Saturday, October 12, 2013

Benarkah umat Islam tidak senstif isu rasuah?

MASJID Cordoba (atau Cordova) adalah masjid terbesar di dunia sebelum Masjidil Haram diperbesarkan. Sekarang masjid di Cordoba dan kerajaan Andalusia hanyalah menjadi bahan sejarah yang dicatat oleh ahli-ahli sejarah Timur atau Barat tentang kehebatan pentadbiran kerajaan Islam yang pernah menguasai rantau yang kini dikenali sebagai negara Sepanyol dan Portugal.

Tokoh terkenal seperti Al Farabi, Ibnul Rujh, Ibnu Khaldun adalah antara nama yang terukir dalam sejarah peradaban kerajaan Islam di Sepanyol. Kita yakin kerajaan yang boleh bertahan lebih 700 tahun itu, sudah tentu meninggalkan satu tatacara pemerintahan, integriti dan etika yang tinggi.

Begitulah juga kerajaan Islam di India, yang pernah memerintah lebih 700 tahun. Kejatuhan sesebuah kerajaan selalunya melalui ciri yang sama, seperti kejatuhan kerajaan Namrud, kejatuhan kerajaan Firaun, kejatuhan kerajaan Rom, kejatuhan kerajaan Islam juga tidak terkecuali melalui ciri dan tabiat yang sama.

Antaranya, pemerintah telah membuat perlonggokan harta kepada pemimpin dan keluarga pemimpin, manakala ulama atau pun golongan alim menjadi pengampu kepada pemerintah, rakyat sudah merasakan tidak terpanggil untuk mempertahankan pemerintah yang asyik mengumpulkan harta untuk pemimpin dan keluarga mereka.

Ini berlaku di zaman penghujung pemerintahan Islam di Sepanyol, pemerintahan Islam di India dan pemerintahan Uthmaniyah di Turki. Sebab itulah di Turki, peninggalan Istana To'kapi dan kemewahannya, manakala di India dengan Taj Mahal dan beberapa istana yang begitu hebat di tengah-tengah kemiskinan rakyat yang diperintah oleh mereka.

Al-Quran dan Hadis yang menjadi rujukan, iaitu dengan kata lain al-Quran dan Sunnah yang dirujukkan kepada umat Islam, dan juga untuk melahirkan hukum dan sebagainya melalui ijmak ulama dan qias, telah digunakan pakai oleh negara atau pun pemerintahan Islam sejak daripada kerajaan Madinah, kerajaan Khulafa Ar-Rashidin sampailah pemerintahan yang terakhir, iaitu kerajaan Uthmanyiah.

Umat Islam ambil perkara-perkara yang bermanfaat daripada mana saja mereka perolehi. Iaitu “Al-Hikmah...Dhallatul Mukmin...Waman Wajadaha Wahaqqaha...” bermaksud hikmah itu adalah barang yang hilang, barang yang tercicir, barangsiapa mendapatkannya, maka ia menjadi haknya.

Nabi Muhammad s.a.w., dirinya sendiri adalah sebagai hadis, iaitu perbuatan baginda, percakapannya, persetujuannya, larangannya, dan al-Quran diturunkan melalui baginda s.a.w. Dalam menjalankan kerja pentadbiran, urus negara, Nabi s.a.w. menerima pandangan seperti daripada Salman Al-Farisi untuk mengorek parit di tempat tertentu dalam perang Khandak untuk menyekat kemaraan musuh masuk ke dalam Madinah.

Manakala Sayidina Omar al-Khattab mengambil Sistem Dewan daripada Parsi dalam pentadbiran dan juga sistem pertanian.

Umat Islam sendiri diseru supaya menuntut ilmu hingga ke negeri China. Ini adalah kerana sewaktu zaman awal Islam, antara negara yang paling maju pada waktu itu, ialah China. Segala bentuk pengeluaran kain, persenjataan dan banyak lagi perlu dipelajari daripada China.

Dan China adalah antara negara awal yang diterokai orang Islam, termasuklah sahabat Nabi iaitu Saad Ibnu Waqas. Begitulah juga pihak Barat mengambil peradaban Islam, antaranya untuk menjalankan kehidupan seharian mereka, walaupun mereka tidak mengambil dari sudut “jury proof vent” iaitu hukum perundangan syariah akan tetapi etika, budaya, ketamadunan diambil dan dilaksanakan di negara mereka.

Antaranya, apa yang berlaku di Barat, setelah perubahan mereka lakukan, selepas Perang Dunia II, mereka cuba hentikan peperangan sesama mereka, antara Jerman dan Britiain, Britiain dan Perancis, begitulah juga antara Poland dengan negara Eropah Barat, Croatia dengan Serbia, dan sebagainya.

Mereka membina satu gagasan negara yang saling tolong menolong, dan melahirkan rakyat yang menjalankan kehidupan beramanah, seperti kita melihat di Belanda akhbar diletak di tepi jalan, seseorang yang mengambil surat khabar dan akan meletakkan wang mengikut jumlah nilai akhbar yang diambil, tanpa penjaga.

Menaiki kereta api bawah tanah, contohnya di Frankfurt, orang yang ingin menaiki kereta api membayar mengikut kadar yang dipaparkan, tanpa ada jaga atau “ticket collector” atau “ticket checker”. Seseorang yang ingin “check out” daripada hotel yang bertaraf tiga bintang, misalnya sekiranya mereka ingin keluar jam 4.00 pagi, mereka perlu membuat bayaran “check out” awal iaitu pada pukul 6.00 petang sebelum pekerja pulang dari hotel. Dan apabila jam 5.00 pagi, mereka boleh keluar tanpa diawasi oleh sesiapa.

Sivik atau pun amanah atau pun etika yang berlaku itu, inilah dia akhlak yang pernah dijelmakan di zaman pemerintahan Islam. Sekarang akhlak itu hilang daripada orang Islam, pemerintahan Islam.

Budaya, etika, integriti hampir tidak ada di dunia Islam. Sebaliknya digantikan dengan pemerintahan yang apabila berkuasa mencari jalan untuk mengaut kekayaan dan menindas rakyat, supaya mereka kekal berkuasa selama-lamanya.

Kita lihat bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak, disenaraikan antara pemimpin politik yang terkaya di dunia. Seorang bekas Perdana Menteri Malaysia pula disenaraikan oleh Wikipedia, orang yang kedua terkaya melalui kuasa politik.

Tahun demi tahun Laporan Ketua Audit Negara, menunjukkan bagaimana berlaku pembaziran, rasuah, penyelewengan dan menaikkan harga, tender melalui rundingan, akibatnya berbilion-bilion ringgit wang negara hilang, tetapi umat Islam seolah-seolah tidak peduli perkara yang berlaku ini.

Rasuah dan penyelewengan seolah-seolah muzik kepada orang Islam di Malaysia ini. Salah satu perkara yang perlu dilakukan untuk mengelakkan pembaziran, penyelewengan, rasuah, antaranya ialah rakyat mesti bersedia menukar pemerintahan jikalau pemerintah itu menyeleweng. Dan pemerintah baru akan membaiki keadaan, jikalau menyeleweng lagi, ditukar pula.

Tetapi di Malaysia, terutamanya orang Islam tidak melakukan budaya amal makruf nahi mungkar. Inilah usaha kita perlu, kita balikkan semangat pentadbiran Islam yang berdasarkan al-Quran dan Sunnah, dan orang Islam itu sendiri mesti berani mengambil segala bentuk hikmah yang berlaku di negara-negara lain yang mereka juga antaranya mengambil daripada kehebatan pentadbiran atau pun budaya atau pun tamadun yang dijelmakan oleh pemerintahan Islam yang terdahulu.

Pendedahan Audit Negara adalah laporan pada tahun 2012 adalah siaran ulangan yang sering berlaku terutama dalam 20 tahun kebelakangan ini penyelewengan rasuah dan sebagainya, pembaziran wang rakyat dan negara, rakyat tidak ambil tahu dan tidak ambil peduli.

Dan saya harap kita tidak jemu untuk terus memperkatakan, berjuang, menerangkan kepada rakyat tentang faedah sifat amal makruf nahi mungkar yang dijelmakan oleh pentadbiran dan tamadun Islam yang sekarang ini diambil oleh orang lain dan dilaksanakan di negara mereka.

Negara yang sekarang ini paling rendah rasuah ialah Denmark, Sweden, Switzerland, negara-negara Scandinavia. Orang Islam yang selalu menyebut “pemberi rasuah dan penerima rasuah, tempatnya di dalam neraka”, sekarang ini orang Islamlah antara yang paling tinggi mengamalkan rasuah di atas muka bumi ini. Ajaran Islam lain, orang Islam melaksanakan satu perbuatan yang lain.

Oleh MOHAMAD SABU

1 comment:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.