Sunday, May 29, 2011

Kepala Babi Di Gerai Cendol

Gerai cendol berhampiran Masjid Lama Sungai Bakap di sini yang digantung kepala babi, selain disimbah cat merah dua hari lalu, pernah disimbah cat hitam serta peralatannya dirosakkan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintendan Shafien Mamat, berkata bagaimanapun pemilik gerai tidak melaporkan kepada polis perbuatan khianat yang berlaku pada Januari dan Mac lalu itu.

"Polis percaya kesemua perbuatan terbabit termasuk panggilan telefon misteri kepada pemilik gerai dilakukan oleh pihak yang sama," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Mengenai kepala babi berkenaan, Shafien berkata ia sudah dihantar kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk dianalisa bagi mengetahui bila haiwan itu disembelih.

"Polis turut mendapatkan maklumat daripada penjual babi di sekitar SPS bagi mengenal pasti individu yang melakukan perbuatan khianat itu," katanya.

Shafien berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan bagi kesalahan menakutkan secara Jenayah dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan bagi kesalahan khianat yang menyebabkan kerosakan.

Dalam kejadian pagi Rabu lalu, jemaah Masjid Lama Sungai Bakap di sini yang baru selesai menunaikan solat Subuh terkejut apabila melihat kepala babi tergantung di gerai cendol yang terletak berhampiran masjid itu.

Gerai itu juga disimbah dengan cat merah, dan sehari sebelum itu pemilik gerai berkenaan menerima panggilan daripada individu tidak dikenali yang meminta beliau berhati-hati. - BERNAMA

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.