Jentera penerangan BN di Sarawak semakin tertekan apabila penerangan isu-isu semasa yang mereka sampaikan gagal dan kurang berkesan terutamanya bagi penduduk luar Bandar di negeri itu.
Sehubungan itu, BN pusat atas nama kementerian tertentu telah berpakat dengan Presiden Umno, Najib Razak apabila 13 wakil di bahagian Miri telah ‘diarah’ ke Putrajaya untuk menemui kementerian ‘penting’ yang berkaitan isu-isu penting di Sarawak.
Lawatan ketua-ketua kaum itu yang kononnya atas nama ‘lawatan sambil belajar’ telah berangkat ke Putrajaya sejak 21 Mac lalu dan akan berada di pusat pentadbiran kerajaan pusat itu selama seminggu.
Pegawai Daerah Miri merangkap ketua rombongan itu, Boniface Intang Apat dilaporkan berkata, lawatan itu bertujuan untuk mendedahkan ketua-ketua masyarakat terbabit dengan polisi yang dipraktikkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dalam mentadbirkan kerajaan.
“Lawatan ini seterusnya dapat memperluaskan pengetahuan serta pengalaman ketua-ketua masyarakat tentang polisi yang dilaksanakan Datuk Seri Najib Abdul Razak sejajar dengan konsep 1Malaysia, Rakyat didahulukan Pencapaian Diutamakan,” katanya.
Menurutnya, rombongan tersebut akan melawat Kementerian Luar Bandar dan Wilayah Putrajaya, Kementerian Tenaga Teknologi Hijau dan Air Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Mereka seterusnya akan melawat Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dan Suruhanjaya Air Negara (SPAN).
Sehingga kini, antara isu-isu yang gagal diselesaikan oleh kerajaan negeri yang diterajui BN di Sarawak ialah jenayah seksual terhadap kaum Penan, tiada kemudahan asas seperti elektrik dan bekalan air bersih di hampir semua tempat di negeri itu dan rampasan tanah oleh kerajaan negeri terhadap kaum Peribumi di pedalaman dan masyarakat Cina di Bandar.
Rombongan itu juga seterusnya akan menghadiri majlis makan malam bersama Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui yang akan diadakan pada sebelah malamnya.
Peter Chin ialah pimpinan tertinggi parti SUPP, salah satu sekutu BN di Sarawak yang sehingga kini gagal meraih sokongan Cina.
Antara ketua masyarakat yang mengikuti rombongan itu ialah, Temenggung Lim Siong Yew, Temenggung Atong Limping, Temenggung Abdul Rahman Fadzil, Pemanca Wilson Siang Lim, Pemanca Lee Sie Tong, Pemanca Abg Mohd Dato Sri Abg Othman, Penghulu Ibrahim Karim, Penghulu Adam Bujang, Penghulu Chio Siong Nang, Penghulu Ahmad Lamat, Penghulu Ahmad Raman, dan Penghulu Randi Elon.
Oleh Masdar Wahid
Thursday, March 25, 2010
Menjelang Pilihanraya Sarawak : Ketua Kaum ‘diarah’ jumpa Najib ?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Write commentsNote: Only a member of this blog may post a comment.