Thursday, December 5, 2013

Penagih ke Pusat Serenti, penagih rasuah hantar ke mana?

Di Semenanjung Malaysia ada 12 negeri bernaung di bawah Persekutuan Tanah Melayu dan sebelas daripadanya mempunyai kerajaan negeri masing-masing dengan legislatifnya sendiri. Masing-masing mempunyai identiti sendiri dan boleh dilihat perbezaan daripada satu negeri dengan satu negeri yang lain dalam banyak bidang.

Di antara banyak negeri itu ada sebuah negeri yang dinamakan Negeri Terengganu Darul Iman. Ia agak lain daripada yang lain kerana akhir-akhir ini tidak banyak lagi bangunan selamat dimasuki dan diduduki. Ini disebabkan acap kali kita mendengar berita atap dan bumbung bangunannya mudah runtuh dan membahayakan orang ramai.

Terakhir, kejadian bumbung runtuh Kolej Universiti Tati, di Teluk Balung walaupun ia baru sahaja digunakan selama 14 bulan. Selepas ini tidak tahu bangunan mana pula yang akan runtuh. Kejadian bumbung runtuh ini sudah sinonim dengan Terengganu dan tiada siapa tahu kenapa ia hanya banyak berlaku di Terengganu.

Tahun ini juga sudah tiga kejadian bangunan runtuh, daripada keruntuhan bangunan masjid hingga ke Pusat Pengajian Tinggi. Di Asia utara ada sebuah negeri, iaitu Bangladesh yang sering menghadapi bangunan runtuh yang melibatkan nyawa ratusan rakyat. Tetapi di negara itu bangunan-bangunan yang runtuh adalah bangunan yang sudah beratus tahun usianya tetapi di Terengganu, usia Universiti Kolej itu hanya 14 bulan. Maka bayangkanlah betapa teruknya tahap keselamatan rakyat di negeri itu hanya disebabkan ada permainan jahat dan rasuah yang tidak terbendung dalam negeri itu.

Jika bangunan yang hanya berusia 14 bulan boleh runtuh bumbungnya, bagaimana agaknya tahap keselamatan di bangunan yang berusia lebih lama daripada itu? Ini sudah pasti berpunca daripada tindakan "cutting corners" yang dilakukan kontraktor-kontraktor binaan yang ingin mendapatkan keuntungan lebih bagi menyediakan wang "kick-backs" yang perlu dibayar kepada yang berkuasa dengan projek itu.

Nampaknya rakyat terpaksa duduk dan tinggal di padang-padang yang luas bagi mengelak risiko dihempap bumbung yang rapuh di negeri itu. Bangunan dan rumah kediaman adalah pelindung kepada manusia daripada di timpa hujan dan menghadapi ribut dan taufan serta tempat duduk bersenang-senangan dengan keluarga tersayang. Jika bangunan tempat hendak berlindung pun tidak selamat bagi manusia di mana lagi manusia hendak mendapatkan perlindungan?

Itulah sebabnya blog ini tidak pernah jemu menyebut rasuah sebagai musuh umat nombor satu di dunia. Ia boleh menjahanamkan negara dan tamadun manusia. Rasuah tidak akan mendorong sesiapa termasuk pemimpin membuat keputusan dengan betul. Selalu disebutkan penerima atau pemberi rasuah itu adalah mereka yang memakan daging saudaranya sendiri.

Rasuah akan merosakkan segala-galanya. Tidak ada tindakan rasuah yang boleh membantu membuat kebaikan selain memberi keuntungan kepada pemimpin "evil" yang serupa dengan syaitan salutan muka dan tubuh manusia. Syaitan itu dikatakan oleh agama kita sebagai musuh yang nyata. Jika Perdana Menteri yang rasuah maka Perdana Menteri itu adalah musuh kita. Jika isterinya menggunakan kuasa dan pengaruh menjahanamkan negara kita, maka isterinya itu adalah musuh semua.

Begitu juga rasuah itu dilakukan oleh pegawai kerajaan dan pelaksana dasar maka mereka wajib dimusuhi dan jika Menteri Besar melakukan rasuah, elok sahaja mereka ditolak serta merta. Rakyat perlu sedar betapa bahayanya mereka jika dipimpin oleh pelaku rasuah tegar.

Rasuah ini merupakan satu ketagihan yang sangat susah untuk diubati. Jika penagih dadah dimasukkan kedalam Pusat Serenti untuk dipulihkan, bolehkah tuan-tuan beri tahu dimanakah kita perlu hantar perasuah untuk dipulihkan? Saya tidak mempunyai idea di mana mereka ini patut dihantar untuk memulihkan mereka.

Kata orang tiada penyakit yang tidak boleh diubati. Tentunya penyakit ketagihan rasuah ini ada jalan untuk diubati. Hanya saya belum berjumpa jawapannya. Mungkin saudara-saudari yang membaca tulisan ini boleh memberikan cadangan atau setidak-tidaknya jawapan kepada persoalan saya tadi.

Umno pun kata parti itu menolak rasuah tetapi kenapa rasuah berlaku dengan hebatnya di bawah pentadbiran parti itu?

Oh ya, mungkin Ustaz Kazim boleh membersihkan Umno daripada rasuah kerana orang yang beragama tidak berkompromi dengan rasuah.

Kalau si jahil seperti saya dan mungkin sebahagian daripada anda yang tidak mempunyai latar belakang agama yang kuat, masakan Uztaz Kazim tidak mampu membersihkan Umno daripada masalah ketagihan rasuah di kalangan pimpinan negara kita.


- aspanaliasnet.blogspot.com

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.