Friday, March 26, 2010

DEMONSTRASI TUNTUT HAK ASASI DI TENOM

SATU demonstrasi secara aman yang disertai kira-kira tiga ratus penduduk sekitar Kg Kalibatang dalam mukim Tomani berhimpun seawal pagi bermula lebih kurang jam 8.30 pagi diperkarangan Pejabat Daerah Tenom kerana menuntut hak asasi tanah adat dan juga hak keadilan dari segi Undang-Undang yang sedia ada.

Difahamkan bahawa mereka juga turut membantah tindakan Jabatan Perhutanan menyeret enam penduduk di perkampungan terbabit ke Mahkamah (ketika itu Mahkamah sedang membicarakan kes enam orang yang dituduh menceroboh) atas kesalahan menceroboh kawasan Hutan Simpan Perhutanan di Kg Emahit dalam daerah Kemabong sekitar tahun 2009.

Salah seorang penduduk perkampungan terbabit yang juga bertindak selaku jurucakap mereka, Taiging bin Manggang, 54, ketika memberitahu Sabahkini.net pada Khamis, mendakwa kehadiran mereka di situ sebagai pemberi semangat kepada 6 orang yang diseret ke Mahkamah yang didakwa Jabatan Perhutanan kononnya menceroboh kawasan Hutan Simpan.

“Sebenarnya yang 6 orang itu bukan menceroboh kawasan larangan itu, sebaliknya kawasan itu adalah hak tanah adat warisan turun temurun sejak dari nenek moyang kami lagi untuk berburu binatang dan sekarang untuk bercucuk tanam seperti padi dan lain lain tanaman pertanian,” tegasnya.

“Kami tidak berniat untuk menceroboh hak kerajaan itu, tetapi kami orang kampung tidak tahu batas sempadan yang betul-betul hak milik Jabatan Perhutanan kerana tiada tanda-tanda sempadan tetap yang menunjukkan ia milik Jabatan itu,” tambah Taiging dengan nada kesal.

Ketika diajukan pertanyaan kalau ada pembabitan orang luar sebagai dalang demonstrasi hari ini beliau berkata, niat mereka adalah telus dan ikhlas yang ingin mendapatkan hak keadilan sewajarnya di mana mereka tidak didalangi oleh mana- mana pihak sama ada pemimpin politik mahupun kumpulan NGO.

Taiging mendakwa bahawa kawasan Kg Emagit yang diterokai oleh 6 penduduk kampung (sedang dibicarakan) telah dianggap oleh Jabatan Perhutanan sebagai kawasan yang termasuk dalam lingkungan Hutan Simpan Tomani kelas dua.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi oleh Jabatan Perhutanan ketika itu, maka satu pasukan telah menjalankan penangkapan kepada mereka (6 orang) di mana hari ini (Khamis) perbicaraan terhadap kes itu sedang berlangsung.

Pihak Polis berunifom dan yang berpakaian preman sedang mengawasi demonstrasi itu dan setakat laporan ini ditulis tiada sebarang kejadian negatif telah berlaku.

Oleh: MAIL MATHEW

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.