Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) mengecam tindakan desperado UMNO-BN memenangi undi rakyat Hulu Selangor dengan menaburkan rasuah politik yang keterlaluan.
Ini dapat dilihat melalui kunjungan Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin ke Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (Semashur) semalam, di mana kempen politik UMNO-BN terus-menerus dilaksanakan di kalangan guru yang dipaksa berhimpun di sekolah tersebut.
Di dalam lawatan yang sama, Muhyiddin telah dilihat melaksanakan tiga janji pembangunan yang sama sekali bersifat politik iaitu:
(i) mengumumkan penubuhan sebuah sekolah menengah dan tiga sekolah rendah di kawasan Hulu Selangor;
(ii) peruntukan RM2 juta untuk penyelesaian masalah banjir di Kampung Sentosa, Batang Kali; dan
(iii) peruntukan RM100,000 untuk pembaikpulihan dan pembelian van jenazah Masjid Al-Sajdin, Kampung Sentosa.
Pertamanya, ini jelas bercanggah dengan Perkara 10 Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 (Pindaan 2006) yang menyebut seseorang didapati bersalah atas kesalahan melakukan sogokan apabila:
"tiap-tiap orang yang, sebelum, semasa atau selepas sesuatu pilihan raya, secara langsung atau tidak langsung, dengan sendiri atau melalui mana-mana orang lain bagi pihaknya, memberikan, meminjamkan, atau bersetuju untuk memberikan atau meminjamkan, atau menawarkan, menjanjikan, atau berjanji untuk mendapatkan atau berusaha untuk mendapatkan, apa-apa wang atau balasan bernilai kepada atau untuk manamana pemilih atau pengundi, atau kepada atau untuk mana-mana orang bagi pihak mana-mana pemilih atau pengundi atau kepada atau untuk mana-mana orang lain, bagi mendorong mana-mana pemilih atau pengundi supaya mengundi atau tidak mengundi, atau yang secara rasuah melakukan apa-apa perbuatan yang disebut terdahulu oleh sebab pemilih atau pengundi itu telah mengundi atau tidak mengundi dalam mana-mana pilihan raya.."
Kedua, AMK melihat tindakan ini adalah satu tindakan terdesak yang sangat drastik, dalam keadaan penamaan calon baru sahaja diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) hari ini, dan itupun tarikhnya melangkau dua minggu dari tarikh semasa.
Tindakan menawarkan pembangunan mi segera seumpama ini bukanlah sesuatu yang menghairankan dalam strategi UMNO-BN untuk memancing undi, apatah lagi saban waktu pilihanraya kecil, rakyat setempat akan sentiasa ditawarkan ganjaran pembangunan yang mendadak meskipun pembangunan tersebut tidak dapat rakyat kecapi selepas 50 tahun pemerintahan UMNO-BN.
DUN Batang Kali misalnya, merupakan kawasan DUN yang menjadi kubu kuat UMNO-BN turun temurun, malah pernah melahirkan seorang Menteri Besar iaitu Muhammad Muhd Taib, tetapi jika dilihat keadaan semasa, ianya jauh lebih mendukacitakan jika hendak dibanding dengan kawasan-kawasan di Pantai Timur seperti Kelantan yang diperintah oleh PAS-Pakatan Rakyat.
Apakah UMNO-BN merasakan bahawa 'fasa pembodohan rakyat' yang mereka jalankan tahun demi tahun melalui taburan pembangunan mi segera seumpama ini mampu menawan hati rakyat di sebalik pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor selama dua tahun?
Rentetan daripada ini, AMK akan mengemukakan bantahan kepada SPR mengenai taburan pembangunan mi segera ini yang jelas merupakan satu bentuk rasuah politik yang sewajarnya dibendung oleh SPR dan SPRM. Ini merupakan satu cabaran terbuka buat Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru, Abu Kassim Mohamed yang mahu mengembalikan keyakinan masyarakat ke atas integriti SPRM.
AMK mencabar Perdana Menteri, Najib Razak untuk menjadi jantan dengan berhadapan Pakatan Rakyat secara 'gentleman' tanpa menggunakan sebarang instrumen kerajaan seperti Kementerian Kewangan dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) untuk membanjirkan Hulu Selangor dengan projek pembangunan mi segera.
*Kenyataan media oleh Shamsul Iskandar Mohd Akin selaku Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia.
No comments:
Write commentsNote: Only a member of this blog may post a comment.