Tuesday, January 7, 2014

Bibit Perbezaan Najib Dan Muhyiddin Mula Ketara

Sekembalinya daripada percutian hujung tahun dan negara diselebungi dengan pelbagai masalah serta kekalutan, Perdana Menteri, Najib Razak seperti tidak menyembunyikan kekecewaan sepanjang hanya tidak sampai dua minggu ketiadaannya. Dalam kemunculan sulungnya di tahun 2014 ini iaitu berucap di perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri semalam, antara perkara yang disentuh Najib dalam ucapannya ialah meminta semua pihak bertenang dan mengikut saluran undang-undang dalam isu berkaitan kalimah Allah yang kembali hangat ketika ini.

Isu kedua yang disentuh Najib ialah berkenaan subsidi dan dengan tegas beliau menyatakan bahawa rasionalisasi subsidi akan tetap diteruskan sebagaimana yang dirancang oleh kerajaan. Ini bermakna selepas pemotongan subsidi beberapa bulan lalu yang menyaksikan kenaikan harga minyak dan petrol, di masa mendatang ini akan berlaku lagi beberapa kenaikan akibat pemotongan subsidi yang akan dilakukan oleh kerajaan.

Ketika isu kalimah Allah mula meletus dan UMNO Selangor berhasrat mengadakan demonstrasi di depan gereja bagi menyatakan bantahan, Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin telah menyatakan sokongan terhadap langkah itu dengan menyatakan ia merupakan hak UMNO Selangor untuk berbuat demikian.

Demo di depan gereja itu, walaubagaimanapun akhirnya dibatalkan setelah Pengerusi UMNO Selangor, Noh Omar tidak membenarkannya, sebaliknya telah diadakan di padang Kelab Sultan Sultan, Kelang yang turut dihadiri beberapa pemimpin UMNO negeri itu.

Tetapi sokongan Muhyiddin itu telah diketahui umum dan ia berlaku ketika ketiadaan Najib di dalam negara.

Ketika ketidaan Najib juga di mana setelah berlakunya demonstrasi membantah kenaikan harga barang di Dataran Merdeka pada malam sambutan sambutan tahun baru, Muhyiddin turut berkata bahawa kerajaan akan melihat semula dasar rasionalisasi subsidi secara holistik bagi memastikan ia benar-benar membantu golongan sasaran iaitu rakyat miskin dan golongan berpendapatan rendah.

Dalam kedua-dua perkara yang disentuh oleh Muhyiddin, ia jelas ada perbezaan dengan pendekatan Najib. Ketika Muhyiddin menyokong demontrasi di depan gereja, Najib mahu semua pihak bertenang. Ketika Muhyiddin membuat kenyataan lunak bahawa rasionalisasi subsidi akan dilihat dan dikaji semula, Najib tetap bertegas dengan berkata "tidak" mengenainya.

Selain memperkenalkan dasar 1Malaysia, Najib juga memperlihatkan dirinya lebih toleransi dengan penganut Kristian. Beliau bukan saja mengunjungi Pope dan menjemput paderi Kristian beramah-mesra dengannya, malah menginisiatifkan penyelesaian 10 Perkara yang antara lainnya membenarkan penggunaan nama Allah dan pengedaran Bible berbahasa Melayu di Sabah dan Sarawak.

Muhyiddin pula, dengan melihat perkembangan semasa yang menunjukkan semakin membesarnya kemarahan golongan konservatif Islam berhubung penggunaan kalimah Allah ini, cuba menonjolkan dirinya bersama-sama dengan perjuangan mereka itu. Sokongannya terhadap demontrasi di gereja (walaupun tidak menjadi) tetapi telah menunjukkan Muhyiddin lebih pro Islam berbanding Najib.

Begitu juga dengan kenyataannya untuk melihat semula dasar rasionalisasi subsidi, selari dengan kemarahan rakyat terhadap peningkatan kos sara hidup, Muhyiddin juga cuba menunjukkan beliau pro rakyat.

Namun, Najib nampaknya tidak menunggu lama untuk memangkah kenyataan Muhyiddin itu dan memberitahu bahawa beliau masih lagi Perdana Menteri dan nakhoda dalam negara ini, walaupun dalam suasana semakin banyak masalah dan penyakit yang timbul.

Najib, menurut ramai pemerhati, dengan meminta semua pihak bertenang berhubung isu kalimah Allah dan kemudian menyatakan subsidi tidak mungkin akan dikekalkan, walaupun menujukannya kepada semua rakyat tetapi seperti dalam masa yang sama sedang menyindir timbalannya itu.

Lebih-lebih lagi, kelihatan wajah Muhyiddin yang tidak ceria dan macam mencuka ketika berdiri di belakang Najib di perhimpunan itu. Di dalam akhbar dan beberapa portal berita, wajah Muhyiddin yang masam itu amat jelas kelihatan, malah mereka yang menonton berita di televisyen juga menyatakan perkara yang sama.

Bibit perbezaan antara Najib dan Muhyiddin ini bukan saja mula dirasai, malah sudah mula menjadi bualan di kalangan rakyat dan di dalam UMNO sendiri. Dengan pelbagai isu yang berlaku dalam negara sekarang, Najib bukan saja semakin kurang popular, malah keyakinan terhadap kepimpinannya sedang berada di tahap paling rendah sekali.

Berlakunya terus perbezaan antara pemimpin nombor satu dengan nombor dua memang sukar dielakkan, tidak terkecuali antara Najib dengan Muhyiddin tetapi kebijaksanaandan kecekapan akan menentukan bagaimana ianya akan berakhir nanti.

http://shahbudindotcom.blogspot.com

Mercedes Benz, isunya kemewahan, bukan harga berpatutan

Kalau ada rumah sendiri, mengapa nak tidur di rumah kerajaan? Kalau ada jam tangan Casio yang berfungsi dengan baik, apakah perlu membeli jam tangan Rolex walaupun diberi diskaun?
Kalau ada tiket tambang murah mengapa pilih penerbangan yang lebih baik walaupun ianya adalah satu ‘entitlement’ atau peruntukan untuk jawatannya?

Kalau ada kereta Camry yang masih baru, mengapa perlu tukar ke Benz?

Bagi seorang pemimpin yang selalu menggambarkan dirinya sebagai seorang yang bersederhana, persoalan-persoalan di atas perlu sentiasa dijadikan keutamaan dalam tindak-tanduknya.

Lebih-lebih lagi kalau pemimpin ini selalu menjadi juara menyerang pihak lawan yang sekian lama memilih kemewahan untuk keuntungan politik.

Apabila rakyat melihat pemimpin yang pada mereka sepatutnya bersifat sederhana ini memilih Benz, yang jauh lebih mewah daripada Camry yang berusia dua bulan, hati mereka dihentak seperti cermin kereta terkena batu.

Hentakan itu bukan sahaja menyebabkan cermin kereta tersebut cacat kerana berlubang, malah hanya menanti masa untuknya merebak dan meretakkan seluruh cermin sehingga hancur.

Inilah yang terjadi pada Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agong DAP Lim Guan Eng dalam isu pembelian Benz.

Jawapan-jawapan daripada kerajaan negeri mengenai betapa berbaloinya Benz yang dibeli untuk kegunaan Guan Eng sebagai ketua menteri tidak berguna, kerana Benz dilihat sebagai satu kemewahan berbanding Camry.

Bagi rakyat, mereka merasakan Guan Eng adalah seorang pemimpin yang sepatutnya berkata:

“Memang ada peruntukan untuk saya menggunakan Benz sebagai ketua menteri, tapi saya menolaknya kerana Camry yang disediakan masih baru. Duit yang ada lebih elok saya gunakan untuk manfaat rakyat.”

Itulah Guan Eng yang rakyat kenali, bukannya Guan Eng yang mempertahankan tindakannya membeli Benz.

Bagi penyokong Guan Eng yang menjawab serangan dalam bentuk – “Guan Eng selayaknya boleh menggunakan Benz kerana kecemerlangannya mentadbir Pulau Pinang” – diharap berfikir semula.

Pertama, berjuang dalam politik ini bukan untuk ganjaran seperti menaiki Benz. Ganjaran yang ada hanyalah kepercayaan rakyat untuk memberikan undi majoriti untuk mentadbir semula 5 tahun akan datang.

Sekiranya alasan tersebut layak digunakan, apakah Najib tidak layak menaiki jet peribadi kerana berjaya mengekalkan kecemerlangan BN mempertahankan Putrajaya buat kali ke 13?

Mengapa harus Najib menggunakan penerbangan MAS, sama ada penerbangan kelas pertama mahupun bisnes, kerana beliau layak menggunakan penerbangan yang lebih mewah?

Nasi telah menjadi bubur.

Rakyat memilih Pakatan Rakyat kerana menganggapnya berlainan daripada BN, terutamanya dari segi menolak kemewahan. Namun, kini ia makin dilihat tiada kelainan.

Ingatlah, tindak-tanduk pemimpin mesti serasi dengan persepsi yang dibinanya pada minda rakyat.
Kesilapan Guan Eng kali ini agak parah sebab tindakannya tidak selari dengan persepsi sederhana yang dibinanya sejak pra-2008.

Ia hampir sama dengan tindakan Najib yang tidak selari dengan kata-kata ‘wasatiyyah’nya tatkala rakyat mempunyai persepsi yang mendalam pada keborosannya yang begitu menjolok mata.

Cermin kereta PR kini sudah berlubang. Jika tidak berhati-hati, lubang itu akan merebak ke seluruh cermin kereta.

Namun, kalau PR terus meniru tindakan serong BN, mungkin PR juga turut percaya, berlubanglah cermin kereta sebanyak manapun, cermin tetap tidak akan retak (BN menang dah 13 kali).

PR harus sedar, di sebalik cermin kereta BN yang teguh itu, berbillion duit rakyat tertampal untuk menahannya dari retak.

Apakah itupun turut ingin ditiru PR?

Amaran angin kencang dan laut bergelora mulai Jumaat

Beberapa kawasan perairan negara diramal dilanda angin kencang dan laut bergelora selama tiga hari bermula Jumaat hingga 13 Januari.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan di sini berkata angin kencang Timur Laut berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Pahang, Johor Timur, Sarawak, Labuan dan Sabah (Pedalaman, Pantai Barat, Kudat dan Sandakan).

Amaran sama turut dikeluarkan bagi kawasan di perairan Tioman, Bunguran, Reef South, Palawan dan Sulu.

"Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah bahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi dan sukan laut," menurut kenyataan itu.

Selain itu, angin kencang Timur Laut yang bertiup dari 50 kilometer sejam serta ombak setinggi 4.5 meter diramal melanda kawasan perairan Kelantan, Terengganu dan Samui bermula Khamis hingga 13 Januari.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak, menurut kenyataan itu. – Bernama,

Kebakaran Besar Di Rantau Panjang, 60 Kedai Musnah

Kira-kira 60 unit kedai di Kompleks Zon Bebas Cukai Rantau Panjang yang terkenal di kalangan pelancong musnah dalam kebakaran pada kira-kira 11.30 malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Abdul Jalil Ishak berkata jentera bomba bersama 33 anggota yang tiba di tempat kejadian beberapa minit kemudian berjaya mengawal api sepenuhnya dalam tempoh sejam.

"Bomba terpaksa mendapatkan sumber air dari Sungai Golok yang terletak berhampiran selepas air pili bomba berdekatan tidak mencukupi," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Abdul Jalil berkata kesemua kedai berkenaan dengan binaan kayu, yang beroperasi lebih 20 tahun di kawasan zon bebas cukai itu, terletak sebelah menyebelah menyebabkan api cepat merebak.

"Sebahagian besar kedai berkenaan menjual pakaian dan selimut menyebabkan api lagi cepat marak," katanya.

Beliau berkata punca kebakaran dan nilai kerugian belum dapat dipastikan. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Terdapat lebih 300 kedai yang menjual pelbagai jenis barangan di kompleks itu yang menjadi tumpuan pelancong pada cuti hujung minggu dan cuti sekolah.

Tinjauan BERNAMA mendapati rata-rata peniaga mengetahui kedai mereka terbakar kira-kira setengah jam kebakaran terjadi.

Seorang peniaga, Suhaida Shafie, 25, berkata dia kerugian kira-kira RM50,000 apabila semua pakaian dan selimut di kedainya musnah.

"Keluarga saya dah berniaga di sini sejak 20 tahun lalu dan saya pilu melihat kedai milik kami musnah sama sekali," katanya.

Seorang lagi peniaga Shamsiah Mohamad, 30, berkata dia kini buntu memikirkan masa depan apabila kedainya musnah dalam kebakaran itu.

"Saya dah berniaga 15 tahun dan sedih memikirkan masa depan saya kerana ini adalah satu-satunya punca pendapatan saya sekeluarga," katanya. -astroawani





‘Orang tengah’ antara punca harga naik di Sabah

SANDAKAN: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman menyifatkan peranan ‘orang tengah’ turut menyumbang kepada kenaikan harga barang makanan di negeri ini.

Menurut beliau tindakan orang tengah tidak bertanggungjawab dan ingin mendapatkan keuntungan lebih sehingga membebankan pengguna.

“Kenaikan harga makanan pada masa sekarang bukan sahaja disebabkan harga minyak naik dan tarif elektrik, tetapi saya melihat ada unsur orang tengah ingin mengaut keuntungan lebih.

“Mereka menaikkan harga sesuka hati, sebagai contoh saya dimaklumkan harga udang harimau mencecah RM120 dan ia dinaikkan terlalu tinggi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan dengan Ketua-ketua Cawangan UMNO Bahagian Libaran di sini semalam.

Sehubungan itu, Musa berkata beliau akan membawa perkara itu dalam mesyuarat Jemaah Menteri Kabinet akan datang dan memaklumkan kepada Perdana Menteri.

Beliau juga mahu peranan orang tengah dipantau bagi memastikan mereka lebih bertanggungjawab dengan tidak menjual sesuatu barangan dengan harga tinggi.

Dalam pada itu, bagi menangani kenaikan harga barang, Musa menggalakkan penduduk negeri ini bercucuk tanam sayur-sayuran dan buah-buahan di kawasan rumah mereka.

Katanya ia merupakan antara cara untuk meringankan beban membeli barang makanan untuk jangka masa panjang.

Terdahulu dalam ucapannya, Musa berkata beliau telah mengarahkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan negeri mencari kaedah terbaharu membantu petani, nelayan dan peladang menambah pendapatan. — Bernama

Lim Guan Eng dan Marcedes-Benz

Bukan soal dia Cina atau Melayu tetapi soal integriti. Bagi saya tidak ada guna kalau seseorang itu hanya sebangsa dan sebulu dengan saya, tetapi tidak ada integriti. Persamaan bukan alasan untuk bersetuju sedangkan integritinya tidak ada.

Saya mengucapkan syabas kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di atas keterbukaan dan keredhaanya meminta agar SPRM menyiasat isu pembelian kereta Mercedes-Benz S300L yang kini cuba dimanipulasikan menjadi isu bagi memburukkan ketua menteri itu.

Sikap diambil Guan Eng sama dengan keberanian dan keredhaan pernah dilakukan Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika menjadi MB yang membuka pintu pejabatnya 25 jam untuk disiasat oleh SPRM. (Nik Aziz tidak melakukan rasuah tetapi adakalanya membenarkan perbuatan itu tanpa sedarnya). Maksudnya?

Apa lagi SPRM tunggu, masuk dan siasatlah Lim Gua Eng ekoran pembelian kereta rasmi itu. Walaupun hampir setiap malam media PB mempertikaikan pembelian itu, ia tidak akan ada kesudahan dan kesaihah mengenainya jika tidak ada siasatan dari SPRM. Orang awam yang pendek akal dan cetek maklumat apa lagi tidak memahami simpang siur politik Yahudi akan keliru dan keliru.

Makanya SPRM sebagai suruhanjaya yang dikawal oleh kerajaan UBN hendaklah memberi kata putus sebagai memuaskan hati mereka yang mengungkitkan pembelian itu dan juga mereka dituba dengan kekeliruan siang dan malam.

Walaupun Pegawai Kewangan Negeri Pulai Pinang telah menjelaskan terma atau pun urusan belian kereta Mercedes itu dengan harga potongan, tetapi ia tidak dipercayai. Siang malam media eletronik PB buat mewawancara dengan indivu-invidu termasuk yang ditangkap tepi longkang dan dikenal pasti benci kepada DAP dan Lim Guang Eng. Sudah naik muak orang melihat wajah-wajah yang dipaparkan.

Pihak media yang memainkan isu berkenaan juga tidak bodoh dalam memahami sesuatu pembelian kerajaan dan keistimewaan yang diperolehinya. Tetapi kerana tujuannya, ungkit pembelian kerana nak damagekan Guan Eng maka ia dilakukan juga walaupun menjatuhkan wibawa dan taraf profesional media berkenaan.

Motif politik disebalik memburukan Guan Eng ialah kerana hendak jatuhkan kerajaan DAP di negeri itu. Percayalah kerajaan DAP tidak akan jatuh dengan memberi gambaran buruk kepada orang yang tidak buruk. Katalah sebanyak mana yang bunga ros itu busuk orang tidak percaya kerana ros adalah tetap ros.

Sia-sia saja cuba memanipulasikan apa cerita hendak mengaitkan Guan Eng sebagai buruk.

Kalau individu yang hendak jatuhkan kerajaan DAP Pulau Pinang itu cerdik, dia tidak akan membuat spekulasi begitu. Dia akan menceritakan kewangian ros dan cuba belajar macam mana hendak mewangikan orang-orang Umno di Pulau Pinang. Percayalah kerajaan DAP tidak akan jatuh dengan cara dilakukan seperti sekarang ini malahan ia menjadi semakin utuh.

Orang Umno kena buat sesuatu yang menyebaban orang Melayu suka dan yakinkan kepada mereka. Begitu juga dengan orang Cina di Pulau Mutiara. Selagi orang Cina tidak bersama Umno, maka selama itu Umno hanya akan jadi kera sumbang saja di Pulau Pinang atau seperti penjaja nasi kandar basi memikul bakul ke hulu dan ke hilir.

Kebaikan yang dilakukan oleh Guan Eng bukan kebaikan yang palsu atau buat-buatan seperti mana orang Umno lakukan. Ia adalah kebaikan sejati. Atau pun kalau ada kejahatan mengenai tander mender sama juga yang dilakukan oleh pemimpin Umno. Kalau hendak pertikaikan Guan Eng pertikaikan dulu apa yang pemimpin Umno buat.

Soal Guan Eng atau DAP hendak perkuatkan Cina, sesiapa tidak boleh pertikaian. Seperti juga orang Umno yang hendak perkuatkan orang Melayu. Itu adalah tanggungjawab dan amanah. Itulah intisari dan matlamat perjuangan semua bangsa di dunia ini.

Bodok dan tolollah Guan Eng kalau dia berjuang bukan untuk memperkuat, memaju kaumnya, Cina. Bagaimana Melayu buat begitulah juga yang Guan Eng buat. Hakikat ini kena diterima.

Ditegaskan janganlah berusaha menjatuhkan orang dengan cara tidak baik. Kalau hendak menebang pokok buatlah muka di sebelah arah yang condong jangan sesekali menebang dari arah yang sebaliknya kerana menebang dari arah condong itu memudahkan pokok itu tumbang manaala kalau menebang disebalik arah bertentangan ia membahayakan si penebang. Faham-fahamlah.

http://msomelayu.blogspot.com

Kemalangan Sampai Enjin Kereta Proton Preve Tercampak Keluar

Berpantang maut sebelum ajal. Itu yang berlaku ke atas seorang wanita selepas terselamat walaupun kereta dipandunya terbabas dan terbalik beberapa kali dalam kejadian di Kilometer 400.9 LPT Kuala Lumpur-Kuala Terengganu (Ajil-Telemong), pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa, Afill Amalina Llailie Lokhman, 25, dalam perjalanan dari arah Bukit Besi menuju ke arah Ajil dan kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Preve dipandunya secara tiba-tiba terbabas ketika di lokasi kejadian.

Menurut sumber, mangsa yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Serdang memulakan perjalanan dari Serdang kira-kira jam 4 pagi menuju ke Bukit Payung, Besut bagi pulang bercuti ke kampungnya.

“Kereta dipandu mangsa tanpa penumpang dipercayai terbabas ke kiri dan kanan jalan sehingga merempuh pengadang jalan, selain turut terbalik beberapa kali. Keadaan itu turut menyebabkan enjin kereta tersebut tercabut.

“Bagaimanapun, mangsa terselamat dan hanya mengalami luka kecil di bahagian mata sebelah kiri serta jari. Mangsa kemudiannya mendapatkan rawatan di Hospital Hulu Terengganu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Ismail Muslim ketika dihubungi mengesahkan laporan kemalangan itu.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika memandu termasuk mematuhi had laju ditetapkan. -SH





Mujahid dan Marina diserang pertubuhan Islam kerana bela Kristian

Pertubuhan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) menyifatkan perpecahan umat Islam di dalam negara berpunca daripada sikap umat Islam yang menyokong agama Kristian, termasuk sikap pemimpin Datuk Dr Mujahid Yusof (gambar) dan Datin Paduka Marina Mahathir yang disifatkannya menyokong Kristian.

"Hujahnya membuat orang awam jadi keliru, atau menerima saja kerana tidak ada neraca syarak untuk menilai. Sangat pelik dan ajaib pendirian itu untuk dipakai bagi pembela yang mengaku menjadi pemimpin Islam," katanya lagi yang merujuk kepada kenyataan Mujahid.

Isma juga kesal dengan tindakan umat Islam yang ke gereja untuk membela Kristian.

Beliau merujuk kepada anak bekas perdana menteri, Datin Paduka Marina Mahathir serta rakannya yang menyertai hampir 1,000 penganut Kristian di himpunan hari Ahad di Gereja Katolik Our Lady of Lourdes di Klang.

"Jika setiap kali ada pihak Islam yang ikhlas, berani dan lantang cuba untuk mempertahan kedudukan Islam, mereka akan dihentam.

"Tetapi sebaliknya jika perlakuan Kristian yang mencabar agama Islam termasuk kes kedegilan pihak gereja untuk terus menggunakan kalimah Allah, ada pula orang Islam yang membelanya. Beruntung sungguh mereka (Evangelis) itu," bidas Naib Presiden II Isma, Rahman Mat Dali terhadap sikap orang Islam yang memperlekehkan agama sendiri sehingga menguntungkan pihak Kristian dalam satu kenyataan hari ini.

Isma, pertubuhan konservatif Islam, merujuk kepada tindakan Marina memberikan bunga kepada penganut Kristian di gereja berkenaan Ahad semalam.

Selain Isma, kumpulan pendesak Melayu Perkasa juga mengecam tindakan penganut Islam termasuk Marina kerana menyokong tindakan gereja yang bertegas mahu menggunakan kalimah Allah di Selangor.

Dalam pada itu, Marina yang ditemui hari ini selepas Majlis Perundingan Perpaduan Nasional (MPPN) enggan memberikan komen terhadap kecaman Perkasa terhadap dirinya.

"Saya tidak mahu ulas tentang Perkasa. Mereka banyak cakap perkara sampah," kata Marina.

Kontroversi kalimah Allah mendapat perhatian umum kembali selepas Pengarang Herald, Paderi Lawrence Andrew berkata gereja Katolik di Selangor akan terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguannya yang menggunakan Bahasa Melayu walaupun Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah menghantar notis peringatan mengenai larangan penggunaan kalimah itu oleh orang bukan Islam.

Jais, pada minggu lepas, turut mengambil pendekatan merampas Bible dalam serbuannya ke atas premis Persatuan Bible Malaysia di Selangor. – TMI

Rakyat diminta berjimat, menteri buat parti hari jadi mewah

Beberapa menteri terus hidup dalam kemewahan ketika Putrajaya memotong bajet dan meminta rakyat mengetatkan tali pinggang mereka dan berjimat cermat dalam menghadapi kos hidup yang meningkat dan pengurangan subsidi tahun ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menganjurkan parti hari jadi yang "mewah" di sebuah hotel lima bintang dekat Kuala Lumpur semalam yang tetamunya mendakwa menjadi sambutan Tahun Baru.

Seorang lagi menteri telah membuat sambutan perkahwinan dua hari untuk anak beliau di satu lagi hotel lima bintang di ibu Kuala Lumpur bulan lepas, diserikan oleh kerabat diraja dan orang kenamaan dan telah dihiburkan oleh penyanyi wanita dari Indonesia.

Beberapa penulis blog pro-Umno pula mempertikaikan keperluan Jabatan Perdana Menteri memiliki dua jet VIP selepas ia mendedahkan bahawa Putrajaya menghabiskan RM180 juta untuk mengekal dan mengendalikan jet kerajaan untuk perjalanan rasmi pada tahun 2012.

Tetapi majlis makan tengahari semalam yang diadakan selepas Putrajaya mengumumkan 11 langkah untuk mengurangkan perbelanjaan awam, yang melibatkan pemotongan untuk hiburan dan pengangkutan elaun menteri dan pegawai tinggi kerajaan selain daripada membekukan permintaan pengubahsuaian pejabat amat menjolok mata.

Menerima maklumat mengenai majlis makan tengahari itu, The Malaysian Insider telah melawat hotel terkenal itu di mana semua tetamu dan yang menyambut ulang tahun berpakaian merah sebagai tema parti itu.

Tetamu Ahmad Zahid memenuhi ruang makan di dewan tarian utama hotel ini manakala dia bercampur dengan mereka, termasuk beberapa pegawai kanan kerajaan yang telah dijemput melalui e-mel yang ditunjukkan kepada The Malaysian Insider.

Naib Presiden Umno ini tersenyum lebar sambil berjabat tangan dengan semua yang hadir selepas parti berakhir, sementara kereta-kereta mewah dengan pemandu berbaris di depan hotel, menyebabkan lalu lintas tersekat selepas dihentikan oleh Porsche Cayennes hitam dan Toyota Alphards yang diletakkan di tepi jalan.

The Malaysian Insider cuba untuk bercakap dengan Ahmad Zahid tetapi dihalang oleh pengawal peribadi beliau dan diminta untuk meninggalkan majlis atau diiring keluar.

Tidak diketahui siapakah yang membuat bayaran untuk parti Ahmad Zahid ini, ataupun kenapa tema merah dipilih, tetapi tetamu beliau berpakaian terbaik mereka dengan beg tangan berjenama dan totes di tangan.

Tetamu memberitahu The Malaysian Insider bahawa parti itu telah disambut untuk dua hari jadi, Ahmad Zahid dan cucu beliau yang jatuh pada hari yang sama tetapi juga menegaskan bahawa ia adalah sebuah parti Tahun Baru sebagaimana yang terpampang di latar belakang pentas.

Jemputan juga telah dihantar melalui e-mel pada hari Jumaat kepada pegawai Kementerian Dalam Negeri yang terpilih. E-mel yang bertajuk "Sambutan Hari Jadi Menteri Dalam Negeri", juga termasuk nota jemputan kepada menteri Kabinet dan ahli Majlis Tertinggi Umno.

Parti hari jadi mewah dan perkahwinan mewah anak perempuan menteri hatta kereta baru Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pun jadi isu (walaupun dibeli dengan diskaun 55% -GB) pada ketika kebanyakan rakyat Malaysia merungut tentang kenaikan harga untuk elektrik, makanan, bahan api dan juga kos persekolahan.

Harga bahan api, gula dan tarif elektrik naik selepas Putrajaya memotong subsidi manakala tambang pengangkutan awam akan meningkat pada tahun ini. Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) juga akan diperkenalkan pada tahun 2015.

Perbelanjaan kerajaan melonjak dengan bajet tahun ini sehingga RM264.2 bilion berbanding tahun lepas RM251.6 bilion di tengah-tengah kebimbangan bahawa Putrajaya tidak mengurangkan perbelanjaan walaupun meminta orang ramai untuk berbuat demikian.

Rakyat Malaysia juga mencemuh pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa Putrajaya akan melaksanakan 11 langkah-langkah penjimatan untuk mengurangkan perbelanjaan pada tahun 2014.

Pakar ekonomi Najib, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar telah pun menasihatkan pengguna untuk berbelanja dengan bijak dan mencari alternatif.

Bekas pegawai bank itu berkata rakyat Malaysia perlu berjimat cermat dan hidup mengikut kemampuan mereka.

"Saya pergi ke pasar setiap minggu. Saya tahu bahawa harga barangan keperluan asas adalah tinggi, tetapi pengguna mempunyai pilihan dalam apa yang mereka membelanjakan wang mereka," beliau dipetik sebagai berkata dalam laporan berita. -TMI





Perbandingan Media Indonesia & Media Malaysia?

Kebebasan media di Indonesia jauh meninggalkan Malaysia dengan melaporkan berita lebih telus dan jujur mengenai dasar kerajaan berbanding media tempatan negara ini yang dikongkong kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata isu ini pernah disuarakan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) kepadanya ketika beliau mengadakan lawatan bertemu Presiden negara republik itu.

“Saya duduk sekali dalam satu persidangan dengan Presiden SBY yang kebetulan hari itu muka depan media Indonesia melaporkan laporan positif tentang saya di muka depan dan di muka depan juga serang dia sebab skandal bank Century.

“Dia kata pada saya; tengok Pak Anwar medianya, aduh penat saya. Saya diserang habis-habisan tetapi Pak Anwar dipuji semua.

“Dia presiden, mengeluh media kritik dia tetapi dia tidak boleh berbuat apa-apa. Kita di sini pula, (laporkan) Perdana Menteri terbaik di dunia,” kata Anwar.

Beliau ketika menyampaikan ceramah dalam Kursus Merdeka Rakyat yang diadakan di Pusat Reformasi Demokrasi dan Inisiatif Sosial di sini, hari ini.

Kata Anwar, kebebasan media di Indonesia itu merupakan sebahagian dari hasil kejayaan rakyat negara itu melakukan reformasi sehingga menumbangkan kerajaan ketika dipimpin Presiden Soeharto pada 1998.

Kata beliau lagi, reformasi di Indonesia berjaya mengukuhkan institusi penting di negara itu berbanding sebelumnya yang dicemari pelbagai rasuah termasuk salah guna kuasa pemimpinnya.

“Kekuatan Indonesia adalah institusinya selepas reformasi. Menteri masuk penjara, Gabenor Bank Negara masuk penjara, Ketua Pembentarasan Korupsi dalam penjara, Ketua Mahkamah Konstitusi nombor satu juga dalam penjara sebab rasuah. Bayangkanlah kekuatan institusi mereka hari ini.

Bagaimanapun tambah Anwar lagi, perkara ini berbeza dengan keadaan institusi penting kerjaan yang cuba memanipulasi kes-kes yang melibatkan kepentingan kerajaan.

“Lain di sini, Tun Ling Liong Sik sebelum pilihan raya didakwa, tetapi selepas pilihan raya dibebaskan. Memang kita dah jangka,” katanya lagi. -selangorkini