Saturday, January 4, 2014

Gambar Terkini Ariel Sharon Yang 8 Tahun Dalam Siksa Dunia

Gejak mengalami stroke pada januari 2006, keadaan kesihatan mantan Perdana Menteri Israel Ariel Sharon terus memburuk, bahkan dalam keadaan tidak sadarkan diri.

Sharon yang ketika ini berusia 85 tahun, sedang mendapat perawatan intensif di Hospital Tel Hashomer, Tel Aviv, akibat menderita kegagalan ginjal sejak Rabu, 1 Januari 2014. Juru bicara hospital menyatakan, kesihatan Sharon mengalami penurunan selama beberapa hari ini. Demikian keterangan pihak hospital seperti disiarkan Al Jazeera pada Khamis, 2 Januari 2014.

Sejak mengalami stroke pada januari 2006, berbagai usaha telah dilakukan kumpulan doktor untuk memulihkan kesihatan orang yang paling bertanggung jawab terhadap pembantaian di kemah penduduk Palestin, Sabra dan Shatila ini.

Pada Februari 2006, para doktor di Hospital Hadassa telah memasukkan Ariel Sharon ke ruang bedah khusus. Ia memiliki luka yang membusuk dan tidak sadarkan diri selama beberapa minggu. Operasi tersebut dilakukan untuk menyambung bahagian-bahagian ususnya yang telah membusuk dan telah menyebar ke bahagian tubuh lain.

Pada September 2013, Sharon menjalani pembedahan di bahagian perut untuk memperbaiki masalah dalam sistem infusnya. Operasi yang berlangsung selama satu jam itu telah direncanakan beberapa bulan sebelumnya.

Para doktor spesialis Israel dan Amerika Syarikat pada Januari 2013 menyatakan, Sharon telah menunjukkan aktiviti otaknya secara signifikan melalui imbasan MRI. Dia dapat bertindakbalas terhadap foto-foto keluarganya tujuh tahun silam setelah mengalami stroke.

Berdasarkan laporan suruhanjaya siasatan Israel pada tahun 2003, menyimpulkan bahawa para pemimpin Israel bertanggung jawab atas pembunuhan di kemah penduduk Palestin, Sabra dan Shatila, di Lebanon. Saat itu, ahli politik dari Partai Likud ini menjawat jawatan sebagai Menteri Pertahanan yang dianggap secara peribadi harus bertanggung jawab kerana gagal mencegah kekerasan yang membawa maut.

Sharon, terakhir, menjabat sebagai Perdana Menteri Israel dari 2001-2006. Dia memimpin tentera Israel dalam menghadapi perlawanan Palestin, dikenal dengan sebutan Intifada kedua, yang berakhir pada 2004.

Friday, January 3, 2014

Syair Imam Syafie' Sebelum Beliau Meninggal Dunia

DIKISAHKAN syair ini ketika Imam Muzani menziarahi Imam Syafie yang sedang ketika itu beliau sedang sakit tenat, yang tidak lama kemudian beliau menghembus nafasnya yang terakhir ditempat Imam Muzani menziarahinya itu. Sewaktu Imam Muzani bertanyakan khabar mengenai kesihatan Imam Syafie, lantas Imam Syafie terus menangis dan bersyair. Syair ini begitu syahdu dan meruntun hati bagi sesiapa yang mendengar. Sedangkan Imam Syafie seorang imam besar boleh mengeluh dan risau keadaanya di akhirat nanti, bagaimana pula dengan kita?

Renungankan bersama...


إلـيــك إلـــه الـخـلـق أرفــــع رغـبـتــي
Kupersembahkan (rintihan) kepadaMu Tuhan sekalian makhluk akan harapanku

وإن كـنـتُ يــا ذا الـمــن والـجــود مـجـرمـا
Sekalipun aku seorang yang berdosa wahai yang Maha Pemberi dan Maha Pemurah

ولـمــا قـســا قـلـبـي وضـاقــت مـذاهـبــي
Bilamana keras hatiku dan terasa sempit perjalananku

جـعـلـت الـرجــا مـنــي لـعـفـوك سـلـمــا
Kujadikan rayuan (rintihan) daripadaku sebagai jalan untuk mengharapkan keampunanMu

فـمـا زلــتَ ذا عـفـو عــن الـذنـب لــم تـزل
Bilamana Engkau yang memiliki keampunan menghapuskan dosa yang berterusan ini

تــجــود و تـعــفــو مــنـــة وتـكــرمــا
KurniaanMu dan keampunanMu adalah merupakan rahmat dan kemuliaan

ألــســت الــــذي غـذيـتـنـي وهـديـتـنــي
Bukankah Engkau yang memberi aku makan serta hidayah kepadaku

ولا زلــــت مـنـانــا عــلـــيّ ومـنـعـمــا
Dan janganlah Engkau hapuskan kurniaan anugerah dan ni'mat itu kepadaku (walaupun aku seorang yang sentiasa berdosa)

عـسـى مــن لــه الإحـســان يـغـفـر زلـتــي
Semoga orang yang memiliki ihsan mengampunkan kesalahanku

ويـسـتــر أوزاري ومــــا قــــد تـقــدمــا
Dan menutup dosa-dosaku serta setiap perkara yang telah lalu

فــإن تـعـف عـنــي تـعــف عـــن مـتـمـرد
Sekiranya Engkau ampunkan aku, ampunkan dari kederhakaan

ظــلــوم غــشــوم لا يــزايـــل مـأتــمــا
kezaliman, penganiayaan yang tak akan terhapus di hari berhimpun kesedihan

و إن تنـتـقـم مــنــي فـلـســت بــآيــس
Namun jika Engkau membalas siksa terhadapku, aku tidak akan berputus asa

ولـــو أدخـلــوا نـفـسـي بـجــرم جـهـنـمـا
Sekalipun dosa-dosaku itu akan memasukkan diriku ke dalam neraka

فصيـحـا إذا مــا كــان فـــي ذكـــر ربـــه
Dia adalah seorang yang fasih ketika menyebut/mengingati Rabbnya

وفيما سواه في الورى كان أعجما
Dan bilamana dia bersama selain tuhannya di dunia ini dia membisu

يـقــول: حبـيـبـي أنـــت سـؤلــي وبغـيـتـي
Dia (Rasulullah SAW) berkata: Kekasihku, Engkaulah tempatku meminta dan berharap

كـفــى بـــك للـراجـيـن ســـؤلا ومـغـنـمـا
Cukuplah Engkau bagi yang berharap sebagai tempat bergantung dan memohon

أصـــــون ودادي أن يـدنــســه الـــهـــوى
Ku pelihara kasihku yang dicemari nafsu

وأحــفــظ عــهــد الــحـــب أن يـتـثـلـمـا
Dan ku jaga janji kasih yang telah tercalar

فـفـي يقظـتـي شــوق وفــي غـفـوتـي مـنــى
Di saat ku jaga, aku rindu, dan di saat ku lelap aku berharap

تــلاحــق خــطــوي نــشــوة وتـرنــمــا
Mengiringi langkahku dengan penuh semangat dan berulang

فـجـرمـي عـظـيـم مـــن قـديــم وحــــادث
Sesungguhnya dosaku adalah besar sejak dulu dan kini

وعـفــوك يـأتــي الـعـبـد أعـلــى وأجـسـمـا
Namun (ku tahu) keampunanmu yang mendatangi hamba adalah lebih besar (agung) dan lebih mulia

Ikan Gergasi Terdampar Di Sabah

Gambar ikan gergasi yang terdampar di KG Forest, Sandakan, Sabah pada petang Rabu (1 Januari 2014).. Info lanjut mengenainya masih diusahakan.

https://fbcdn-sphotos-c-a.akamaihd.net/hphotos-ak-prn2/1486733_10152118971235817_1720189689_n.jpg

** Namun menurut salah seorang penduduk kampung yang mahu identitinya dirahsiakan berkata "Ikan ini ditemui terdampar di sini pada petang tadi.. Tidak pasti apa puncanya tapi mengikut andaian saya, ikan ini mengalami tekanan hidup di laut kerana kos sara hidup yang makin tinggi.. Menteri- menteri ikan di laut cakap, kalau tidak tahan pergi naik ke darat.. Kerana itu ikan ini naik ke darat kerana baginya mungkin, mati lagi senang..."
**

**Rekaan semata-mata

Sumber: Facebook myzone

Jangan cakap “bukan salah Umno”

Makin hari makin bertambah jumlah para pemimpin politik dari pihak kerajaan yang bercakap memperbodohkan rakyat. Dah jadi satu koleksi lawak jenaka yang berenteran. Ada menteri yang bercakap, jika ayam mahal belilah daging atau ayam. Ada menteri yang cadangkan jika tak setuju kenaikan harga tol, sila guna jalan biasa tanpa tol. Waktu harga petrol naik mereka beritahu, sebenarnya harga petrol tidak naik cuma subsidi dikurangkan.

Waktu harga gula dinaikkan mereka cakap, tujuannya supaya rakyat sihat tak kena penyakit kencing manis. Dalam pilihanraya kecil Sungai Limau kerajaan BN anjurkan pula jualan gula RM1.00 sekilogram. Memang hebat kelentong para pemimpin politik yang sedang memerintah Malaysia. Kalau ditakdirkan mereka masuk program Rajalawak, tergugat juga para pelawak sedia ada.

Terbaru, bekas Naib Presiden UMNO yang pernah digantung keahlian kerana didakwa terbabit rasuah dalam pemilihan parti itu, Tan Sri Isa Samad turut menambahkan koleksi kenyataan jenaka berhubung isu tekanan kos hidup yang sedang melanda rakyat. Katanya, kenaikan harga barang bukan salah Umno.
"Itu kita tak boleh elak, nak marah pada Umno sebab apa, kalau marah pada Umno harga tidak boleh turun... kos hidup (tidak boleh turun).


"Kita minta masyarakat memahami kenapa kos ni naik, kenapa pengurangan subsidi itu terpaksa kita buat, demi untuk menjaga keadaan ekonomi negara," katanya.

Begitulah Umno. Waktu mendabik dada bahawa negara berjaya memacu pertumbuhan ekonomi dan memberi pelbagai bantuan untuk rakyat; maka itu adalah jasa Umno. Tetapi sewaktu rakyat terdera dengan bebanan kos hidup akibat kepincangan kerajaan mengurus ekonomi negara, maka itu bukan salah Umno.
Umno adalah parti yang mendominasi kerajaan yang memerintah. Tanpa Umno tiadalah kerajaan Barisan Nasional. Mereka yang mencipta politik mentadbir negara. Mereka yang membangunkan negara dan mereka juga yang menghancurkannya. Janganlah yang baik-baik sahaja dari Umno manakala yang buruk bukan dari Umno.

Kenaikan harga barangan dan perkhidmatan adalah kesan daripada tindakan kerajaan menaikkan harga minyak, gula, kadar tol, tarif elektrik, cukai pintu dan sebagainya. Semua itu membabitkan kos asas pengeluaran barangan. Peniaga terpaksa menaikkan harga barangan apabila kos pengeluaran bertambah.
Mengapa kerajaan ‘terpaksa’ mengurangkan subsidi ke atas barangan tertentu? Kononnya kerana mahu menggunakan wang untuk menguruskan negara. Itu cuma alasan yang direka-reka. Sebenarnya hasil mahsul kekayaan negeri sudah cukup untuk menguruskan negara tetapi ia menjadi tidak cukup apabila negara diurus oleh pemboros wang rakyat. Perbelanjaan negara juga terpaksa menggunakan peruntukan yang besar untuk membayar kos tidak perlu kepada para ‘penyamun’ berlesen yang sudah berakar umbi dalam pemerintahan. Sama ada projek perlu dibuat dengan kos yang berkali ganda lebih tinggi dari kos yang munasabah, atau projek mewah tidak perlu yang sengaja dibuat untuk diagihkan kepada kroni; semuanya menggasak wang rakyat dalam jumlah yang sangat besar.

Setiap tahun Ketua Audit Negara dedahkan ketirisan yang berlaku namun para pemimpin Umno yang memerintah kelihatan tidak mahu membetulkan penyelewengan. Tahun berikutnya ada lagi pendedan baru. Begitulah berlaku saban tahun kehilangan wang negara akibat diurus oleh sebuah kerajaan yang tiada integriti.

Antara ketirisan juga ialah apabila BN menggunakan wang rakyat untuk memenangi pilihanraya umum. Penganalisis politik terkemuka yang melakukan kajian terhadap perjalanan politik Malaysia, Dr Bridget Welsh membuat penilaian bahawa BN menggunakan sebanyak RM2 billion untuk kempen mereka. Itu cuma satu contoh ketirisan wang negara.

Belum kira pembaziran yang dibuat oleh Perdana Menteri, isteri, para menteri dan lain-lain. Sudah puas pemimpin Pakatan mendedahkan di pentas ceramah, namun mereka selamba saja menonjolkan wajah tidak bersalah. Kadangkala makin mendapat tempat pula dalam kerajaan atau Umno. Sharizat Jalil di mana keluarganya terbabit menjahanamkan RM250 juta wang rakyat terus diberikan mandat memimpin wanita parti rasuah itu.

Ketirisan keseluruhan wang rakyat ini dianggarkan RM30 billion setahun. Jumlah sebesar itu boleh diguna untuk mengurus negeri Perlis lebih dari setengah abad.

Kononnya penarikan subsidi untuk salur duit kepada pembangunan, soalnya mengapa subsidi orang awam saja yang ditarik? Misalnya dalam isu penarikan subsidi bekalan elektrik, mengapa pemberian subsidi kepada penjana tenaga bebas (IPP) sebanyak RM19 bilion setahun tidak ditarik?

Umno memerintah Malaysia sudah terlalu lama. Kesan negatifnya ialah hilang keyakinan pihak luar terhadap sistem ekonomi Malaysia, akibat imej rasuah. Ranking indeks rasuah Malaysia tidak pernah baik, sentiasa corot. Kerajaan yang ada ternyata gagal menguruskan ekonomi negara dengan baik. Ia menyumbang kepada kejatuhan nilai matawang Ringgit.

Sejak dilanda kegawatan ekonomi pada tahun 1997, nilai mata wang Malaysia telah terjunam. Peniaga negara kita terpaksa mengimport pelbagai barangan dari luar negara dengan mata wang asing, mereka mengguna Dolar US. Walaupun harga barangan tertentu tidak mengalami kenaikan harga di pasaran antarabangsa tetapi rakyat kita terpaksa menanggung kos yang tinggi akibat nilai mata wang Malaysia yang rendah. Barangan keperluan terpaksa diimport juga dari negara luar, maka harganya menjadi tinggi.
Semua itu adalah kegagalan kerajaan yang didominasi Umno. Maknanya kelemahan kerajaan Umno itulah yang jadi punca terhadap kenaikan harga barang. Takkan tak mahu mengaku lagi?!

Oleh Zulkifli Yahaya

Malam Tahun Baru: Najib & Rosmah Terbang Bercuti?

Gosip atau cakap-cakap politik, barangkali ada kebenarannya, apatah lagi jika ia ditulis atau dibicarakan oleh individu yang memiliki hubungan rapat dengan ahli-ahli politik.

Tokoh wartawan, A Kadir Jasin, dalam tulisan di blognya pada 30 Disember lalu menimbulkan soalan ke mana perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor ketika sambutan tahun baru.

Dalam tulisannya, Kadir menulis- ketika orang ramai berhimpun di Dataran Merdeka bagi memprotes kenaikan harga barang dan kos sara hidup, Najib tiada di Malaysia untuk mendengar tuntutan mereka.

“Ketika penunjuk perasaan, menentang kerajaan, menuntut itu dan ini, mereka perlu tahu bahawa perdana menteri, Mohd Najib Abdul Razak, tiada di sini untuk mendengar tuntutan mereka secara langsung,” tulis Kadir diblognya, kadirjasin.blogspot.com.

Menurut Kadir, maklumat diperolehi menyatakan Najib berada di luar negara ketika sambutan tahun baru walaupun pada awalnya dinafikan kumpulan ‘Penasihat Komunikasi Najib’ (CAG).

Katanya, dalam satu kiriman di blognya bertajuk “Wanita Chief and the Grandmaster” pada 11 Disember lalu, seorang bernama Zainol memberi komen Najib dan isterinya, bercuti ke Los Angeles (LA) dan terbang ke Sydney, Australia sempena tahun baru.

“…Dia kata Najib akan pergi cuti di LA dengan Isteri… Mereka terbang dari LA ke Sydney nak tengok matahari naik di Sydney. “Jam itu kita masih tidor di Malaysia. Lepas itu mereka akan terbang dari Sydney pergi ke Las Vegas untuk tengok kali kedua matahari naik. Sebab Amerika satu hari lambat dari Australia,” komen itu dipetik Kadir.

Menurut Kadir, beliau mengirimkan pesanan ringkas (SMS) kepada ‘anggota CAG’ untuk bertanyakan kebenaran perkara itu, namun ia dinafikan.

Bagi mengesahkan ia bukan sekadar gossip atau fitnah, Kadir pada 30 Disember lalu mengirim SMS kepada Setiausaha Najib, Tengku Sharifuddin Tengku Ahmad yang mengesahkan Najib ke luar negara dan tugasnya diambil alih oleh timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kadir menambah, beliau juga bertanya kepada editor dua buah akhbar, salah seorangnya juga anggota ‘CAG’ melalui SMS, bagi mengetahui sekiranya ada kenyataan rasmi dibuat.

Editor berkenaan kemudian mengesahkan bahawa tiada kenyataan rasmi dikeluarkan, namun enggan namanya dipetik.

Kadir yang sebelum ini dianggap bekas orang kuat Tun Mahathir Mohamad mencuri perhatian apabila menyindir Najib dan isterinya, Rosmah Mansor di blognya.

Secara sinis beliau mencadangkan Rosmah dilantik ke jawatan menteri, malah ke jawatan perdana menteri kerana peranannya mengambil tugas menteri-menteri kabinet.

Ia ekoran pujian Najib terhadap isterinya itu pada Perhimpunan Agung Umno awal Disember lalu, selepas mendapat kritikan menggunakan jet kerajaan untuk lawatan peribadi ke luar negara.

Tulisan Kadir itu, dilihat oleh ramai pemerhati politik sebagai serangan awal terhadap kepimpinan Najib dan mewakili pandangan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. -KD

Mahasiswa Islam desak Mufti Perak minta maaf

Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) mendesak Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria (gambar) memohon maaf kepada rakyat kerana melabelkan para peserta perhimpunan ambang Tahun Baru yang lalu sebagai 'bughah' atau pemberontak.

"Jangan hanya tahu salahkan rakyat semata-mata," kata Presiden PMIUM, Mohd Bukhairy Sofian dalam kenyataannya.

Harussani sebelum ini berkata peserta perhimpunan pada 31 Disember lalu perlu ditangkap kerana menderhaka kepada kerajaan, sambil berkata darah mereka “dihalalkan" kerana tergolong dalam kategori pemberontak.

“Sepatutnya semua peserta perhimpunan ditangkap kerana menderhaka kepada kerajaan dan dari hukum syarak, dihalalkan darah golongan bughah,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian hari ini.

Mufti itu juga membidas pembabitan pembangkang, khususnya PAS, dalam perhimpunan “haram” malam kelmarin, yang disifatkannya cuba berlagak alim tetapi tidak memahami al-Quran.

Beliau juga dilaporkan berkata bahawa adalah haram bagi mana-mana pihak menyertai perhimpunan itu.

Bukhairy bagaimanapun berkata tujuan himpunan adalah untuk memberi isyarat kepada kerajaan rakyat terbeban dengan kenaikan harga barang, bukannya mengguling kerajaan.

"Kalau guling kerajaan yang adil barulah bughah (pemberontak) namanya di dalam Islam," katanya.

Beliau bertanya, dalam keadaan negara yang menanggung hutang yang banyak, pembaziran terus berlaku,

"Adakah mufti tidak nampak perkara ini. Adakah itu tidak zalim?"

Bukhairy juga mempersoalkan pendirian mufti itu berkenaan peruntukan untuk konsert di Dataran Merdeka sebanyak RM15 juta.

"Adakah mufti melihat ini sebagai langkah bijak menyambut tahun baru?" soalnya.

Bagi beliau, mufti harus berfungsi menasihati pemerintah, bukan mengampu semata-mata.

"Orang di bawah dan rakyat begitu susah untuk mendapat sesuap nasi. Mereka tidak ada elaun dan dibayar gaji seperti mufti," tambahnya. – tmi

Najib umum 11 langkah bukan penjimatan tetapi "penjimakan"

Menjelang terselaknya tabir tahun 2014 Najib Razak telah mengumumkan 11 langkah 'drastik' penjimatan dengan memotong elaun hiburan para menteri dan juga pemotongan elaun pegawai tinggi kerajaan. Pengumuman itu dibuat ketika rakyat riuh 'randah' dan menanti jaya atau tidak himpunan Mansuhkan Kos Sara Hidup (Turun) yang dipelopori anak-anak muda.

Himpunan malam semalam di Dataran Merdeka disertai lebih 30,000 berjaya dan memberi mesej jelas kepada Najib sekiranya tidak diberi perhatian berhubung masalah rakyat Najib akan terus diserang. Tampaknya anak-anak muda sudah sedia bangkit untuk menjolok mentari kekuasaan Najib di sepanjang tahun ini. Syabas.

Kejayaan himpunan itu menunjukkan 11 langkah drastik yang diambil Najib itu sedikit pun tidak menarik dan mengugah hati rakyat khasnya di kalangan anak-anak muda untuk bersimpati apa lagi berbangga dengan seorang perdana menteri seperti itu.

Sebaliknya pengumuman 11 langkah itu menjadi satu ejekan di kalangan rakyat di semua lapisan.

Walaupun Najib tidak berharap pengumuman itu akan menghentikan ura-ura mengadakan himpunan Turun itu, tetapi maksud disebalik pengumuman itu, ialah untuk mengendurkan keadaan. Harapannya apabila beliau membuat pengumuman itu himpunan itu dimansuhkan.

Selain itu, ole-ole tidak berharga ia juga dibuat dalam keadaan terpaksa. Mungkin di sinilah maka ada orang meminta agar penasihat Najib ditukar kerana ia tidak boleh dipakai. Jelas sekali penasihat Najib tidak pandai membaca dan menghitung keadaan maka 11 langkah penjimatan itu umpama mencurah garam ke lautan saja.

Pengumuman dibuat Najib itu bukan saja tidak menarik rasa hormat rakyat, jauh sekali untuk mengatakan Najib prihatin, kecuali dari kalangan orang-orang Umno yang telah disistemkan menerusi mesen Umno menganggap ianya hebat (orang Umno kalau pemimpin mereka buat semua hebat, termasuk projek lembu kondo, pembelian cincin atau pembelian kondo di New York), tetapi pengumuman itu juga diketawakan rakyat. Hahaha...

Rakyat yang sudah mangli dan masak dengan tektik-tektik 'janji-tipu' atau 'tipu janji' tidak merasakan langkah penjimatan itu sebagai usaha yang ikhlas dan serius dari seorang perdana menteri. Rakyat sudah menghitung berapa sangat wang kerajaan diselamatkan dari langkah itu sedangkan ribuan jutaan wang kerajaan dimakan umpama darah merah memakan darah putih. (Secara senyap).

Dari langkah penjimatan itu juga rakyat menghitung berapakah keuntungan dinikmati rakyat hasil penjimatan yang tidak seberapa itu dan lebih kepada tektik untuk mempesonakan rakyat. Rakyat juga tidak perlu tahu berapa harga menteri atau pegawai tinggi peringkat KSU dan KSN susut ekoran penjimatan itu tetapi berapa nilai tambah diperolehi mereka.

Bukan saja rakyat yang celik, pegawai kerajaan sendiri tidak senang dengan pengumuman Najib itu yang dianggap sebagai tempang dan tidak adil. Seorang pegawai kanan kerajaan menghubungi saya meminta agar saya mengulas mengenai langkah penjimatan Najib yang tidak jimat itu,

"Tuan bagilah ulasan mengenai langkah penjimatan itu, ulaslah mengenai ketempangannya," kata pegawai itu.

Menurutnya, penjimatan yang dilakukan tidak banyak pun kerana kerajaan masih melakukan program-program yang menelan banyak kos seperti sambutan menjelang tahun baru yang ternyata membazir. Difahamkan kerajaan memperuntukan RM15 juta untuk program sambutan tahun baru?

Beliau juga persoalkan mengapa pegawai G54 dan Jusa C sahaja yang ditarik kelayakan mendapat tikit kapal terbang bisnes kelas. Soal beliau mengapa tidak meliputi pegawai Jusa B dan Jusa A, serta wakil-wakil rakyat serta Exco?

"Kalau pemotongan ini dibuat melibatkan semua pegawai tinggi, wakil-wakil rakyat dan Exco barulah adil," tegasnya.

Apa yang sedih katanya, pegawai atau mereka yang termasuk dalam ketagori Jusa C adalah para professor yang dilihat lebih ikhlas dan tulus dalam membangun anak bangsa. Sepatutnya golongan ini dikecualikan. Dengan memotong elaun mereka ini juga menunjukkan kerajaan tidak prihatin di dalam soal ini.

Berdasarkan langkah penjimatan yang tempang itulah bolehlah dianggap ia bukan penjimatan sebaliknya PENJIMAKAN, ertinya langkah itu menyedap dan menyeronokkan pihak tertentu termasuk Najib dan isterinya Rosmah saja. Sebagai penjimakan rakyat hanya syok melihatnya tetapi tidak sedikit dapat merasainya. Mengapa? Ahmad Maslan boleh tolong jelas. Haha ha.

Oleh Mohd Sayuti Omar

Naik Pentas, SAMM Kata TV3 Tipu?

NGO Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menafikan peserta demonstrasi Himpunan 31 Disember yang naik ke pentas sehingga mengganggu persembahan konsert seperti yang dilaporkan media TV3.

Pengarah Propaganda SAMM Edy Noor Reduan sebaliknya berkata, persembahan konsert dihentikan oleh penganjur setelah melihat peserta berbaju hitam memenuhi keseluruhan padang.

“Ucapan Datuk Bandar yang berbaur provokasi juga tidak berjaya membangkit kemarahan rakyat untuk merampas pentas, malah hadirin tetap bertenang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

SAMM juga berkata pihaknya akan memulakan proses saman kerajaan dalam masa terdekat bagi membersihkan nama NGO itu yang dilabel Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai penganjur ‘himpunan guling kerajaan’.

“Lebih 1300 laporan polis yang dibuat oleh Umno dan NGO pro-BN kononnya akan berlaku keganasan pada malam tahun baru termasuk ‘himpunan guling kerajaan’ meleset sama sekali.

“Protes berlangsung dengan aman, tiada yang cedera dan tiada kerajaan yang terguling,” katanya.

NGO itu turut mengutuk tindakan PDRM memuat naik gambar palsu dalam Facebook rasmi kononnya terdapat seorang anggota polis cedera parah ketika bertugas di Dataran Merdeka malam 31 Disember lalu.

PDRM bagaimanapun dalam laman yang sama kemudiannya memohon maaf atas dan menganggapnya sebagai ‘manusia biasa yang tidak dapat lari dari melakukan kesilapan’ namun akan sentiasa dan terus memperbaiki kelemahan yang ada.

“Walaupun permohonan maaf telah dibuat oleh PDRM melalui laman yang sama, integriti polis dalam menyebarkan berita cukup terjejas.

“Ini juga bukan kali pertama, ketika Bersih 3.0 dulu berita kematian anggota polis disebar dan polis percaya propaganda jahat ini lalu bertindak ganas terhadap peserta,” katanya.

Edy berkata, akan ada lagi demonstrasi mega yang dijangka berlaku pada 1 Mei depan sempena Hari Buruh memprotes kenaikan harga barang.

“Protes akan diteruskan selagi kerajaan tidak ‘turun’ dan SAMM akan mengganda usaha untuk mobilisasi lebih besar dalam satu lagi himpunan raksasa yang dijangka berlaku pada Hari Buruh tahun 2014,” katanya. -FMT

Kristian Koptik Demo Bantah Penutupan Lembaga Sosial Islam

Ternyata orang yang menerima menafaat dari layanan lembaga-lembaga sosial Islam bukan hanya dari kalangan umat Islam.

Orang-orang Kristen Koptik yang tergolong dari kalangan yang memerlukan juga turut menerima bantuan dari lembaga-lembaga tersebut, demikian lapor dakwatuna.com

Hal ini terbukti ketika pemerintah kudeta membekukan ribuan akaun beberapa lembaga sosial Islam, ramai orang Kristian Koptik yang merasa diri mereka amat kerugian.

Beberapa orang Koptik tersebut melakukan demonstrasi dengan mengangkat salib di depan hospital Jam’iyah Syar’iyah, lembaga sosial yang dikelola oleh jamaah Ansarus Sunnah. Seperti diberitakan lamanweb twsela.com, Isnin (30/12/2013) kelmarin.

Mereka menentang pembekuan lembaga tersebut kerana mengancam ditutupnya layanan sosial hospital.

Menurut mereka, walaupun percuma, layanan hospital Jam’iyah Syar’iyah jauh lebih berkualiti daripada rumah sakit-rumah sakit spesialis.

Harussani: Peserta demo TURUN 'bughah', halal darah

Mutfi Perak Tan Sri Harussani Zakaria berkata, sepatutnya semua peserta perhimpunan pada 31 Disember lalu ditangkap kerana menderhaka kepada kerajaan dan “dihalalkan darah golongan bughah (pemberontak)”.

“Sepatutnya semua peserta perhimpunan ditangkap kerana menderhaka kepada kerajaan dan dari hukum syarak, dihalalkan darah golongan bughah,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian hari ini.

Harian itu juga melaporkan, mufti itu membidas pembabitan pembangkang, khususnya PAS dalam perhimpunan 'haram' malam kelmarin yang disifatkannya cuba berlagak alim tetapi didakwanya tidak memahami al-Quran.

Sambil melabelkan peserta perhimpunan itu sebagai bughah, beliau dilaporkan berkata, haram bagi mana-mana pihak menyertai perhimpunan itu.

“Pemimpin PAS menyertai perhimpunan itu kerana mereka gagal memahami al-Quran,” katanya lagi seperti dilaporkan Berita Harian.

Harussani juga dilaporkan berkata, kerajaan terlalu bertoleransi sehingga menunjukkan kelemahan mereka kepada pihak yang menentang.

“Kerajaan British juga tidak pernah tunduk kepada penunjuk perasaan. Jadi kenapa kerajaan selepas merdeka perlu akur dengan tekanan mereka,” beliau dipetik sebagai berkata. -MK