Showing posts with label Sarawak. Show all posts
Showing posts with label Sarawak. Show all posts

Tuesday, November 4, 2014

Ada 600 sekolah usang di Sabah, Sarawak

KOTA KINABALU: Pengerusi Parti Reformasi Negeri (STAR) Sabah , Jeffrey Kitingan, berkata penduduk Sabah dan Sarawak semakin marah sebab peruntukan RM1 bilion yang dijanjikan oleh Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yasin awal tahun ini untuk membina 600 sekolah usang di Sabah dan Sarawak, tidak dimasukkan dalam Bajet 2015.

“Di mana sudah RM1 bilion peruntukan yang dijanjikan untuk memperbaiki sekolah? soalnya.

Kementerian Pelajaran diperuntukkan sebanyak RM 56 bilion dan beberapa lagi peruntukan lain bagi mempertingkatkan pendidikan di Malaysia, kata Jeffrey.

Peruntukan khas itu diberi untuk melaksanakan program-program di semenanjung termasuk bagi Jurulatih Pakar Pembangunan Sekolah dan Penambahbaikan Sekolah, pembesaran 20 sekolah kerajaan di Johor, Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta membina 12 bangunan baru sekolah rendah, menengah dan sekolah berasrama, menyebut beberapa program.

Namun, Adun Bingkor ini merungut kerana Sabah dan Sarawak tidak disebut dalam Bajet 2015.

“Bajet itu langsung tidak menyebut pembinaan semula enam sekolah yang terbakar awal tahun ini di Sabah atau peruntukan RM1 bilion seperti yang dijanjikan oleh Muhyiddin,” katanya.

Jeffrey mempersoalkan adakah RM1 bilion yang tidak disebut dalam bajet itu bermaksud yang Perdana Menteri Najib Abdul Razak menipu rakyat Sabah dan Sarawak?

“Atau adakah Najib dan Muhyiddin tidak berbincang di antara satu dengan yang lain hingga peruntukan RM1 bilion tidak disebut atau sekolah-sekolah di Sabah dan Sarawak tidak diberi keutamaan,” soalnya lagi.

Menurutnya, menteri-menteri persekutuan sepatutnya berhenti menipu dan memberi janji-janji kosong ketika melawat Sabah dan Sarawak.

Mereka juga katanya, patut berhenti melayan dua negeri ini sebagai koloni untuk dieksploitasi kekayaannya, kemudian memberi pembangunan yang tidak seberapa.

-fmt

Sunday, November 2, 2014

Pembalakan haram di Sarawak serius

LAWAS: Tumpuan perlu diberi perhatian kepada mempertingkatkan penguatkuasaan untuk membendung kes pembalakan haram di Sarawak, kata Menteri Kedua Perancangan Sumber dan Alam Sekitar, Awang Tengah Ali Hassan.

Oleh itu katanya, agensi-agensi berkaitan sudah diarah untuk mempertingkatkan penguatkuasaan masing-masing, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Kerajaan buat masa ini katanya, tidak ada rancangan untuk meminda mana-mana undang-undang sedia ada dalam melaksanakan penalti lebih tinggi terhadap pembalak haram.

“Kami sedar situasi ini sangat membimbangkan tetapi buat masa ini, denda dibawah undang-undang sedia ada adalah mencukupi. Apa yang diperlukan adalah mempertingkat dan menyepadukan program penguatkuasaan untuk menghukum pesalah,” katanya selepas melancarkan program Lawas Bike Week (LBW) di Kampung Punang semalam.

Katanya, Ketua Menteri Adenan Satem menunjukkan iltizam memastikan agensi-agensi penguatkuasaan membanteras operasi pembalakan haram, kegiatan yang menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada Sarawak.

Ketua Menteri mengumumkan 50 pegawai penguatkuasaan akan dilengkapkan dengan senjata api ketika menjalankan tugas.

Awang Tengah yang juga Adun Bukit Sari menggesa orang ramai membantu membanteras pembalakan haram dengan melaporkan segera kegiatan yang mencurigakan di kawasan mereka kepada pihakberkuasa.

-fmt

Penan mangsa NGO dan politik pembangkang

MIRI: Masyarakat Penan di Baram perlu berhenti dari digunakan pihak pembangkang dan mereka yang menggelar diri mereka sebagai pihak badan bukan kerajaan supaya mereka dapat menikmati hasil pembangunan.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Alfred Jabu Numpang berkata masyarakat Penan perlu berdiri teguh dibawah kepimpinan kerajaan yang ditadbir Ketua Menteri, Adenan Satem yang memberi tumpuan terhadap Pembangunan diluar bandar termasuk kawasan yang didiami masyarakat Penan.

“Jika masyarakat Penan terus menyokong pembangkang dan NGO, tiada banyak yang kerajaan dapat lakukan untuk mereka,” katanya dalam suatu kenyataan.

Bagi mereka yang mendapat manfaat dari bantuan kerajaan, Jabu menggesa mereka untuk menghargainya, walaupun diantara mereka ada yang menyokong unsur anti-pembangunan yang hanya tahu mengajar orang untuk menuntut pampasan yang macam-macam.

Jabu berasa kesal terdapat sesetengah orang Penan dikawasan seperti Long Sait, Long Kerong dan Selunggo telah digunakan oleh sesetengah NGO dan parti pembangkang.

-fmt

Saturday, October 25, 2014

Kerusi SPDP tetap dipertahankan

KUCHING: Pengerusi Sarawak Progressive Democratic Party (SPDP) bahagian Tasik Biru Michael Siten berkata bahawa mereka tidak akan memberikan kerusi Tasik Biru kepada mana-mana pihak.

Secara traditional lapan kerusi diperuntukkan kepada SPDP, katanya.

Dalam menunjukkan sokongan kepada SPDP parti tersebut akan mengadakan makan malam di Singai, Bau pada Sabtu dengan menganggarkan 1,000 orang akan menyertai makan malam yang dianjurkan di cawangan Singai dan Adis untuk mempertahankan kerusi Tasik Biru pada pilihan raya negeri yang akan datang.

“Makan malam itu akan membuktikan SPDP masih kuat di Tasik Biru dan kita mempunyai ramai ahli di kawasan Singai. Ia juga menunjukkan tiada kekurangan calon berpotensi dari kawasan Singai untuk mengantikan penyandang sekarang iaitu Peter Nansian,” katanya dalam satu kenyataan.

Presiden interim SPDP Tiong King Sing dan Pemangku Timbalan Presiden Anthony Nogeh dijangkan akan mengulangi pendirian parti semasa makan malam terbabit, kata Michael.

Beliau juga menjangkakan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain akan menghadiri makan malam bersama dengan calon berpotensi untuk kerusi masing masing.

Mengenai tiga calon berpotensi, beliau berkata mereka dikenali pengundi di Tasik Biru dan melakukan kerja lapangan bagi mempersiapkan parti untuk pilihan raya.

Menurut sumber, tiga calon tersebut terdiri dari usahawan, pegawai kerajaan kanan dan peguam dan salah satu dari mereka datang dari Singai.

Kerusi Tasik Biru merupakan kerusi yang sering dibualkan antara pemerhati politik dengan kemungkinan berlakunya ketegangan antara SPDP dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) yang diterajui oleh mantan pemimpin SPDP.

Teras yang diterajui oleh mantan Presiden SPDP William Mawan Ikom bertegas bahawa Tasik Biru dan tiga kerusi yang lain -Marudi, Batu Danau dan Bekenu sekarang milik kepunyaan parti sejak ia menjadi sebahagian kerajaan ‘BN Plus’.

Peter yang memegang kerusi Tasik Biru sejak 1996, hari ini merupakan Timbalan Presiden Teras. Beliau dengan mudah mempertahankan kerusi pada PRN 2011 dibawah tiket SPDP sebelum dibuang dari parti.

Walaubagaimanapun, SPDP baru-baru ini mengisytiharkan bahawa ia akan mempertahankan lapan kerusi yang diperuntukkan kepada parti.

-fmt

Sunday, October 19, 2014

Beranikah DAP Sarawak tinggalkan PR?

KUCHING : Parti DAP Sarawak menyatakan bahawa pihaknya telah menghentikan semua komunikasi dengan PAS dan PKR bermula semalam, namun terus berada dalam Pakatan Rakyat (PR).

Menurut Pengerusinya Chong Chieng Jen, jawatankuasa negeri parti itu untuk mengambil keputusan memisahkan diri daripada kegiatan dengan PAS dan PKR sehinggalah kedua-dua parti itu menjelaskan pendirian mereka.

Memetik daripada laporan Bernama, Chong Chieng berkata, DAP Sarawak akan meninggalkan Pakatan Rakyat (PR) sekiranya kumpulan ulama PAS yang memperjuangkan hukum hudud menguasai parti itu selepas pemilihan parti pada Jun tahun depan.

“Sekiranya (kumpulan) progresif liberal menguasai (jawatankuasa pusat PAS), maka tiada sebab kami akan keluar,” ujarnya.

Katanya, PKR turut tidak menjelaskan pendirian mereka mengenai pelaksanaan hukum hudud dan keputusan DAP Sarawak itu telah menghantar isyarat jelas kepada rakannya dalam PR agar bersikap jelas mengenai pendirian masing-masing.

“Keputusan untuk keluar (daripada PR) adalah keputusan yang tidak dapat diubah. Sebelum kami mengambil keputusan yang tidak dapat diubah itu, kami perlu bersikap terbuka mengenai pilihan yang ada dan menyatakan pendirian kami secara jelas,” tambahnya.

-fmt

Tuesday, October 7, 2014

Harga petrol RM200 di pedalaman S'wak?

Kerajaan persekutuan patut segera menaikkan royalti minyak dan gas daripada 5 kepada 20 peratus kepada Sarawak bagi mengimbangi kesan kenaikan harga minyak, kata ketua PKR Sarawak Baru Bian.

Di Sarawak, katanya, kenaikan harga minyak memberikan kesan besar, terutamanya di kawasan bandar.

“Kesan domino akibat kenaikan harga petrol berlipat ganda bagi kita, terutamanya di kawasan pedalaman yang pengangkutan menjadi masalah utama,” katanya dalam sidang media semalam.

Baru Bian juga berkata, kerajaan tidak mengambil kisah rakyat bawahan yang kehidupan dan perniagaan mereka bertambah buruk dan kenaikan harga petrol bukan sesuatu yang dapat ditanggung lagi.

Katanya lagi, di pedalaman seperti Long Lelang, kos untuk setangki petrol sudah RM150 pada lima tahun lalu.

“Dengan kenaikan harga petrol, setangki petrol mungkin lebih daripada RM200 sekarang,” katanya.

-mk