Tuesday, June 24, 2014

Apa hukum puasa Ramadhan?

Puasa di bulan Ramadhan adalah wajib dengan berdalilkan ayat al-Quran, hadis Nabi dan Ijmak ulamak. Ia merupakan salah satu rukun Islam yang lima. Dalil dari al-Quran ialah firman Allah;



“Bulan Ramadan, bulan yang diturunkan di dalamnya al-Quran sebagai petunjuk untuk manusia dan keterangan-keterangan dari hidayah dan pembeza (antara hak dan batil). Maka sesiapa dari kamu telah menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), hendaklah ia berpuasa di bulan itu…” (al-Baqarah, ayat 185).

Ungkapan Allah “…hendaklah ia berpuasa di bulan itu…” merupakan perintah dan perintah menunjukkan kepada wajib.

Nabi –shallallahu „alaihi wasallam- bersabda; “Islam terbina di atas lima perkara;

  1. Bersaksi bahawa tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah dan bahawa Muhammad adalah Rasul Allah,
  2. Mendirikan solat,
  3. Menunaikan zakat,
  4. Mengerjakan haji,
  5. Berpuasa di bulan Ramadhan”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Ibnu, Umar r.a.)

Telah ijmak (sepakat) sekelian ulamak tanpa ada khilaf di antara mereka bahawa berpuasa pada siang hari di bulan Ramadhan adalah wajib ke atas oleh orang-orang yang mencukupi syarat-syarat wajib puasa yang akan dijelaskan nanti. (Maratib al-Ijma‟, Imam Ibnu Hazm, kitab as-Shiyam).


USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.