Thursday, July 21, 2011

PTPTN: Syarat buka akaun SSPN dikenakan semula

Pemohon pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan dikenakan semula syarat perlu membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dengan simpanan minimum RM20 bermula tahun depan.

uum discipline action against student 260209 mohamed khaled nordinMenteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata syarat itu dikenakan semula untuk menggalakkan budaya menabung di kalangan masyarakat sebagai persediaan untuk anak-anak mereka melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT).

"Kita menggalakkan semua peringkat umur menabung walaupun masih bayi. Proses membuka akaun juga kita sudah mudahkan. Kalau dulu 14 hari, hari ini mengambil masa sehari sahaja," katanya kepada pemberita selepas melancarkan seminar PTPTN bersama IPT, pelancaran semula SSPN dan penyerahan pembiayaan pendidikan daripada institusi kewangan kepada PTPTN di Putrajaya, hari ini.

SSPN dimulakan pada 2004 dan pada 2008 pembukaan akaun dijadikan syarat untuk penuntut IPT mendapatkan pinjaman PTPTN, sebelum ia dimansuhkan pada 2009 sehingga 2011 akibat masalah sistem.

Sejak dilancarkan pada tahun 2004 sehingga kini, SSPN mempunyai 990,000 pendeposit dengan jumlah tabungan RM465 juta.

ptptn one stop centre kl sentral 260307 boothsMohamed Khaled turut mengalu-alukan sumbangan daripada institusi kewangan atau syarikat korporat untuk memberi pembiayaan pendidikan sebagai dermasiswa kepada PTPTN untuk membantu pelajar yang kurang berkemampuan melanjutkan pelajaran ke IPT.

"PTPTN bercadang untuk menguruskan dana ini. Selain pinjaman PTPTN yang mereka perolehi, pelajar yang layak juga akan mendapat tambahan bantuan kewangan daripada pembiayaan pendidikan ini.

"Katakan, sepanjang pengajian dia pinjam RM15,000 (daripada PTPTN). Sama ada nak tolak RM2,000 (daripada pembiayaan) dan tinggal RM13,000, PTPTN akan tentukan bagaimana caranya. Siapa pelajar yang akan dapat nanti, PTPTN yang akan tentukan kriteria," katanya.

Beliau menjangka bantuan untuk pelajar berkenaan menggunakan wang dana itu, akan dimulakan seawal September ini atau bermula tahun depan.

Hari ini sumbangan pembiayaan pendidikan bernilai RM250,000 diterima daripada agensi korporat seperti Ambank Group, Kuwait Finance House dan Malaysia Building Society Berhad (MBSB).

- Bernama / MK

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.