Showing posts with label Feature. Show all posts
Showing posts with label Feature. Show all posts

Monday, August 18, 2014

Khalid sokong Wan Azizah sebagai MB?

Kemelut Menteri Besar di Selangor bakal menyaksikan kejutan di luar jangkaan apabila Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mungkin membuat 'pusingan U' dengan membenarkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk mengambil alih jawatannya.

Ini kerana Menteri Besar itu enggan memberi laluan kepada Timbalan Presiden, Azmin Ali untuk menggantikannya, kata sumber terdekat kepada Khalid.

"Saya percaya Khalid sanggup mengalah kepada Wan Azizah dan akan mengatur beliau (Wan Azizah) menghadap Sultan," kata sumber itu yang juga ahli PKR.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menolak permintaan Wan Azizah untuk menghadap baginda pada awal bulan ini.

Menurut sumber, Khalid mungkin tidak akan memohon untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi melancarkan proses peralihan kuasa diantara beliau dan Wan Azizah, isteri kepada penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Khalid yang enggan meletak jawatan bagi memberi laluan kepada Wan Azizah dipecat oleh parti pada minggu lalu.

PAS pada Ahad sebulat suara memutuskan untuk tidak menyokong Khalid sebagai menteri besar tetapi meminta nama Azmin dicalonkan bersama dengan Wan Azizah bagi jawatan tersebut.

Azmin mengisytiharkan bahawa beliau menghormati keputusan parti untuk hanya mengemukakan nama Wan Azizah.

Bekas setiausaha politik Khalid, Faekah Husin berkata Wan Azizah mahupun Azmin tidak mendapat sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Menteri Besar.

"Adalah baik untuk mengadakan forum bagi mengetepikan kebaikan dan keburukan daripada mempunyai salah seorang daripada mereka sebagai Menteri Besar," katanya.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, beliau yakin Khalid akan 'berjuang hingga ke penghujungnya'.

"Jika beliau masih gagal menghalang Azmin untuk mengambil alih jawatan itu, Khalid boleh memohon perkenan Sultan untuk membubarkan DUN," katanya. -mstar

Sunday, August 17, 2014

VIDEO : PAS Bersetuju Sokong Azizah & Azmin



Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat yang berlansung pagi ini telah membuat keputusan yang sangat dinamik di dalam waktu yang singkat, demikian dinyatakan oleh Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kayat di dalam FBnya.

"Berkat doa semua pihak, Alhamdulillah, PAS Pusat dapat membuat keputusan yang sangat dinamik di dalam waktu yang singkat," tulisnya.

"Ringkasnya adalah: PAS Pusat bersetuju supaya Tan Sri Khalid Ibrahim digugurkan dari jawatan Menteri Besar Selangor," menurutnya lagi.

Mesyuarat berlangsung bermula jam 10 pagi ini bertempat di Bilik Mesyuarat Utama tingkat 5, Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut, di sini dalam masa kurang 90 minit.

Didalam pada itu, ramai yang memberi respons positif menyokong keputusan Jawatankuasa PAS Pusat berkenaan.


Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tiba di ibu negara sejak semalam dan telah mempengerusikan mesyuarat pagi ini.

Harakahdaily melaporkan, mesyuarat PAS Pusat hari ini sebulat suara bersetuju mencadangkan dua calon iaitu Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Mohammad Azmin Ali bagi menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

"PAS tidak akan menuntut jawatan Menteri Besar Selangor. PAS juga menghormati semangat yang ada dalam Pakatan Rakyat dalam mencadangkan nama calon Menteri Besar.

"Sehubungan dengan itu juga, PAS sebulat suara pada hari ini bersetuju untuk mengangkat dua nama bagi menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Nama yang dicadangkan oleh PAS ialah Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Presiden PKR) dan Mohammad Azmin Ali (Timbalan Presiden PKR)," kata Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam kenyataan yang dibacakan Timbalan Presiden Mohammad Sabu pada sidang media sejurus selesai mesyuarat tengah hari ini.

Keputusan itu katanya dibuat selepas PAS Pusat membuat pertimbangan dalam pelbagai sudut.

Keputusan tersebut adalah salah satu daripada tiga keputusan yang dicapai dalam mesyuarat hari ini.

Selain itu, mesyuarat turut memutuskan bahawa empat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor dari PAS akan terus berada dalam kerajaan negeri Selangor, untuk memastikan khidmat kepada rakyat tidak terjejas.

Manakala satu lagi keputusan adalah penegasan bahawa PAS akan terus komited dengan Pakatan Rakyat dalam melaksanakan kerjasama politik Tahaluf Siyasi.

Mesyuarat pagi ini menjadi tumpuan seluruh negara kerana ia dikatakan bakal menjadi penentu kepada penyelesaian kemelut yang sedang berlaku di Selangor.

Ianya juga dikatakan bakal menjadi tanda aras kepada survival politik serta kerjasama ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat, ekoran kemelut yang berlaku ini.

DAP bersetuju dengan cadangan PKR yang menamakan Datuk Seri Dr Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar baharu bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid yang telah dipecat dari partinya 9 Ogos lalu.

Atas pengalaman sebelum ini, PAS bagaimanapun dikatakan mahu lebih daripada satu nama calon dicadangkan untuk jawatan itu.

Mesyuarat pagi ini dibuat selepas dua kali ditangguhkan sebelum ini iaitu pada 10 dan 13 Ogos lalu.

Dua hari lalu, Lajnah Politik PAS Pusat terlebih dahulu mengadakan mesyuarat bagi menentukan rangka perbincangan mesyuarat PAS Pusat hari ini.

PAS sebelum ini telah menegaskan komitmen mereka bahawa akan terus teguh bersama Pakatan Rakyat. -GB



Tuesday, August 12, 2014

AMARAN : Pakatan & PAS Tumbang Jika Berpecah

Jika PAS keluar Pakatan Rakyat, parti itu memerlukan tiga dekad bagi membetul dan meyakinkan orang terhadap parti itu seperti yang mereka kecapi ketika ini, tegas Naib Presidennya Datuk Husam Musa.

Menulis dalam laman Facebooknya semalam, Husam berkata ia merupakan pengalaman yang dilaluinya sewaktu beliau muda yang mana ketika itu PAS bersendirian dan keluar daripada BN lewat tahun 1970-an.

"Saya muda masa tu, lihat seolah PAS tak ada masa depan. Bertanding kalah, Kelantan yang kuat pun tinggal dua kerusi. Tapi yakinlah bahawa Syed Qutb pernah sebut; al-Mustaqbal fi hadzad deen (masa depan hanyalah untuk Islam).

"Sekarang dah berbeza, kita jauh lebih baik dari dahulu. Tapi kalau ada yang kata keluar PR (Pakatan Rakyat) lebih baik saya tak tahu la. Saya dah berumur, tak ada masa nak patah ke belakang, dan buat salah dan perbetul balik.

"Tapi jika ada adik-adik atau anak muda yang rasa lebih baik PAS keluar PR, saya tak pasti. Percayalah kita perlu 30 tahun nak betulkan dan yakinkan semula orang ikut PAS. Pada saya situasi sekarang lebih baik," katanya.

Beliau mengulas berhubung spekulasi Pakatan akan pecah dan PAS akan meninggalkan gabungan parti pembangkang itu ekoran krisis menteri besar yang semakin meruncing.

Hanya PAS dan wakil rakyat dalam DUN Selangor yang masih belum membuat keputusan sama ada menyokong Khalid untuk kekal sebagai menteri besar. -MK

Monday, August 11, 2014

Mungkinkah DUN Bubar Di Selangor?



Peguam Syahredzan Johan berpendapat, pemecatan Khalid tidak menjejaskan kedudukan sebagai menteri besar selagi mendapat sokongan majoriti di DUN.

Oleh yang demikian, Pakatan Rakyat dijangka akan menggerakkan usaha untuk meraih sokongan dari kesemua 43 orang wakil rakyatnya, termasuk golongan yang setia dengan Khalid.

Pakatan seterusnya boleh mengemukakan usul tidak percaya ke atas Khalid di DUN apabila ia mendapat jumlah sokongan secukupnya, kata Syahredzan.

Khalid mesti cepat

Khalid bagaimanapun boleh mengatasi keadaan ini dengan memohon kepada sultan Selangor untuk membubarkan DUN bagi membolehkan pilihan raya baru diadakan, katanya.

"Beliau boleh memohon membubarkan Dewan tanpa mendapat undi tidak percaya atau apa-apa sokongan dari majoriti,” katanya lagi kepada Malaysiakini.

Jika itu pilihannya, Khalid perlu menjalankan usaha tersebut secepat mungkin kerana Malaysiakini difahamkan, baginda akan berangkat untuk kunjungan dua minggu di luar negara selepas majlis dengan menteri besar itu esok.

Walaupun raja muda boleh membubarkan DUN ketika pemergian baginda, Syahredzan berpendapat keadaaan itu mungkin tidak berlaku.

"Saya bayangkan apabila menangani perkara seperti ini, sultan mahu ia dijalankan oleh dirinya sendiri,” kata Syahredzan lagi.

Abdul Khalid dalam kenyataannya lewat petang ini menyebut, beliau akan bertemu dengan sultan untuk mendapatkan pandangan, namun tidak menyebut mengenai pembubaran DUN.

Bukan kerajaan Pakatan

Pakar perlembagaan pula, Abdul Aziz Bari berpendapat, sultan juga mempunyai peranan dan tidak hanya mengikut permintaan menteri besar.

"Apabila menteri besar dipecat dari parti, kemungkinan besar beliau kehilangan sokongan.”

Maka sultan boleh meminta Khalid mendapatkan sokongan majoriti di Dewan dan bukannya memohon untuk membubarkan DUN, katanya.

Tambahnya, Khalid kemudiannya boleh meletak jawatan atau dipecat oleh sultan sekiranya Dewan tidak memberi sokongan majoriti.

Dan sekiranya Khalid tetap dapat mengekalkan sokongan majoriti ke atasnya?

"Kalau begitu, Khalid boleh kekal sebagai menteri besar, namun kena ingat, dia bukan lagi dalam kerajaan Pakatan.

"Semua anggota exconya juga perlu meletak jawatan kerana kerajaan dibentuk melalui Pakatan Rakyat dan Khalid perlu mengemukakan senarai anggota exco baru kepada sultan,” katanya lagi. -MK

Saturday, August 9, 2014

Isu Selangor : Kongsi Kuasa Mungkin Berkubur?

Nampaknya PKR akan memecat Khalid Ibrahim dari PKR kerana Khalid dianggap melakukan ‘insubordination’ terhadap partinya sendiri. Beliau akan tetap menjadi Menterei Besar sementara ini dan beliau akan jadi Menteri Besar bebas, tanpa parti. Seandainya PAS bersekongkol untuk bersama Khalid seperti yang di syaki oleh PKR maka PAS tidak akan bersama Pakatan Rakyat lagi. Jika itu berlaku kepada PAS maka PAS bolehlah meneruskan perjuangan asal parti itu tanpa mengenepikan sebahagian dari perjuangannya semata-mata untuk menyesuaikan dengan kehendak rakan kongsinya DAP.

Tidak terkejut jika berlaku landskap politik baru dalam Selangor dan negara. Jika ini berlaku apa juga ‘consequence’ nya cita-cita Pakatan Rakyat untuk menguasai Putrajaya akan bertambah jauh dari kenyataan. Maknanya cita-cita Pakatan Rakyat untuk meletakkan Anwar sebagai Perdana Menteri gantian tidak akan dan mustahil untuk di capai. Tidak kira PAS yang akan kalah atau PKR yang akan kalah kenyataannya Anwar sudah tidak lagi berupaya untuk menjadi Perdana Menteri, jawatan igauannya sejak beliau sebelum menyertai UMNO lagi.

Segala usaha telah dilakukan oleh Anwar sehingga membawa rakyat berarak dan berdemonstrasi di seluruh negara dan berusaha dengan politiking yang tidak pernah dijangkakan itu hanya akan membuktikan yang beliau dan penyokongnya selama ini hanya membuang masa dan waktu sahaja. Kepada penyokong-penyokong setianya mereka akan kecewa kerana hakikat yang ada beliau amat sulit untuk mencapai cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri.

Mungkin ramai dikalangan mereka yang menyokong Anwar itu masih berada dalam ‘denial syndrome’ hakikat yang akan terpaksa mereka terima Anwar tidak akan berjaya menjadi Perdana Menteri jika keadaan sekarang tidak berubah dan tidak mempunyai ‘delineation’ politik yang baru. Orang seperti saya amat bersetuju jika keunggulan perpaduan hendak di capai, semua pihak perlu melalui pengorbanan sebenar.

Semua pihak wajar merasakan nikmat berdemokrasi. Yang saya maksudkan DAP sendiri wajar berada dalam kerajaan yang berbentuk baru ini. Begitu juga PAS dan PKR. Tetapi adakah kewajaran ini dapat terlaksana jika masih ada pimpinan yang mahu merebut jawatan dengan kekerasan demokrasi. Jika Anwar dengan ‘intrigue’ politiknya sekarang ini berjaya ke Putrajaya beliau tidak akan dapat menyatukan kerana mengambil kuasa secara ini tidak akan dapat sokongan semua pihak untuk menyusun semula negara yang sedang bercelaru sekarang ini. Anwar tidak akan mendapat sokongan semua pihak kerana yang menang tidak akan menang semua dan yang kalah tidak akan kalah semuanya.

Sekarang ini adalah masa untuk menyatukan semua pihak dan semua yang berlumba-lumba ke Putrajaya itu tidak akan mencapai matlamat perpaduan itu. Kita memerlukan seorang pemimpin yang diterima oleh semua pihak untuk membawa ke meja perundingan.

Kita mahukan pemimpin, selain dari mampu membawa UMNO ke meja perundingan tetapi juga mampu untuk membawa PAS serta DAP dan parti-parti lain, untuk memulakan negara dan siasah yang baru.

Kita wajar di representasikan secara menyeluruh dari semua pihak termasuk dari parti-parti pembangkang untuk bersama berada dalam kerajaan dan bersama-sama membangunkan negara baik dalam siasahnya, mahupun dalam pembangunan ekonomi dan sosial negara. Saya mengimpikan semua pihak bersatu termasuk mereka dari DAP, PKR dan lebih-lebih lagi PAS untuk menyertai jika ada, gerakan pembaharuan ini. Semua pihak wajar bersama dan tinggalkan sikap bergaduh diantara satu dengan lain untuk membawa rakyat menyokong mereka untuk membentuk kerajaan.

Jika tidak diubah pendekatan oleh pembangkang, mereka tidak akan dapat merasai duduk sebagai kerajaan bagi membangunkan negara kerana kita akan tetap ditadbir oleh pimpinan lemah yang ada pada hari ini. Kaedah politik yang ada kini tidak memberikan kesempatan untuk pembangkang menjadi kerajaan di Putrajaya itu setidak-tidaknya tiga pilihanraya lagi.

Blog ini tidak pernah jemu menyebut yang kita memerlukan siasah baru bagi negara jika benar kita mahukan sebuah negara yang maju yang bersatu melepasi sempadan bangsa dan agama dan kepercayaan dan cara hidup semua dalam negara ini.

Itu sebabnya saya sentiasa mengatakan untuk mendapatkan kuasa dengan berkelahi siang dan malam tidak ada siapa terutamanya dalam pembangkang hari ini akan menikmati kuasa dalam kerajaan.

Tetapi yang hanya perlu dilakukan seseorang yang dipertanggungjawabkan untuk menyatukan semua pihak ialah seorang yang berpengalaman dan seorang yang tidak keluar berucap dan melakukan ‘soliciting’ sokongan melalui demokrasi yang tidak sempurna sekarang ini.

Kita tidak lagi memerlukan seorang yang seratus peratus ‘politician’ untuk melakukan perubahan ini, sebaliknya ia perlu dipelopori oleh seorang yang ‘senior’ dan berpengalaman yang tahap nya sudah menacap tahap ‘institution’

Itu sebabnya saya katakan Anwar tidak boleh melakukan penyatuan ini kerana beliau masih bermain politik ‘intrigue’ meng ‘intrigue’ yang keterlaluan. Berjaya Anwar mendapatkan sokongan 52 peratus, yang 48 peratus lagi tetap akan menjadi beban kepada beliau tanpa henti-henti.

DAP dan PAS perlu membawa isu ini ke dalam pemikiran mereka kerana ini bukan sahaja untuk kepentingan rakyat malahan ia juga untuk kepentingan parti itu sendiri. Sudah setengah dekad DAP berada di luar, mungkin masanya sudah tiba bagi parti itu merasakan kerusi empuk di Putrajaya itu bersama-sama yang lain dan membangunkan negara tanpa berkelahi seperti anjing dengan kucing lagi.

http://aspanaliasnet.blogspot.com

Saturday, June 28, 2014

Umat Islam di Malaysia mula berpuasa Ahad

Umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa Ahad ini.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad ketika mengumumkan demikian berkata tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia telah ditetapkan pada Ahad, 29 Jun 2014, bagi mengikut perintah Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Pengumuman itu disiar secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia.

Majlis Raja-Raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan Ramadan adalah berdasarkan rukyah (melihat anak bulan) dan hisab (pengiraan secara matematik dan astronomi).

- Bernama

Monday, June 23, 2014

PR Bakal Tumbang Di Selangor?

Kedudukan Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim yang mula dipertikaikan oleh rakan-rakan gabungan dalam Pakatan Rakyat sendiri kini mula menjurus kepada persoalan kemungkinan ia bakal kehilangan kuasa dalam pilihanraya umum akan datang jika masalah yang kian meruncing itu tidak segera diurus dengan baik.

Bermula dengan masalah dalaman PKR yang dihadapi oleh Khalid Ibrahim, terutama penentangan daripada kelompok Azmin Ali yang juga Pengerusi PKR Selangor, masalah kini bertambah rumit apabila DAP dan Pas juga mula merasakan Menteri Besar itu perlu ditukar dan sudah tidak relevan lagi.

Walaupun sejak awal lagi, Khalid memang ada stail kepimpinan sendiri ala CEO sebuah syarikat perniagaan, tetapi imejnya yang bersih, bebas dari amalan rasuah, tidak mengaut kekayaan, tiada kes menyalahgunakan kuasa dan kemampuannya meningkatkan rizab negeri kepada hampir RM3 billion telah menyebabkan beliau lebih disanjung daripada dipertikaikan.

Namun sejak ura-ura mahu menukarkannya dengan Anwar Ibrahim melalui KajangMove yang tidak menjadi kenyataan, Khalid dilihat semakin menunjukkan belangnya. Beliau makin memperlihatkan gaya kepimpinan ala CEO dengan banyak isu-isu besar hanya diuruskannya secara sendiriannya saja.

Rakan-rakan gabungan dalam PR, EXCO Kerajaan Negeri dan beberapa jawatankuasa yang ditubuhkan atas persetujuan PR tidak lagi dipedulikan suara dan kehadiran mereka. Khalid mungkin masih terbawa dah merasakan Kerajaan Selangor juga seperti PNB dan Guthrie yang pernah diketuainya dulu.

Bermula dengan tindakan menandatangani persetujuan secara tergesa-gesa dan tidak memaklumkan kepada EXCO mahupun rakan-rakan dalam PR mengenai isu air dengan Kerajaan Pusat, Khalid kemudiannya semakin berani dan terbuka menyokong pembinaan Lebuhraya Kinrara Damansara atau Kidex walaupun sebahagian penduduk yang terlibat dengannya membantah pembinaan lebuhraya itu.

Lebih dari itu, sokongan Khalid terhadap projek itu juga dianggap memalukan PR kerana diketahui umum pemegang konsesi lebuhraya itu ialah bekas peguam UMNO yang kemudian dilantik sebagai Ketua Hakim Negara, Zaki Tun Azmi bersama peguam UMNO sekarang, Hafarizam Harun.

Sokongan Khalid dianggap menyokong projek BN dan menyokong amalan kronisme UMNO walaupun Zaki Tun Azmi dan Hafarizam sentiasa bermusuh dengan PR.

Kelemahan Khalid juga agak ketara dalam isu rampasan Bible yang sudah diarahkan oleh Peguam Negara agar Jabatan Agama Islam Selangor segera memulangkan kitab itu berikutan tiada sebarang pendakwaan akan diambil terhadap Persatuan Bible Malaysia.

Dalam isu ini Khalid dilihat tidak cukup tegas dan "play safe" meskipun arahan daripada Peguam Negara sudah cukup jelas mengenainya. Beliau lebih banyak berdolak-dalik dan bermain dengan masa.

Deretan kelemahan Khalid yang semakin ketara dalam beberapa isu besar kebelangan ini telah meruntun jiwa parti-parti dalam PR mahu menukarkannya dengan segera. Mereka bukan saja pening dengan stail Khalid yang lebih mirip BN, bahkan tindakannya tidak mahu mendengar keluhan penduduk seperti dalam isu pembinaan lebuhraya Kidex, turut menyebabkan timbulnya kebimbangan tentang hayat kuasa PR di negeri paling itu sendiri.

Rekod pencapaian Khalid sejak 2008 mungkin boleh dibanggakan tetapi pujangga selalu menyebut, "yang penting bukan di mana kita bermula tetapi bagaimana kita berakhir". Dalam hal ini Khalid nampak cemerlang di permulaannya tetapi di akhir-akhir ini semakin tidak menentu dan banyak dipertikaikan.

Khalid kini bukan saja mula dipertikaikan oleh partinya sendiri iaitu PKR, tetapi DAP dan Pas juga mulai lantang mahu menukarnya. Mereka seolah-olah sepakat bahawa selagi Khalid terus dikekalkan, PR di Selangor akan berdepan lebih banyak masalah dan merumitkan lagi usaha mengekalkan kuasa dalam pilihanraya akan datang.

PR tiada pilihan lain selain menukarkan Khalid jika ingin terus menang dan berkuasa di Selangor. PR kena belajar daripada kemelut di Kedah yang melibatkan Azizan Razak sebelum pilihanraya 2013 yang dibiarkan tanpa penyelesaikan telah menyebabkan akhirnya Pas kehilangan kuasa di negeri itu.

Pedulikanlah jika Presiden Pas , Haji Hadi Awang ada kepentingan dengan Khalid kerana anak menantunya bekerja dengan sebuah GLC negeri serta mungkin ada beberapa kenalannya yang lain sedang bergayut di pinggang kuasa kerajaan negeri Selangor. Keutamaan PR bukanlah mempertahankan kepentingan peribadi mana-mana pihak tetapi memastikan parti itu terus berkuasa lagi.

Selain isu melibatkan Khalid, berlakunya pergaduhan dan pertumpahan darah dalam pemilihan PKR di bebarap cabang di Selangor yang entah bila akan berakhirnya, sebenarnya turut menambah derita PR untuk mengekalkan kuasanya. Apa yang berlaku dan dipaparkan secara meluas di media boleh menyebabkan rakyat Selangor menjadi bosan dengan kemelut pemilihan yang tidak berkesudahan.

Masalah dalam pemilihan parti, ditambah dengan kebosanan yang mula berakar mengenai kepimpinan Khalid, sebenarnya boleh menggugat pegangan kuasa PR dan memberi kelebihan kepada UMNO dan BN, meskipun pimpinan parti lawan itu masih belum menunjukkan prestasi yang menggembirakan rakyat.

Tempoh pilihanraya akan datang secara relatifnya masih panjang lagi dan PR punya banyak masa untuk segera memangkas segala masalah yang sedang berlaku. Selain imej parti perlu segera dipulihkan daripada persepsi buruk rakyat dan pengundi, pertikaian yang paling perlu diselesaikan ialah mengenai kedudukan Khalid sendiri.

Kalau pun kedudukan Khalid tidak dapat diubah dalam waktu yang terdekat ini kerana wujudnya halangan-halangan tertentu seperti Istana Selangor yang mempunyai hubungan rapat dengannya serta faktor Haji Hadi yang mungkin mahukan Khalid terus dikekalkan, PR sekurang-kurangnya mestilah menunjukkan tanda positif bahawa beliau bukan lagi Menteri Besar Selangor selepas pilihanraya nanti.

Khalid yang dengan wataknya berubah 180 darjah kebelakangan ini adalah liabiti kepada PR dan sesuatu mesti dilakukan untuk mengelakkan kebosanan pengundi bertambah parah.

Jika tidak, pengundi Selangor mungkin lebih rela berketuakan Noh Omar untuk memberi pengajaran kepada PR

Oleh Shahbudin Husin (DD)

Friday, June 20, 2014

World Cup 2014 : Kini England Pula Pulang Awal

Dua gol daripada Luis Suarez meranapkan impian Piala Dunia England apabila tewas kepada Uruguay 2-1 dalam aksi Kumpulan D di Corinthians Arena di Sao Paulo, sebentar tadi.

Bintang Liverpool yang hadir menanggung kecederaan lutut selepas pembedahan sebulan lalu menyumbat satu gol pada setiap babak permainan untuk menyalakan impian pasukannya mara ke pusingan kedua.
Wayne Rooney membuat ancaman awal apabila tandukannya terkena palang pada babak pertama, namun kealpaan benteng pertahanan - gelagat sama ketika tewas kepada Itali - diulangi yang membenar Suarez membuka tirai jaringan.

Piala Dunia: Suarez kini dibuai mimpi indah

Penyerang itu mudah memperdayakan benteng England dan penjaga gol, Joe Hart dengan satu tandukan baik selepas menerima umpanan daripada Edinson Cavani pada minit ke-39.

England menyamakan kedudukan pada minit ke-75 apabila Rooney menyambung masuk kemas hantaran paras rendah Glen Johnson untuk gol pertamanya dalam Piala Dunia selepas tiga percubaan.

Namun, Suarez - pemain terbaik Liga Perdana Inggeris - merembat masuk gol kemenangan pada minit ke-85 selepas England gagal menyekat bola hantaran jauh penjaga gol, Fernando Muslera.

Uruguay kini menyertai Itali dan Costa Rica dengan himpunan tiga mata manakala England tanpa sebarang mata selepas dua kekalahan dan mungkin tersingkir daripada peringkat kumpulan buat pertama kali sejak 1958. - AFP

Muhyiddin nafi letak jawatan TPM

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan akan berundur daripada Kabinet untuk memberi tumpuan kepada Umno.

Spekulasi tersebar dalam media sosial menyatakan tokoh politik itu akan memberi laluan kepada Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjawat jawatan itu.



Hishamuddin adalah sepupu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Tak ada (letak jawatan). Saya masih ada di sini lagi, masih alive and kicking," katanya kepada pemberita bagi menjawab desas-desus pengundurannya, dalam satu majlis di ibu negara.

"Selama mana saya berada dalam kabinet beliau (Najib) biasa berbincang dengan saya.

"Jadi setakat hari ini, tidak apa-apa pun perkara yang telah dibangkitkan melibatkan kedudukan saya sendiri," katanya lagi.

Muhyiddin juga berikrar untuk meneruskan khidmatnya selagi Najib yakin dan mempercayainya.

Cakap-cakap mengenai peletakan jawatannya, kononnya akan berlaku esok, tercetus ketika ura-ura berlakunya rombakan kabinet.

Tuesday, June 17, 2014

Benarkah Kehilangan MH370 Konspirasi Yang Disengajakan?

Dalam satu teori konspirasi terbaru mengenai kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370, juruterbang komersial veteran dan wartawan penyiasat melihat insiden berkenaan merupakan tindakan yang "disengajakan" dan dalam "perkiraan, (perancangan)" lapor akhbar.

The Huffington Post UK melaporkan, juruterbang komersial veteran, Ewan Wilson dan wartawan penyiasat Geoff Taylor menghabiskan masa selama berbulan-bulan menganalisis data saat akhir pesawat sebelum hilang bersama 239 penumpangnya.

Mereka membuat kesimpulan, misteri kehilangan pesawat dan kegagalan sistem penjejaknya hanya boleh berlaku dengan tindakan yang disengajakan.

Wilson, sebelum ini pernah bekerja dengan dua syarikat penerbangan turut berlepas ke Malaysia untuk menemuramah penyiasat dan saudara mara juruterbang MH370 Kapten Zaharie Ahmad Shah.

Mereka yang berasal dari New Zealand turut melihat data yang dikeluarkan dan diperolehi Malaysia serta negara lain yang terlibat dalam misi pencarian pesawat berkenaan.

Pusat kawalan udara kehilangan pesawat Boeing 777 ketika berada di kawasan perairan Malaysia dan Vietnam sebaik sahaja berlepas dari Kuala Lumpur dalam penerbangan malam pada 8 Mac yang dijadualkan ke Beijing.

Wilson berkata kepada stuff.co.nz, kesimpulan daripada bukunya, "Good Night Malaysian 370: The truth behind the loss of Flight 370," akan mengejutkan orang ramai.

Penulis itu berkata, mereka menolak kemungkinan kegagalan fungsi atau kemalangan pelik secara sistematik, dan berkata tiada alasan mengapa pesawat perlu berubah arah laluannya.

Menjelaskan dapatan mereka, Wilson, yang turut dilatih dalam bidang nahas pesawat udara berkata: "Buat pertama kali kami dedahkan maklumat analisis penerbangan, laluan dan siapa yang kami percaya bertanggungjawab terhadap pesawat terjunam ke Lautan Hindi."

Penulis itu berkata, saudara penumpang juga tidak dimaklumkan kebenaran tentang perubahan arah pesawat.

Taylor berkata:"Demi kebaikan keluarga penumpang, kebenaran perlu didedahkan.

"Kami melawat lounge ketibaan ketika keluarga berkumpul dengan semangat untuk menunggu panggilan mendarat. Sudah pasti mereka berhak mendapat lebih daripada itu," katanya.

Katanya: "Apa yang berlaku kepada MH370 bukanlah kemalangan. Ia disengajakan dan perkiraan yang tepat dan tidak seharusnya perkara itu (dibenarkan) berlaku.” -GB

Friday, June 6, 2014

Rasuah punca kelemahan di perairan Sabah

Faktor kelemahan manusia menyumbang kepada masalah keselamatan perairan Sabah, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. Gambar fail The Malaysian Insider.Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini berkata masalah yang berlaku di perairan Sabah bukan sahaja disebabkan kelemahan aset yang digunakan tetapi kelemahan manusia.

Menteri pertahanan itu berkata, faktor kelemahan manusia yang dikesan dalam keselamatan perairan Sabah adalah rasuah dan kebocoran maklumat oleh pihak yang bertanggungjawab.

"Kita sudah kehilangan banyak masa apabila bercakap tentang keselamatan Pantai Timur Sabah. Masa kita banyak dihabiskan dengan mencari kelemahan.

"Kelemahan bukan sahaja aset yang digunakan tetapi faktor manusia seperti rasuah, kebocoran maklumat dan kredibiliti pegawai kami yang perlu dilihat," katanya pada sidang media di Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur, hari ini.

Hishammuddin hari ini memperkenalkan empat aspek yang perlu diberi perhatian kepada keselamatan perairan Pantai Timur Sabah iaitu perisian, perkakasan, sumber manusia dan risikan.

Katanya, perisian adalah berkaitan polisi yang digunakan bagi menangani pencerobohan di kawsan itu, perkakasan adalah aspek teknologi pensenjataan dan kelengkapan yang digunakan manakala sumber manusia adalah tenaga yang dikerahkan oleh polis, tentera dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Saya mendapat mandat dari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, persetujuan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Shahidan Kassim berhubung kait dengan polis dan APMM.

“Penting untuk kita kaji semula Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dalam konteks ancaman baru yang dihadapi,” katanya.

Beliau berkata dalam misi terbaharu untuk menambah baik kawalan di perairan Pantai Timur Sabah, pelantar minyak Petronas yang lama akan digunakan bagi mempergiat kawalan di kawasan itu.

Katanya, kerajaan Brunei juga sedia bekerjasama dengan syarikat cari gali minyak di negara itu bagi membantu penggunaan pelantar minyak untuk tujuan sama.

“Penglibatan pihak ketiga iaitu Petronas dengan pelantar minyak akan digunakan sebagai respon kepada apa jua ancaman untuk kita lihat secara mendalam.

“Sabtu dan Ahad ini saya akan ke Sabah untuk melihat 1,400km pantai yang harus dikawal, radar sedia ada yang perlu ditingkatkan dan resort yang perlu diperkukuhkan dengan kehadiran penguatkuasa.”

Hishammuddin berkata tiada gunanya bidang kuasa ketua pengarah Esscom diperluas sekiranya agensi keselamatan yang terlibat di kawasan itu tidak memainkan peranan mereka secara berkesan.

“Ini banyak bergantung kepada kerjasama pihak yang berkepentingan. Bukan sahaja ketua pengarah tetapi penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), polis dan APMM. Itu tidak termasuk kastam, imigresen dan negara ketiga.

“Apa jua kuasa yang diberikan kepada ketua pengarah, jika tak dapat kerjasama daripada pihak berkepentingan maka ia tak membawa apa-apa makna,” katanya.

Mengulas mengenai laporan media yang mendakwa Malaysia membayar sejumlah wang tebusan bagi membebaskan mangsa culik di perairan Sabah, Hishammuddin berkata rakyat harus mempercayai apa yang dikatakan perdana menteri.

Katanya, kejayaan Malaysia membebaskan tebusan itu memperkukuhkan lagi hubungan Malaysia-China bersempena dengan sambutan dua hala untuk tahun yang ke-40.

“Perdana menteri katakan tidak dan memang tidak. Ini bukan satu perkara baru. Saya semasa di Kementerian Dalam Negeri pun ada kes yang kita dapat pembebasan kepada mereka yang diculik.

“Apa yang penting keselamatan mereka yang diculik. Warganegara China yang diculik dikembalikan ke Beijing. Bayar tak bayar, tak boleh dinilai dengan wang ringgit.”

Reuters pada Sabtu mendakwa pembebasan dua wanita yang diculik di Sabah dalam usaha bersama pihak berkuasa Malaysia dan Filipina hanya dicapai selepas pembayaran "wang tebusan yang besar".

Laporan itu bercanggah dengan kenyataan Najib bahawa "tidak ada wang tebusan dibayar" untuk membebaskan pelancong China, Gao Huayun dan pekerja resort, warga Filipina Marcy Dayawan, yang diculik dari Singamata Adventures and Reef Resort, di Semporna, 2 April lalu.

Najib dalam satu kiriman tweet berkata: "Saya baru sahaja diberi taklimat oleh @PDRMsia bahawa kedua-dua wanita diculik dari sebuah resort di Sabah April lepas diselamatkan oleh pihak berkuasa kita."

"Tiada wang tebusan dibayar bagi mendapatkan pembebasan mereka. Kejayaan hasil kerjasama pasukan keselamatan Malaysia dan Filipina. Saya berterima kasih kepada semua yang terlibat."

Bagaimanapun, sumber polis Filipina memberitahu Reuters bahawa wang tebusan yang besar dibayar bagi membebaskan kedua-dua wanita itu. –

-TMI

Tuesday, June 3, 2014

Subsidi petrol hanya untuk rakyat bergaji bawah RM5,000

Hanya rakyat berpendapatan tidak melebihi RM5,000 sebulan yang menggunakan kenderaan enjin berkapasiti di bawah 2.0 liter layak menerima pemberian subsidi sepenuhnya dalam pelaksanaan kaedah pemberian subsidi petrol dan diesel yang dijangka bermula pada September ini lapor akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily.

Pendedahan eksklusif akhbar tersebut yang memetik sumber dalaman Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melaporkan ‎sistem itu dijangkakan bermula pada September ini bagi kenderaan komersil manakala Oktober dan November bagi kenderaan persendirian.

Pemberian subsidi akan dilaksanakan melalui pemberian elaun di mana setiap pengguna kenderaan perlu mendaftar kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapatkan ‎kad subsidi minyak. – Gambar fail The Malaysian Insider, 3 Jun, 2014.

Menurut Sin Chew Daily, sumber itu mengatakan pemberian subsidi akan dilaksanakan melalui pemberian elaun di mana setiap pengguna kenderaan perlu mendaftar kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan memberikan butiran berkaitan cukai perseorangan atau syarikat bagi mendapatkan ‎kad minyak tersebut.

Kad elaun subsidi minyak yang bakal diberikan kepada pengguna mengandungi maklumat seperti nama penerima, alamat dan kuota bulanan minyak.

Bagaimanapun menurut akhbar itu, sekiranya penggunaan elaun subsidi melebihi ‎kuota ditetapkan, ‎‎pengguna perlu membeli sendiri minyak mengikut harga pasaran.

Sumber itu juga mendedahkan pengguna kenderaan berpendapatan RM5,000 ‎dan tidak melebihi RM10,000 turut layak menerima pemberian subsidi tersebut, bagaimanapun dihadkan hanya sebanyak 300 liter.

Di bawah skim ini bagaimanapun tidak boleh diguna pakai kepada mereka yang berpendapatan lebih RM10,000 dan warga asing.

Menurut Sin Chew Daily, pelaksanaan sistem baru itu belum diputuskan secara rasmi kerana KPDNK masih mempertimbangkan keadah lain daripada pihak berkaitan.

Pada 29 Mei lalu, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata kerajaan memutuskan mengkaji semula pemberian subsidi minyak bagi memastikan tiada kebocoran dalam perbelanjaan kerajaan.

Katanya, tahun lepas kerajaan membelanjakan sejumlah RM2.48 bilion bagi pemberian subsidi petrol dan diesel manakala tahun ini pula sebanyak RM22.3 bilion.

Menurut Sin Chew Daily, pemberian subsidi berbentuk kad itu diputuskan bagi membolehkan kerajaan mengkaji nilai penggunaan minyak yang betul oleh pengguna.

Kerajaan juga dikatakan bercadang memperbaiki sistem MyKad bagi pertambahan maklumat penerima subsidi di dalam kad tersebut. –TMI

Monday, April 21, 2014

SPR : Kerusi Bkt Gelugor Ditentukan Khamis

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas untuk membincangkan perkara berkaitan kerusi Parlimen Bukit Gelugor, Pulau Pinang pada Khamis ini.

Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata SPR menerima makluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 11 pagi ini berhubung kekosongan kerusi Parlimen Bukit Gelugor berikutan kematian penyandangnya, Karpal Singh.

Mesyuarat khas itu akan diadakan di ibu pejabat SPR di Putrajaya dan diikuti sidang media oleh Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, katanya dalam kenyataan hari ini.

Karpal Singh, 74, maut dalam kemalangan pada 1.10 pagi di Km 306.1 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung di Kampar, Perak. Turut terbunuh dalam kemalangan itu ialah pembantu peribadi mendiang, Michael Cornelius.

Pada pilihan raya umum Mei 2013, Karpal Singh menang kerusi itu dengan majoriti 41,778 undi menewaskan calon BN, Teh Beng Yeam.

- Bernama

Friday, April 18, 2014

Kesan kematian Karpal kepada landskap politik Malaysia

Kematian ahli politik veteran pembangkang Karpal Singh Ram Singh hari ini mengosongkan ruang yang luas dalam landskap politik negara.

Pengerusi nasional DAP merangkap ahli Parlimen Bukit Gelugor, Pulau Pinang, itu terbunuh dalam kemalangan di KM301.6, Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke utara berhampiran Gua Tempurung, Perak pada kira-kira jam 1.30 pagi tadi.

Turut merasakan kekosongan adalah masyarakat guaman yang nampaknya semakin hari semakin ketandusan pengamal yang gigih, berkaliber dan kontroversial seperti Karpal.

Sejarah akan menilai dan memberi kata putus yang sama kontroversial dengan tindak-tanduk beliau yang secara mutakhir ini dan terang-terangan mencampuradukkan kerjaya guaman dengan politik.

Walaupun beliau seorang peguam jenayah yang hebat – yang berjaya menyelamatkan ramai penjenayah berat daripada tali gantung – namun umum akan mengingati beliau sebagai peguam Anwar Ibrahim dalam kes liwat pertama pada 1998.

Karpal berubah daripada menjadi musuh ketat Anwar ketika Anwar dalam Umno dan kerajaan kepada pembela dan pengikut sehinggalah ke penghujung hayatnya.

Dalam perhubungan simbiotik dengan Anwar itu, mendiang Karpal memanifestasikan secara jelas dan mutakhir bahawa tidak ada musuh yang kekal dalam politik. Yang kekal adalah kepentingan bersama. Walaupun jawatan pengerusi nasional adalah jawatan “figurehead” dalam DAP, tetapi kerana perwatakan beliau dan hakikat beliau bukan Cina memberikan beliau kuasa dan kedudukan yang istimewa.

Dalam hierarki DAP, jawatan yang berkuasa adalah setiausaha agung yang disandang oleh Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang. Karpal juga akan dikenang sebagai pemimpin pembangkang yang paling kuat menentang hukum hudud yang diilhamkan oleh PAS.

Sebelum DAP dan PAS bersekedudukan dalam Pakatan Rakyat, Karpal pernah berkata PAS perlu melangkah mayatnya dulu sebelum boleh melaksanakan hudud.

Beliau meninggal di saat-saat PAS, melalui kerajaan PAS Kelantan, sedang menghidupkan semula aspirasi hudud dan khabarnya akan mendapat sokongan Umno.

– kadirjasin.blogspot.com

Monday, April 7, 2014

Ahli Parlimen BN Sabah desak Esscom dibubarkan

Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) perlu dibubarkan selepas beberapa siri penculikan masih berlaku di kawasan berkenaan walaupun lebih RM100 juta dibelanjakan oleh kerajaan, kata ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).

Ahli Parlimen Kalabakan Datuk Ghapor Salleh berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu memandang serius isu berkenaan dengan meletakkan kawasan tersebut di bawah satu kementerian berkaitan.

“Esscom ini tidak sukses. Jadi saya cadangkan kepada Perdana Menteri agar bubarkan Esscom. Kita mahu satu kementerian seperti Kementerian Dalam Negeri atau Kementerian Pertahanan yang mengetuai ini semua.

“Ini kerana Esscom tiada yang arahkan. Bolehkah dia beri arahan kepada ketua polis negara?

“Bolehkah dia beri arahan kepada komander tentera? Tiada yang mahu dengar (mereka),” katanya semasa di Dewan Rakyat sewaktu membentangkan usul keselamatan Sabah di Parlimen hari ini.

Seorang pelancong wanita warga China dan seorang pekerja sebuah resort di Pulau Singgahmata, Semporna, diculik sekumpulan lelaki jam 10.30 malam pada Khamis.

Perkara itu disahkan Ketua Pengarah Esscom, Datuk Mohammad Mentek yang menyifatkan tiada kaitan dengan kumpulan pengganas namun enggan mengulas lanjut mengenainya.

Wanita warga China berkenaan berusia 28 tahun dan berasal dari Shanghai.

Dua wanita itu dipercayai dilarikan dari Singamata Reef Resort selepas enam lelaki bersenjata, menyerbu resort peranginan berkenaan.

Gao Huayun, 29, dari Shanghai, yang sedang bercuti dengan kira-kira 60 pelancong dari negara berkenaan, dipercayai diambil dari bilik penginapan mereka sebelum dipaksa menaiki sebuah bot.

Pekerja hotel Filipina berusia 40 tahun, Marcy Dayawan, bagaimanapun tidak jelas bagaimana beliau dilarikan.

Mengulas mengenai cadangan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata Esscom tidak perlu dibubarkan sebaliknya pengukuhan dan penambahbaikan di kawasan itu perlu dilaksanakan.

“Operasi yang dijalankan sebelum ini di enam resort Semporna menahan 26 pekerja asing dengan pelbagai kesalahan.

“Saya tidak setuju Esscom ditutup sebaliknya aset perlu ditambah akhir bulan ini untuk rondaan laut yang diuruskan di peringkat komponen,” katanya menggulung usul yang dikemukakan Ahli Parlimen Semporna Stephen Wong.

Wong semasa membentangkan usulnya berkata penculikan warga asing di Semporna baru-baru ini menunjukkan kerajaan gagal dalam menangani isu pencerobohan dan keselamatan penduduk di pantai timur Sabah.

Katanya, masalah ini akan terus berlaku jika kerajaan tidak mengambil langkah lebih drastik dalam menanggani masalah pencerobohan.

“Kawasan Esscom yang ditubuhkan dengan peruntukkan berjuta-juta ringgit langsung tidak menunjukkan kesan positif. Namun begitu, saya tidak nampak apa-apa pembangunan dengan peruntukan yang begitu besar.

“Saya ingin mendapat penjelasan dari pihak kerajaan bahawa apakah fungsi dan kuasa sebenar bagi Esscom dan bagaimana mereka memainkan peranan dalam mencegah pencerobohan dan mempertahankan pantai timur Sabah,” katanya.

Wong turut mempersoalkan tindakan kerajaan persekutuan yang masih membayar sejumlah wang kepada Kesultanan Sulu setiap tahun

Katanya, Sabah bersama Malaysia sejak 50 tahun lalu dan ia harus dihentikan.

“Kita dapat tahu bahawa kerajaan persekutuan masih membayar satu 'cession money' sebanyak RM6,300 kepada kesultanan Sulu setiap tahun.

“Jika kita masih membayar 'cession money' tersebut maka ia memberi bayangan kepada orang Sulu bahawa Sabah adalah milik mereka.

“Ia akan terus membawa banyak masalah yang berlanjutan pada masa depan Sabah. Jika ini benar, maka masalah berkaitan dengan sekuriti di Sabah tidak akan berhenti malah berterusan menjadi serius,” katanya. –TMI

Saturday, April 5, 2014

Bagaimana jika MH370 tidak terhempas?

Terdapat pelbagai spekulasi yang dibangkitkan termasuk yang mengatakan pesawat itu sudah mendarat secara rahsia di China dan ada juga yang mendakwa pesawat mendarat di Pakistan ataupun Hong Kong.

Namun, terdapat satu teori yang dilihat mendapat respons yang tinggi dari masyarakat dunia iaitu teori pesawat mendarat di Diego Garcia, sebuah pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Lautan Hindi.

Diego Garcia terletak di selatan Kepulauan Maldives dan merupakan pangkalan tentera AS yang penting dalam kempen serangan AS terutama terhadap Iraq dan Afghanistan.

Dakwaan penduduk Maldives kukuh

Spekulasi yang mengaitkan Diego Garcia ini mula dibangkitkan secara serius apabila apabila penduduk di Maldives mendakwa melihat pesawat terbang rendah di selatan kepulauan tersebut.

Ada pihak mendakwa pesawat tersebut merupakan MH370 dan telah mendarat di Diego Garcia kerana kedudukan kedua-dua pulau yang berdekatan.

Jarak antara Diego Garcia dengan Addu City, yang terletak di selatan Kepulauan Maldives (Pulau Addu) adalah 740km.

Difahamkan, teori ini timbul berdasarkan kiraan secara kasar waktu MH370 membuat pusingan balik di sempadan Malaysia - Vietnam dan waktu ketika penduduk Maldives melihat pesawat tersebut.

MH370 berlepas dari KLIA pada 12.41 pagi dan pesawat ini terputus hubungan pada 1.21 pagi.

Jika diambil kira penerbangan dari KLIA ke Maldives iaitu sekitar 4 jam, 24 minit dan waktu penduduk Maldives melihat pesawat iaitu 6.15 pagi, jumlah waktu penebangan ini adalah relevan.

Ini kerana, waktu penerbangan ini perlu ditambah 40 minit iaitu tempoh MH370 berpatah balik hingga kedudukan pesawat hilang dari radar.

Teori penduduk Maldives ini tidak boleh ditolak begitu sahaja kerana penduduk di Semenanjung Malaysia terutama di Kelantan, Perak dan Terengganu juga mendakwa mereka melihat pesawat terbang rendah pada hari malang buat MH370 itu.

Difahamkan, pesawat tersebut adalah MH370 berdasarkan radar tentera yang berjaya mengesan pesawat tersebut membuat pusingan balik menghala ke Selat Melaka.

Spekulasi Diego Garcia terus berada di tempat pertama

Selain itu, teori Diego Garcia ini juga dikaitkan menerusi mimpi seorang ustaz yang mendakwa MH370 mendarat di sebuah pangkalan tentera dan penumpang serta kru masih selamat.

Antara teori yang menarik berhubung Diego Garcia adalah spekulasi bahawa tentera AS telah mengawal MH370 sebaik sahaja pesawat itu hilang dari radar.

Spekulasi tersebut mengaitkan dakwaan tentang wujud peralatan ketenteraan yang menjadi rebutan kuasa besar dunia dalam pesawat tersebut.

Alat tersebut dikatakan berkemampuan untuk mengmengawal Drone tanpa pemandu yang pernah digunakan ketika AS berperang di Afghanistan.

Difahamkan, China berusaha untuk membawa pulang sistem ketenteraan ini menerusi laluan pesawat komersil yang dianggap lebih selamat.

Namun, AS berjaya memintas pesawat ini dan membawa MH370 keluar dari radar Malaysia menuju ke Lautan Hindi bagi mengelak di kesan radar mana-mana negara dan kemudiannya dibawa ke Diego Garcia untuk disimpan di sana.

Nasib penumpang tidak diketahui tetapi pesawat MH370 itu dikatakan diterbangkan semula untuk terhempas Lautan Hindi menggunakan sistem kawalan jarak jauh.

Apa yang paling menarik dalam spekulasi ini adalah landasan lapangan terbang Diego Garcia adalh antara lima penemuan pasukan penyiasat dalam program simulator milik Kapten Zaharie Ahmad Shah yang diambil dari rumahnya di Shah Alam.

Selain Diego Garcia, antara perisian landasan yang diperiksa setakat ini ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Male di Maldives serta tiga lagi landasan di India dan Sri Lanka, yang semuanya mempunyai jarak landasan lebih 1,500 meter.

Namun, pihak penyiasat sehingga kini masih menafikan dakwaan MH370 mendarat di Diego Garcia dan pasukan penyiasat berpegang kepada maklumat bahawa MH370 berakhir di Selatan Lautan Hindi.

Berakhir, bukannya terhempas di Lautan Hindi

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa pesawat MH370 berakhir di Lautan Hindi berdasarkan kepada siasatan syarikat satelit Inmarsat dan Air Accident Investigation Branch (AAIB) di Britain.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam temubual bersama media tempatan memberitahu berhubung persoalan mengenai Diego Garcia, beliau sendiri akan bertanya kepada AS dalam Forum Pertahanan Amerika Syarikat-Asean yang bermula kelmarin.

Spekulasi sentiasa wujud, selagi operasi SAR di selatan Laut Hindi tidak berjaya menjumpai sebarang objek yang boleh dikaitkan dengan MH370.

Sehingga kini operasi SAR yang diketuai Australia masih gagal menemui petunjuk yang jelas di mana pesawat ini berada dan mereka kini sedang berusaha untuk mengesan perakam kotak hitam milik MH370 sebelum kuasa baterinya habis.

Menteri Pertahanan Australia, David Johnston mengakui, usaha mencari kotak hitam itu hanya mempunyai peluang tipis berikutan serpihan pesawat perlu dikenal pasti terlebih dahulu bagi mengesan lokasi kemalangan pesawat tersebut.

"Kami mempunyai kira-kira seminggu sahaja untuk mengesan kotak hitam pesawat MH370. Malah, ia juga bergantung kepada suhu, kedalaman dan tekanan laut, berapa lama kuasa baterinya boleh bertahan," katanya.

Tumpuan siasatan kini masih tertumpu kepada empat elemen iaitu melibatkan rampasan, sabotaj, masalah peribadi kru dan penumpang.

Sehingga kini siasatan polis telah selesai dan polis mendapati semua penumpang pesawat MAS yang hilang "bersih" daripada elemen rampas, sabotaj dan masalah psikologi dan peribadi.

Namun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, siasatan terhadap anak kapal termasuk juruterbang dan pembantu juruterbang masih dijalankan.

Menurut sumber yang enggan dikenali, arah tuju pesawat yang menghala ke Lautan Hindi itu sendiri telah jelas menunjukkan pesawat itu dirampas dan bukan akibat masalah pada pesawat ataupun dikawal dari jarak jauh.

“Pesawat itu menuju ke Lautan Hindi iaitu lautan yang amat sunyi dan sudah tentu ia menuju ke suatu tempat yang tidak diketahui.

“Saya percaya ia melibatkan rampasan tetapi yang menjadi persoalan ialah siapa dan mengapa pesawat itu dirampas,” katanya kepada Sinar Harian.

Spekulasi-spekulasi yang timbul tidak wajar ditolak mentah-mentah kerana sehingga kini bukti atau petunjuk yang boleh dikaitkan dengan MH370 masih belum ada.

Apa sahaja yang dibangkitkan di internet masih boleh diterima, sekiranya teori tersebut mempunyai fakta atau hujah sokongan yang relevan.

Kini, kesemua persoalan berhubung 'di mana MH370' tertumpu kepada operasi SAR yang diketuai oleh Australia, sama ada jawapan ini terjawab dalam masa terdekat ataupun tidak, ia bergantung kepada ketentuan Tuhan, kita manusia hanya mampu merancang sahaja ~ Sinar Harian

Tuesday, April 1, 2014

Demo besar-besaran bantah GST 1 Mei

Satu gabungan NGO dan parti politik mengumumkan untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran pada 1 Mei untuk membantah pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Penganjurnya, Jawatankuasa 1 Mei mensasarkan demo besar-besaran di Kuala Lumpur itu sebagai referendum rakyat bagi mendesak kerajaan membatalkan pelaksanaan cukai berkenaan.

Jurucakapnya, Dr Hatta Ramli (kiri) yang mewakili PAS berkata usaha mengadakan perhimpunan tersebut dibuat dengan mengambil kira kejayaan perhimpunan besar yang dianjurkan sebelum ini, termasuk dessakan untuk memnasuhkan ISA pada 2008.

“Macam dulu (berhubung isu) ISA pun, lepas kita turun ke jalan, selepas 50 tahun baru (kerajaan) mansuhkan,” katanya dalam sidang media bersama anggota jawatankuasa tersebut di Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas mengenai jumlah peserta yang dijangka akan hadir ke perhimpunan tersebut, Hatta berkenaan ia pasti lebih ramai berbanding perhimpunan menuntut pemansuhan ISA.

“ISA tidak mempengaruhi semua orang, hanya orang tertentu sahaja. Tapi GST beri kesan kepada semua orang,” katanya lagi yang enggan memberi jumlah peserta yang disasarkan.

NGO lain yang menganggotai jawatankuasa itu termasuk Solidariti Anak Muda Malaysia, Gabungan Mansuh ISA, Gabungan Pilihan Raya Bersih Dan Adil dan Gerakan Turun Kos Sara Hidup.

Rang undang-undang untuk melaksanakan GST dibentangkan di Dewan Rakyat semalam.

Rafizi: M'sia banyak cukai tersembunyi

Sementara itu Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli dalam sidang media sama menegaskan Pakatan Rakyat akan terus memperjuangkan kempen anti-GST dan bersama NGO lain memberi penerangan berkenaan pelaksanaan cukai itu.

Menurut Rafizi (kanan), walaupun mengakui GST merupakan sistem percukaian yang efektif, ia amat tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia.

"GST sesuai dilaksanakan di negara yang berpendapatan tinggi atau amat rendah saja. Di negara berpendapatan tinggi mereka mengurangkan cukai pendapatan tetapi perbelanjaan isu rumah dengan cukai GST masih sama.

"Tidak di Malaysia apabila banyak cukai tersembunyi ditanggung. Hutang isi rumah pada kadar 82 peratus," kata beliau.

Justeru beliau merumuskan himpunan ini merupakan kesinambungan terhadap perkara yang diperjuangkan Pakatan sejak dulu.

"Sejak 2009, kita dah lawan di Parlimen, kita dah lawan di jalan. Kalau kita boleh lawan di mahkamah pun kita lawan," tambah beliau.

Seorang lagi anggota jawatankuasa, S Arutchelvan (kiri) berkata perkara itu sudah disuarakan oleh golongan pekerja sejak dulu lagi.

Malah beliau yang merupakan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) berkata parti itu telah mengadakan himpunan anti GST sejak 2010 lagi.

Beliau yang menerajui himpunan kali ini berkata pihaknya akan terus mendapatkan sokongan dengan menggembleng NGO lain serta memastikan mobilisasi dari negeri lain agar himpunan ini mendapat sambutan.

-MK

Saintis Dunia Ramal MH370 Tak Mungkin Ditemui

Saintis David Mearns meramalkan misi pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 bersama 239 penumpang dan anak kapal yang hilang sejak 8 Mac akan menemui kegagalan, berdasarkan kepada petunjuk sedia ada.

"Saya terpaksa bersikap pesimistik dengan menyatakan misi pencarian MH370 berdepan kesukaran untuk menemukan rangka pesawat itu di dasar laut di selatan Lautan Hindi berdasarkan petunjuk yang ada," katanya dipetik daripada temuramahnya dengan China Central Television, Sabtu lalu.

Beliau berkata, tempoh pencarian yang kini sudah melebihi 20 hari akan menyebabkan rangka pesawat itu sudah pun dibawa arus lautan ke pelbagai arah yang tidak diketahui.

"Biarpun jika ada serpihan M370 yang dapat dibawa naik, mustahil untuk menjejak kapal tersebut," katanya.

Mearns, yang juga pakar pencari kapal karam dari United Kingdom, berkata beliau turut berpendapat kotak hitam MH370 tidak mungkin dapat dijumpai walaupun pelbagai peralatan dan teknik sedia ada digunakan.

Katanya, semua peralatan dan kemahiran itu masih tidak berupaya untuk mengesan pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

"Satu-satunya cara untuk mendapatkan kotak hitam itu adalah dengan mencari dan menapis bangkai atau serpihan pesawat yang ditemui," katanya.

Selain itu, beliau menjangkakan kos pencarian pesawat MH370 lebih tinggi dengan angka mencecah US$45 juta (RM147 juta), mengatasi kos pencarian Air France di Lautan Atlantik pada 2009.

"Pencarian MH370 memerlukan dedikasi yang teramat tinggi dan perbelanjaan beratus juta dolar, memandangkan ia sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

Pada 24 Mac, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pesawat MH370 disahkan berakhir di selatan Lautan Hindi selepas 17 hari hilang ketika dalam perjalanan ke Beijing dari KLIA pada jam 12.40 pagi.

Bagaimanapun, sehingga kini pasukan mencari dan menyelamat belum menemui rangka atau serpihan pesawat MH370 di kawasan yang dikatakan itu iaitu di kawasan barat Perth, Australia di Lautan Hindi, berdasarkan kepada maklumat diperolehi daripada data satelit. -TMI

Friday, March 21, 2014

FMFA : Penganjur edar kondom kepada pengunjung konsert?

Kematian enam anak muda didakwa akibat pengambilan dadah berlebihan pada acara muzik terbesar, Future Music Festival Asia (FMFA) minggu lalu mengejutkan rakyat Malaysia.

Konsert berkenaan didakwa turut dicemari dengan ‘pemberian’ kondom yang menyebabkan berlakunya pergaulan bebas tanpa batasan.

Kondom berkenaan yang diletakkan dalam pek ringkas berwarna hitam yang tertera logo ‘Future Music Asia 2014′ dengan tema ‘Party Hard, Party Safe, Take Care’.

Pek berkenaan diletakkan satu kondom serta memaparkan cara penggunaan.

Keadaan ini nyata memburukan imej negara yang lebih menumpukan kepada prospek kehadiran pelancong sehingga sanggup membenarkan anak muda menggunakan barang terlarang dan berhibur secara bebas.

Dalam kejadian berkenaan, enam individu meninggal dunia sementara tiga yang lain kritikal ketika berhibur dalam acara itu. Semuanya adalah rakyat Malaysia berumur antara 21 dan 28 tahun.

Difahamkan konsert tiga hari itu mendapat kelulusan Kementerian Pelancongan selain dijangka menarik lebih 80,000 peminat untuk melihat barisan lebih 70 band dan artis dijadual membuat persembahan pada 13-15 Mac 2014.

Ekoran kejadian berkenaan, konsert itu terpaksa dibatalkan dan hanya berlangsung satu hari.

FMFA mendapat dokongan daripada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menerusi Malaysia Major Events sebuah bahagian di bawah agensi Kementerian tersebut iaitu Malaysia Convention and Exhibition Bureau. -FMT

Monday, March 17, 2014

PKR lawan BN di Balingian

Pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK Balingian Shafrie Saili mengumumkan bekas Pegawai Daerah Dalat Yussibnosh Balo sebagai calon BN dan ahli perniagaan Abdul Jalil Bujang sebagai calon PKR.

Pengumuman dibuat kira-kira 10.16 pagi selepas proses penamaan calon tamat di pusat penamaan calon di Dewan Suarah Mesra di sini Isnin.

Shafrie berkata kertas pencalonan Yussibnosh, 48, diterima pada 9.03 pagi sementara kertas pencalonan Abdul Jalil, 55, pada 9.14 pagi.

Abdul Jalil (tengah), diapit Baru Bian dan Azmin Ali ketika diumumkan sebagai calon PKR dalam PRK Balingian.

Pencalonan Yussibnosh dicadang oleh Ardiman Matan @ Henry dan disokong Fauziah Adeni sementara Abdul Jalil dicadang oleh Matek Geram @ Matek Maxi dan disokong oleh Basri Bahari, katanya.

PRK DUN Balingian diadakan selepas dikosongkan penyandangnya Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang juga telah bersara sebagai Ketua Menteri Sarawak pada 28 Feb lepas.

Pengundian PRK Balingian ditetapkan 29 Mac ini.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata beliau berpuas hati dengan kelancaran keseluruhan proses penamaan calon hari ini.

Menurutnya kelancaran proses penamaan calon itu merupakan antara yang terbaik pernah dijalankan di negara ini dan yakin keadaan itu akan berterusan semasa tempoh berkempen dan pada hari pengundian.

"Tidak ada apa-apa perkara luar biasa yang berlaku dan penyokong-penyokong kedua-dua belah pihak masing-masingnya telah menunjukkan mereka menghormati cara hidup dan nilai-nilai masyarakat setempat," katanya kepada pemberita.

Abdul Aziz berkata SPR akan turut menggerakkan tiga pasukan petugas untuk memantau aktiviti berkempen kedua-dua calon yang bertanding.

DUN Balingian yang terletak di kawasan tengah Sarawak mempunyai 13,366 pemilih berdaftar dengan majoriti daripada mereka berketurunan Melanau. - Bernama