Thursday, March 25, 2010

Amalan Songsang Pentadbiran BN?

AMALAN SONGSANG dalam mengimplementasikan Undang-Undang mahupun dasar dasar kerajaan yang berlaku sekarang perlu diperbetulkan segera; untuk mengelakkan lebih banyak kemudaratan akan berlaku terhadap sistem yang digunapakai kerajaan BN ketika ini.

Bukan sahaja bersabit kepada isu yang ditimbulkan Peguam Kanan Sabah Haji Ansari Abdullah yang melihat kes Pengarah Jabatan Perkhidmatan Am Sabah, Etong @ Ithong Terang yang boleh ditangkap dan dipenjarakan kerana dianggap menghina mahkamah apabila meluluskan ‘Anak Pelihara’ tanpa melalui proses mahkamah, selaras dengan Fasal 30 (4) Akta Kanak-Kanak 2001.




Malahan dalam banyak perkara yang berlaku di jabatan-jabatan lain, seperti perlantikan Ketua Kampung (KK) di mana pemimpin yang dilantik tidak dikenali penduduk kampung setempat (Kg Ulu Keritan Senagang) yang didakwa mereka sebagai orang asing (PTI) tapi memiliki Kad pengenalan.

Dalam pada itu, ketika kerancakan isu tersebut menjadi buah mulut masyarakat, seorang pemimpin yang juga Timbalan Penatua (Council of Elders Deputy Chairman) PKR Robert Linggi bangkit untuk membela masyarakat di perkampungan terbabit di mana penduduknya, majoriti 99 peratus adalah Kadazandusunmurut (KDM).

“Malangnya ada pihak-pihak tertentu dalam kerajaan mengatakan perlantikan Ketua Kampung terbabit ‘sah’ kerana dia ada Kad Pengenalan. Bagaimanapun saya mempersoalkan status dia di mana Kg Ulu Keritan majoriti penduduk dari golongan suku KDM, macam mana boleh seorang yang tidak dikenali dan berketurunan minoriti (kalau betullah dia anak tempatan) menjadi Ketua Kampung di sana,” tegas Robert.

Selain itu, satu kes yang agak menarik yang pernah tersiar di akhbar akhbar tempatan beberapa bulan lalu di mana seorang penduduk jati di Kg Motolop Pangi, Soromon Tandon meminta kerajaan khususnya Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (MHEANS) supaya mengkaji semula perlantikan seorang Ketua Kampung yang bukan anak jati kampung terbabit, KK Ating Keningkod.

KK Ating Keningkod difahamkan berketurunan dari kesukuan Dusun dan berasal di Kg Paguokon Tengah, sedangkan Kg Motolop berpenduduk majoriti 99 peratus suku Murut.

Rasionalnya, kes-kes yang terpampang di atas menunjukkan bahawa kerajaan tidak serius dalam melaksanakan tanggungjawabnya dan Pegawai yang melakukan tugas itu boleh disifatkan sebagai ‘membelakangi prosedur kerajaan dan Undang- Undang’.

Apa yang didedahkan Peguam Kanan Haji Ansari adalah jelas menunjukkan bukti-bukti yang nyata bahawa Pengarah terbabit boleh dikenakan tindakan tegas mengikut Undang-Undang kerana mengenepikan kuasa-kuasa yang sepatutnya ada pada Mahkamah untuk membuat keputusan mutlak.

Sekalipun Pengarah itu mempunyai bidang kuasa dari aspek Pentadbiran, namun dari aspek perundangan segala urusannya harus dirujuk kepada Mahkamah untuk menentusahkan peraturan yang patut terpakai.

Nampaknya kerajaan tidak boleh berdiam diri sahaja dan harus melakukan pembetulan atau sekurang-kurangnya melakukan rombakan secara besar-besar seperti yang bakal berlaku dalam penghujung bulan ini untuk memastikan satu lagi badan MEN yang menfokuskan pengurusan Kewangan, Ekonomi dan Pentadbiran bergerak menepati sasaran tepat sepertimana yang diumumkan PM baru-baru ini.

Dalam hal ini, Jabatan Kebajikan Masyarakat sewajarnya ditubuhkan di Sabah kerana semua pegawai bersetinggan di Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah (JPKAS) atas dasar palsu, ‘Concurrent List’ yang disalah tafsir dan digunakan untuk kepentingan peribadi pemimpin BN Sabah.

Walaupun gaji dan semua emolumen dibayar oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKM), namun JPKAS sewenang-wenangnya menggunakan kakitangan JKM untuk menjalankan pelbagai tugas Kerajaan Negeri dan mengabaikan tugas yang diamanahkan Kerajaan Persekutuan.

KESIMPULANNYA, apakah Pengarah Jabatan Audit Negara dan MAMPU tidak mampu lagi menjalankan ‘appraisal audit’ dan keperluan gunatenaga serta hiraki semua Jabatan Persekutuan di Sabah kerana sehingga kini hanya JKM yang masih bersetinggan di JPKAS?

Oleh: GONOD M (sabahkini)

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.