Tuesday, January 14, 2014

UMNO pula desak pengerusi SPR letak jawatan

Saifuddin-AbdullahPemimpin Umno, Datuk Saifudin Abdullah menyertai pelbagai pihak mendesak agar ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terutama pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Yusof diberhentikan.

Beliau berkata, pengerusi SPR yang bebas sangat diperlukan ketika keyakinan awam terhadapnya semakin menurun.

"Kita memerlukan sesaorang yang tekun, bebas dan seorang yang tidak bercakap bagi pihak Barisan Nasional (BN).

"Awak tidak membantu BN sebenarnya," kata Saifudin merujuk kepada ahli SPR yang bercakap seolah-olah mewakili BN, dalam satu forum malam tadi.

Pengerusi baru Bersih 2.0, Marina Chin menuntut agar semua ahli SPR dipecat kerana masyarakat awam sudah kehilangan keyakinan kepada mereka.

Katanya, petisyen akan dilancar selepas ini untuk membuat tuntutan itu dan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Kenyataan ini datang ketika bekas pemimpin SPR, Tan Sri Rashid Abdul Rahman, berkata persempadanan semula dibuat untuk mempastikan sesetengah pihak kekal berkuasa.

Pengerusi SPR, Tan Sri Aziz baru-baru ini berkata, Pakatan Rakyat perlu menyokong persempadanan semula kawasan pilihan raya kerana ia untuk kebaikan semua pihak termasuk mereka.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menegaskan Pakatan tidak akan menyokong persempadanan semula kawasan pilihan raya itu kalau ia dikendalikan oleh ahli SPR yang ada.

Bersih 2.0 menuntut dihentikan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang sedang dilaksanakan oleh SPR sehingga masalah berkaitan dengannya diselesaikan.

"Bersih 2.0 sekeras-kerasnya dengan ini, sekali lagi menggesa supaya persempadanan semula yang sedang berlangsung dihentikan serta merta sehingga senarai pengundi dibersihkan, dan SPR yang baru perlu dilantik dengan penglibatan langsung masyarakat sivil.

"Kenyataan Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman ini melengkapkan lagi episod panjang kecurangan dan salah laku yang terpalit ke atas SPR selama ini.

"Bagaimanapun, kami percaya kecurangan ini boleh dihentikan. Namun ia perlu dilakukan sekarang," kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 itu. – 1

Pelajar Praktikal Dakwa Kena Raba Dengan Timb Pengarah

Seremban – Timbalan Pengarah sebuah jabatan, didakwa mencabul seorang pelajar praktikal di pejabatnya di Wisma Persekutuan, di sini.

Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku minggu lepas terbongkar selepas pelajar berusia 20-an itu mengadu kepada kakitangan jabatan berkenaan.

Difahamkan, ketika kejadian hanya mangsa dan suspek berada dalam sebuah bilik di pejabat berkenaan.

“Ketika mangsa sedang membuat kerja, suspek secara tiba-tiba menghampiri mangsa lalu mengusap pipi mangsa sebelum tangannya merayap ke anggota badan lain.

“Mangsa kemudian menepis tangan suspek kerana tidak selesa dengan kelakuan timbalan pengarah berusia lingkungan 40-an itu. Namun suspek tidak mengendahkannya lalu meneruskan niat jahatnya itu dengan penuh ghairah,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Menurut sumber, mangsa yang berasal dari Jelebu itu merupakan pelajar di sebuah kolej swasta di Pahang, baru menjalani latihan praktikal di pejabat berkenaan, kira-kira sebulan lalu.

“Akibat tindakan timbalan pengarah tersebut, mangsa kini dilaporkan trauma namun dipercayai masih menjalani latihan praktikal di situ.

“Kakitangan pejabat yang mengetahui mangsa dicabul menasihatkannya agar membuat laporan polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Zainal Abu ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua seksyen ini jika sabit kesalahan. -SH

Wednesday, January 8, 2014

Ella sedia untuk berhijab

RATU Rock Malaysia, Ella memberitahu sejak mendirikan rumah tangga lebih setahun lalu dengan juruterbang, Azhar Ghazali, kehidupannya kini lebih banyak terluang dengan keluarga.

Berkongsi mengenai alam rumah tangganya, Ella mengakui suaminya itu banyak menasihati serta mendidiknya ke arah kebaikan termasuklah cara pemakaian. Gambar: Ella bersama suaminya

“Sejak berkahwin, rutin saya sudah berbeza di mana saya tidak mempunyai banyak masa terluang. Kehidupan saya kini hanya fokus untuk suami, keluarga, kerjaya dan juga amal jariah.

“Alhamdulillah, suami juga banyak membimbing saya. Dia tak nak saya seksi dan saya menghormati permintaannya. Dia juga menggalakkan saya ke arah memakai hijab dan secara peribadi, saya sudah bersedia pada bila-bila masa saja,” katanya yang dipetik dari portal Gua.

Meskipun sering dihimpit soalan berhubung cahaya mata, Ella akui tidak tertekan.

“Tidak dinafikan sejak berkahwin, ramai yang bertanyakan tentang soal anak. Alhamdulillah, saya tidak tertekan dan saya anggap ia sebagai satu doa.

“InsyaAllah, saya masih mencuba dan jika tak ada itu maksudnya belum ada rezeki saya lagi untuk mempunyai anak,” katanya.

Malah Ella terfikir untuk mengikut jejak rakan artis, Umie Aida dan Misha Omar yang mengambil anak angkat.

“Secara jujur, ada juga saya memasang niat untuk mengambil anak angkat apabila tengok rakan artis macam seronok saja ada anak angkat.

“Namun, perkara ini tak mudah kerana tanggungjawabnya sangat berat dan saya takut tak dapat laksanakan tanggungjawab andai saya mengambil anak angkat,” katanya. -SH

'Apa Salah Saya' - Marina Mahathir

SAYA hanya pergi ke sana (gereja) untuk meredakan perasaan takut di kalangan kita berkenaan isu ini, apa salah saya?" luah aktivis sosial, Datin Paduka Marina Mahathir.

Marina berkata demikian kerana kesal dengan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan beliau bersetuju dengan pengunaan kalimah ALLAH oleh orang bukan Islam dan mereka menggelarkannya sebagai pergerakan Islam liberal.

Kelmarin, tindakan anak mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyertai perhimpunan di perkarangan gereja Katolik 'Our Lady of Lourdes' di Klang dikecam hebat oleh orang ramai khususnya orang Islam.

Namun katanya, perbuatan itu hanya berniatkan untuk 'make peace' (berdamai) dengan kawan-kawan yang beragama Kristian supaya tiada lagi pertelingkahan selepas ini.

"Mengapa perkara ini dijadikan isu? Saya datang untuk memberikan sokongan moral dan bawa bunga tanda ikhlas untuk berbaik dengan penganut Kristian," luahnya kepada mD.

Terdahulu, sebuah portal melaporkan, selain daripada membawa bunga, Marina turut mempertahankan penggunaan kalimah ALLAH dalam penerbitan The Herald meskipun pihak berkuasa agama dan mahkamah menghalang tindakan tersebut.

Tindakan Marina disifatkan sebagai mencetus kontroversi atau sengaja mahu mencari publisiti murahan dan dalam masa yang sama mengeluarkan kenyataan yang mengecam tindakan Jais.

Menjelaskan perkara itu, Marina menegaskan tindakan yang dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dianggap keterlaluan apabila bertindak kasar dengan merampas kitab- kitab milik penganut Kristian.

"Ada cara yang lebih baik untuk menangani isu ini. Tindakan JAIS yang merampas kitab-kitab itu tidak betul... ianya adalah dengan cara kasar. Apa yang akan anda rasa jika orang lain merampas kitab suci anda," soalnya dengan penuh kesal.

JAIS sebelum ini pernah membuat serbuan terhadap pejabat Persatuan Bible Malaysia di Damansara Kim, Petaling Jaya, dan merampas lebih daripada 300 kitab Injil (Bible) berbahasa Melayu dan Iban serta menahan dua pemimpinnya.

Sementara itu, Brian Yap, 30, menyifatkan tindakan JAIS itu tidak adil kerana ianya dianggap satu bentuk kekerasan terhadap penganut kristian.

Brian yang juga seorang penganut agama Kristian berkata, JAIS juga harus menghormati gereja sama seperti rumah ibadat yang lain di Malaysia.

"Perlembagaan kita membenarkan kebebasan beragama dan secara peribadi, saya merasakan bahawa JAIS juga perlu menghormati kami sama seperti penganut agama Islam yang lain.

Tambahnya lagi, dalam konteks lain, penganut agama Kristian perlu faham bahawa isu ini tidak akan berlanjutan sekiranya (Father Lawrence) tidak membangkitkannya.

Sebelum ini, Father Lawrence Andrew berkata gereja Katolik di Selangor akan terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguannya yang menggunakan Bahasa Melayu walaupun JAIS telah menghantar notis peringatan mengenai larangan penggunaan kalimah itu oleh orang bukan Islam.

Jelas Brian, beliau berharap agar isu itu dapat diselesaikan secepat mungkin demi kebaikan kedua-dua agama berkaitan.

"Ini akan menjejaskan imej agama Kristian dan Islam sekiranya perkara ini berterusan serta dikhuatiri akan menjadi lebih sensitif," katanya.

Susulan daripada kejadian itu, Wira Perkasa Malaysia (Perkasa) semalam mengutuk sekeras - kerasnya tindakan Marina Mahathir yang dikatakan mempertahankan penganut - penganut Kristian dalam perhimpunan bagi menunjukkan solidariti bersama mereka.

Mohamad Syafiq Iqbal Mohamed, 25, pula berpendapat tindakan JAIS itu dianggap tepat pada masanya bagi membanteras penyebaran kitab yang boleh mengelirukan umat Islam dan mungkin akan menyebabkan terpesongnya akidah mereka.

Katanya, dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 11, Fasal (1) ada mengatakan 'Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya' selagi tertakluk kepada Fasal (4) dimana 'Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam'.

"Penggunaan kalimah Allah dalam Injil (Bible) dianggap tidak boleh apabila Mahkamah Rayuan melarang penerbitan mingguan Katolik, The Herald, daripada menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada Tuhan.

Malah katanya dalam Perkara 11 (3) tiap-tiap kumpulan agama berhak untuk menguruskan hal ehwal agamanya sendiri bermaksud sama seperti yang dilakukan oleh JAIS.

"Apa yang JAIS lakukan adalah mengikut Perlembagaan Persekutuan, malah dalam Enakmen Agama Bukan Islam Selangor (Kawalan Penyebaran Kepada Umat Islam) Enakmen 1988 juga ada ditegaskan bagi mengelakkan kekeliruan agama di kalangan umat Islam.

"Bagi saya, Jais mempunyai kuasa untuk membanteras pergerakan yang boleh memesongkan Islam. Mereka buat begitu untuk melindungi agama Islam! Apa yang salah!" tegasnya.

Bagaimana pun, bagi Deepika A/P Padukum, 26, perbincangan antara kedua-dua tokoh agama (Islam dan Kristian) merupakan jalan terbaik untuk menyelesaikan isu ini.

"Setahu saya, isu ini telah lama diperkatakan dan keputusan mahkamah juga sudah ada namun ianya tidak dapat memuaskan hati semua pihak. Sebagai penganut Hindu, saya juga mahu semua orang bersatu."

Jelasnya, pemimpin juga harus memainkan peranan untuk memberikan penerangan kepada masyarakat berkaitan isu ini tanpa menyelitkan unsur politik.

Tambah Deepika, isu kalimah Allah adalah satu isu yang sensitif dan seharusnya ada perasaan hormat sesama agama.

"Mereka seharusnya 'walk the talk' (mengotakan janji) untuk menenangkan orang-orang Islam dan Kristian, dan cakap dengan jujur supaya mereka faham situasi sebenar isu ini tanpa ada perbalahan kelak," jelasnya.

Menurut laporan sebuah portal semalam, mesyuarat pertama Majlis Perundingan Perpaduan Nasional (MPPN) membuat pendirian menyesali serbuan JAIS ke atas Persatuan Bible Malaysia (PBM) kerana ianya melanggar penyelesaian 10-perkara yang dibuat oleh Putrajaya dengan penganut Kristian sebelum ini.

Sehubungan itu, MPPN mendesak Putrajaya untuk memastikan semua pihak mematuhi penyelesaian 10-perkara yang dibuat pada April 2011.

Pengerusinya, Tan Sri Samsudin Osman berkata, Putrajaya juga perlu mengambil tindakan segera terhadap isu perpaduan nasional kerana ia menjadi isu penting ketika ini.

"Kami juga menuntut pemimpin daripada semua parti politik untuk memastikan tindakan sedemikian tidak berulang supaya tidak ada lagi ketegangan antara kaum dan agama di negara ini," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat itu di Kuala Lumpur hari ini.

Samsudin merujuk kepada tindakan JAIS pada 2 Januari lepas yang menyerbu pejabat PBM dan merampas lebih 300 Injil (Bible) versi bahasa Melayu dan Iban.

MPPN merupakan satu badan pelbagai pihak yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk menjaga kepentingan perpaduan di kalangan rakyat negara ini.

-Sumber: Malaysian Digest

Pemimpin Wanita Umno dapat RM13 juta tanpa buat apa-apa

Seorang pemimpin Wanita Umno didakwa menerima RM13 juta tanpa berbuat apa-apa melalui syarikatnya Awan Megah Sdn Bhd selepas kontrak membina Pusat Pendidikan Pertahananan Nasional (Puspahanas) dan perjanjian tanah yang dibuatnya dengan kerajaan dua tahun lalu batal.

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli (gambar) berkata hari ini, syarikat yang dimiliki Datuk Raja Ropiah Raja Abdullah bersama Bousted Holding Berhad sepatutnya memenuhi beberapa syarat sebelum Mac 2013, tiga bulan selepas perjanjian ditandatangani pada Disember 2013.

"Bagaimanapun sehingga sekarang, tiga syarat di bawah perjanjian Bousted untuk membeli sekeping tanah di Selangor daripada Awan Megah telah tidak dipenuhi," katanya.

Syarat yang dimaksudkan termasuk, menandatangani kontrak swasta baru untuk membina Puspahanas, kelulusan daripada kerajaan Selangor untuk memindahkan tanah serta penamatan perjanjian usaha sama antara Awan Megah dan Guppyunip Sdn Bhd.

Rafizi mendedahkan bahawa beliau mendapat tahu tentang syarat-syarat ini selepas melihat dokumen perjanjian antara Boustead dan Awan Megah kerana beliau sendiri adalah pemegang saham Boustead.

Kementerian Pertahanan berkata dalam sidang Parlimen pada 10 Oktober tahun lepas, bangunan itu dianggarkan siap Oktober tahun ini.

Namun mereka juga menyatakan bahawa Awan Megah masih belum mengeluarkan perjanjian tanah kerana kerajaan Selangor enggan memberikan tanah.

"Oleh kerana perjanjian tanah tidak diberi, pembangunan Puspahanas diteruskan dengan kontrak yang tidak wujud dan Awan Megah diberi wang percuma kerana wang deposit sebanyak RM13 juta yang dibayar tidak dikembalikan," tambah Rafizi.

"Saya sangat hampa dengan Menteri Pertahanan dulu dan sekarang (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishamuddin Hussein) yang tidak mengambil kisah tentang kemarahan rakyat apabila berjuta-juta wang mereka dibazirkan dalam projek seperti ini.

"Sementara itu, rakyat pula disuruh agar jangan makan gula, jangan menggunakan jalan raya bertol dan macam-macam lagi," katanya

Rafizi berjanji untuk membangkitkan isu ini kepada Ketua Auditor dan akan menyarankan beliau menyemak semula perjanjian projek Puspahanas.

Sebelum ini, Rafizi pernah menyatakan bahawa Raja Ropiah mengaut keuntungan berjuta-juta ringgit daripada fasal tersembunyi dalam rancangan kerajaan Wilayah Persekutuan untuk membeli tanah di Bukit Raja, Klang.

Pada 2012, Boustead mengumumkan rancangan mereka untuk membeli 80% saham syarikat milik Deepak Jaikishan, Astacanggih Sdn Bhd, sebanyak RM30 juta serta sebidang tanah daripada Awan Megah sebanyak RM130 juta.

Rafizi mendakwa Menteri Pertahanan telah menganugerahkan Awan Megah kontrak berjumlah RM15 juta melalui surat bertarikh 26 Jun 2012.

Awan Megah juga telah dianugerahkan 23.2 ekar tanah daripada tiga bidang tanah asal sekitar 223.2 ekar, di mana harga tanah tersebut mencecah jutaan ringgit.

Sebelum ini, Rafizi pernah mendakwa bahawa tanah tersebut tidak pernah diagihkan kepada Awan Megah.

Rafizi juga mengatakan perjanjian yang rumit melalui pelbagai syarikat dan kontrak adalah secara sengaja untuk menutup percanggahan yang terdapat dalam projek tersebut.

Tahun lepas, Rafizi telah menyaman Ahmad Zahid yang mendakwa ahli PKR telah menuduh beliau menyalah gunakan kuasanya sebagai Menteri Pertahanan ketika mengambil alih Astacanggih dan tanah daripada Awan Megah.

Namun, saman itu ditarik balik apabila Rafizi berkata beliau berpuas hati dengan penerangan Ahmad Zahid yang beliau tidak menyalahgunakan kuasa atau mempunyai sebarang kaitan dengan perjanjian Boustead. –TMI

Menggemparkan - Siapa Rasmikan Hard Rock Cafe Melaka?



Foto ini berlegar di alam siber satu dua hari ini. Ia begitu menggemparkan!

Foto ini adalah majlis perasmian Hard Rock Kafe Melaka berhampiran Jonker Street di Jalan Hang Jebat, Bandar Hilir sekitar pertengahan tahun lepas.

Gempar kerana kelihatan majlis perasmian itu disempurnakan dengan pemotongan reben oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang kini menjadi tumpuan kerana titahnya mengarahkan supaya penggunaan kalimah Allah di dalam `Bible' dihentikan dan dengan sebab titah itu JAIS telah menyerbu dan merampas 321 salinan bible dalam bahasa Melayu dan 10 naskah lagi dalam bahasa Iban dari sebuah gereja di Selangor.

Majlis perasmian itu juga dihadiri oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Idris Haron, bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Pengerusi Hard Rock Cafe Enterprise (M) Sdn. Bhd., Tan Sri Syed Yusof Tun Syed Nasir.

Masyarakat siber rata-rata mempersoalkan bagaimana Sultan yang gigih memperjuangkan kalimah Allah boleh merasmikan sebuah cafe yang terlarang di dalam Islam kerana Hard Rock Cafe adalah di antara cawangan yang menghidangkan menu termasuk arak kepada para pengunjungnya.



Lebih menyedihkan lagi Ketua Menteri Melaka yang baru Datuk Idris Haron kini mempromosikan moto BERKAT, CEPAT & TEPAT... apakah Hard Rock Cafe juga "membawa berkat" untuk rakyat negeri Melaka?

Najib ‘berseronok’ di luar negara, rakyat tanggung derita

Bekas Ketua Pengarang Kumpulan Berita News Straits Times Press (NSTP), Abdul Kadir Jasin membidas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak apabila dua tahun berturut-turut bercuti di luar negara ketika rakyat berhadapan kenaikan kos sara hidup.

Beliau berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Najib memungkiri janji Pilihan Raya Umum ke-13 lalu untuk tidak menaikkan harga barangan dan perkhidmatan.

“Bukan rakyat yang berjanji dan berikrar tidak menaikkan harga tetapi Najib dan perancang Bilik Perang pilihan raya beliau. Kini, siapa yang mungkir.

Apakah salah, saya dan sesiapa juga menegur dan mengkritik Najib dan penasihat beliau yang bernilai berbilion ringgit itu,” katanya di dalam entri blog terbaru milik beliau.

Katanya, beliau tidak bersetuju dengan sesetengah pihak yang mengherdiknya kerana mengkritik Najib berkenaan pengurusan ekonomi.

“Saya rasa pembahas berkenaan tidak terbaca “nasihat” saya berjela-jela kepada Najib dan kerajaan melalui blog ini juga dalam tulisan di tempat lain berkenaan pengurusan ekonomi, mata wang serta percukaian.

“Bila kita membincangkan isu ekonomi, banyak orang tidak peduli atau mudah bosan. Tetapi kalau tidak bincang, mereka kata kita hanya pandai kritik,” katanya.

Katanya, sejak 2006, apabila kerajaan Abdullah Ahmad Badawi membuat potongan drastik subsidi petroleum menyebabkan harga minyak dan gas naik mendadak, selain harga barang serta perkhidmatan.

Beliau menulis beberapa buah rencana mengingatkan kerajaan berkenaan kesan buruk tindakan itu dan bagaimana mengurangkan beban pengguna.

Datuk-Seri-Najib-Tun-Razak1“Bukan tugas saya memberi tunjuk ajar terperinci kepada kerajaan berkenaan pengurusan ekonomi. Itu tugas kementerian, jabatan, agensi dan penasihat Perdana Menteri yang sangat ramai, hebat serta tersohor.

“Tugas saya adalah memberi maklum balas dan membuat kritikan. Malangnya, ada pihak menganggap kritikan sebagai penentangan dan inilah akibatnya apabila masyarakat tidak berfikiran kritis ditambah pula sikap partisan melampau,” katanya.

Kadir berkata, masalah yang dihadapi negara bukan sekadar kesan negatif rasionalisasi subsidi sahaja tetapi banyak isu dan masalah lain yang membimbangkan.

“Kita perlu terus bertanya, menegur dan mengkritik tetapi kalau ada orang yang berasa itu salah kerana terlalu sayangkan Perdana Menteri, saya rasa tidak perlu kita bersusah payah mengadakan pilihan raya untuk memilih kerajaan.

“Kita hapuskan demokrasi dan lantik sahaja kerajaan sedia ada sebagai pemerintah seumur hidup, habis cerita,” katanya.-selangorkini

Pemimpin melalui teladan, pesanan kepada pemimpin BN

Pemimpin Barisan Nasional (BN) perlu memimpin melalui teladan dan peka dengan keadaan rakyat yang sedang dihimpit kos sara hidup meningkat atau kerajaan berdepan risiko kehilangan sokongan pada pilihan raya umum ke-14 nanti, kata penganalisis.

Ahli politik juga perlu mengekang gaya hidup mereka seiring dengan permintaan Putrajaya agar berjimat, kata penganalisis, susulan kebimbangan orang ramai bahawa pemimpin kerajaan persekutuan BN tidak mengurangkan perbelanjaan mereka.

Profesor Madya Shaharuddin Badaruddin dari UiTM, berkata ahli politik kedua-dua pihak perlu melaksanakan kata-kata mereka dengan mengurangkan perbelanjaan.

Beliau berkata, ini adalah amat penting terutama ketika sambutan Maulidul Rasul akan datang bagi memperingati hari lahir Nabi Muhammad pada 14 Januari ini, yang membawa tema wasatiyyah atau kesederhanaan.

"Ini adalah masa yang terbaik bagi mereka untuk menjadi contoh. Perkara yang terbaik untuk mereka lakukan sekarang ialah amalan kesederhanaan dan bukannya menunjuk-nunjuk," katanya kepada The Malaysian Insider.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menganjurkan sambutan hari jadi mewah di sebuah hotel lima bintang di Kuala Lumpur pada Ahad lalu dan tetamu mendakwa ia menjadi sambutan Tahun Baru. The Malaysian Insider difahamkan, kosnya kira-kira RM120,000.

Seorang lagi menteri merayakan sambutan perkahwinan anaknya selama dua hari berturut-turut di satu lagi hotel lima bintang di Kuala Lumpur bulan lalu, dengan disertai oleh raja-raja dan VIP serta dihiburkan penyanyi wanita terkemuka dari Indonesia.

Beberapa penulis blog pro-Umno juga mempersoalkan Jabatan Perdana Menteri atas keperluan apa mereka perlu dua jet VIP, selepas ia mendedahkan bahawa Putrajaya menghabiskan RM180 juta untuk mengekal dan mengendalikan jet kerajaan bagi perjalanan rasmi pada 2012.

Semua ini berlaku ketika rakyat dilanda kenaikan harga daripada elektrik kepada makanan, bahan api dan kos persekolahan.

Harga bahan api, gula dan tarif elektrik naik selepas Putrajaya memotong subsidi manakala tambang pengangkutan awam akan dinaikkan tahun ini susulan daripada kenaikan itu.

Selepas itu, kadar tol juga mungkin naik di samping cukai pintu untuk penduduk Lembah Klang, manakala cukai barangan dan perkhidmatan (GST) juga akan diperkenalkan pada 2015.

Shaharuddin percaya perbelanjaan mewah oleh ahli-ahli politik akan mempunyai kesan kepada pilihan raya umum akan datang kerana rakyat Malaysia yang sudah merasakan keperitan ini kecewa berhadapan dengan berita ini.

"Dengan harga setiap barangan dan perkhidmatan yang semakin meningkat, hidup adalah lebih sukar sekarang. Pada masa sama, ahli-ahli politik tidak melaksanakan apa yang mereka cakap, jadi pasti ini akan memberi kesan dalam pilihan raya umum akan datang," katanya.

Kerajaan BN yang Umno menjadi tunggak utamanya, hampir tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-13 lalu dengan hanya memenangi 133 daripada 222 kerusi Parlimen, kurang tujuh kerusi berbanding pilihan raya umum 2008.

Ia juga kehilangan undi popular, apabila mendapat hanya 47% berbanding dengan pembangkang 51%.

Bagaimanapun, Umno memenangi 88 kerusi, meningkat daripada 79 sebelum ini, kerana sokongan daripada Melayu luar bandar dan Bumiputera.

Penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia, Profesor Jayum Jawan mengecam perbelanjaan berlebihan itu dengan berkata mereka tidak memberikan contoh yang baik sebagai pemimpin.

"Dalam masa kesusahan, mereka perlu berkorban. Cara hidup mereka tidak selari dengan seruan perdana menteri untuk hidup berjimat," katanya.

Beliau berkata, rakyat Malaysia sudah bosan dan sudah tiba masa untuk rakyat mengundi mengikut perasaan mereka yang sebenar.

"Mereka memberikan kerajaan banyak peluang dan tiba masa untuk mereka menilai semula sama ada mereka perlu terus memberi peluang kepada parti ini untuk memerintah," katanya.

Penganalisis politik, Dr Oh Ei Sun, berkata cara politik Umno adalah pemimpin diperlukan untuk menunjukkan "kehebatan" mereka dan menunjukkan sifat murah untuk menarik penyokong.

"Sehingga kita sampai masa sebenar untuk membuat perubahan, keadaan akan kekal begini.

"Itulah sebabnya pengundi bandar tidak boleh berbuat apa-apa. Mereka tidak berpuas hati dengan apa yang mereka lihat apabila rasuah berleluasa dan ketidakcekapan jelas dalam kerajaan tetapi mereka tidak mampu untuk melaksanakan perubahan sebenar selagi penduduk luar bandar tidak bangun," kata penganalisis, S Rajaratnam dari Sekolah Pengajian Antarabangsa Singapura.

Dr Oh juga percaya adalah sukar untuk mengekalkan kemarahan ini sehingga PRU14 yang hanya akan berlangsung empat tahun lagi.

"Majoriti rakyat sudah pun menyatakan tidak suka mereka kepada BN dalam pilihan raya lalu tetapi ia masih tidak cukup untuk menukar kerajaan," katanya. -TMI

Tuesday, January 7, 2014

Gaji pekerja mesti dinaikkan bila GST dilaksana

KPMG Malaysia menggesa sektor awam dan swasta supaya menaikkan gaji pekerja mereka secara berperingkat-peringkat berikutan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) April tahun depan.

Rakan Pengurusan baharu dilantik Johan Idris mencadangkan kenaikan 6% setahun bagi membantu pekerja menangani kos sara hidup yang tinggi di Malaysia.

"6% adalah permulaan yang baik terutama selepas pelaksanaan GST, tarif baru elektrik, pemotongan subsidi petrol dan kadar baharu tol," katanya kepada pemberita selepas pelancaran edisi kedua penerbitan “Kajian Ke Atas Pengarah Bukan Eksekutif 2013 - Profil dan Gaji”.

Johan berkata pelaksanaan GST tidak boleh dielakkan kerana Malaysia adalah sebuah negara sedang membangun.

Sementara itu, KPMG Malaysia dengan kerjasama Institut Jawatankuasa Audit Malaysia hari ini melancarkan laporan “Profil dan Gaji” yang menonjolkan hasil kajian mengenai profil dan ganjaran pengarah bukan eksekutif (NED) syarikat awam.

Kajian itu mendedahkan ganjaran purata untuk mereka telah meningkat 37% kepada RM122,000 setahun daripada RM89,000 setahun pada 2009, berdasarkan 300 syarikat teratas di Bursa Malaysia pada 30 Jun 2013.

Kajian itu juga menawarkan informasi mengenai jurang jantina, dengan 11% daripada 1,821 NED yang dikaji terdiri daripada wanita, meningkat daripada hanya 6% pada 2009.

Peningkatan dalam jumlah NED wanita adalah selaras dengan sasaran kerajaan supaya wanita memegang 30 peratus jawatan tinggi di Malaysia menjelang 2016.

Johan berkata peningkatan dalam ganjaran sudah dijangka kerana NED mula menduduki jawatan tinggi di syarikat mereka.

Kajian selama enam bulan ke atas 1,821 NED oleh ACI itu meliputi semua bidang industri. – Bernama

Speaker terima ugutan bunuh

Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh Tseow Suan mendakwa beliau menerima ugutan bunuh berhubung fitnah berkenaan satu kenyataan yang kini tersebar luas di laman sosial.

Sambil menafikan beliau pernah mengeluarkan kenyataan 'duduk bersila baik untuk wanita sedang hamil', Hannah berkata, beliau juga terkejut menerima gambar itu daripada beberapa rakan di laman sosial Facebook.

"Ramai rakan saya bertanya sama ada saya pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Saya terkejut nampak gambar saya dikaitkan dengan gambar perempuan mengandung dalam LRT sedangkan saya memang tidak pernah menyentuh isu tersebut,” katanya.

Gambar yang tersebar itu memaparkan wajahnya dan terdapat satu lagi gambar seorang wanita mengandung sedang duduk bersila di lantai dipercayai dalam tren transit aliran ringan (LRT).

Ramai yang menghubunginya memaklumkan tidak mempercayai kesahihan kenyataan dalam gambar terbabit yang dipercayai untuk mewujudkan sentimen perkauman.

Beliau juga mendakwa kesal dengan keadaan politik semasa yang membolehkan sesiapa membuat fitnah pada bila-bila masa.

Katanya, beliau pernah hamil dan tahu bahawa ketika mengandung memang sukar duduk bersila dan tidak mungkin beliau akan mengeluarkan kata-kata seperti itu.

"Perkara itu memang sukar hendak dikawal dan dihentikan, jadi saya minta orang ramai lebih berhati-hati membaca apa jua yang dipaparkan di media sosial," katanya.

Hannah menambah, beliau kini sedang mengenal pasti pihak yang melakukan perkara itu dan tidak teragak-agak mengambil tindakan mahkamah berhubung fitnah yang dikaitkan dengan dirinya.

Setakat semalam, beliau mendapat tahu ia ada disebarkan di beberapa laman sosial dan sebuah blog.

Berhubung ugutan bunuh pula, Hannah berkata, beliau akan membuat laporan polis untuk keselamatan diri.

“Bahaya orang yang main isu perkauman, disebabkan fitnah ada pula yang ugut hendak bunuh saya,” katanya. -SH