana kebanyakan perwakilan parti itu menyertai kongres yang diadakan di Kota Kinabalu.

Dengan pengesahan daripada ROS, bermakna Menteri di Jabatan Ketua Menteri Datuk Teo Chee Kang secara rasmi adalah Presiden LDP Sabah yang baru.

-FMT

Ambang 2014: Tahun susut duit, susut nilai dan bukti pembohongan

DUNIA belum kiamat. Justeru, 2014 ini bakal disambut 27 juta rakyat Malaysia dalam keadaan dukacita biarpun diiringi konsert, bunga api dan pertambahan Kedai Kain Rakyat 1Malaysia.

2014 menyajikan satu lagi episod buruk kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN) mengurus ekonomi negara dengan baik. 2014 ialah tahun kejatuhan ekonomi rakyat kelas pertengahan dan ke bawah.

Dengan kegagalan kerajaan mengurus ekonomi dengan baik; yang akhirnya menyebabkan hutang negara bertambah, kenaikan harga barang dan rekod rasuah yang cemerlang. Adakah 2014 ini juga akan menyaksikan kejatuhan ekonomi negara yang dahsyat?

Seputar itu, ia langsung mengingatkan kita kepada soalan utama pra-pilihan raya, “Adakah BN mampu terus menerajui negara?” atau yang sebelumnya sering diungkapkan mereka; “Adakah Pakatan Rakyat (PR) mampu mentadbir Malaysia?”


Saya percaya, soalan mampu atau tidak ini sudah tamat tempoh. Tidak sesuai lagi untuk kita ungkitkan. Kalau kita mengambil contoh Korea Utara, kerajaan mereka mampu sahaja terus memerintah walaupun rakyatnya tertindas, mati tidak cukup zat dan demokrasi. Begitu juga dengan UMNO yang sudah sebati dengan penyakit rasuah daripada pucuk sampai ke akar dan tak mampu diubati lagi.

Yang penting sekarang bukan lagi soal BN atau PR. Beban yang terpaksa dihadap masyarakat Malaysia seluruhnya kini tertumpu kepada bagaimana masa depan kita dan negara yang terpaksa mengharungi zaman gelap ekonomi akibat kebijaksanaan BN mengurus ekonomi negara dan bagaimana kita mampu lagi berjimat dengan roti canai dan teh o kalau harga pun sudah naik!

Over time sampai lebam dan Hidup Melayu

Lubang poket kita yang makin besar dan lolos ini tidak mampu dibaiki dengan seruan “Marilah bersatu…! Hidup Melayu..! atau 1Malaysia. Itu semua sampah. Slogan bodoh yang menjadi racun bagi minda masyarakat Malaysia.

Lidah memang lembut. Datuk, Datuk menteri senang saja kata “Marilah bersatu bersama lalui dugaan ini…!” tapi mereka terus membolot harta negara dan hidup mewah. Mereka berseru “Hidup Melayu..!” tapi mereka juga yang menginjak-injak bangsa ini. Slogan sepeti ini semata-mata slogan hipokrit. Slogan buat mereka yang bebal.

Apa pun, jika kerajaan tidak hilang RM20 bilion setahun akibat bocor, saya yakin benar mereka tidak akan terburu-buru menaikkan kos keperluan harian dan perkhidmatan kita malah BR1M yang dijanjikan sebanyak RM1,000 sebelum pilihan raya pula tidak akan terkurang sesen pun seperti sekarang yang hanya RM650.

Jenayah bakal naik seiring kenaikan capati

Tahun 2014 ini saya percaya sebagai tahun kenaikan kadar jenayah terutamanya di kawasan bandar seiring keperluan kewangan yang mendesak. Ini bukan soal harga naik 20 sen, 30 sen tetapi kesan daripada momentum kenaikan itu bagi hidup sehari-hari. Satu lagi ‘hadiah’ daripada kerajaan BN buat kita, golongan kelas pertengahan dan ke bawah. Bila jenayah meningkat, lebih banyak CCTV dipasang, lebih ramai pak guard Nepal digaji, lebih lama pasukan Rukun Tetangga berjaga malam dan mata pun lebam. Ini bermaksud, lebih banyaklah duit kita mengalir.

Tahun 2014 juga tahun miskin. Untuk mencapai keselesaan hidup dan menyeimbangkan poket. Kita akan lebih kuat bekerja. Masa bersama akan kurang. Ibu bapa akan lebih sibuk bekerja sambilan, pekerja industri akan buat OT tidak tidur malam. Dengan mata lebam dan perut yang makin susut, hubungan kekeluargaan dan masyarakat yang makin merenggang; kesusutan nilai ini juga tidak lebih dari sebuah manifestasi gagalnya kerajaan BN menjadi penaung dan pendokong masyarakat terbanyak kelas pekerja.

Lupakanlah sahaja Syed Mokhtar al-Bukhary yang dibanggakan kita, lupakan Ananda Krishnan, lupakan Robert Kuok. Mereka ini terus mendapat dokongan dan sokongan kerajaan dengan monopoli dan pemberian subsidi menguntungkan satu demi satu dan terus kaya. Soal sekarang adalah kita yang belum tentu nasib hujung pangkalnya.

Suka saya memetik bait-bait apologetik Timbalan Ketua Pengarang Utusan Malaysia Zaini Hassan, “…. Namun, negara akan tetap berdiri. Malaysia bukanlah sebuah rumah yang sedang terbakar dan kapal sedang karam. Ia masih lagi berlayar, walaupun badai terus melanda.” Selamat Tahun Baru 2014.

-Roketkini.com

Gila DBKL Peruntuk RM15 Juta Sambut 2014

KUALA LUMPUR: “Ini gila dan menghina. Saban tahun ia acara lagha yg langsung tiada faedah kepada rakyat. Kecuali jika sibuk benar mahu mempertahankan alasan pelancongan,” tulis selebriti Wardina Safiyyah menerusi facebook.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang memperuntukkan RM15 juta untuk sambutan tahun baru 2014.

Wardina menambah: “Ini gila dan menghina, di saat rakyat disuruh berjimat cermat, hidup dengan berkat dan halal, positif dengan segala kenaikan, 15 juta dihabiskan untuk detik 2014”.

Berikut ialah komen beliau.

Entahlah saya bersependapat dengan rakan saya...hati ni tak boleh terima 15 juta "dibazir" begitu saja Ye lah 'Celebrate'lah... suka hati lah..di saat rakyat tenat.. tenat dari banyak segi..fizikal, kewangan, spiritual, moral... in my opinion we shouldn't be "celebrating" ... (you don't have to agree)

A future full of struggles and uncertainty for me.. Happy new Year 2014...

Dari FSS: "15 JUTA diperuntukkan oleh DBKL untuk perayaan tahun baru!

Ini gila dan menghina. Saban tahun ia acara lagha yg langsung tiada faedah kepada rakyat. Kecuali jika sibuk benar mahu mempertahankan alasan pelancongan.

Ini gila dan menghina, di saat rakyat disuruh berjimat cermat, hidup dengan berkat dan halal, positif dengan segala kenaikan, 15 juta dihabiskan untuk detik 2014.

Gila dan menghina! Di saat program menangani gejala sosial langsung tiada bajet!"

Dedahkan keborosan Najib punca gantung The Heat

Gerakan Media Marah (Geramm) menegaskan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak mempunyai bukti kukuh bagi menggantung penerbitan akhbar mingguan berbahasa Inggeris, The Heat, sebaliknya laporan akhbar itu yang mendedahkan keborosan Datuk Seri Najib Razak dan isteri menjadi sebab utama penggantungannya.

Katanya, alasan KDN bahawa penggantungan The Heat yang bersifat sementara tidak boleh dipercayai kerana permit penerbitan dijamin sebagai hak asasi dalam Perlembagaan negara.

“Geramm menggesa KDN agar segera mengembalikan hak penerbitan kepada The Heat. Penggantungan ini bercanggah dengan semangat kebebasan dalam Perlembagaan.

“Selepas mengembalikan lesen penerbitan The Heat, KDN diminta agar tidak mengulangi tindakan seumpama ini yang tidak demokratik dan anti kebebasan media terhadap mana-mana penerbitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

KDN, dalam satu kenyataan semalam, marah dengan tindakan sesetengah pihak yang didakwa cuba memburuk-burukkan kementerian itu atas tindakan mereka menggantung The Heat.

Katanya, penggantungan The Heat hanya bersifat sementara dan KDN memandang berat terhadap tindakan pihak tertentu secara berterusan memburuk-burukkan kerajaan susulan penggantungan permit penerbitan akhbar tersebut.

Geramm berkata walaupun KDN tidak menyebut nama pihak yang memburuk-burukkan kerajaan berhubung penggantungan The Heat dalam kenyataan semalam, tetapi mereka menyifatkan keprihatinan kumpulan itu dan tokoh masyarakat ada asasnya.

“Semangat kebebasan media ini bukan sahaja diperjuangkan oleh Geramm, wartawan dan aktivis badan bukan kerajaan tetapi juga ditegaskan dalam ucapan Najib.

“Jadi, amatlah malang sekiranya KDN tidak menjadikan janji perdana menteri sebagai landasan kepada tindakannya,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Geramm turut mengumumkan satu demonstrasi bantahan yang dinamakan Protes Pensil Merah akan diadakan di hadapan bangunan Majlis Peguam pada Sabtu ini, jam 2 petang.

“Kami menyeru kepada semua wartawan dan pembaca agar menyertai kempen ini bagi menyuarakan lapan tuntutan Geramm.

“Geramm juga memohon kerjasama baik polis dan pihak berwajib agar memudahkan perjalanan Protes Pensil Merah agar ia dapat dilangsungkan dengan lancar dan aman,” katanya. –TMI

VIDEO : Ribuan "Turun" Di Dataran Merdeka

Tepat jam 11 malam, para peserta demo Turunkan Kos Sara Hidup (Turun), merempuhkan sekatan polis dan memasuki kawasan Dataran Merdeka sambil berteriak "Turun, Turun, Turun".

Ekoran itu konsert Di Ambang Tahun Baru yang sepatutnya berjalan hingga jam 12 malam dihentikan kemudiannya dan semua penonton konsert mula beredar dari padang itu.

Peserta demonstrasi Turun berjaya merempuh benteng polis untuk masuk kawasan Dataran Merdeka. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 31 Disember, 2013.

Selain anak muda khasnya pelajar yang menjadi majoriti dalam himpunan kali ini, turut kelihatan adalah pemimpin politik termasuk Naib Presiden PAS Salahudin Ayub dan Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat.

Para peserta demo yang berkumpul di Sogo mula bergerak beramai-ramai ke Dataran Merdeka mulai jam 10 malam tadi, menjelang jam 10.30 malam di mana mereka berjanji akan mula bergabung di Dataran Merdeka.

Sebahagian dari peserta demo ini mula memenuhi kawasan perkarangan Dataran Merdeka sejurus selepas azan Isyak tadi.

Mereka mula memenuhi kawasan Jalan Raja di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad sambil memakai baju-t hitam tertulis perkataan "Turun" sambil membawa plakad "Tol Naik TOLak BN", "Apabila Golongan Kaya Merompak Golongan Miskin, itu Adalah Perniagaan" dan banyak lagi.

Peserta demonstrasi juga dilihat memakai topeng putih dan ada di antara mereka membawa bunga berwarna kuning sebagai simbolik keamanan.

Ramai antara mereka solat Isyak di masjid berdekatan di samping ada yang bersolat di perkarangan pusat beli-belah Sogo. Sehingga jam 9.45 malam, lebih 2,000 berkumpul di perkarangan Sogo.

Kumpulan peserta demonstrasi Turun turut melaungkan slogan "Turun harga barang", "Hidup Rakyat".

Bagaimanapun tidak terdapat mana-mana pemimpin daripada pertubuhan politik yang kelihatan dalam demonstrasi berkenaan.

Tepat jam 9.30 malam, kumpulan berkenaan dilihat cuba merempuh halangan polis di Jalan Raja untuk memasuki kawasan Dataran Merdeka yang diadakan konsert sambutan ambang Tahun Baru sambil menjerit "Masuk", "Masuk".

Peserta yang berkumpul di Masjid Jamek juga mula bergerak ke Dataran Merdeka.

Sementara itu di Masjid Jamek pula seawal jam 8 malam peserta Turun mula memenuhi kawasan tersebut.

Kumpulan yang bermula dari 300 orang kemudiannya bertambah sehingga 1,000 sehinggalah pada jam 9 malam peserta Turun mula berarak dari jalan Masjid Jamek hingga ke Dataran Merdeka sambil melaungkan slogan.

Mereka turut melaungkan slogan "Turun harga barang", "Hidup Rakyat", "hancur" sambil membawa banner yang tertulis "Tahniah kepada BN", "Suara Rakyat", "Kamu yang rasuah kami yang tanggung" dan lain-lain lagi.

Bagaimanapun tidak terdapat mana-mana pemimpin daripada pertubuhan politik yang kelihatan di Dataran Merdeka. Di sekitar Sogo, P. Kasthuri, Nik Nazmi Nik Ahmad, Steven Sim, Teoh Kok Seong dan beberapa lagi pemimpin politik kelihatan bersama peserta demonstrasi.

Tepat jam 9.30 malam, kumpulan berkenaan dilihat cuba merempuh halangan polis di Jalan Raja untuk memasuki kawasan Dataran Merdeka yang dijadikan konsert sambutan Ambang Tahun Baru sambil menjerit "Masuk" "Masuk".

Bagaimanapun setakat ini masih tiada lagi tangkapan yang dilaporkan berlaku.

Demonstrasi ini diadakan ekoran kenaikan harga barangan dan perkhidmatan mulai tahun 2014 esok dan juga sebelum ini termasuk harga gula, minyak dan juga gula.

Mulai esok, kenaikan pelbagai harga barangan dan perkhidmatan dijangka. Antaranya tol, tarif elektrik, cukai pintu, tambang bas sekolah dan lain-lain.

Polis telah bersedia sejak awal tambahan lagi apabila didakwa demo ini bertujuan untuk menggulingkan kerajaan dengan lebih 1,000 laporan polis dibuat.

Polic berkata, empat NGO terlibat dalam menganjurkan demo ini iaitu Gerakan Turun Kos Sara Hidup, Solidarity Mahasiswa Malaysia, Jingga 13 dan Solidariti Anak Muda Malaysia.

Kesemua mereka menafikan demo ini bertujuan untuk menggulingkan kerajaan.–TMI