Saturday, November 15, 2014

Seks: Pegawai kanan kerajaan direman

ALOR SETAR - Seorang pegawai kanan di agensi kerajaan ditahan reman selama lima hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes rasuah berupa habuan seks untuk meluluskan permohonan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Suspek berusia dalam lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira jam 2 petang kelmarin di sebuah hotel Jalan Putra di sini, dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar untuk mendapatkan perintah reman yang dikeluarkan oleh Majistret Umzarul An-Nur Umar jam 11.05 pagi semalam.

Ketika ditahan, suspek didapati berdua-duaan bersama seorang janda berusia 20-an dipercayai mangsa yang terjerat dengan tipu daya lelaki itu.

Difahamkan, suspek mudah memerangkap mangsa apabila setiap permohonan untuk rumah di bawah skim PPRT perlu melalui borang ataupun surat.

Suspek akan memilih mangsa melalui gambar dalam borang permohonan, kemudian menghubungi pemohon berstatus janda bertemu di pejabatnya.

Suspek kemudiannya memperdayakan mangsa dengan memberitahu dia mempunyai kuasa untuk meluluskan permohonan untuk rumah di bawah skim terbabit.

Sebagai balasan untuk ‘kelulusan’ tersebut, dia akan meminta pemohon ibu tunggal ini untuk mengadakan hubungan seks dengannya.

Kegiatan keji suspek terbongkar apabila mangsa yang terpedaya mengadu kepada agensi individu terbabit bekerja setelah rumah dijanjikan tidak diperolehi walaupun suspek telah menerima habuan seks.

Sementara itu, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Kedah, Raja Khan Raja Ahmad berkata, tangkapan dibuat hasil maklumat yang diterima pihaknya serta risikan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan suspek ditahan sehingga 18 November ini.

-sinar harian

Benarkah Penyerahan Bible permainan politik PR?

PETALING JAYA : Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang menyifatkan penyerahan semula Bible versi Bahasa Melayu kepada Persatuan Bible Malaysia (PBM) merupakan permainan politik kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Selangor.

Beliau berkata, sebelum ini pihak kerajaan PR di Selangor menyalahkan kerajaan Persekutuan dengan mendakwa rampasan Bible itu terletak di bidang kuasa kerajaan Persekutuan.

“Mereka (kerajaan PR) cuba alihkan isu ini seolah-olah tindakan merampas kitab Bible ini bukan di bidang kuasa mereka dengan menyalahkan kerajaan Persekutan.

“Ini adalah satu pembohongan, sebenarnya perkara ini di bidang kuasa PR. Mereka telah memberikan gambaran kepada rakyat bahawa semua tindakan merampas dan menyimpan kitab Bible ini bukan di bidang kuasa mereka,” katanya ketika dihubungi FMT semalam.

Beliau berkata, dakwaan kerajaan PR terhadap rampasan Bible itu terletak di bidang kuasa kerajaan Persekutuan adalah tidak tepat dan ia dapat dilihat dengan jelas bahawa keputusan penyerahan semula Bible semalam terletak di tangan Menteri Besar.

Beliau juga berharap kerajaan PR tidak mengulangi kesilapan seperti itu dan bersikap lebih terbuka pada masa depan serta menyelesaikan isu lain seperti isu fatwa berkaitan Sisters In Islam (SIS).

Semalam, Kerajaan Selangor telah memulangkan kitab Bible yang mengandungi kalimah Allah yang dirampas daripada Persatuan Bible Malaysia.

Sebanyak 351 kitab suci bagi penganut Kristian itu diserahkan di Istana Alam Shah dalam satu majlis kepada Persatuan Gereja-gereja Sarawak (ACS) ketika kunjungan hormat pengerusinya Ketua Biskop, Datuk Bolly Lapok mengadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

-fmt

Friday, November 14, 2014

Penjarakan Anwar rosakkan Najib lebih teruk dari Dr M

Hukuman penjara terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh Mahkamah Persekutuan jika masih tetap berpegang kepada sabitan kes liwat hanya akan menjejaskan Barisan Nasional (BN), bahkan mungkin lebih teruk daripada ketika zaman Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadikan ketua pembangkang itu sebagai musuh, lapor The Edge Review hari ini.

Memenjarakan Anwar hanya akan menyebabkan BN kehilangan undi kerana rakyat Malaysia dilihat sudah penat dengan permainan kerajaan terhadap ketua pembangkang dalam tempoh 16 tahun ini, di mana kes liwat terbarunya juga berlaku ketika penentangan ahli politik pembangkang dan badan lain terhadap penggunaan Akta Hasutan.

"Dalam suasana ini, keputusan bersalah Anwar hanya akan menyebabkan ketua pembangkang itu dilihat sebagai syahid politik di peringkat antarabangsa dan seterusnya menjejaskan imej Malaysia di luar negara di mana ia sudah terkesan sejak kebelakangan ini kerana pendakwaan besar- besaran kerajaan melumpuhkan ahli politik pembangkang dengan menggunakan akta drakonian itu," memetik dari artikel The Edge Review bertajuk, "Hounding Of Anwar Ibrahim takes a toll on Malaysia."

Anwar sedang menanti keputusan Mahkamah Persekutuan bagi rayuan membatalkan sabitan liwat terhadap bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Mahkamah Tinggi yang membicarakan kes ini melepaskan beliau, namun Mahkamah Rayuan pada Mac tahun ini mendapati beliau bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun.

Dalam rayuannya kepada mahkamah tertinggi, pihak pendakwa juga memfailkan rayuan balas untuk memanjangkan lagi hukuman penjara.

Majalah digital mingguan itu berkata sekiranya Anwar dipenjarakan, ia akan menyaksikan peningkatan sokongan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di kalangan ahli Umno.

Ia juga akan menyebabkan Pakatan Rakyat berdepan masalah, di mana The Edge Review mendakwa perikatan parti sedang bergelut untuk mengekalkan penyatuan masyarakat dalam isu agama dan kaum.

Bagaimanapun, dengan memetik penganalisis ia berkata, dengan memenjarakan Anwar, ia umpama pemimpin itu sanggup berbuat apa sahaja demi memperbaiki imej politiknya yang tercalar di kalangan rakyat Malaysia dan tidak mustahil menjadi lebih teruk daripada apa yang dilakukan Dr Mahathir.

Ini kerana Najib juga berdepan dengan penolakan sokongan dari dalam Umno, tambahan pula parti itu bakal mengadakan perhimpunan agung tahunan hujung bulan ini.

Najib diserang beberapa veteren parti, terutama Dr Mahathir dan bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin apabila kedua mereka menyalahkan Najib atas penolakan Umno.

Dr Mahathir juga dilihat begitu lantang mengkritik polisi kerajaan di bawah pentadbiran Najib.

The Edge Review berkata Umno kini berdepan dengan pergelutan kelangsungan yang menyaksikan kehilangan sokongan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Meskipun dapat mengekalkan majoriti di parlimen, namun kalah undi popular kepada Pakatan.

Orang Melayu mula meninggalkan Umno pada tahun 1998 apabila Anwar dipecat dari jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan dan seterusnya pendakwaan kes liwatnya yang pertama.

Sejak itu, hampir dua dekad penganalisis melihat pendakwaaan Anwar sebagai satu kes serius dan insiden malang bagi Malaysia, kata The Edge Review.

"Terlalu banyak kerosakan berlaku dalam sistem kerana kempen tersebut," memetik daripada kenyataan komentar dan pengkaji politik Bridget Welsh.

"Meskipun Umno dan Barisan Nasional menafikan kritikan mereka menggunakan Akta Hasutan, namun pokoknya ia membuktikan kepada Anwar pendakwaannya itu kerana ketakutan Umno dan melihatnya sebagai ancaman terbesar untuk mereka terus ditampuk kuasa," tambahnya.

Sabitan Mahkamah Persekutuan akan dipantau pelabur antarabangsa kerana wujudnya kebimbangan mengenai tadbir urus dan demokrasi bagi negara Asia seperti Thailand, Singapura dan Indonesia selain Malaysia. –TMI

S'gor serah kembali Bible yang dirampas

Setelah hampir setahun, kerajaan Selangor akhirnya menyerahkan kembali kitab Bible yang mengandungi kalimah Allah yang dirampas daripada Persatuan Bible Malaysia.

Sebanyak 351 kitab suci bagi penganut Kristian itu diserahkan di Istana Alam Shah dalam satu majlis pagi ini kepada Persatuan Gereja-gereja Sarawak (ACS) ketika kunjungan hormat pengerusinya Datuk Bolly Lapok menemui Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Penyerahan itu turut disaksikan Menteri Besar Azmin Ali yang berpakaian baju Melayu warna kelabu lengkap bersampin dan bersongkok.

Bolly turut ditemani Setiausaha Agung ACS Elder Ambrose Linang dan Setiausaha Agung Majlis Gereja Malaysia, Rev Dr Herman Shastri.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohammad Adzib Mohd Isa dan Pengerusi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Sementara itu, sambil mengucapkan syukur dan penghargaan kepada baginda dan semua pihak yang terlibat kerana telah mencapai penyelesaian yang baik dalam isu Bible menerusi usaha ikhlas dan menghormati sensitiviti agama dan masyarakat.

"Seperti yang saya katakan beberapa kali sejak memegang jawatan menteri besar, pentadbiran ini akan mengusahakan pelbagai cara untuk menambahbaik dan memupuk persefahaman kaum dan agama di Selangor.

"Sebagai salah satu perkara utama dalam usul ini, saya telah berikrar untuk memulangkan Bible tersebut kepada pihak Kristian kerana ia milik mereka.

"Kini, terima kasih kerana kebijaksanaan dan pandangan jauh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, ia telah menjadi realiti," katanya dalam satu kenyataan.

Memetik sepotong ayat al-Quran dan pandangan ulama Dr Yusuf al-Qardhawi yang menyaran supaya menjadi masyarakat dan negara yang adil, Azmin berkata penyerahan kitab Bible itu sebagai "pengaplikasian konsep keadilan dan kesederhanaan" yang dituntut dalam Islam.

Tegasnya, semua pihak perlu menghormati kedudukan Islam sebagai agama rasmi negeri itu dan sentimen pelampau, provokasi kaum dan fanatik agama tidak akan menjadi sebahagian daripada pentadbiran Selangor.

"Islam adalah rahmatan lil alamin - rahmat untuk semua manusia, dan pentadbiran saya akan terus menyebarkan ajaran Islam dan mempamerkan Selangor sebagai teladan dalam menyokong kesederhanaan dan keadilan," katanya.

Pada 2 Januari lalu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merampas 321 Bible bahasa Melayu dan Iban dari Persatuan Bible Malaysia (BSM) bagi membanteras penggunaan kalimah Allah dalam kitab itu yang didakwa melanggar Enakmen 1988.

Namun pada 11 Jun, Pejabat Peguam Negara memaklumkan tidak ada sebarang pendakwaan dibuat berhubung kes rampasan Bible tersebut, sekali gus menutup kes berkenaan.

-mk

DAP terus bertelagah dengan PAS?

Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar menasihati DAP agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan tentang Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, DAP tidak perlu mengenakan tekanan untuk memaksa Hadi yang berada dalam keadaan uzur untuk ke mesyuarat Pakatan Rakyat.

"Saya harap rakan-rakan DAP harus berhati-hati dalam buat kenyataan.

"Dia (Hadi) mempunyai alasan kesihatan (kerana tidak hadir ke mesyuarat)," kata MP Pokok Sena itu sewaktu ditemui pemberita di bangunan Parlimen.

Menurutnya, PAS sendiri tidak pernah memaksa Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng untuk sentiasa hadir ke sidang Dewan Rakyat.

"Kita tak gesa pun Lim Guan Eng hadir ke Parlimen. Kenyataan begitu tidak begitu cermat. Harap DAP beri perhatian kepada perkara ini," katanya lagi.

Beliau merujuk kepada gesaa DAP mutakhir ini agar Hadi hadir ke mesyuarat Pakatan Rakyat.

Hadi sebelum ini sering menghantar wakil sahaja – timbalan presiden Mohamad Sabu dan setiausaha agung, Datuk Mustafa Ali ke mesyuarat tersebut.-mk

Thursday, November 13, 2014

Kerajaan ambil tindakan penjawat awam curi RM1 juta

Kerajaan akan mengambil tindakan disiplin kepada penjawat awam yang menggelapkan hampir RM1 juta daripada Jabatan Akauntan Negara, kata Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Katanya, Jabatan Akauntan lewat mengambil sebarang tindakan kerana menunggu siasatan polis tetapi selepas dinasihatkan oleh Peguam Negara, jabatan berkenaan akan mengambil tindakan disiplin kepada pegawai tersebut.

“Kementerian Kewangan berpandangan kita tidak wajar mengambil tindakan disiplin atau surcaj sebelum siasatan polis selesai,” katanya semasa sesi town hall Laporan Ketua Audit Negara 2013 di Kuala Lumpur hari ini.

“Bagaimanapun, pada 18 September 2014, Peguam Negara menasihatkan tidak perlu menunggu siasatan polis selesai, tindakan disiplin boleh diambil.

“Hari berikutnya, kementerian mengeluarkan surat kepada Jabatan Akauntan untuk mengambil tindakan disiplin dan saya dimaklumkan pagi ini jabatan sudah mengambil langkah menjalankan tindakan itu,” katanya.

Laporan Ketua Audit Negara Siri 3 mendapati pegawai itu dilepaskan walaupun beberapa laporan polis dibuat terhadap beliau bagi dua kejadian – pada 3 Mac dan 10 Mac 2011 – selepas kerugian diketahui.

Pegawai itu terlepas dengan wang yang tidak dituntut berjumlah RM995,031.

"Seorang pegawai mengendalikan dana penipuan dan penyelewengan dari 27 Ogos 2008 hingga 21 Disember 2010, melibatkan RM995,031 wang tidak dituntut dan tiada tindakan undang-undang diambil walaupun laporan polis dibuat terhadapnya.

"Kehilangan itu juga dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 11 Mac tahun yang sama," kata Laporan Ketua Audit Negara.

Laporan yang dikeluarkan di Parlimen pada hari Isnin, berkata polis menyempurnakan siasatan berhubung kes itu.

Kertas siasatan dihantar ke Pejabat Peguam Negara dengan cadangan mendakwa suspek kerana memalsukan akaun di bawah Seksyen 477A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Satu jawatankuasa siasatan ditubuhkan untuk menyiasat kejadian itu mendapati suspek adalah seorang kerani pentadbiran Gred N17 di Jabatan Dana dan Pengurusan Sekuriti Akauntan Negara.

Mereka juga mendapati pegawai itu juga memalsukan dokumen sokongan untuk wang dengan mengkategorikannya sebagai "bayaran tidak wajar" berjumlah RM827,781.46.

Pegawai itu juga membuat pembayaran berjumlah RM106,955.35 kepada pelbagai individu dan tidak boleh ditentukan sama ada jumlah baki daripada RM60,294.50 adalah bayaran sebenar.

Semua wang dipindahkan melalui Pemindahan Dana Elektronik.

Walaupun disyorkan dipecat dan didenda oleh panel siasatan pada 22 April, 2011, Laporan Ketua Audit Negara mendapati pegawai itu sebaliknya ditukarkan ke Bahagian Pengurusan Pembangunan Perakaunan bermula pada 9 Januari 2012.

Pada Mac tahun lepas, Kementerian Kewangan memberi kelulusan menghapuskan RM995,031 yang hilang tetapi mengeluarkan arahan tindakan tatatertib dan surcaj akan diambil terhadap pegawai itu. –TMI

Kempen boikot TV luar jangkaan, selebriti hadir

Kempen Switch Off’14 ‘Rancangan tergendala’ mendapat sambutan di luar jangkaan apabila hampir 3,000 orang hadir termasuk selebriti terkenal dan para karyawan seni.

Program yang diadakan di Dataran Zoo Negara, Hulu Kelang Selangor malam semalam dibanjiri dengan penyokong yang majoritinya berpakaian serba hitam sebagai solidariti terhadap kempen itu.

Antara selebriti popular yang hadir ialah Fauziah Nawi, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Fizz Fairuz, Afdlin Shauki, Mustafa Kamal, Norish Karman, Kopratasa, Eddie Hamid dan A Aida.

Kempen itu untuk menzahirkan 11 tuntutan gabungan 11 persatuan artis dan industri kreatif berlangsung dengan aman dan santai sambil dihidangkan beberapa persembahan dari artis jemputan.

Acara yang berlangsung tiga jam bermula jam 8 malam, dimulakan dengan nyanyian lagu ‘Negaraku’ dan disusuli dengan tarian singa dan persembahan ‘silat panglima’.

Kemudian penyokong dihidang dengan ‘gimik’ perasmian kempen dengan kemunculan dua buah helikopter kawalan jauh yang membawa mafla ‘Switch Off’ 14’.

Salah sebuah helikopter kawalan jauh itu membawa alat kawalan jauh televisyen sebagai simbol untuk mematikan TV bagi meneruskan program rancangan tergendala tersebut.

Turut hadir menyokong program itu Ketua Penerangan Pemuda Umno Jamawi Jaafar.

Sebelum itu, dalam ucapannya, beliau berkata sepanjang beliau pernah menjadi pengerusi biro kebudayaan dan kesenian pergerakan itu, ramai yang mengetahui perjuangannya dalam industri itu.

Sketsa Grup Poyo

Katanya, beliau sentiasa menyokong kumpulan anak seni dalam memperjuangkan hak mereka dan sedia menjadi "jambatan" antara penggiat seni dan kerajaan.

“Untuk maklumat semua, saya akan sentiasa bersama anda dan saya akan membawa perkara ini kepada kerajaan bagi memaklumkan tentang tujuan kempen ini.

“Semoga perjuangan anda dapat diteruskan pada masa akan datang dan saya bersedia menjadi jambatan untuk pihak anda kepada kerajaan," kata Jamawi yang diringi tepukan gemuruh hadirin.

Kemudian acara diteruskan dengan persembahan sketsa dari kumpulan Teater Grup Poyo.

Dalam sketsa itu, mereka melakonkan mengenai kepayahan para pelakon dan pekerja industri seni antaranya terpaksa berkerja lebih masa, jadual tidak menentu dan bayaran rendah.

Himpunan malam tadi turut diserikan lagi dengan persembahan nyanyian daripada pelakon terkenal Datuk Ahmad Tarmimi Siregar dan Fauziah Nawi.

Penganjur juga tidak menyangka kehadiran penyokong mencecah hampir 3,000 orang berbanding jangkaan 1,000 sebelum ini, malah tempat duduk yang disediakan juga tidak mencukupi.

Bagaimanapun ia tidak menghalang pengunjung yang hadir dan ada di antara mereka sanggup berdiri dan duduk di sekitar ruang dataran itu.

Walaupun hujan lebat membasahi dataran itu, namun masih ada hadiran yang menunggu sehingga program selesai tidak lama kemudian, dan ada juga yang bertempiaran lari mencari tempat berteduh.

-mk

Tuesday, November 11, 2014

Niat jahat jika persempadanan semula?

BERSIH 2.0 mengingatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar tidak menjalankan proses persempadanan semula pada musim perayaan yang akan datang.

Jawatankuasa pemandu gabungan proreformasi sistem pilihan raya itu mengingatkan bahawa 25 Disember merupakan cuti Krismas, diikuti sambutan tahun baru pada 1 Januari dan tahun baru Cina pada Februari.

“Jelas bahawa sekiranya persempadanan dijalankan ketika tempoh-tempoh ini, ia akan mengganggu penglibatan pengundi, dan SPR akan dilihat sebagai berniat jahat dalam menafikan penyertaan umum,” kata BERSIH.

BERSIH juga berkata, dalam keadaan begitu, SPR mesti menanggung tanggungjawab bagi “apa-apa pergolakan politik” yang terhasil.

Dalam kenyataannya hari ini, BERSIH juga memberi amaran kepada SPR agar tidak menjalankan persempadanan semula secara tergesa-gesa.

Ini kerana, kata gabungan itu, proses itu akan memberi kesan dalam penentuan keputusan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang akan datang.

“ Demokrasi bukannya permainan untuk mengejutkan pihak yang bukan berkuasa.,” kata BERSIH.

Sementara itu, BERSIH juga berkata SPR, yang didakwanya selama ini gagal melaksanakan tugasnya, kini berpeluang memperbaikinya dengan tidak menjadikan tarikh proses itu permainan teka-teki.

BERSIH juga mengulangi seruannya supaya SPR mengumumkan rancangan keseluruhan bagi persempadanan semula seawal mungkin.

Katanya, ia supaya orang awam digalakkan menyertai proses itu seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Keterbukaan SPR dalam hal ini menjadi amat penting memandangkan orang ramai hanya mempunyai 30 hari di bawah undang-undang yang sedia ada untuk mengambil bahagian dalam proses ini, walhal mereka sepatutnya diberi sebanyak masa yang mungkin untuk meneliti cadangan SPR yang akan memberi kesan terhadap keputusan PRU14 dan PRU15,” katanya. 

-mk

Monday, November 10, 2014

BN kurang memihak Orang Asal Sabah

KOTA KINABALU: Pemilik tanah adat di negeri ini semakin bimbang yang mereka akan kehilangan tanah adat anak negeri (NCR) kepada orang luar gara-gara dasar Kerajaan Barisan Nasional yang ‘pilih kasih.’

Pengerusi Parti Reformasi Negeri (Star Sabah) Jeffrey Kitingan berkata, dasar kerajaan Umno dalam memilih syarikat yang ada kaitan dengannya dari segi politik memburukkan lagi keadaan.

“Dasar Kerajaan Umno BN kurang memihak kepada Orang Asal Sabah dan lebih suka memilih syarikat-syarikat yang ada kaitan dengan politik,” katanya di sesi dialog dengan penduduk Kampung Malinsau di Ranau.

Keadaan ini menyebabkan penduduk Sabah, terutama pemilik tanah adat semakin bimbang tanah adat mereka akan jatuh di tangan orang luar ini.

Mereka juga mendakwa semakin kerap menghadapi masalah tanah berikutan tanah semakin berkurangan dan pada masa yang sama, undang-undang yang sepatutnya melindungi hak-hak adat juga semakin dicabar, katanya.

Penduduk di Kampung Malinsau terbabit dalam perebutan tanah seluas 1,150 ekar dengan sebuah syarikat dari semenanjung. Sebahagian besar tanah terbabit sudah ditanam dengan pokok getah yang menjadi sumber pendapatan penduduk asal.

Menurut Jeffrey, ada banyak lagi kes membabitkan rampasan tanah di seluruh Sabah termasuk Pitas, Telupid, Tongod, Kunak, Sook, Sepulut dan Tenom.

Melihat kes itu dari pandangan Ordinan Tanah, pentadbiran tanah dan dasar-dasar tanah, Jeffrey berkata, beliau akan membentangkan usul di bawah Rang Undang-undang Persendirian dalam sidang dewan undangan Sabah akan datang.

Beliau akan menggesa supaya pindaan dalam ordinan tanah dibuat bagi menjelaskan lagi peruntukan tertentu seperti definasi NCR dan keputusan pengarah Jabatan Tanah dan Ukur yang mesti boleh dirayu.

Beliau akan mencadangkan sebuah tribunal tanah ditubuhkan sebagai sebuah mekanisme untuk menyelesaikan pertikaian tanah dan dengan syarat-syarat dalam geran Tanah Adat mesti dipinda bagi membenarkannya diguna bagi tujuan komersial dan industri, selain daripada pertanian.

Yayasan Tanah Adat juga mesti diwujudkan sebagai saluran untuk membantu dan menjaga kepentingan penduduk asal dari segi ekonomi dan sosial, katanya.

“Saya yakin yang wakil rakyat yang lain dan kerajaan Sabah akan menyokong usul ini demi untuk kepentingan rakyat semua terutama penduduk asal Sabah,” kata Jeffrey.

-fmt

UMS bukti universti boneka parti politik

PETALING JAYA: Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM), Fahmi Zainol berkata tindakan Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengumumkan ‘Blackout’ sempena pidato mahasiswa menunjukkan universiti hanya bobeka politik.

Menurut beliau, pada malam ini sepatutnya beliau dan rakan-rakan aktivis mahasiswa akan memasuki kampus UMS untuk teruskan jelajah ‘Reformasi Mahasiswa’.

“Namun apa mendukacitakan UMS sudah umumkan ‘Blackout’ sama seperti di UM.

“Tindakan ini seolah-olah Universiti takut pada bayang-bayang sendiri, malah membuktikan lagi bahawa Universiti hanya boneka parti politik,” katanya dalam satu kenyataan kepada FMT.

Kata Fahmi, beliau amat kecewa dengan keadaan yang berlaku di universiti di Malaysia.

“Perubahan secara total perlu dilakukan bagi menyelamatkan institusi ilmu ini. Ayuh bangkit anak muda, selamatkan institusi ilmu,” ujarnya.

Sebelum ini, Fahmi meminta supaya pihak Universiti Malaya (UM) menangguhkan sekurang-kurangnya dua minggu dalam prosiding dikenakan tindakan.

Fahmi antara lapan mahasiswa UM yang dihadap ke lembaga tatatertib kerana menganjurkan himpunan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu.

-fmt