Saturday, November 16, 2013

Belanja RM270j, hasilnya keputusan BI merosot

Semalam, Bernama menyiarkan satu artikel yang bersemangat penuh puji-pujian berkenaan keputusan UPSR paling cemerlang dalam beberapa tahun terakhir ini.

Menurut Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud: "Prestasi keseluruhan calon-calon dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini adalah yang terbaik dalam tempoh empat tahun."

Ini ekoran murid mencapai peningkatan dalam Gred Purata Nasional (GPN) daripada 2.31 pada 2012 kepada 2.27 pada tahun ini (kedua-dua GPN dan Gred Purata Mata Pelajaran atau GPMP beroperasi pada skala menurun, di mana nilai indeks yang lebih rendah menunjukkan pencapaian yang lebih tinggi).

Di samping itu, keputusan tahun ini juga menyaksikan 9.15 peratus pelajar mendapat kesemua A, meningkat daripada 8.94 peratus pada tahun lepas.

Namun demikian, semakan lanjut keputusan menunjukkan walaupun prestasi keseluruhan telah bertambah baik, terdapat penurunan yang ketara dalam keputusan kertas Bahasa Inggeris di kalangan pelajar sekolah kebangsaan, dengan Gred Purata Mata Pelajaran untuk kertas tersebut merosot 0.06 mata.

Sehubungan dengan itu, bilangan calon yang mendapat A untuk Bahasa Inggeris menurun sebanyak 0.2 peratus, manakala jumlah mereka yang mendapat gred B dan C turun sebanyak 2.9 peratus.

Malah, hanya 74.4 peratus daripada calon-calon sekolah kebangsaan berjaya mencapai sekurang-kurangnya C tahun ini, berbanding dengan 77.3 peratus pada tahun lepas.

Menurut laporan berita, Abdul Ghafar meremehkan penurunan dalam subjek Bahasa Inggeris dengan mengatakan bahawa "GPMP untuk Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah kerajaan hanya menurun sebanyak 0.06 berbanding tahun lepas dan ini bukanlah isu besar."

Saya sangat tidak bersetuju dengan ketua pengarah pendidikan.

Penurunan pencapaian Bahasa Inggeris bukan sahaja isu besar, tetapi juga mengejutkan memandangkan kerajaan telah banyak melabur dalam beberapa tahun kebelakangan ini dalam pengajaran Bahasa Inggeris di sekolah rendah.

Sebagai sebahagian daripada program Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI), RM270 juta telah dibelanjakan untuk pengambilan 360 mentor bahasa Inggeris antarabangsa melalui tiga firma perunding, iaitu British Council, Brighton Education Group dan SMR HR Group.

Program mentor yang menelan belanja RM270 juta telah berlangsung dari 2010 hingga 2013, dan sepatutnya melatih 7,500 guru-guru Bahasa Inggeris sekolah rendah di serata negara.

Dengan kos yang demikian tinggi, sudah tentu kita akan menjangkakan pelajar sekolah rendah kita akan menunjukkan setidak-tidaknya sedikit peningkatan dalam keputusan Bahasa Inggeris tahun ini.

Justeru, keputusan UPSR terkini adalah satu tamparan besar kepada usaha-usaha kementerian.

Ironinya, prestasi keseluruhan dalam kertas Bahasa Inggeris sekolah-sekolah jenis kebangsaan pula menyaksikan peningkatan 0.12 mata, dengan bilangan pelajar mencapai A meningkat sebanyak 4.2 peratus dan mereka yang mendapat B dan C meningkat sebanyak 2.1 peratus.

Dalam erti kata lain, sekolah-sekolah jenis kebangsaan yang tidak mendapat manfaat daripada program mentor antarabangsa bahasa Inggeris berjaya meningkatkan penguasaan dalam bahasa tersebut.

Manakala keputusan sekolah kebangsaan merosot walaupun kerajaan membelanjakan RM270 juta dalam tempoh tiga tahun dalam usaha khusus untuk meningkatkan tahap kemahiran bahasa Inggeris di sekolah-sekolah rendah kebangsaan.


ZAIRIL KHIR JOHARI ahli Parlimen Bukit Bendera dan penolong setiausaha publisiti kebangsaan DAP.

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.