Wednesday, August 28, 2013

Zahid Popular, Belum Tentu Menang Bergaya

Jawatan Menteri Dalam Negeri benar-benar membawa untung lumayan buat Zahid Hamidi. Berbanding jawatan Menteri Pertahanan yang membuatnya hampir tenggelam dan kurang menonjol, Zahid sebaliknya menuai publisiti hampir setiap hari melalui jawatan yang disandangnya sekarang.

Daripada penentangannya terhadap pemansuhan Akta Hasutan dan Ordinan Darurat, peningkatan kejadian jenayah, kekurangan anggota polis, jangkaannya mengenai rangkaian jenayah bekas pesalah Ordinan Darurat, cabarannya kepada Waythamoorthy dan sehinggalah kepada tindakanya mahu mendedahkan senarai nama-nama kongsi gelap, semuanya mengundang sorotan publisiti di pelbagai media massa.

Malah, ketika memberitahu secara bergurau bahawa kumpulan samseng turut datang ke rumah terbukanya dan meminta wang perlindungan pun turut dijadikan berita besar.

Pendeknya, apa saja yang keluar dari mulut Zahid sekarang pasti merupakan bahan yang boleh diolah menjadi berita.

Semua publisiti yang melimpah ini secara automatiknya menjadikan Zahid paling popular. Di mata perwakilan UMNO pula, beliau dianggap sebagai menteri yang sedang membuat kerja dengan betul dan dilihat lebih baik daripada Menteri Dalam Negeri sebelumnya iaitu Hishammuddin Hussein.

Secara kasarnya, dalam pemilihan UMNO 19 Oktober ini Zahid ternampak tiada masalah untuk mempertahankan jawatan Naib Presiden nombor satu yang diraihnya dalam pemilihan 2009 lalu.

Sehingga ini, selain Zahid yang sudah mengumumkan akan mempertahankan jawatannya, dua lagi Naib Presiden UNNO iaitu Hishammuddin dan Shafie Apdal turut mengumumkan akan mempertahankan jawatan masing-masing.

Pemimpin lain yang sudah mengumumkan akan menyertai persaingan ialah Isa Samad, Pengerusi Felda manakala Ketua Menteri Sabah, Musa Aman, Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir dan bekas Ketua Menteri Melaka, Ali Rustam dijangka akan turut menyertai perebutan kerusi Naib Presiden dan akan membuat pengumuman rasmi tidak lama lagi.

Ini menjadikan sekurang-kurangnya tujuh orang akan bertanding merebut tiga kerusi Naib Presiden UMNO kali ini.

Walaupun Zahid terlihat paling popular berbanding lain-lain pesaingnya manakala wajah serta berita mengenainya juga muncul hampir setiap hari di akhbar dan tv, peluang beliau tidaklah semudah yang dijangka, apatah lagi untuk mendapatkan kemenangan bergaya dengan memperolehi undi tertinggi.

Sosek-sosek dalam UMNO mulai kedengaran bahawa Zahid seolah-olah sengaja menonjol-nonjolkan diri untuk kepentingan pemilihan UMNO. Beliau dilihat sengaja bersuara mengenai Akta Hasutan dan Ordinan Darurat sekarang sedangkan ketika Najib mengusulkan mahu memansuhkannya dulu, tidak pula suaranya kedengaran.

Bahkan ketika Najib mengatakan bahawa cadangan memansuhkan kedua-dua akta itu mendapat persetujuan kabinet, pendirian Zahid yang sebenarnya turut menjadi tanda-tanya.

Apatah lagi dengan adanya seruan pelbagai pihak, termasuk Mahathir agar pemimpin muda diberi peluang dalam pemilihan UMNO kali ini bagi menghadapi PRU 14, sentimen ini seolah-olah kekangan buat Zahid. Saranan agar lebih ramai pemimpin muda atau pelapis ditonjolkan nyata memberi kelebihan kepada Hishammudin dan Mukhriz untuk mengungguli jawatan tersebut manakala Zahid dianggap bukan lagi sebagai pelapis untuk tempoh lima tahun akan datang memandangkan beliau lebih berusia daripada Najib dan hanya muda sedikit daripada Muhyiddin.

Hishammuddin walaupun dianggap lemah tetapi beliau ada pengaruhnya yang tersendiri dalam UMNO, selain kedudukannya sebagai sepupu Najib dan anak bekas Perdana Menteri serta usianya yang lebih muda turut memberi kelebihan buatnya. Mukhriz juga sedang meniti pupolariti berikutan kejayaan BN menawan semula Kedah dan pengaruh bapanya, Mahathir yang masih kukuh pastinya memberi kelebihan jika beliau bertanding kerusi nombor tiga dalam UMNO itu.

Malah ada yang beranggapan apabila Mahathir memperkatakan perlunya UMNO memberi ruang yang lebih luas kepada golongan muda menonjolkan diri, maksud tersiratnya ialah untuk menaikkan anaknya, Mukhriz di kedudukan yang lebih kukuh dalam UMNO.

Penyertaan Ali Rustam dan Isa Samad turut menjejaskan peluang Zahid. Walaupun kedua-dua pemimpin ini juga sudah berusia tetapi penyertaan mereka boleh menjadi "kacau daun" dan membuatkan ada yang mengundi kedua-dua calon ini kerana simpati.

Ali Rustam pernah dihalang daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO pada 2009 atas dakwaan salah laku ketika berkempen, meskipun peluangnya untuk menang ketika itu amat cerah. Dalam pemilihan kali ini setelah kalah di Bukit Katil dan mungkin dilantik Senator serta diberikan jawatan di peringkat Pusat, bertanding jawatan Naib Presiden UMNO akan memberi kelebihan kepada Ali Rustam kerana gabungan undi simpati dan penyokong setia yang sedia wujud akan lebih berpihak kepadanya.

Kelebihan Ali juga kerana sikap ramah mesra, suka membantu dan jarang menghampakan jemputan yang diterimanya walaupun yang menjemputnya hanya sekadar ahli UMNO biasa saja.

Jika dulu ramai yang kecewa kerana tidak berpeluang menobatkan Ali Rustam sebagai Timbalan Presiden UMNO, penyertaannya dalam perebutan kerusi Naib Presiden kali ini akan membuatkan hasrat yang tidak kesampaian dulu bertukar menjadi undi yang melimpah-ruah.

Dalam musim rumah terbuka yang sedang berjalan sekarang, Ali Rustam nyata sedang menggunakan kesempatan yang ada untuk hadir sebanyak mungkin jemputan yang diterimanya di seluruh pelusuk negara. Dengan tidak terikat sebarang jawatan dalam kerajaan, beliau mempunyai luang masa yang banyak untuk memenuhi semua jemputan dan menemui perwakilan UMNO.

Isa Samad juga boleh menggugat peluang Zahid. Kedudukannya sebagai Pengerusi Felda yang mana Felda mempunyai penempatan di lebih 50 bahagian UMNO di seluruh negara, walaupun bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dilihat sukar menang tetapi "kacau daunnya" akan menyusahkan calon-calon lain.

Penyertaan Musa Aman pula dilihat hanya akan menjejaskan peluang Shafie Apdal kerana sehingga ini majoriti pemimpin UMNO Sabah menyokongnya dan ini secara langsung akan menipiskan lagi peluang Shafie Apdal mengekalkan jawatannya.

Dengan sentimen UMNO yang mahu mewujudkan pelapis dan memberi peluang kepada orang muda dalam pemilihan tahun ini, Hishamudin dan Mukhriz dijangka paling selamat untuk memenangi dua jawatan Naib Presiden UMNO kali ini manakala Zahid, Shafie Apdal, Ali Rustam, Isa Samad dan Musa Aman akan bersaing sesama sendiri untuk merebut satu lagi kekosongan yang tinggal.

Jika diukur dari segi populariti dan publisiti, Zahid ternampak menonjol tetapi jika undi simpati menguasai jiwa perwakilan UMNO, mungkin Ali Rustam berupaya menonjolkan diri dan mengenepikan calon-calon yang lain.

-Oleh Shahbudin Husin

4 comments:
Write comments
  1. Berdasarkan senario ini, mana-mana individu yang ingin bertanding dalam pemilihan yang akan datang wajib menangani persepsi ini dengan baik. Sikap sesetengah pihak yang terlalu ingin membodek dan mengampu perlu dikawal kerana bimbang mereka meningkatkan lagi persepsi rakyat bahawa UMNO telah rosak. Pendek kata, tingkah laku pemimpin UMNO dalam menghadapi pemilihan ini akan turut memberi kesan kepada pilihanraya yang akan datang. Apa guna menang dalam pemilihan jika parti hanya mampu bertahan selama sepenggal?

    ReplyDelete
  2. HISAHAMUDIN VS ALI RUSTAM = AHLI RUISTAM, ZAHID MIDI VS ISA MAD = ISIA MAMAD........HAAAA..HHOOOO..HHHEEE....

    ReplyDelete
  3. Sedar akan ancaman Sabah itu, BN berupaya menyelamatkan ancaman 16 September, 2008, tetapi bagi menjamin sokongan Sabah itu kekal, bukan sekadar memberi banyak tempat dalam kerajaan kepada orang Sabah, maka perlu diberi kedudukan penting dalam Umno kepada orang Sabah. Maka nasib memihak kepada Shafie.

    Tetapi adakah Umno mahu dua orang Sabah jadi Naib Presiden? Jika Umno sudah terbuka, tiada apa yang membimbangkan Shafie, tetapi ia mengancam kedudukan dua Naib dari Semenanjung, Zahid dan Hishamuddin. Hanya seorang saja dari semenanjung boleh jadi Naib.

    ReplyDelete
  4. Shafie Afdal tu tak seburok Zahid Hamidi. Zahid tu pernah ditahan ISA kerana anak didik Anwar Ibrahim. Lepas kena ugut oleh SB,lari lintang pukang masuk UMNO. Lepas tu,samseng rupa Zahid Hamidi tu dan kes jenayah yg mmbabitkn beliau masih belum selesai di Mahkamah Tinggi. DS Shafie afdal, tiada semua benda2 mcm tu kecuali kawin artis dan songlap duit UMNO jer dan takde kes jenayah kot. Zahid tu,sebat duit UMNo pun betul,salahguna kuasa dan kedudukan ukt kepentingan sendiri pon yer,samseng pun betul. Complete set !! Tu sebab jenayah makin mningkat di negara kita. Bila akhbar cuab nak ceritakn kedudukn sebenar kadar jenayah, akhbr tu kena panggil oleh KDN, pulakk. Hanya berita yg baik2 shj dibnarkn. Pulakkk !!

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.