Sunday, January 5, 2014

Perhimpunan Mat Rempit Gagal

GEORGE TOWN: Polis menahan lebih 1,500 mat rempit termasuk 10 wanita yang dijangka berhimpun secara besar-besaran di Batu Ferringhi, di sini sekali gus menggagalkan percubaan lumba haram yang diatur di kawasan itu awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata samseng jalanan yang berasal dari Johor, Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Perlis dan Kedah itu mula memasuki negeri ini secara berperingkat sejak pagi semalam.

“Sejak semalam polis menerima dua laporan samseng jalanan terbabit merempuh sekatan polis selain 10 kes ragut dipercayai perbuatan mat rempit,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata dalam operasi enam jam bermula pukul 1.30 pagi itu, polis mengadakan sekatan jalan di kesemua laluan masuk ke Batu Ferringhi dan memeriksa lebih 2,000 buah motosikal.

Katanya sebanyak 300 saman turut dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan antaranya ubah suai kenderaan tidak mengikut spesifikasi, lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.

Gan berkata kesemua mat rempit berusia antara 20-an dan 30-an serta teman wanita mereka dibawa ke Balai Polis Batu Ferringhi untuk siasatan lanjut dan proses dokumentasi.

-Bernama

200 berarak dalam hujan lebat minta kebebasan media

Kira-kira seramai 200 orang termasuk anak bekas Perdana Menteri yang paling lama berkhidmat menyertai perhimpunan di perkarangan Lebuh Pasar, Kuala Lumpur bagi memberi sokongan kepada Protes Pensil Merah anjuran Gerakan Media Marah (Geramm) yang diadakan berikutan penggantungan akhbar mingguan berbahasa Inggeris, The Heat.

Peserta Protes Pensil Merah menunjukkan ketidakpuasan mereka mengenai kebebasan akhbar di Malaysia. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 4 Januari, 2014.

Antara yang dilihat turut memberi sokongan kepada bantahan itu adalah bekas Pengerusi Bersih 2 Datuk Ambiga Sreenevasan, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad, Datuk Paduka Marina Mahathir dan beberapa individu lain.

Ambiga dalam ucapannya berkata bantahan ini bukan sahaja dilakukan terhadap The Heat tetapi kepada kebebasan media di Malaysia.

"Ini berkaitan integriti anda sebagai wartawan. Kita perlu memandang serius perkara ini kerana media dikawal oleh kerajaan.

"Lesen kepada pihak media bercanggah dengan hak kebebasan media," katanya sebelum peserta berarak ke Stesen LRT Masjid Jamek sebagai simbolik kepada kawasan wartawan dikasari semasa Perhimpunan Bersih yang lalu.

Peserta perhimpunan berarak dalam keadaan hujan lebat sebelum mereka berhenti di Stesen LRT Masjid Jamek.

Sementara itu, Penasihat DAP Lim Kit Siang yang turut hadir di bantahan itu berkata kerajaan harus membatalkan penggantungan terhadap The Heat dengan kadar segera seperti mana janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mahu menyuburkan demokrasi di Malaysia.

Katanya, harapan Najib yang mahu Malaysia menjadi negara demokrasi terbaik di dunia tidak akan kesampaian sebaliknya Indeks Kebebasan Akhbar akan terus merudum berbanding sebelumnya.

“Saya hadir bagi memberi sokongan untuk membebaskan The Heat agar penggantungannya dibatalkan serta merta.

“Kita perlu media yang bebas kalau mahu demonstrasi yang tulen seperti mana dilaungkan Perdana Menteri semasa Hari Malaysia dua tahun lepas.

“Malaysia tidak akan mampu menjadi negara demokrasi terbaik seperti mana dakwaan Najib sebaliknya dalam Indeks Kebebasan Media yang akan diumumkan akhir bulan ini mungkin kedudukan Malaysia jatuh lebih rendah di belakang Myanmar,” katanya kepada pemberita dalam suasana hujan lebat.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata jika kerajaan masih gagal membendung masalah kebebasan media di Malaysia, ia akan mengundang malu besar kepada negara dengan masih mengguna pakai Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.

Katanya, kebimbangan rakyat berhubung laporan muka hadapan akhbar The Heat yang mengulas keborosan Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor menunjukkan kerajaan perlu segera melakukan perubahan.

“Ini tentulah akan mengundang malu yang besar. Kita akan terus menasihatkan kerajaan membatalkan sekatan terhadap kebebasan media termasuk memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.

“Zaman kerajaan mengetahui segalanya sudah berlalu. Muka depan The Heat tentang pembaziran menjadi keprihatinan rakyat dan kerajaan perlu mengambil perhatian untuk membetulkan bukan menggantung The Heat,” katanya yang menyebut penggantungan akhbar itu tidak akan mampu menyelesaikan masalah.

Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan pada hujung bulan lalu berkata jaminan untuk membuat keputusan berhubung tindakan penggantungan permit akhbar mingguan The Heat akan dibuat dalam masa terdekat selepas meneliti surat tunjuk sebab oleh penerbitan akhbar tersebut.

Kenyataan itu juga menyebut bahawa tindakan penggantungan permit itu hanya untuk sementara dan akan membuat pertimbangan wajar dan adil terhadap penerbitan The Heat dalam masa terdekat tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

Nik Nazmi yang turut sama dalam bantahan itu berkata kerajaan harus mengambil mesej daripada protes yang telah dijalankan rakyat sejak 2007 dan membatalkan permit penerbitan bagi terus menjamin kebebasan media.

“Ini satu himpunan yang baik dan berjaya menghimpunkan golongan komited terhadap kebebasan media di kalangan wartawan, aktivis dan pemimpin politik. Dalam beberapa siri protes sejak 2007, ia telah berkembang dan memberi kesan kepada politik negara.

“Malangnya, kerajaan tidak mengambil mesej daripada desakan rakyat selama ini dan mengambil keputusan terus-menerus untuk menekan rakyat.

“Najib mendakwa Malaysia mampu menjadi negara demokrasi terbaik di dunia tetapi kita lihat langkah yang diambil semakin hari menjauhi demokrasi dan ini sesuatu yang malang kepada Malaysia,” katanya.

Timbalan Speaker DUN Selangor itu berkata kerajaan perlu tampil dengan hujah konkrit di sebalik penggantungan The Heat jika ia dilakukan bukan disebabkan laporan muka depan akhbar tersebut.

“Jika bantahan ini dijalankan secara konsisten, kita mampu menarik perhatian rakyat untuk membawa isu kepada kerajaan.

“Maka kita perlu mendapat penjelasan. Permit penerbitan satu model lapuk dan tidak relevan. Kalau bukan sebab muka depan, sebab apa?

“Jika media melakukan fitnah, ada landasan perundangan dan bukannya permit yang mengekang media,” katanya. – TMI

Janda Bersama Budak Dadah Dicekup

Rahsia hubungan sulit seorang ibu tunggal bersama teman lelakinya seorang kaki dadah terbongkar selepas pasangan terbabit ditahan pihak berkuasa, di sebuah rumah dekat sini, pagi kelmarin.

Perbuatan sumbang itu berjaya dihidu polis narkotik Dungun selepas maklumat risikan mendapati rumah kampung yang didiami janda berusia dalam lingkungan 30an di kampung Alor Tembesu itu dijadikan tumpuan penagih untuk melepaskan gian dan teman lelakinya dipercayai dalang utama kegiatan itu.

Ketika ditahan, wanita berkenaan difahamkan sedang tidur dalam sebuah bilik bersama anaknya manakala, teman lelakinya yang hanya berkain pelekat tanpa baju cuba melarikan diri dengan memanjat siling rumah sebaik menyedari kehadiran polis.

Bagaimanapun usaha lelaki tersebut untuk meloloskan diri gagal apabila dia berjaya ditahan.

Ekoran penahanan lelaki berkenaan, polis memasang perangkap lalu berjaya menahan 10 lagi yang lain.

Operasi sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah bermula jam 8.30 pagi diketuai Sub Inspektor Ismail Omar itu berakhir jam 11 pagi.

Semua suspek yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk siasatan lanjut.

Selepas ujian saringan air kencing dilakukan, semua yang ditahan termasuk ibu tunggal terbabit didapati positif dadah jenis methapethamine.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pasangan berkenaan juga diserahkan ke pihak penguat kuasa jabatan agama untuk tindakan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat dan mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 31(a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Ketua Polis Daerah, Pemangku Superintendan Ahmad Zailani Yaacub mengesahkan tangkapan tersebut. -SH

JAIS seperti lanun, kata aktivis Sabah

KOTA KINABALU : Seorang pemimpin masyarakat dan hak asasi terkemuka dari Sabah menyifatkan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu pejabat Kristian dan merampas lebih 300 Al-Kitab termasuk dalam Bahasa Iban di Selangor semalam sebagai tidak ubah seperti lanun yang merompak sesuka hati harta milik orang lain.

Datuk Patrick Sindu, ketika dihubungi FMT, berkata: “Perbuatan mereka samalah seperti lanun yang masuk ke kawasan orang lain dan merompak serta merampas harta orang lain”.

Katanya perbuatan JAIS mencampuri agama lain itu menghina dan melanggari perlembagaan dan sudah cukup melampaui batas oleh kerana premis agama lain pun kini mereka hendak menghendap, mengintip malah menyerbu sesuka hati.

“Kalau begini gaya mereka mungkin, tidak lama lagi jabatan-jabatan hal-ehwal islam di Malaysia seperti JAIS teringin pula mencuba memasuki dan memeriksa gereja-gereja dan rumah-rumah orang Kristian di negara ini,” kata Sindu.

Beliau mengulas tindakan sekumpulan pegawai JAIS yang diiringi polis menyerbu premis Pertubuhan Bible Malaysia (BSM) di Selangor kelmarin dan dikatakan bertindak agresif terhadap kakitangan pusat Kristian di situ yang mulanya enggan membenarkan mereka memasuki pejabat pertubuhan Kristian itu.

Menurut Sindu, JAIS tidak mungkin mempunyai waran berbuat demikian dan menggunakan dikri Sultan Selangor hanya mencemar lagi pertimbangan masyarakat, termasuk masyarakat dunia, terhadap Islam dan para pemimpinnya khususnya yang berada di Malaysia.

`Kesakitan hati’

“Kesakitan hati seseorang akibat tindakan sebegini tidak kita boleh nampak, dan ia akan simpan dalam hatinya sampai akhir hayatnya tetapi Allah yang maha kuasa juga yang nampak,” kata Sindu sambil menambah manusia bertopengkan syaitan semakin membahayakan masyarakat majmuk Malaysia dewasa ini.

“Kita tiada masalah seperti ini di Malaysia Timur. Mahukah mereka kalau orang lain bertindak kasar dan agresif terhadap mereka?” katanya sambil menambah lagi bahawa bukan Malaysia begini yang diingini oleh orang Sabah dan Sarawak.

Beliau juga menyeru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak, supaya mengotakan 10 perkara kabinetnya menghormati penganut Kristian dan agama selain Islam di negara ini dan jangan berdiam membisu seribu bahasa.

Tindakan kontroversi JAIS itu mengundang pelbagai komen masyarakat di Sabah dan Sarawak termasuk di laman-laman maya namun pihak gereja setakat ini belum lagi mengeluarkan sebarang kenyataan.

Bagaimanapun, Bishop Paul Tan dari diosis Katolik Melaka-Johor, terus-terang membidas keras tindakan ala-Gestapo (polis rahsia Jerman di bawah Nazi) JAIS itu sambil menyatakan jabatan islam berkenaan tidak mempunyai hak mempersoal penganut Kristian di premis mereka sendiri.

“Serbuan JAIS semalam adalah sebahagian lagi bukti pihak-pihak berkuasa (di Malaysia) semakin cuba mengekang kebebasan penganut Kristian mengamalkan agama mereka seperti dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dipetik sebagai berkata. -FMT

Mampukah Manusia hidup di Marikh?

Sebanyak 1,058 calon telah dipilih daripada 200,000 orang yang memohon untuk dilatih dalam misi untuk hidup di planet Marikh, menurut pihak penganjur, Mars One kelmarin.

Kesemua mereka yang berumur di bawah 24 tahun dari 140 buah negara akan berlepas ke planet tersebut pada tahun 2024.



Sebanyak enam pelancaran roket akan membawa mereka ke planet tersebut.

Sebahagian dana yang digunakan untuk membawa mereka ke Marikh adalah dibiayai sebuah program realiti televisyen.

Kesemua mereka akan mengharungi penerbangan sejauh 55 juta kilometer selama enam bulan sebelum tiba di Marikh.

Para peserta itu tidak lagi akan pulang ke Bumi kerana kos untuk penghantaran pulang terlalu tinggi.

Menurut Mars One yang beribu pejabat di Belanda, semua calon itu telah diberitahu tentang pemilihan mereka ke Marikh pada 30 Disember lalu.

Pihak Mars One itu menyatakan, calon itu dipilih berdasarkan beberapa kriteria yang terdapat pada diri mereka.

Antara kriteria itu ialah bijak membuat keputusan, bebas dadah dan boleh berbahasa Inggeris.

"Malah, terdapat permohonan satu pasangan yang dibuat menerusi rakaman video yang menunjukkan mereka berada dalam keadaan bogel," kata pengasas bersama Mars One, Bas Landsdorp.

Menurut ketua perubatan Mars One, Norbert Kraft, calon-calon itu akan menjalani ujian fisikal dan emosi dalam tempoh lebih dua tahun. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/

Saturday, January 4, 2014

Ramai Murid Baru Tersepit Kepala Di Kerusi

Hari ini merupakan hari pertama untuk sesi persekolahan bagi tahun 2014 bagi sesetengah negeri, pelbagai ragam dan keletah murid-murid yang menarik perhatian lensa kamera.

Carian Sinar Harian Online di laman sosial Facebook mendapati ‘keterujaan serta kegembiraan’ murid yang baru memasuki alam persekolahan terselit dengan adegan ‘mencuit hati' tak kurang juga yang mencemaskann.

Mana tidaknya tindakan segelintir murid yang dirakam lensa kamera dari seluruh pelusuk negara melihatkan pelbagai ragam. Ada yang menangis, tertidur, gembira malah ada yang tersepit di kerusi.

Benarkah gambar-gambar yang dikongsikan ini adalah senario sebenar, mungkin pembaca di luar sana ada jawapannya.

Kepada pembaca, sekiranya anda maklumat sahih mengenai ‘kejadian’ ini bolehlah berkongsi bersama kami. -SH

Penulis blog pro-Umno: PM ada jet mewah baru?

Di tengah-tengah langkah penjimatan, penulis-penulis blog pro-Umno tampil mempersoalkan sama ada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kini terbang ke seluruh negara menggunakan jet mewah baru.

Di tengah-tengah langkah penjimatan, penulis-penulis blog pro-Umno tampil mempersoalkan sama ada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kini terbang ke seluruh negara menggunakan jet mewah baru.

Dalam tulisan di blog, antaranya oleh Big Dog dan RockyBru, mereka membangkitkan pesawat Airbus ACJ320 dengan nombor 9H-AWK – dikenali "Perdana 2" atau "NR2" – yang kebetulan sama dengan huruf singkatan Najib.

Pesawat itu didaftarkan di Malta dan disewa daripada kumpulan penerbanganComlux.

Menurut laman web penerbangan itu Aviation Week, Jet Premier One (M) Sdn Bhd, syarikat yang menguruskan penerbangan orang kenamaan di Malaysia, termasuk Najib, ada menyewa Airbus ACJ320 daripada Comlux.

Sewaan itu dikatakan bertujuan menggantikan sementara pesawat yang biasa digunakan Najib, Airbus ACJ319.

ACJ319 dengan nombor 9M-NAA beroperasi menggunakan nama “NR1” atau “Perdana 1” dan merupakan pesawat rasmi perdana menteri, sama seperti Air Force One yang digunakan presiden Amerika Syarikat.

Pejabat PM beri penjelasan

Sementara itu, Pejabat Perdana Menteri hari ini mengeluarkan penjelasannya berhubung perkara dibangkitkan itu. Kenyataan penuhnya seperti di bawah:

Pejabat Perdana Menteri ingin menarik perhatian berhubung laporan blog mengenai penggunaan pesawat khas untuk Perdana Menteri.

Laporan tersebut mengandungi beberapa fakta yang salah dan tidak tepat yang boleh menimbulkan persepsi yang tidak tepat kepada penggunaan pesawat khas tersebut.

Kerajaan sebelum ini memiliki 5 buah pesawat khas iaitu ACJ A319, BBJ, Fokker F28, Global Express dan Falcon 900 yang diperuntukkan untuk kegunaan YDP Agong, YAB Perdana Menteri, dan YAB Timbalan Perdana Menteri.

Tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kerajaan, pesawat-pesawat ini juga boleh diluluskan untuk kegunaan oleh DYMM Sultan-sultan dan TYT Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, YB Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri, tetamu-tetamu Kerajaan Persekutuan dari negara asing, Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan serta orang-orang kenamaan.

Pada Ogos 2012, pesawat Fokker F28 telah dilupuskan kerana telah berusia lebih 30 tahun dan tiada pesawat gantian dicadangkan.

Pada tahun lepas, pesawat BBJ dan ACJ A319 telah dijadualkan untuk menjalani proses penyelenggaraan wajib. Pesawat BBJ menjalani urusan penyelenggaraan di antara Januari-Julai 2013 sementara ACJ319 di antara 15 Jun-8 Oktober.

Sejajar dengan itu, Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab atas urusan pesawat khas Kerajaan telah mengambil keputusan menyewa sebuah pesawat lain ACJ A320 bagi menampung kekurangan pesawat.

Pesawat ACJ A320 ini disewa di antara 1 Februari - 31 Disember 2013 setelah mendapati pesawat BBJ memerlukan lebih masa bagi urusan penyelenggaraan.

Penggunaan pesawat khas membolehkan Ketua Negara dan Ketua Kerajaan bergerak di dalam dan luar negara dengan keadaan keselamatan yang lebih terjamin. Selain itu, Anggota Pentadbiran yang sibuk dengan pelbagai urusan tidak terikat kepada jadual perjalanan komersil di samping kepentingan menjaga imej negara.

-sumber"

70% penerima BR1M masih belum mendaftar

Datuk Ahmad Maslan menggesa pihak yang masih belum mendaftar Bantuan Rakyat 1Malaysia 3.0 (BR1M 3.0) agar segera berbuat demikian sebelum hujung bulan ini bagi mengelakkan mereka tidak menerima bantuan kerajaan tersebut.

Timbalan Menteri Kewangan itu berkata kira-kira 70% daripada 900,000 penerima yang layak menerima BR1M 3.0 perlu segera mendaftar bagi melayakkan mereka menerima caruman takaful i-BR1M.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan (kanan) membantu seorang penerima BR1M mendaftar bagi melayakkan beliau menerima caruman takaful i-BR1M.

"Proses pendaftaran dan kemaskini maklumat telah bermula sejak 23 Disember lalu dan akan berakhir pada 31 Januari ini.

"BR1M sebanyak RM650 dan caruman takaful i-BR1M RM50 diberikan kepada pemohon berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah dan BR1M RM450 dan caruman takaful i-BRIM RM50 diberikan kepada pemohon berpendapatan bulanan RM3,001 hingga RM4,000," katanya dalam satu sidang media di Putrajaya hari ini.

Ahmad berkata BR1M turut diberikan kepada individu bujang 21 tahun ke atas dengan pendapatan bulanan tidak melebihi RM2,000.

Katanya, tempoh perlindungan takaful i-BR1M bermula dari 1 Januari hingga 31 Disember, 2014 dengan nilai perlindungan maksimum sehingga RM30,000 sekiranya berlaku kemalangan dan hilang upaya kekal.

"Bagi penerima yang meninggal dunia, nilai perlindungannya masih dalam perbincangan dan kami dalam peringkat akhir menyediakan polisi insurans serta dokumentasi yang akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

"Sehingga 31 Disember, 2013, sebanyak 270,000 permohonan baru diterima di samping penerima BR1M sedia ada berjumlah 6.8 juta orang.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 4.4 juta penerima telah mengemaskini maklumat nombor akaun bank," katanya yang turut menyatakan seramai 2.4 juta pemohon lagi masih belum berbuat demikian.

Beliau berkata seramai 7.9 juta penerima dijangka akan menerima BR1M kali ini yang akan dibuat menerusi pindahan secara terus kepada akaun bank penerima.

Katanya, penerima yang masih belum mengrmaskini nombor akaun mereka digesa berbuat demikian sebelum hujung bulan ini bagi memudahkan urusan pembayaran.

"Agihan pembayaran BR1M akan dibuat kepada penerima yang layak mulai Februari 2014 justeru kami meminta penerima mengambil pengajaran daripada BR1M yang sebelumnya agar tidak menunggu saat-saat akhir. Kemaskini juga boleh dilakukan di www.hasil.gov.my atau 60 cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri seluruh negara.

"BR1M 3.0 menyaksikan peruntukan sebanyak RM4.5 bilion berbanding BR1M 2.0 RM3 bilion," katanya yang turut menyebut sebanyak RM200,000 peruntukan tambahan dikhaskan dalam edisi kali ini. – TMI

3 barang naik, Semua Barang Lain Turut Naik?

Meskipun rakyat terbeban dengan kenaikan kos sara hidup terutamanya kenaikan harga petrol, gula dan tarif elektrik, namun mereka tidak perlu melupakan 10 bantuan yang masih diberikan kerajaan, kata Datuk Ahmad Maslan (gambar).

Timbalan Menteri Kewangan itu berkata 10 bantuan rakyat itu termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia, bantuan kepada nelayan dan pesawah serta peruntukan kesihatan yang 99% disubsidikan kerajaan.

"Ini bukan pengumuman baru yang saya sebutkan. Tidak ada negara dalam dunia ini memberikan pakej bantuan sebanyak ini kepada rakyat.

"Apabila tidak disebut mereka lupa dan menerima (tohmahan pembangkang). Saya tak nafi memang ada kenaikan itu," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri di Putrajaya hari ini.

Ahmad berkata bantuan lain yang diberikan kerajaan adalah bantuan persekolahan, baucer buku kepada pelajar universiti, buku teks sekolah percuma dan faedah Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional yang dikurangkan kepada 1%.

Katanya, Tenaga Nasional Berhad telah pun memaklumkan kepadanya sebanyak 70% pengguna tidak terkesan dengan kenaikan tarif elektrik sebaliknya bagi pengguna yang terjejas adalah rumah tertentu, premis perniagaan dan kilang.

"Bagi pengurangan subsidi gula sebanyak 43 sen, RM400 juta penjimatan digunakan untuk menaik taraf kesihatan rakyat dengan pertambahan 6,800 jururawat baru, 50 lagi tambahan Klinik 1Malaysia tahun ini, dan beberapa buah hospital baru.

“Kita tarik subsidi barangan yang agak tidak sihat dan digantikan kepada kesihatan rakyat. Sepatutnya ia dipersetujui.

"Penarikan subsidi 20 sen kepada petrol dan diesel, penjimatan sebayak RM4.4 bilion disalurkan kepada BR1M dan tambahan insurans," katanya yang turut mengulangi cabaran mengemukakan negara seluas Malaysia yang tidak mengalami kenaikan inflasi.

Ahmad turut menyambut baik 11 langkah penjimatan kerajaan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana selain rakyat perlu berjimat mengatasi kenaikan kos sara hidup, kerajaan juga perlu berjimat mengurangkan kadar fiskal negara.

"Kerajaan juga bukan sekadar berhasrat mengawal defisit tetapi hutang negara melalui penjimatan dan pengenalan sumber pendapatan baru kepada negara," katanya yang menyebut Jawatankuasa Fiskal yang dipengerusikan Perdana Menteri akan meneliti perkara yang perlu.

Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) telah mengadakan demonstrasi membantah kenaikan kos sara hidup pada malam ambang tahun baru yang dihadiri kira-kira seramai 5,000 orang.

Antara tuntutan Turun terhadap kenaikan kos sara hidup adalah peningkatan tarif elektrik, pengurangan subsidi gula dan petrol, tambang bas sekolah dan pelbagai kenaikan harga lain yang telah diumumkan kerajaan.

Dalam sidang media itu juga, Ahmad mengumumkan antara 10 bantuan yang disalurkan kerajaan termasuk subsidi gas dan tepung gandum, pemotongan cukai pendapatan kepada mereka yang layak, subsidi dan harga rumah yang 20% lebih murah berbanding harga pasaran dan bantuan daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat. – TMI

Isu TURUN : Mufti Perak enggan jumpa Pemuda PAS

Akibat kenyataannya bahawa peserta demonstrasi Himpunan Turun Kos Sara Hidup (Turun) 31 Disember lepas, sebagai “bughah” dan halal darah mereka, Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria terus mendapat tekanan daripada pelbagai pihak.

Hari ini, para khatib solat Jumaat menghentam dan mempertikaikan “fatwa” beliau itu manakala semalam usaha Pemuda PAS Perak untuk bertemu beliau gagal.

Ini kerana Harussani tidak bersedia untuk bertemu mereka dan menyerahkan kepada timbalannya untuk bertemu.

Pemuda PAS telah meminta penjelasan berkenaan isu “bughah” yang dibangkitkan itu.

Menurut Ketua Pemuda PAS Perak Dr Raja Iskandar Al-Hiss, Pejabat Mufti akan mengeluarkan penjelasan dan kenyataan rasmi tentang isu tersebut dan enggan bertemu mereka.

Di Rawang, Selangor khatib sebuah surau hari ini mempertikaikan secara terbuka “fatwa” berkenaan dalam khutbah Jumaatnya.

Ustaz Zuhdi Mat Piah dalam khutbahnya di Surau As Siddiqin, Bandar Tasik Puteri berkata, fatwa itu sangat bertentangan dengan Al Quran dan hadis Rasulullah serta pegangan empat imam mazhab dalam Islam.

Katanya, “bughah” adalah pertentangan umat Islam menggunakan senjata terhadap kerajaan Islam sedangkan pihak yang pergi ke Dataran Merdeka 31 Januari lepas tidak membawa apa-apa senjata.

"Bayangkan sidang Jumaat sekalian kalau fatwa itu dikeluarkan sebelum perhimpunan itu.

"Boleh jadi ada pihak yang akan mengambil kesempatan menggunakannya untuk menumpahkan darah peserta demonstrasi itu kerana darah mereka difatwakan sebagai halal," kata khatib itu kesal. -TMI