Wednesday, December 24, 2014

Desak Najib berundur, Syed Rosli dakwa dapat sokongan?

Syed Rosli sebaliknya berkata, pengkhianat sebenar adalah pemimpin tertinggi parti yang menyalahgunakan kuasa dan menyeleweng tanggungjawab mereka.

"Pelbagai gelaran diberi kepada saya, ‘musang berbulu ayam’, ‘gunting dalam lipatan’, ‘musuh dalam selimut’ dan sehingga mengelarkan saya pengkhianat.

"Mereka berjawatan tinggi di dalam parti dan kerajaanlah sebenarnya pengkhianat jika mereka amalkan korupsi, tidak jujur dan amanah. Siapalah saya nak khianati parti dan negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau sebaliknya mempertahankan tegurannya itu dibuat kerana sayangkan parti dan nasib agama, bangsa dan negara khususnya.

Katanya, ramai akar umbi Umno yang menyokong tindakannya mendesak Najib meletakkan jawatan, cuma mereka belum berani tampil ke hadapan menyatakan perkara sama.

"Sebenarnya ramai lagi yang menyokong. Saya tidak berseorangan dan saya yakin ramai bersependapat dengan saya .

"Saya juga banyak menerima panggilan telefon dan pesanan daripada pelbagai lapisan ahli Umno dan rakyat yang menyokong tetapi mereka takut hendak ke depan untuk menyatakan perkara yang sama," katanya.

Beliau juga menyeru ahli Umno supaya berdoa setiap kali selepas sembahyang agar negara dapat dilindungi daripada pemimpin Umno yang korup dan tidak amanah.

"Ayuh kita selamatkan nasib bangsa, agama dan negara. Lakukanlah semampu boleh dengan pelbagai cara pun selagi tidak melanggar peruntukan undang-undang negara," katanya.

Syed Rosli minggu lalu dalam surat terbukanya kepada Najib mendesak presiden Umno itu berundur secara terhormat sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) demi memberi nafas baru kepada parti.

Katanya, Umno ketika ini semakin lemah daripada segi sokongan orang Melayu mahupun pengundi parti komponen Barisan Nasional (BN) terutama parti berteraskan kaum Cina dan India.

Surat itu dibuat selepas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Pulau Pinang Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan membuat laporan polis terhadap syarikat pelaburan negara 1MDB yang dikatakan mempunyai hutang sehingga RM40 bilion.

Syed Rosli semasa Pemilihan Umno 2013 bertanding merebut jawatan ketua Pemuda Umno menentang penyandang Khairy Jamaluddin, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, Irwan Ambak Khalid Izhar dan Abd Karim Ali. –tmi
xxx2

Komen Anda

0 Responses to " Desak Najib berundur, Syed Rosli dakwa dapat sokongan? "

Note: Only a member of this blog may post a comment.

xxx