* IBARAT melepaskan batuk di tangga. Begitulah keadaan yang digambarkan oleh penduduk di tiga buah kampung di Kota Belud, yang mendakwa tidak pernah mendapat manfaat sepenuhnya daripada pembinaan paip graviti di Kg. Song-Song.
JURAGAN, yang mewakili penduduk Kg. Song-Song, Kg. Marajah dan Kg. Donggoi meminta pihak yang bertanggungjawab supaya turun padang memantau keadaan itu.
Katanya, “Projek ini dibina sejak tiga tahun lalu dibawah seliaan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLBW), tetapi tidak pernah memberi manfaat kepada penduduk terutamanya di Kg. Marajah dan Kg. Donggoi.
“Saya tidak nafikan, sememangnya Kg. Song-Song pernah mendapat air melalui paip graviti itu, tetapi tidak sampai setahun. Kerana empangan graviti kurang sesuai dan kini sudah kering kontang.”
Juragan turut mendakwa, kini penduduk Kg. Song-Song dan Kg. Marajah hanya mengharapkan air hujan dan sebuah perigi untuk keperluan harian. Manakala penduduk di Kg. Donggoi pula terpaksa bergantung dengan sumber air sungai dan selain air hujan.
“Selama ini kami terpaksa menggunakan sumber air hujan dan berkongsi air perigi… Bayangkanlah bagaimana kami menguruskan kehidupan seharian kami dengan keadaan ini,” katanya sedih.
Selain itu, Juragan memaklumkan bahawa ada pihak yang datang mengadakan bengkel di Kg. Song-Song untuk mendengar keluhan penduduk di tiga buah kampung berkenaan namun hingga kini masalah mereka belum selesai.
“Oktober tahun lepas, pegawai dari KKLBW dan pegawai INFRA cawangan Sabah, datang ke kampung ini. Justeru penduduk mengambil kesempatan meluahkan masalah yang dihadapi. Malah mereka berjanji akan membantu kami, namun hingga kini ia seolah-olah tidak ada susulan,” adunya lagi.
Juragan berharap agar aduannya diberi perhatian sewajarnya oleh pihak yang bertanggungjawab sebelum masalah penduduk berlanjutan lebih lama lagi.
“Kini masalah kami bertambah teruk disebabkan musim kemarau yang berlanjutan agak lama. Justeru kami berharap agar ada pihak yang tampil menghulurkan bantuan dalam masa terdekat,” pintanya.
* ActionLine ketika menghubungi KKLBW di Sabah dimaklumkan bahawa kesemua pegawai atasan sedang menghadiri mesyuarat penting di Kuala Lumpur dan hanya akan kembali hujung minggu ini.
Seterusnya ActionLine menghubungi pegawai Daerah Kota Belud dan dimaklumkan bahawa pihaknya belum pernah mendengar sebarang aduan berhubung paip graviti di kampung berkenaan.
“Pihak kami tidak pernah dimaklumkan mengenai hal ini. Namun merujuk kepada keadaan kemarau sekarang, memang tidak dinafikan banyak tempat yang mengalami masalah bekalan air dan pihak kami kini sedang membincangkan perkara ini dengan beberapa pihak lain, dalam mencari jalan terbaik bagi menanganinya,” katanya.
“Apapun kami terima aduan ini seadanya dan akan mengambil tindakan lanjut demi kebaikan bersama,” tambahnya lagi. -NST
Friday, March 26, 2010
Paip graviti didakwa tidak beri manfaat kepada penduduk kampung
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Write commentsNote: Only a member of this blog may post a comment.