Monday, March 17, 2014

PKR lawan BN di Balingian

Pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK Balingian Shafrie Saili mengumumkan bekas Pegawai Daerah Dalat Yussibnosh Balo sebagai calon BN dan ahli perniagaan Abdul Jalil Bujang sebagai calon PKR.

Pengumuman dibuat kira-kira 10.16 pagi selepas proses penamaan calon tamat di pusat penamaan calon di Dewan Suarah Mesra di sini Isnin.

Shafrie berkata kertas pencalonan Yussibnosh, 48, diterima pada 9.03 pagi sementara kertas pencalonan Abdul Jalil, 55, pada 9.14 pagi.

Abdul Jalil (tengah), diapit Baru Bian dan Azmin Ali ketika diumumkan sebagai calon PKR dalam PRK Balingian.

Pencalonan Yussibnosh dicadang oleh Ardiman Matan @ Henry dan disokong Fauziah Adeni sementara Abdul Jalil dicadang oleh Matek Geram @ Matek Maxi dan disokong oleh Basri Bahari, katanya.

PRK DUN Balingian diadakan selepas dikosongkan penyandangnya Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang juga telah bersara sebagai Ketua Menteri Sarawak pada 28 Feb lepas.

Pengundian PRK Balingian ditetapkan 29 Mac ini.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata beliau berpuas hati dengan kelancaran keseluruhan proses penamaan calon hari ini.

Menurutnya kelancaran proses penamaan calon itu merupakan antara yang terbaik pernah dijalankan di negara ini dan yakin keadaan itu akan berterusan semasa tempoh berkempen dan pada hari pengundian.

"Tidak ada apa-apa perkara luar biasa yang berlaku dan penyokong-penyokong kedua-dua belah pihak masing-masingnya telah menunjukkan mereka menghormati cara hidup dan nilai-nilai masyarakat setempat," katanya kepada pemberita.

Abdul Aziz berkata SPR akan turut menggerakkan tiga pasukan petugas untuk memantau aktiviti berkempen kedua-dua calon yang bertanding.

DUN Balingian yang terletak di kawasan tengah Sarawak mempunyai 13,366 pemilih berdaftar dengan majoriti daripada mereka berketurunan Melanau. - Bernama

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.