Thursday, February 12, 2015

Siapa tanding kerusi Pmtg Pauh?

Spekulasi bahawa anak perempuan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Nuha akan bertanding di kawasan Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang kini semakin bertiup kencang.

Anak sulung Anwar, Nurul Izzah yang juga naib presiden PKR bagaimanapun berkata Pakatan Rakyat hanya akan memutuskan perkara itu minggu depan.

Beliau mengelak ketika ditanya jika adiknya itu sememangnya akan bertanding di kerusi berkenaan.

Jelasnya, sidang media pada pagi ini bertujuan untuk memaklumkan tentang perhimpunan 'Berarak Demi Kebebasan' dan tidak berbangkit mengenai calon bagi pilihan raya kecil kawasan itu.

"Sukar untuk teruskan hidup dalam iklim politik di Malaysia terutama jika anda adalah pembangkang.

"Buat masa ini, ibu saya (Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail) dan saya yang akan memimpin," katanya kepada pemberita.

Sesetengah pihak mendakwa Anwar berhasrat untuk melihat Nurul Nuha bertanding di kerusi kubu kuatnya itu.

Anwar terpaksa mengosongkan kerusi tersebut ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang mengekalkan hukuman penjara lima tahun ke atasnya.

Beliau juga sebelum ini didakwa mengamalkan nepotisme kerana jawatan utama dalam PKR diisi anggota keluarganya - Wan Azizah menjadi presiden dan Nurul Izzah menjadi naib presiden.

Jika Nurul Nuha benar-benar menjadi calon di Permatang Pauh, ia mungkin akan menyukarkan Pakatan untuk memilih ketua pembangkang yang baru.

Isu pencalonan berkenaan, dan soal pelantikan ketua pembangkang yang baru bakal menjadi agenda utama dalam mesyuarat majlis pimpinan Pakatan, Jumaat depan. -mk
xxx2

Komen Anda

0 Responses to " Siapa tanding kerusi Pmtg Pauh? "

Note: Only a member of this blog may post a comment.

xxx