Thursday, March 25, 2010

Menjelang Pilihanraya Sarawak : Ketua Kaum ‘diarah’ jumpa Najib ?

Jentera penerangan BN di Sarawak semakin tertekan apabila penerangan isu-isu semasa yang mereka sampaikan gagal dan kurang berkesan terutamanya bagi penduduk luar Bandar di negeri itu.

Sehubungan itu, BN pusat atas nama kementerian tertentu telah berpakat dengan Presiden Umno, Najib Razak apabila 13 wakil di bahagian Miri telah ‘diarah’ ke Putrajaya untuk menemui kementerian ‘penting’ yang berkaitan isu-isu penting di Sarawak.

Lawatan ketua-ketua kaum itu yang kononnya atas nama ‘lawatan sambil belajar’ telah berangkat ke Putrajaya sejak 21 Mac lalu dan akan berada di pusat pentadbiran kerajaan pusat itu selama seminggu.

Pegawai Daerah Miri merangkap ketua rombongan itu, Boniface Intang Apat dilaporkan berkata, lawatan itu bertujuan untuk mendedahkan ketua-ketua masyarakat terbabit dengan polisi yang dipraktikkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dalam mentadbirkan kerajaan.

“Lawatan ini seterusnya dapat memperluaskan pengetahuan serta pengalaman ketua-ketua masyarakat tentang polisi yang dilaksanakan Datuk Seri Najib Abdul Razak sejajar dengan konsep 1Malaysia, Rakyat didahulukan Pencapaian Diutamakan,” katanya.

Menurutnya, rombongan tersebut akan melawat Kementerian Luar Bandar dan Wilayah Putrajaya, Kementerian Tenaga Teknologi Hijau dan Air Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Mereka seterusnya akan melawat Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dan Suruhanjaya Air Negara (SPAN).

Sehingga kini, antara isu-isu yang gagal diselesaikan oleh kerajaan negeri yang diterajui BN di Sarawak ialah jenayah seksual terhadap kaum Penan, tiada kemudahan asas seperti elektrik dan bekalan air bersih di hampir semua tempat di negeri itu dan rampasan tanah oleh kerajaan negeri terhadap kaum Peribumi di pedalaman dan masyarakat Cina di Bandar.

Rombongan itu juga seterusnya akan menghadiri majlis makan malam bersama Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui yang akan diadakan pada sebelah malamnya.

Peter Chin ialah pimpinan tertinggi parti SUPP, salah satu sekutu BN di Sarawak yang sehingga kini gagal meraih sokongan Cina.

Antara ketua masyarakat yang mengikuti rombongan itu ialah, Temenggung Lim Siong Yew, Temenggung Atong Limping, Temenggung Abdul Rahman Fadzil, Pemanca Wilson Siang Lim, Pemanca Lee Sie Tong, Pemanca Abg Mohd Dato Sri Abg Othman, Penghulu Ibrahim Karim, Penghulu Adam Bujang, Penghulu Chio Siong Nang, Penghulu Ahmad Lamat, Penghulu Ahmad Raman, dan Penghulu Randi Elon.

Oleh Masdar Wahid

Amalan Songsang Pentadbiran BN?

AMALAN SONGSANG dalam mengimplementasikan Undang-Undang mahupun dasar dasar kerajaan yang berlaku sekarang perlu diperbetulkan segera; untuk mengelakkan lebih banyak kemudaratan akan berlaku terhadap sistem yang digunapakai kerajaan BN ketika ini.

Bukan sahaja bersabit kepada isu yang ditimbulkan Peguam Kanan Sabah Haji Ansari Abdullah yang melihat kes Pengarah Jabatan Perkhidmatan Am Sabah, Etong @ Ithong Terang yang boleh ditangkap dan dipenjarakan kerana dianggap menghina mahkamah apabila meluluskan ‘Anak Pelihara’ tanpa melalui proses mahkamah, selaras dengan Fasal 30 (4) Akta Kanak-Kanak 2001.



Malahan dalam banyak perkara yang berlaku di jabatan-jabatan lain, seperti perlantikan Ketua Kampung (KK) di mana pemimpin yang dilantik tidak dikenali penduduk kampung setempat (Kg Ulu Keritan Senagang) yang didakwa mereka sebagai orang asing (PTI) tapi memiliki Kad pengenalan.

Dalam pada itu, ketika kerancakan isu tersebut menjadi buah mulut masyarakat, seorang pemimpin yang juga Timbalan Penatua (Council of Elders Deputy Chairman) PKR Robert Linggi bangkit untuk membela masyarakat di perkampungan terbabit di mana penduduknya, majoriti 99 peratus adalah Kadazandusunmurut (KDM).

“Malangnya ada pihak-pihak tertentu dalam kerajaan mengatakan perlantikan Ketua Kampung terbabit ‘sah’ kerana dia ada Kad Pengenalan. Bagaimanapun saya mempersoalkan status dia di mana Kg Ulu Keritan majoriti penduduk dari golongan suku KDM, macam mana boleh seorang yang tidak dikenali dan berketurunan minoriti (kalau betullah dia anak tempatan) menjadi Ketua Kampung di sana,” tegas Robert.

Selain itu, satu kes yang agak menarik yang pernah tersiar di akhbar akhbar tempatan beberapa bulan lalu di mana seorang penduduk jati di Kg Motolop Pangi, Soromon Tandon meminta kerajaan khususnya Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (MHEANS) supaya mengkaji semula perlantikan seorang Ketua Kampung yang bukan anak jati kampung terbabit, KK Ating Keningkod.

KK Ating Keningkod difahamkan berketurunan dari kesukuan Dusun dan berasal di Kg Paguokon Tengah, sedangkan Kg Motolop berpenduduk majoriti 99 peratus suku Murut.

Rasionalnya, kes-kes yang terpampang di atas menunjukkan bahawa kerajaan tidak serius dalam melaksanakan tanggungjawabnya dan Pegawai yang melakukan tugas itu boleh disifatkan sebagai ‘membelakangi prosedur kerajaan dan Undang- Undang’.

Apa yang didedahkan Peguam Kanan Haji Ansari adalah jelas menunjukkan bukti-bukti yang nyata bahawa Pengarah terbabit boleh dikenakan tindakan tegas mengikut Undang-Undang kerana mengenepikan kuasa-kuasa yang sepatutnya ada pada Mahkamah untuk membuat keputusan mutlak.

Sekalipun Pengarah itu mempunyai bidang kuasa dari aspek Pentadbiran, namun dari aspek perundangan segala urusannya harus dirujuk kepada Mahkamah untuk menentusahkan peraturan yang patut terpakai.

Nampaknya kerajaan tidak boleh berdiam diri sahaja dan harus melakukan pembetulan atau sekurang-kurangnya melakukan rombakan secara besar-besar seperti yang bakal berlaku dalam penghujung bulan ini untuk memastikan satu lagi badan MEN yang menfokuskan pengurusan Kewangan, Ekonomi dan Pentadbiran bergerak menepati sasaran tepat sepertimana yang diumumkan PM baru-baru ini.

Dalam hal ini, Jabatan Kebajikan Masyarakat sewajarnya ditubuhkan di Sabah kerana semua pegawai bersetinggan di Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah (JPKAS) atas dasar palsu, ‘Concurrent List’ yang disalah tafsir dan digunakan untuk kepentingan peribadi pemimpin BN Sabah.

Walaupun gaji dan semua emolumen dibayar oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKM), namun JPKAS sewenang-wenangnya menggunakan kakitangan JKM untuk menjalankan pelbagai tugas Kerajaan Negeri dan mengabaikan tugas yang diamanahkan Kerajaan Persekutuan.

KESIMPULANNYA, apakah Pengarah Jabatan Audit Negara dan MAMPU tidak mampu lagi menjalankan ‘appraisal audit’ dan keperluan gunatenaga serta hiraki semua Jabatan Persekutuan di Sabah kerana sehingga kini hanya JKM yang masih bersetinggan di JPKAS?

Oleh: GONOD M (sabahkini)

Gempar : Sejadah tiba-tiba terbentuk dan duduk

WESTON: Penduduk Weston gempar setelah menyaksikan kejadian ajaib bagaimana sehelai sejadah yang digunakan untuk solat tiba-tiba terbentuk duduk seperti solat.

Kejadian ajaib itu berlaku di rumah Puan Asimah Bte Edinin (tidak mahu gambarnya disiarkan) yang merupakan seorang guru Sekolah Kebangsaan Pekan Weston kira-kira jam 8.30 malam Isnin.

Menceritakan saat-saat keajaiban itu, beliau berkata pada mulanya suaminya baru selesai solat Isyak dan setelah melipat dan mengemas sejadah yang digunakannya itu suaminya meletakkannya dekat dinding. Kira-kira jam 8.20 beliau pula mengerjakan solat Isyak

“Apabila saya memulakan solat, saya terasa seram sejuk dan selepas rakaat terakhir tahiyat akhir, dan memberi salam ke kanan, saya begitu terperanjat lalu menjerit apabila mendapati sejadah yang terletak dekat dinding yang telah digunakan suami betul-betul duduk berada di belakang saya dan keadaannya tidak lagi berlipat tetapi terlonggok seperti orang duduk,” katanya.

“Apabila mendengar jeritan suami saya lalu bergegas masuk ke bilik dan dia juga amat terkejut menyaksikan kejadian itu,” katanya.

Asimah juga memberitahu semasa solat dia terasa seperti ada orang sedang berada di belakangnya dan menyentuh bahu kanannya namun beliau tidak peduli kerana masih khusyuk mengerjakan solat.

Suami beliau, Hamid Baba ketika ditemui berkata, selepas solat Isyak beliau telah melipat sejadah itu dan meletakkannya dekat dinding dan beliau juga amat terperanjat apabila melihat sejadah itu duduk.

Hamid berkata pada kebiasaannya selepas solat beliau akan mengemas dan melipat sejadah itu dengan kemas.

“Sejadah ini adalah permaidani yang lembut dan bukan mudah untuk mendudukkannya dengan cara apa yang berlaku dan kami bukan mereka-reka kejadian ini dan demi Allah ia berlaku sedemikian dan merupakan antara kejadian ajaib menunjukkan kebesaran Allah,” kata Hamid dan isterinya.

Selepas kejadian itu, rumah Hamid menjadi tumpuan bukan saja penduduk Weston bahkan ada yang datang dari sekitar Pekan Beaufort, Kuala Penyu, Menumbok, Sipitang dan Kota Kinabalu.

Hamid berkata ratusan orang ramai telah datang menyaksikan sejadah itu dan beliau memberikan peluang mereka untuk menyaksikan kejadian ajaib itu kerana ia sesuatu kejadian yang jarang berlaku. -NST

Nik Aziz dijangka kekal Mursyidul Am

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) dijangka akan dikekalkan sebagai Mursyidul Am PAS untuk tempoh lima tahun lagi walaupun adanya spekulasi sudah wujud ‘keretakan’ hubungan di kalangan pemimpin tertinggi parti itu.

Keputusan dijangka diputuskan oleh Majlis Syura Isnin ini.

The Malaysian Insider difahamkan Nik Aziz dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, walaupun mempunyai kekuatan dan pengaruh tersendiri dalam Majlis Syura, tetapi mereka masih kekal hubungan mesra dan ia tidak akan menjejaskan kedudukan Menteri Besar Kelantan itu.

Spekulasi itu dikaitkan isu idea kerajaan perpaduan antara PAS-Umno yang ditolak Nik Aziz dan gesaan Nik Aziz tahun lalu meminta agar diadakan muktamar agung tahunan khas untuk memilih barisan kepimpinan yang baru.

Majlis Syura telah mengadakan pertemuan pertama untuk sesi kepimpinan semasa di sini malam kelmarin.

“Pertemuan malam tadi (kelmarin) hanya memutuskan pelantikan anggota Majlis Syura dan dengan kuorum penuh (kehadiran semua anggota), kami akan putuskan Mursyidul Am dan timbalannya dalam pertemuan kuorum penuh Isnin ini,” kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Ketika ditanya kedudukan Mursyidul, Tuan Ibrahim yang juga salah seorang anggota Majlis Syura memberitahu, beliau yakin Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan akan dikekalkan.

“Saya rasa tiada (apa-apa) masalah, beliau akan dikekalkan,” katanya lagi.

“Malam tadi (kelmarin) kami telah melantik semula Datuk Nik Aziz dan Timbalan Mursyidul Am Datuk Haron Din sebagai anggota Majlis Syura,” katanya.

Kata beliau, kali ini majlis ini juga dianggotai oleh wakil Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat.

Dalam pada itu seorang lagi Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, antara yang turut dilantik semula ke Majlis Syura dalam mesyuarat pertamanya malam kelmarin ialah Nik Aziz.

“Saya tidak tahu secara rasmi siapa dilantik semalam (kelmarin), cuma saya difahamkan Datuk Nik Aziz dan Datuk Haron antara dilantik semula duduk dalam Majlis Syura,” kata Mahfuz ketika dihubungi.

Majlis Syura PAS mengadakan mesyuarat pertamanya kelmarin di bawah sesi baru mandat kepimpinan dengan dipengerusikan oleh Hadi.

Selain wakil jawatankuasa pusat PAS turut menduduki Majlis Syura ialah wakil Dewan Ulama dan dua wakil bagi Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat.

Wakil jawatankuasa pusat ialah Hadi, timbalan presiden Nasharudin Mat Isa, Tuan Ibrahim dan ahli jawatankuasa pusat Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.

Wakil Dewan Ulamak adalah Ketuanya Datuk Harun Taib, timbalan Datuk Ahmad Yaakub, naibnya Datuk Dr Mahfudz Mohamad dan Nik Zawawi Salleh.

Wakil Dewan Pemuda pula Ketuanya Nashrudin Hassan Tantawi dan Zaharudin Muhamad manakal Dewan Muslimat belum memutuskan wakil mereka tetapi menghantar lima nama untuk dipilih.

Dalam pada itu dipetik Harakah Daily, Mahfuz berkata beliau difahamkan mesyuarat kelmarin berbincang untuk melantik lima orang ahli Majlis Syura di kalangan sesiapa sahaja ahli PAS, yang tidak semestinya dari jawatankuasa PAS pusat atau siapa-siapa yang difikirkan layak.

“Jadi semalam (kelmarin) mereka bermesyuarat, saya difahamkan mereka hanya melantik lima orang sahaja tetapi belum melantik siapa Mursyidul Am,” kata Mahfuz.

Kata Mahfuz, Majlis Syura akan bermesyuarat semula bersama lima wakil yang baru dilantik bagi melantik Mursyidul Am.

“Ini peruntukan perlembagaan sama ada melantik orang lama atau orang baru saya tidak tahu, boleh melantik orang baru sebagai Mursyidul Am tetapi itu belum diputuskan,” katanya. -MI

Macam-macam: Askar India guna cili

GAUHATI: Tentera India kini mempunyai sejenis senjata baru berhadapan dengan serangan pengganas iaitu cili paling pedas di dunia.

Selepas menjalani ujian, pihak tentera memutuskan untuk menggunakan cili bersaiz ibu jari, ‘bhut jolokia’ atau dikenali dengan cili hantu untuk menjadikan gas pemedih mata bagi menyuraikan suspek, kata pegawai pertahanan.

Bhut jolokia diterima Guinness World Records pada 2007 sebagai cili paling pedas di dunia. Ia ditanam kebanyakan penduduk di utara India sebagai penyembuh masalah perut dan pemanas badan. – Agensi

Ceramah Perdana 'Minyak Sabah Untuk Siapa?"


JANGAN LUPA!. Datang beramai-ramai mendengar hak anda dan hak Sabah untuk mendapat ekuiti yang seimbang berhubung minyak dan gas yang disedut daripada bumi Sabah. Amanat Perdana akan disampaikan oleh Mantan Menteri Kewangan Malaysia merangkap Mantan Pengerusi/ Pengasas Petronas. Sebagai penyiar rasmi Majlis Berkenaan, Sabahkini.net akan membawa kepada anda semua berita berhubung isu minyak dan hak Sabah dari semasa ke semasa.

Wednesday, March 24, 2010

Ghapur marah Zahrain kaitkannya lompat parti

Datuk Abdul Ghapur Salleh (BN- Kalabakan) kelmarin mela- hirkan rasa marahnya di Dewan Rakyat terhadap Datuk Seri Zahrain Mohamed Has- him (Bebas-Bayan Baru) kerana menamakan beliau sebagai antara lapan wakil rakyat Barisan Nasional yang kononnya diumpan bagi menyertai rancangan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih kerajaan pada 16 Sept 2008.

“Saya sudah katakan saya tidak pernah diumpan, tidak pernah dipujuk dan tak pernah pergi Taiwan, bererti saya bukanlah golongan yang dipujuk untuk lompat. Jadi bererti umpan yang dibagi kepada rakan mungkin tidak cukup, jadi tidak lompat, umpan yang dibagi kepada Ahli Parlimen Bayan Baru ini besar, sebab dia lompat,” katanya ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Yang di- Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Abdul Ghapur mendesak Zahrain, yang baru-baru ini keluar daripada Parti Keadilan Rakyat untuk menjadi wakil Bebas, supaya menarik balik kenyataan yang menamakan beliau antara yang diumpan untuk lompat parti serta meminta maaf kepadanya.

Beliau turut mempersoal- kan tindakan Zahrain menyifatkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sebagai komunis.

“Bolehkah dalam dewan ini tunjuk satu orang antara kita ini komunis. Ini (tuduhan Zahrain) bukan bukti, ini salah dari segi peraturan, mana boleh duduk dalam Dewan Rakyat, Dewan Undangan Negeri seorang komunis,” katanya.

Abdul Ghapur turut mempersoalkan tindakan Zahrain yang meninggalkan Parti Keadilan Rakyat dua tahun selepas mengetahui pembohongan peristiwa 16 Sept yang diilhamkan Anwar.

“Sekarang sudah jadi Bebas dan kemudian nanti mahu masuk Umno. Jangan terima orang seperti ini. Kalau dia boleh gigit ketua dia, dia boleh gigit ketua kita juga,” katanya.

Abdul Ghapur berkata beliau membangkitkan isu itu selepas dihubungi ramai pemberita setelah Zahrain menyebut namanya ketika membuat pende- dahan di Dewan Rakyat mengenai rancangan Anwar meng- ambil alih kerajaan minggu lepas.

“Mungkin sekarang sudah gemuk, sudah kenyang, jadi macam-macam tohmahan, saya tidak tahu perjanjian dia dengan parti pembangkang, saya tidak tahu, saya bukan pernah di sana, tapi kenapa libatkan saya yang tidak ada dosa ini,” katanya.

Datuk Mohamad Aziz (BN- Sri Gading) kemudian bangun mencelah dan meminta Abdul Ghapur bertenang.

“Bayan Baru menceritakan, dia tidak menuduh Kalabakan, jadi…,” kata Mohamad.

Abdul Ghapur enggan memberi ruang serta mempertikaikan tindakan Mohamad mahu membela Zahrain.

“Takkan Sri Gading mahu bela, sedangkan saya dalam BN, mahu bela pembangkang yang mungkin mahu masuk Umno. Saya minta maaf saja, kalau orang seperti ini masuk Umno, mungkin Umno punya orang akan keluar,” katanya.

Beliau juga enggan membenarkan Zahrain mencelah walaupun untuk memberi penjelasan berhubung perkara itu. Abdul Ghapur turut menyatakan pendiriannya berhubung tindakan keluar parti.

“Saya kalau keluar parti, (adalah kerana) saya tidak percaya kepada pucuk pimpinan, bukan kerana dibeli. Ini penting, jangan bikin tohmahan yang bukan-bukan,” katanya. -NST

Skim cepat kaya guna nama Islam dikesan di Perak

Sebuah syarikat di sini dikesan menjalankan skim cepat kaya menggunakan nama “Islam” yang beroperasi aktif di Perak sejak Januari lepas dengan menyasarkan pelajar institusi pengajian tinggi.

Pengarah Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Perak, Mokhtar Sulaiman, berkata syarikat yang dipercayai beroperasi dari sebuah pejabat di sini menjalankan aktiviti berkenaan melalui kaedah wang pos.

“Beberapa peserta telah membuat laporan selepas menyedari mereka ditipu. Pengasas skim itu sangat bijak kerana menggunakan agama Islam dalam pelaburannya bagi menarik perhatian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Cabaran Pengguna Di Pasaran peringkat negeri Perak di sini hari ini.

Mokhtar berkata siasatan awal mendapati antara pelajar yang terjebak telah menggunakan wang pinjaman pendidikan untuk melabur dalam skim itu.

Beliau berkata siasatan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia sedang dijalankan terhadap syarikat berkenaan.

Setakat ini, katanya, aktiviti itu dipercayai terhad di Perak dan belum menular ke tempat lain. — Bernama

Mungkin Tiada Pilihan Raya Kecil di Perlis

KALAU yang menghantar surat perletakan jawatan sebagai Adun itu dari kalangan Pakatan Rakyat, sudah tentu dunia akan riuh randah. Kalau tidak sampai langit nak runtuh pun, pasti bumi akan retak.Media massa kroni akan membuat berbagai ulasan berhubung dengan tindakan Adun itu. Tetapi nasib baik ianya berlaku ke atas Adun UBN, dari kumpulan MCA.



Media massa hanya melaporkan secara leteral saja perletakan jawatan Adun oleh Yip Sum Onn (foto) tanpa kupasan dan analisa mendalam seperti selalunya. Ia hanya melaporkan seagai berita biasa saja tidak disensansikan. Kalaulah Yip itu orang Pakatan sudah tentu ianya akan diulas, digambarkan bahawa Pakatan semakin lemah, kucar kacir dan entah apa-apa lagi

Sudah tentu ianya akan dikaitkan dengan prestasi negeri berkenaan di mana kejadian itu berlaku sebagai tidak menunjukkan pencapaian yang tidak memuaskan. Dan tindakan Yip itu juga akan digambarkan sebagai tindakan tidak percayai kepada pemimpin partinya di peringkat negeri berkenaan.

Tetapi sayang kerana ia berlaku dari kalangan UBN menyebabkan media massa jadi tidak bermaya dan ghairan untuk mengulas panjang. Kurang seronok untuk membuat ulasan. Inilah hakikat media massa negara ini senget sebelah.

Baru sekejap tadi saya menghubungi seorang pemimpin Umno negeri Perlis untuk bertanya apa yang berlaku itu. Menurut pemimpin itu apa yang berlaku itu sudah pun dijangka. Ia ada kaitan dengan kelemahan Umno Perlis yang dipimpinan Mohammad Isa Sabu yang juga MB.

Apabila ditanya apakah ia juga ada kena mengenai dengan kekalutan dalam UBN sendiri khasnya MCA, pemimpin itu tidak menafikan. Tetapi katanya apa yang Yip lakukan itu satu protes permulaan.

Jika tidak disekat menurutnya, atau gagal mengatasi masalah yang ada mungkin akan ada lagi Adun UBN yang tidak berpuas hati dan mengambil tindakan meletak jawatan. UBN Perlis boleh jadi huruhara.

“You tengoklah nanti mungkin ada lagi kejutan selepas ini. yang jelasnya Mohammad Isa Sabu tidak mampu untuk memimpin Perlis,” ujarnya yang cuba menyembunyikan masalah sebenar di Perlis.

Perletakkan jawatan Adun Titi Tinggi itu disifatkan pemimpin berkenaan sebagai kegagalan Mohamad Isa Sabu sebagai MB. Katanya kalau beliau (Mohamad Isa) pandai dan bijak, tidak mungkin Adun Titi Tinggi itu melepas jawatan dalam keadaan sekarang.

“Apa yang berlaku menunjukkan kebenaran palsu yang disogokkan olehnya sebelum ini sudah terjawab,” ujarnya tanpa menjelas lanjur apa dimaksudkan kebenaran palsu itu.

Sementara seperti mana dilaporan media massa usaha sedang djalankan oleh pemimpin UBN untuk memujuk Yip supaya menarik balik perletakan jawatan itu. Pemimpin tertinggi MCA juga akan berusaha keras untuk memastikan Yip menarik balik perletakkan jawatan.

Sehingga kini speaker DUN Perlis juga belum menghantarkan surat itu kepada SPR. Dan kalau pun ia telah dihantar mungkin SPR akan membekukannya untuk memberi peluang kepada Yip menarik balik surat perletakan jawatan itu. SPR akan jadi lebih bertolak ansur kalau berdepan dengan kes-kes meliatkan Adun UBN.

Sebenarnya bagus juga kalau Yip tarik balik perletakan jawatan itu bagi mengelak diadakan pilihan raya kecil. Sudah banyak pilihan raya kecil berlaku jadi eloklah kalau tidak ditambah lagi. Lagipun pilihan raya itu tidak begitu mendesak kerana kalau kerusi itu bertukar kepada Pakatan pun ia tidak merubahkan kedudukan kerajaan Pelis yang kini dikuasai UBN.

Saya percaya Pakatan juga tidak begitu ghairah untuk menyertai pilihan raya. Yang jelasnya dengan apa yang berlaku itu ia menyeronokan Shahidan Kassim kerana beliau boleh eksploit keadaan itu untuk membuktikan bahawa beliau saja yang mampu dan layak memimpin Perlis.
Apapun saya yakin pilihan raya untuk kerusi Titi Tinggi tidak akan diadakan!

http://msomelayu.blogspot.com/

Retakan SPDP bakal mengundang malapetaka BN Sarawak?

Kemelut dalaman Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), yang tercetus kerana percaturan politik "dalang di sebaliknya", bakal mengundang malapetaka yang akhirnya memberi ruang kepada pembangkang untuk menggulingkan kerajaan negeri Barisan Nasional di Sarawak?


Langkah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak semakin hampir. Menurut pandangan sama ada pemerintah mahupun pembangkang di Sarawak, seandainya krisis yang melanda SPDP, parti komponen BN ketiga terbesar di Sarawak gagal dikawal, malah merebak ke Partai Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), maka Pakatan Rakyat berkemungkinan untuk melakukan kejutan di bumi kenyalang ini.


Parti komponen dominan BN Sarawak, PBB kini dibelenggu dengan pelbagai faktor yang "tidak menentu". Usia beberapa pemimpin tertinggi sudah lanjut, termasuk Ketua Menteri Sarawak Abdul Taib bin Mahmud (74 tahun), tetapi belum pula diberi kata putus siapakah penggantinya selepas ini.

Khabar tersebar bahawa Taib Mahmud berhasrat untuk menaikkan anaknya, Sulaiman Abdul Rahman agar mewarisi tempatnya supaya lagenda penguasaan politik Sarawak oleh kerabat Melanau bersinambungan. Seandainya khabar ini benar, ia bakal mencungkil ketidakpuasan dalam parti, malah sentimen ini mungkin mengombak sehingga mengkaramkan dinasti BN di Sarawak.


Gabungan SPDP dengan PRS

Krisis SPDP tercetus apabila Naib Presidennya, Peter Nansian menggerakkan usaha penggabungan SPDP dengan Parti Rakyat Sarawak (PRS), yang diketepikan sekian lama. Puak Peter Nansian tidak berpuas hati dengan presidennya selepas pemilihan parti pada akhir tahun 2009. Dalam keadaan tersepit, lapan orang pimpinan utama SPDP, termasuk penyandang jawatan ahli parlimen mahupun ADUN, menyertai PRS.


Kejadian sebesar ini tidak mungkin berlaku tanpa "agenda" tersembunyi di sebaliknya. Demikianlah tekaan yang bermain dalam otak mereka yang fasih dengan politik tempatan Sarawak. Seandainya SPDP mengamalkan budaya politik "membodek" dan terus berperanan sebagai pak turut, maka ia mungkin kekal tenteram di gelanggang politik Sarawak. Namun, beberapa langkah SPDP baru-baru ini telah memperlihatkan "cita-cita politik"-nya, yang melewati kesabaran PBB.


Agenda tersembunyi: pecah-belahkan Dayak

Antara lapan orang yang menyeberang ke PRS, Peter Nansian adalah seorang ahli politik veteran. Sebagai seorang "Menteri Muda" di Sarawak, mustahil Peter Nansian tidak mengetahui apa akibat daripada tindakannya yang belum dipersetujui kebanyakan anggota parti.


Malah, Presiden PRS, James Masing sebenarnya tidak perlu memikul risiko untuk berbalah dengan SPDP, lantaran tindakannya menyambut baik Peter Nansian. Jawapannya amat jelas, segala-gala ini adalah percaturan politik "tokoh" di sebalik tabir. Persoalan siapakah "tokoh" ini, bukan lagi sesuatu yang rahsia.


Percaturan politik sedemikian bukan sesuatu yang baru di bumi kenyalang. Parti komponen BN Sarawak seketika dahulu, Sarawak National Party (SNAP) dan Parti Bangsa Dayak Sarawak (PBDS) juga dilumpuhkan dengan strategi yang sama. Bermula dari retakan dalaman, dan berakhir dengan pergantungan pendaftarannya. Terdapat persamaan antara kedua-dua parti ini dengan SPDP, iaitu sumber dan kekuatannya berasal dari kaum Dayak.


Sejarah retakan komuniti Dayak

Pada hakikatnya, seandainya diimbas sejarah politik Sarawak, SNAP, PBDS dan SPDP sebenarnya "triniti", kerana kedua-dua PBDS dan SPDP berasal dari SNAP. PBDS ditubuhkan hasil retakan daripada SNAP, malah bertarung antara satu sama lain setelah diangguk oleh Ketua Menteri Sarawak, Taib Mahmud dalam pilihan raya negeri pada tahun 1983.

Keputusan pilihan raya tersebut memperlihatkan kekuatan yang setanding antara SNAP dengan PBDS, iaitu 50% masing-masing. Lantaran daripada itu, kedua-duanya hilang kedudukan sebagai parti komponen BN kedua terbesar, digantikan oleh Sarawak United People's Party (SUPP).


PBDS tidak berpuas hati dengan senario selepas pilihan raya tahun 1983. Ia dilanjutkan kepada krisis Ming Court pada tahun 1987, yang kemudiannnya menjurus kepada pilihan raya kilat. PBDS bekerjasama dengan Persatuan Rakyat Malaysia Sarawak (PERMAS) untuk mencabar BN, namun tewas dengan majoriti lima kerusi.


Kesudahan ini menyemai benih kegagalan dalam parti-parti ini. Selepas pilihan raya negeri Sarawak pada tahun 1991, PBDS sudah tidak terdaya untuk melakukan sesuatu, malah kehilangan lebih kerusi dan terpaksa kembali ke pangkuan BN tanpa syarat. SNAP pula berjaya mengembalikan sebahagian kerusinya, dan berpuas hati dengan kedudukan keempatnya dalam BN Sarawak.

Untuk jangka 10 tahun, politik Sarawak tenang tanpa gelora. Walaupun DAP pernah memenangi dua kerusi DUN pada pilihan raya negeri tahun 1996, tetapi ia tidak memberi apa-apa kesan.


Dayak menguasai 50%

Menjelang tahun 2000, agenda penggabungan antara SNAP dan PBDS diuar-uarkan semula. Ia menjurus kepada kemusnahan kedua-dua parti ini. Penguasaan 50% DUN oleh orang Dayak telah menjadi duri dalam daging untuk kaum lain (tidak termasuk Cina), terutamanya kaum minoriti yang memegang tampuk pimpinan, iaitu Melanau.

Pada tahun 1983, tangan di sebalik tabir politik Sarawak menggunakan pelbagai strategi untuk menyekat kuasa SUPP daripada mengembang, agar Melanau terus menguasai politik Sarawak. Oleh itu, tindakan PBDS dan SNAP untuk membangkitkan semula isu penggabungan dilihat sebagai provokasi.

Setelah agenda penggabung terdedah, SNAP mula terjerat dengan pelbagai masalah, sehingga pendaftaran partinya dilucutkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia pada November 2002.

Sama ada SPDP, SNAP mahupun PBDS, kesemuanya mengalami kemerosotan selepas itu. Perbalahan puak-puak dalaman parti, kehilangan sokongan dalam pilihan raya dan sebagainya, telah menjurus kepada kemalapan parti-parti tersebut.


SPDP bakal meretak

Pada tahun 2008, isu penggabungan antara SPDP dengan PRS diungkit semula. Apa yang menyusul kemudiannya adalah pertarungan dalam pemilihan parti SPDP. Cubaan demi cubaan dilakukan untuk menggulingkan pimpinan dalam SPDP, bagaimanapun, berakhir dengan kegagalan.


Sesungguhnya pimpinan SPDP berjaya mematahkan serangan ini, tetapi terpaksa mengakur apabila lapan orang pemimpin yang diketuai Peter Nansian, menyeberang ke PRS.


Dalam perkiraan Presiden PRS James Masing, parti komponen yang lain sebenarnya tidak boleh berkembang di bawah dominasi PBB. Daripada 71 DUN Sarawak yang dipertandingkan, PBB diperuntukkan 35, sementara SUPP 19, SPDP 9 dan PRS 8. "Penyeberangan" lapan orang ini telah memperluaskan empayar PRS, seperti yang dicita-citakan James Masing.

Untuk James Masing, sekiranya segala-galanya berjalan dengan lancar, maka hasratnya tercapai; jikalau sebaliknya, BN Sarawak bakal meleraikan perbalahan ini.

Daripada peruntukan kerusi DUN, PBB hanya kekurangan satu kerusi untuk membentuk kerajaan negeri di Sarawak. PBB boleh memilih untuk tidak mengendahkan parti komponen yang lain. Namun, pengembangan pengaruh pembangkang di Sarawak kini membimbangkan PBB, terutamanya di kawasan Iban.


Oleh yang demikian, kemelut politik dalam BN ini telah mencelarukan langkah BN untuk masuk ke gelanggang pilihan raya negeri. Seandainya keadaan tidak terkawal, tidak mustahil kemelut ini akan menjadi ribut politik di bumi kenyalang.

*Jiang Hao Ran ialah penganalisa politik di Sarawak. Tulisan ini diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang.