Wednesday, December 31, 2014

Cerita minyak lagi, RON95 naik atau turun?

Harga petrol RON95 dan diesel dijangka turun kepada RM1.90 hingga RM1.95 seliter mulai 1 Januari tahun depan.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata pengumuman berhubung perkara itu akan dibuat oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna.

“Harap peniaga-peniaga akan turunkan harga barang!” tambah Ahmad (kanan) di Twitter sebentar tadi.

RON95 kini dijual pada RM2.26 seliter manakala diesel pula RM2.23 seliter.

Ahmad pada 19 Disember lalu berkata harga runcit RON95 dan diesel dijangka turun bawah paras RM2 seliter mulai 1 Januari jika harga minyak dunia kekal mengalami penurunan.

Katanya, harga runcit itu boleh dicapai kerana bagi 18 hari pertama bulan ini, harga purata minyak RON95 dan diesel jatuh di bawah paras RM2 seliter.

Bakal tenteramkan pengkritik

Penurunan harga itu, jika menjadi kenyataan, dilihat bakal mendiamkan pembangkang dan kumpulan pengkritik yang menjalankan kempen intensif menuntut harga RON95 diturunkan kepada RM1.90 seliter.

Kumpulan itu, dikenali sebagai TURUN, pada mulanya bercadang mengadakan perhimpunan besar-besaran di ibu negara esok malam sempena ambang tahun baru bagi memberi tekanan kepada kerajaan.

Ia bagaimanapun ditangguhkan ekoran banjir besar yang melanda beberapa negeri, terutamanya di Kelantan.

Pembangkang, melalui Naib Presiden PKR Rafizi Ramli pada 20 Disember berkata, pengguna menanggung harga tinggi untuk RON95 sedangkan harga purata bagi 15 hari pertama (kiri) Disember tahun ini kurang daripada RM2 seliter.

Kerajaan kini mengguna pakai kaedah apungan terkawal bagi menentukan harga minyak.

-mk

Tuesday, December 30, 2014

QZ8501: Kawasan mencari diperluas hari ini

Misteri kehilangan pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 masih belum terungkai dengan tiada sebarang petunjuk diperoleh pasukan pencari yang akan memperluaskan kawasan pencarian
hari ini.

Pengurus Besar Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Trikora Harjo berkata operasi mencari diketuai Indonesia bersama-sama Singapura dan Malaysia di timur Lautan Jawa termasuk berhampiran Pulau Belitung, dihentikan pada lewat Isnin malam.

"Sehingga kini, saya dimaklumkan, 24 kapal laut dan beberapa pesawat udara tentera milik tiga negara ini telah menyertai misi mencari ini," katanya kepada pemberita pada lewat malam tadi.

Beliau berkata sehingga kini, tiada sebarang maklumat atau petunjuk ditemui selain turut menafikan ada minyak, objek mahu pun Alat Pemancar Lokasi Kecemasan (ELT) diperoleh dan ditemui pasukan pencari.

Sementara itu, Presiden Direktur PT AirAsia Indonesia, Sunu Widiatmoko yang turut menghadiri sidang akhbar itu berkata kemudahan bagi waris pesawat itu di lapangan terbang akan ditambah untuk keselesaan mereka ketika menunggu perkembangan terkini.

"Ini termasuk televisyen dan kemudahan istirehat supaya keluarga korban (mangsa) lebih selesa di sini.

"Mereka juga bersetuju sebulat suara untuk terus menetap di hotel-hotel berdekatan lapangan terbang untuk kemudahan mereka," katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama di Pusat Krisis Terminal 2 lapangan terbang mendapati pelbagai emosi dapat dilihat daripada riak wajah anggota keluarga dan waris pesawat malang itu.

Seorang daripada mereka yang hanya mahu dikenali sebagai Abang Solo berkata keluarganya tidak mahu berpindah atau berjauhan dari lapangan terbang ini kerana seolah-olah berasa dekat dengan anggota keluarganya yang hilang itu.

Menurutnya, inilah lokasi terakhir mereka meluangkan masa bersama-sama sebelum anggota terbabit menaiki pesawat tersebut.

Pesawat Airbus 320-200 bersama 162 orang di dalamnya terdiri daripada 149 penumpang Indonesia, Korea Selatan (3), Singapura (1), Malaysia (1), United Kingdom (1), dan kru Indonesia (6) serta Perancis (1), yang dijadual tiba pada jam 8.30 pagi waktu tempatan dari Surabaya, terputus hubungan dengan pusat kawalan trafik udara Jakarta pada 7.24 pagi waktu tempatan pada Ahad.

- Bernama

Monday, December 29, 2014

Nak Salahkan siapa semua musibah ini?

Dalam kesibukan rakyat Malaysia berhadapan pelbagai dugaan dalam menghadapi banjir besar dan kehilangan pesawat AirAsia, dalam pada para pemimpin negara dilemparkan dengan pelbagai tohmahan, catatan seorang yang mengakui sebagai Pegawai TLDM menjadi viral di media sosial.

Daripada tulisannya, menggambar beliau sebelum ini bukanlah penyokong Datuk Seri Najib Tun Razak, namun tidak diketahui parti mana yang disokong beliau. Sama ada benar atau tidak keterangan dirinya bukanlah persoalan, tetapi maksud yang ingin disampaikannya wajar diberi perhatian oleh khalayak.

Seperkara yang jelas, beliau mengakui bahawa penilaiannya terhadap Najib telah berubah apabila diberitahu oleh seorang sahabatnya di Bahagian Perisikan akan tujuan sebenar Perdana Menteri bermain golf dengan Presiden Amerika Barrack Obama di Hawaii.

Bahagian Perisikan? Sewajarnya apa yang diketahui menjadi rahsia, atau lebih tepat lagi, ianya dirahsiakan. Tapi bila difikirkan, mungkin juga ia “terbocor” memandangkan situasi ketika itu (Jumaat lalu) agak kecoh, saling meletakkan kesalahan pada Najib, maka ada kewajaran menceritakan yang benar.

Blog kulihatlangitbiru.com memetik nukilan individu berkenaan, Pegawai TLDM bernama Ariffin Embong yang menyatakan bahawa antara tujuan utama Najib bertemu Obama iadalah membincangkan kestabilan rantau ASEAN daripada menjadi pusat pengganas antarabangsa yang boleh menjejaskan pemulihan ekonomi Malaysia terutamanya ketika kejatuhan nilai ringgit sekarang.

Ujarnya, Najib sedang menjalinkan hubungan rapat dengan AS untuk mengimbangi kuasa besar China yang semakin mendominasi perdagangan dunia selain berunding mengurangkan penggunaan wang negara untuk mencari ke mana hilangnya MH370 dengan menggunakan kepakaran dan teknologi Pentagon.

“Cukuplah Malaysia diperalatkan oleh Melbourne dengan kepakaran dan peralatan dasar laut mereka yang menjadi bebanan perbelanjaan negara,” katanya.

Penulis yang menghargai kemampuan Najib yang disifatkannya sebagai “buat kejutan menyelesaikan isu MH17 secara bijaksana di Ukraine.”

Katanya lagi, adalah tidak indah jika asyik mengecam dan mencari silap Perdana Menteri kerana kerana tidak menunjukkan wajah ketika banjir tempoh hari memandangkan barisan pentadbiran negara telah diamanahkan oleh Najib sebelum meninggalkan negara perlu menunjukkan kepimpinan yang berwibawa menangani banjir besar ini.

Beliau juga berpendapat, tidak perlu menuding jari kepada Najib sedangkan banjir besar bukannya berpunca daripada penyelewangan pentadbiran UMNO, tetapi PAS yang mentadbir Kelantan di mana berlakunya pembuangan sistem tadahan semulajadi dan menerangkan hutan secara rakus untuk kepentingan negeri mahupun peribadi.

“Pendapat peribadi saya adalah tidak perlu PM dikecam kerana tiada dalam negara kerana bah besar di beberapa negeri. Negara kita belum darurat lagi,” tambahnya.

Hakikat nyata, menurut penulis, peralatan canggih Pentagon diperlukan untuk pertahanan negara, malah jika mahu menyelam di dasar laut membuat kalibrasi data perubahan arus bawah laut dan ukuran retakan gua laut pun menggunakan system tercanggih dari AS.

“Saya merasakan tidak wajar orang berserban, pak lebai mengecam Najib kerana berlainan parti kerana isu ini. DAP biarlah mereka tetap tidak senang dengan PM beragama Islam, hanya bermuka-muka memperbodohkan Melayu Islam.

“Mungkin saya akan mati besok tiba-tiba menyokong tindakan Najib ke Hawaii yang dirancang sebelum banjir lagi,” tambahnya.

Penulis juga mengingatkan, jika sesuatu itu benar hendaklah tetap diakui kebenarannya kerana itu adalah janji seorang yang beragama Islam dengan Allah SWT sebagai Muslim.

“Viralkan catatan ini untuk kefahaman mereka di luar sana. Saya bertanggungjawab sepenuhnya di atas catatan ini. Mungkin catatan terakhir dari anak laut jika kami mati besok sebagai wira laut,” ujarnya.

Beliau yang memohon kemafaan jika nukilannya melukakan hati pembaca mengingatkan supaya “Hidup kita biarlah memberi manfaat pada orang lain, mati kita juga untuk manfaat umat Muhammad SAW. Semoga kita bertemu di syurga.”

-FMT

Sesi persekolahan 2015 ditangguh seminggu

Sesi persekolahan 2015 yang sepatutnya bermula pada 4 Januari ini ditangguhkan selama seminggu di seluruh negeri ekoran banjir buruk, umum Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menteri pendidikan itu berkata, dengan penangguhan itu tarikh baharu sesi bermula persekolahan 2015 bagi Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor adalah pada 11 Januari, manakala negeri lain akan bermula pada 12 Januari.

"Sebagai menteri pendidikan, saya amat memahami dan mengambil berat kesukaran yang bakal dihadapi semua pihak termasuk pengurusan sekolah, guru, ibu bapa dan murid sekiranya persekolahan bagi 2015 dibuka seperti dijadualkan iaitu pada 4 Januari 2015 (bagi Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor) dan pada 5 Januari 2015 bagi negeri lain," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, sehingga semalam pihaknya mendapati 340 sekolah daripada tujuh negeri terlibat dengan banjir, sama ada dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau sekolah tersebut ditenggelami air akibat banjir.

Muhyiddin yang juga timbalan perdana menteri berkata, penangguhan dibuat selepas mengambil kira faktor sekolah yang terlibat sama ada sebagai PPS atau ditenggelami air akan mengambil masa untuk dipulihkan.

Katanya, faktor keadaan guru, ibu bapa dan murid yang menjadi mangsa banjir serta serba kekurangan juga perlu mengambil masa untuk pemulihan dan membuat persiapan persekolahan.

"Sekiranya keadaan banjir tersebut pulih, maka pihak pengurusan sekolah hendaklah menggunakan tempoh tersebut untuk mengadakan gotong-royong pembersihan kawasan sekolah masing-masing bagi memastikan anak-anak kita dapat belajar dalam keadaan selamat, selesa dan sempurna," katanya.

Di Kelantan, mangsa banjir meningkat pagi ini kepada 151,072 orang berbanding 134,139 malam tadi, menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat Kelantan.

Begitu juga di Pahang yang mencatatkan peningkatan 33,225 mangsa berbanding 31,95 malam tadi, serta Perak 7,813 orang berbanding 7,539 malam tadi.

Manakala jumlah mangsa banjir turun di Terengganu dan Johor, masing-masing mencatatkan jumlah 33,292 orang berbanding 36,210 malam tadi serta Johor 328 orang berbanding 332 malam tadi.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob mengumumkan Kelantan pada semalam sebagai cuti peristiwa berikutan banjir besar di negeri itu.

Jumlah mangsa banjir di 6 negeri terjejas, Kelantan, Pahang, Terengganu, Perak, Johor dan Selangor pagi ini adalah 225,731 orang. – TMI

Mangsa banjir cecah 225,731 orang

Jumlah mangsa banjir di enam negeri terjejas, Kelantan, Pahang, Terengganu, Perak, Johor dan Selangor pagi ini adalah 225,731 orang

Di Kelantan, mangsa banjir meningkat di Kelantan pagi ini kepada 151,072 orang berbanding 134,139 malam tadi.

Mangsa banjir di Pahang dan Perak turut meningkat pagi ini.

Pahang mencatatkan seramai 33,225 berbanding 31,095 malam tadi, Perak pula 7,813 orang berbanding 7,539 malam tadi, lapor Bernama.

Manakala jumlah mangsa banjir turun di Terengganu dan Johor pagi ini.

Terengganu catat 33,292 orang berbanding 36,210 malam tadi, Johor 328 orang berbanding 332 malam tadi.

Manakala Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Terengganu pagi ini untuk meninjau keadaan banjir di negeri itu. -mk

Ahli perniagaan S'wak naiki QZ8501

Penumpang tunggal dari Malaysia dalam penerbangan AirAsia QZ8501 telah dikenal pasti sebagai Sii Chung Huei.

Menurut New Straits Times, Sii adalah seorang ahli perniagaan yang berpusat di Jakarta yang berasal dari Kuching.

Akhbar itu memetik saudara maranya mengesahkan mereka telah dimaklumkan oleh AirAsia mengenai Sii berada dalam penerbangan yang hilang itu.

Operasi mencari dan menyelamat masih belum memberikan apa-apa kemas kini mengenai kemajuan usaha mereka atau kesimpulan mereka mengenai nasib pesawat itu.

Pesawat ke Langkawi patah balik

Dalam satu insiden yang tidak berkaitan, Berita Harian melaporkan satu lagi penerbangan AirAsia AK6242 dari Pulau Pinang ke Langkawi berpatah balik kerana masalah teknikal.

Pesawat itu dilapor berpatah balik selepas 10 minit memulakan perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pada jam 4.30 petang.

Penumpang, Subash Elangovan dipetik sebagai berkata, juruterbang memaklumkan kepada mereka bahawa pesawat itu mempunyai masalah teknikal dan harus berpatah balik.

Penerbangan berkenaan dijadualkan semula pada jam 6 petang dan sudah berlepas daripada LTAPP, namun sama ada pesawat yang sama digunakan untuk penerbangan berkenaan tidak dapat dipastikan. -mk

Wednesday, December 24, 2014

PAS Berpecah Pula Isu HUDUD?

Perpecahan PAS dan Pakatan Rakyat (PR) kini semakin melebar dengan isu hudud selepas perbezaan pendapat yang sangat ketara dalam isu pertukaran menteri besar Selangor sebelum ini.

Kenyataan Timbalan Mursyidul Am Datuk Dr Haron Din yang tahaluf siasi (kerjasama politik) antara PAS dengan DAP sudah 'koyak' apabila parti itu terus mempertikaikan hudud mendapat sokongan daripada menteri besar Kelantan yang juga pemangku ketua Dewan Ulama PAS.

Datuk Ahmad Yakub berkata, PAS bersedia menilai semula tahaluf siyasi yang dibuat antara parti komponen PR berikutan tindakan DAP yang berterusan mempertikaikan pelaksanaan hudud di Kelantan.

“Apa-apa perjanjian atau kerjasama boleh dinilai semula apabila menampakkan sesuatu tindakan yang mampu mencetuskan ketegangan.

“Penilaian semula ini supaya kita boleh melihat di mana titik tolak tahaluf siyasi itu dalam konteks yang sebenar,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Graduasi Tahfiz Yayasan Islam Kelantan (Yik), semalam, lapor Sinar Harian.

Sebelum ini, dalam Multaqa Ulama yang dianjurkan Dewan Ulama PAS di Alor Setar, cadangan mengkaji semula tahaluf siasi diluluskan dalam bentuk resolusi perhimpunan itu.

Namun ia mendapat tentangan sebahagian pimpinan PAS yang yakin kerjasama politik ini menguntungkan PAS.

Kini, perbezaan politik yang ketara sedang melanda PAS menyebabkan kepimpinannya dengan jelas berpecah kepada dua kumpulan, pro PR dan satu lagi mahu berpisah atau menjauhkan diri.

Pandangan Haron berkenaan tahaluf siasi yang koyak bukan datang begitu saja. Sebelum beliau, AJK PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Temerloh Nasrudin Hassan berkata, tahaluf siyasi sudah memasuki fasa 'haram'.

Kedua-dua kenyataan ini disiarkan di muka depan media yang memusuhi PAS dan mahukan parti Islam itu berpecah iaitu Utusan Malaysia.

Kini pandangan mereka berdua disambut positif menteri besar Kelantan, individu yang dikira agak sederhana sebelum ini.

Dalam masa yang sama, beberapa pemimpin PAS berkata PAS pusat tidak dibawa berbincang dalam isu pindaan kepada Kanun Jenayah Syariah yang akan dibuat melalui sidang khas Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 29 Disember ini.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Khalid Samad mengesahkan perkara tersebut tidak dibincangkan atau dibangkitkan dalam mesyuarat terakhir pada 15 Disember baru-baru ini.

"Isu itu tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat terakhir.

"Kami hanya debat tentang rang yang sepatutnya dibawa ke Parlimen atau tentang bagaimana ia sepatutnya dilakukan," katanya kepada The Malaysian Insider.

Mesyuarat terakhir PAS Pusat adalah pada 15 Disember sedangkan menteri besar Kelantan membuat pengumuman sidang khas itu pada 14 Disember iaitu sehari sebelum mesyuarat.

Seramai 23 daripada 38 ahli Jawatankuasa PAS Pusat jelas memihak kepada kerjasama dengan PR. Mereka ini dicop sebagai 'jebon' oleh pihak yang pro ulama dalam PAS.

Portal Malaysiakini melaporkan, seorang anggota Jawatankuasa PAS Pusat berkata mereka tidak pernah bersetuju membawa Rang Undang-undang Persendirian Kelantan berkaitan hudud ke Parlimen.

Sedangkan Ahmad berkata, persidangan itu diadakan bagi mengkemaskini enakmen sedia ada sebelum dibawa untuk mendapat kelulusan di persidangan Parlimen.

“Pindaan itu untuk melayakkan Kelantan membawa usul persendirian ke Parlimen bagi membolehkan ia dijalankan di negeri ini.

“Private bill itu akan meminda Perkara 76A Perlembagaan Persekutuan bagi mendapat kebenaran Parlimen untuk melaksanakan undang-undang tersebut di Kelantan," lapor laman web PAS.org.

Inilah suasana yang berlaku dalam PAS sekarang, kucar-kacir. Bukan sahaja antara PAS dengan PR tetapi juga dalam PAS sendiri.

Bagi seorang pemimpin kanan PAS yang selama ini selalu berusaha menjadi kuasa pendamai antara kumpulan yang berbeza ini, ia sudah membosankan.

"Biarlah, dah mereka nak pecah," kata beliau kepada The Malaysian Insider, jawapan yang membayangkan sudah hilangnya harapan untuk membentulkan apa yang tidak betul itu.

Apakah pemilihan pucuk kepimpinan PAS yang dijangka pada Jun tahun depan bakal memulihkan PAS atau masing-masing mengambil jalan sendiri selepas itu?

"Semua kini preparing for war," kata pemimpin PAS berkenaan yang bermaksud semua sedang bersedia untuk “berperang”, enam bulan dari sekarang.

Faktor penyatu sangat diperlukan oleh PAS dan perlu dicari segera sebelum nasi menjadi bubur dan tidak boleh diubat lagi. –TMI

Desak Najib berundur, Syed Rosli dakwa dapat sokongan?

Syed Rosli sebaliknya berkata, pengkhianat sebenar adalah pemimpin tertinggi parti yang menyalahgunakan kuasa dan menyeleweng tanggungjawab mereka.

"Pelbagai gelaran diberi kepada saya, ‘musang berbulu ayam’, ‘gunting dalam lipatan’, ‘musuh dalam selimut’ dan sehingga mengelarkan saya pengkhianat.

"Mereka berjawatan tinggi di dalam parti dan kerajaanlah sebenarnya pengkhianat jika mereka amalkan korupsi, tidak jujur dan amanah. Siapalah saya nak khianati parti dan negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau sebaliknya mempertahankan tegurannya itu dibuat kerana sayangkan parti dan nasib agama, bangsa dan negara khususnya.

Katanya, ramai akar umbi Umno yang menyokong tindakannya mendesak Najib meletakkan jawatan, cuma mereka belum berani tampil ke hadapan menyatakan perkara sama.

"Sebenarnya ramai lagi yang menyokong. Saya tidak berseorangan dan saya yakin ramai bersependapat dengan saya .

"Saya juga banyak menerima panggilan telefon dan pesanan daripada pelbagai lapisan ahli Umno dan rakyat yang menyokong tetapi mereka takut hendak ke depan untuk menyatakan perkara yang sama," katanya.

Beliau juga menyeru ahli Umno supaya berdoa setiap kali selepas sembahyang agar negara dapat dilindungi daripada pemimpin Umno yang korup dan tidak amanah.

"Ayuh kita selamatkan nasib bangsa, agama dan negara. Lakukanlah semampu boleh dengan pelbagai cara pun selagi tidak melanggar peruntukan undang-undang negara," katanya.

Syed Rosli minggu lalu dalam surat terbukanya kepada Najib mendesak presiden Umno itu berundur secara terhormat sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) demi memberi nafas baru kepada parti.

Katanya, Umno ketika ini semakin lemah daripada segi sokongan orang Melayu mahupun pengundi parti komponen Barisan Nasional (BN) terutama parti berteraskan kaum Cina dan India.

Surat itu dibuat selepas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Pulau Pinang Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan membuat laporan polis terhadap syarikat pelaburan negara 1MDB yang dikatakan mempunyai hutang sehingga RM40 bilion.

Syed Rosli semasa Pemilihan Umno 2013 bertanding merebut jawatan ketua Pemuda Umno menentang penyandang Khairy Jamaluddin, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, Irwan Ambak Khalid Izhar dan Abd Karim Ali. –tmi

ISMA macam Taliban, kata Pemuda MIC

MIC mendakwa NGO Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) sama seperti kumpulan pengganas Taliban ekoran kenyataan bahawa orang Islam tidak boleh mengucapkan Selamat Hari Natal kepada orang Kristian.

Ketua sayap pemudanya C Sivarraajh mengutuk ISMA sebagai mengamalkan "ketaksuban melampau" yang sama dengan cara Taliban yang prejudis.

"ISMA mengajar toleransi ala-Taliban dan ketaksuban. Mereka adalah racun kepada mana-mana masyarakat yang sederhana dan tidak boleh dibiarkan.

"Ketaksuban jenis ini tiada tempat di negara Malaysia yang mengamalkan kesederhanaan ini," kata Sivarrajh dalam satu kenyataan.

Tambahnya, ISMA telah "dibutakan oleh kebencian" terhadap orang bukan Islam dan berniat untuk mewujudkan permusuhan di kalangan orang Islam dan bukan Islam.

Bagaimanapun, Ketua Pemuda MIC itu yakin bahawa sikap ISMA itu bukan mewakili "sebahagian besar umat Islam di Malaysia".

Sebelum ini, Menteri Kesejahteraan Bandar Dan Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Rahman Dahlan turut menyelar pendirian ISMA berhubung ucapan Krismas itu.

Anggota parlimen Umno untuk Kota Belud itu juga menyifatkan ISMA "bukan pilihannya". -mk

Monday, December 22, 2014

Salam Al-Qaradawi buat rakyat Malaysia

Sarjana terkemuka Islam Dr Yusuf Al-Qaradawi menzahirkan perasaan terharu terhadap keprihatinan antarabangsa, termasuk Malaysia, yang menyatakan bantahan terhadap notis merah Polis Antarabangsa (Interpol) terhadapnya.

Perkara itu dinyatakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghubungi presiden Kesatuan Ulama Antarabangsa itu malam tadi.

“Alhamdulillah, Sheikh Yusuf tetap bersemangat dan sekelumit pun tidak tergugat dengan gangguan ini,” kata Anwar.

Dalam kenyataannya tengah malam tadi, Anwar (kiri) juga merakamkan dukacitanya terhadap kezaliman Jeneral Abdel Fattah al-Sisi di Mesir yang mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang ulama muktabar.

“Justeru saya menggesa Interpol menarik balik notis merah yang telah dikeluarkan ke atas Sheikh Yusuf kerana jelas sekali tindakan tersebut tidak berasas dan hanya memperlihatkan Interpol diperalat oleh diktator yang zalim,” kata Anwar.

Interpol mengeluarkan waran tangkap terhadap Yusuf selepas dikaitkan dengan kegiatan kumpulan Ikhwanul Muslimin yang diharamkan Mesir.

Malaysia patut gasak Interpol

Menurut laman webnya, notis merah terhadap Yusuf, 88, dikeluarkan selepas dikehendaki pihak berkuasa kehakiman Mesir untuk pendakwaan dan pensabitan hukuman.

Warganegara Mesir dan Qatar itu antaranya dituduh menghasut dan membantu pembunuhan antarabangsa, membantu banduan melepaskan diri daripada penjara, serta aktiviti vendalisme dan kecurian.

Langkah itu dilihat bakal mencetuskan perasaan tidak puas hati besar-besaran di hampir kesemua dunia Islam.

Sementara itu, mewakili Pakatan Rakyat, Anwar menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan Malaysia mengambil pendirian serta ketetapan tegas membantah tindakan itu.

Lebih-lebih lagi, katanya, Yusuf pernah dinobatkan sebagai tokoh Maal Hijrah peringkat antarabangsa pada 2009 serta dianugerahi ijazah kehormat Universiti Islam Antarabangsa (UIA) pada 1996.

“Sumbangan beliau dalam dunia Islam tiada taranya, maka sewajarnya Malaysia selaku model negara Islam mendepani inisiatif mengasak Interpol agar bersikap profesional ke atas Sheikh Yusuf Al-Qaradawi ketimbang menjadi alat sang penguasa desperado,” katanya.