Tuesday, January 6, 2015

Kisah aneh menteri dan suratnya

Kisah aneh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menulis surat kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI) mempertahankan integriti individu yang disyaki seorang ‘raja judi’ nampaknya semakin menarik.

Pertamanya, adalah ganjil dan barangkali pertama kali seorang menteri dalam negeri mana-mana negara menulis kepada FBI untuk memberi jaminan mengenai integriti seseorang yang ditahan oleh biro itu kerana disyaki seorang ketua sindiket perjudian.

Kedua, aneh sekali apabila menteri dalam negeri menulis surat untuk membetulkan kesilapan dalam laporan oleh pihak polis kepada FBI mengenai Paul Phua.

Jika ada kesilapan sedemikian, kenapa tidak pihak polis sendiri menulis kepada FBI untuk membetulkan kesilapan tersebut?

Keanehan yang ketiga dan keempat pula adalah sama ada pihak polis bersetuju bahawa ia telah berbuat kesilapan dalam laporannya kepada FBI mengenai Paul Phua dan sama ada pihak polis tahu dan bersetuju supaya menteri dalam negeri sendiri menulis surat kepada FBI mengenai hal tersebut.

Hal aneh kelima dan keenam adalah aspek keadaan hal-hal keselamatan dalam negeri di mana kerajaan Malaysia telah mendapatkan bantuan Phua sebelum ini dan sama ada pihak polis tahu tentang maklumat ini.

Hal aneh ketujuh ialah sama ada menteri dalam negeri telah bertindak secara bersendirian dan secara sewenang-wenangnya tanpa pengetahuan dan kerelaan, atau bertentangan dengan nasihat pihak polis apabila menulis surat menjamin integriti seorang yang disyaki sebagai ‘raja judi’ seperti yang dapat dilihat daripada kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mengelak daripada membuat sebarang komen terhadap kebenaran surat menteri dalam negeri.

'Reputasi ternoda'

Aspek aneh kelapan ialah perkembangan terbaru di Mahkamah Daerah Nevada di Las Vegas di mana surat menteri dalam negeri kepada FBI telah ditarik balik apabila Putrajaya membantahnya daripada digunakan sebagai keterangan pembelaan bagi orang yang disyaki terlibat dalam kegiatan perjudian itu.

Surat menteri dalam negeri kepada FBI bertarikh 8 Disember 2014 adalah jelas bertujuan mempertahankan Phua, namun perkembangan terbaru di perbicaraan kes judi di Las Vegas menunjukkan pula bahawa surat menteri dalam negeri tidak patut digunakan di mahkamah terbuka sebagai pembelaan Phua.

Siapa yang membantah? Adakah Zahid, pihak polis, Jabatan Peguam Negara atau Kementerian Luar?

Aspek ganjil kesembilan ialah sama ada pihak polis, seperti yang disebut Zahid dalam suratnya kepada FBI; begitu teruja untuk melihat Phua pulang ke Malaysia bagi membantu kerajaan dalam projek-projek berkaitan keselamatan negara?

Jelas sekali bahawa reputasi dan kredibiliti negara, pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri telah rosak dan ternoda dalam kes melibatkan ‘raja judi’ ini.

Menteri dalam negeri tidak boleh terus berdiam diri dalam isu ini kerana rakyat Malaysia berhak mengetahui kisah sebenar di sebalik kejadian-kejadian aneh ini yang tidak membawa sebarang kebaikan kepada reputasi dan kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa.

-mk
xxx2

Komen Anda

0 Responses to " Kisah aneh menteri dan suratnya "

Note: Only a member of this blog may post a comment.

xxx