Monday, January 12, 2015

Tolak politik dinasti dalam Umno kata Dr M

Amalan atau budaya 'dinasti' ditolak oleh parti terbesar kaum Melayu itu, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sebaliknya, beliau menasihatkan Umno supaya menapis dan memilih pemimpin yang berminat untuk diletakkkan di tempat yang sesuai bagi memimpin parti itu.

"Dalam Umno tidak harus ada dinasti. Siapa sahaja yang layak dan cinta Umno berhak dilantik ke semua jawatan. Kaitan kekeluargaan tidak boleh dijadikan asas pemilihan atau penolakan.

"Mungkin semua ini tidak mudah dilakukan. Tetapi percubaan mesti dibuat," kata beliau dalam blognya.

Bagaimanapun negarawan tidak menyebut pemimpin yang dimaksudkan tetapi ia dilihat dimaksudkan kepada Datuk Seri Najib Razak dan sepupunya Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang juga menteri pertahanan.

Sementara itu, dalam tulisannya yang sama, bekas presiden Umno juga menasihatkan supaya ahli Umno supaya menegur pemimpin yang cuba menukar perjuangan parti itu membela orang Melayu.

Tegasnya yang juga bekas menteri kewangan, ahli Umno perlu bijak membezakan antara pendekatan bagi menjayakan perjuangan parti dengan pendekatan yang akan mengubah perjuangan Umno.

"Semua ini mesti difahami oleh bakal ahli dan pemimpin Umno. Jika mereka tidak tahu dan tidak faham, jika mereka anggap Umno sebagai batu loncatan untuk kekayaan dan kuasa, adalah lebih baik jika berada di luar Umno.

"Suarakanlah pendapat mereka di dalam negara yang bebas dan demokratik ini," katanya lagi.

Bagi menerima dan menolak kemasukan ahli baru yang berbakat, Dr Mahathir menggesa satu pasukan yang dianggotai individu yang bersimpati dengan perjuangan Umno diberi tugas untuk menapis keahliannya.

"Setelah ditapis mereka mestilah diterima oleh Umno dan diletak di tempat yang sesuai, tempat di mana mereka tinggal atau yang ada kaitan.

“Layanan terhadap mereka oleh cawangan dan bahagian mestilah dipantau oleh badan khas," katanya. -mk
xxx2

Komen Anda

0 Responses to " Tolak politik dinasti dalam Umno kata Dr M "

Note: Only a member of this blog may post a comment.

xxx