Sunday, January 5, 2014

Perhimpunan Mat Rempit Gagal

GEORGE TOWN: Polis menahan lebih 1,500 mat rempit termasuk 10 wanita yang dijangka berhimpun secara besar-besaran di Batu Ferringhi, di sini sekali gus menggagalkan percubaan lumba haram yang diatur di kawasan itu awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata samseng jalanan yang berasal dari Johor, Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Perlis dan Kedah itu mula memasuki negeri ini secara berperingkat sejak pagi semalam.

“Sejak semalam polis menerima dua laporan samseng jalanan terbabit merempuh sekatan polis selain 10 kes ragut dipercayai perbuatan mat rempit,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata dalam operasi enam jam bermula pukul 1.30 pagi itu, polis mengadakan sekatan jalan di kesemua laluan masuk ke Batu Ferringhi dan memeriksa lebih 2,000 buah motosikal.

Katanya sebanyak 300 saman turut dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan antaranya ubah suai kenderaan tidak mengikut spesifikasi, lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.

Gan berkata kesemua mat rempit berusia antara 20-an dan 30-an serta teman wanita mereka dibawa ke Balai Polis Batu Ferringhi untuk siasatan lanjut dan proses dokumentasi.

-Bernama

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.