Wednesday, October 19, 2016

UM keluar surat pada 3 siswa #TangkapMO1

Tiga lagi penuntut Universiti Malaya (UM) menerima surat tunjuk sebab daripada pentadbiran pusat pengajian tinggi itu selepas jurucakap perhimpunan #TangkapMO1 Anis Syafiqah Md Yusof menerimanya semalam.

Perkara itu Ini disahkan Gabungan Gerakan Mahasiswa Malaysia (GGMM) dalam satu kenyataan hari ini.

Ketiga-tiga pelajar terbabit ialah Suhail Wan Azahar, Luqman Hakim dan Luqman Nul Haqim.

Menurut GGMM, surat tunjuk sebab tersebut meminta mereka memberikan asalan menyertai perhimpunan #TangkapMO1 pada 27 Ogos lalu.

GGMM berpendapat tindakan diambil UM terhadap empat penuntut terbabit berniat jahat kerana pindaan pada Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) kini jelas membenarkan mereka terlibat dalam aktiviti politik di luar kampus.

"Tindakan oleh universiti seolah-olah mereka tidak mengetahui atau menafikan kewujudan pindaan Auku," kata kenyataan berkenaan.

GGMM percaya tindakan disiplin terhadap empat penuntut itu adalah usaha pihak universiti menakut-nakutkan organisasi pelajar secara keseluruhannya.

Melalui kenyataan itu juga, gerakan dan kumpulan mahasiswa seluruh negara bersepakat untuk menyatakan solidariti buat empat orang sahabat mereka.

"Ingatlah sebanyak manapun tindakan dikenakan kepada para pejuang di kalangan mahasiswa dan mahasiswi, kami sekali-kali tidak gentar dan tidak akan berhenti. Kami akan terus bersuara demi masa depan anak bangsa," kata kumpulan itu.

-mk

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.